Sebagai seorang mantan warga Bernama, saya selalu mengikuti perkembangan dan kemajuan yang berlaku dalam agensi berita nasional itu. Perkembangan terkini berkaitan perlantikan Azman Ujang dan Yong Soo Heong sebagai Pengurus Besar dan Ketua Pengarang.
Sama ada kita suka atau tidak, setuju atau sebaliknya, ia telah berlaku. Kita hanya boleh berdoa dan menaruh harapan tinggi agar kedua-dua perlantikan itu dibuat dengan betul dan tepat demi masa depan Bernama. Itu saja.
Saya tidak tahu apakah kriteria yang digunapakai oleh Lembaga Pengelola dalam membuat keputusan itu. Yang pasti, perlantikan kali ini dibuat begitu cepat dan dalam keadaan segera. Apa yang hendak dikejar atau hendak lari dari apa? Hanya Pengerusi Bernama yang tahu.
Dalam membuat sesuatu perlantikan, lazimnya pihak yang membuat atau memutuskan perlantikan itu akan mengeluarkan notis tawaran atau pelawaan untuk mereka yang layak dan memiliki kelulusan tertentu memohon jawatan berkenaan. Dalam hubungan ini, saya tidak nampak atau terbaca iklan pelawaan dalam mana-mana akhbar atau media elektronik. Oleh itu, Lembaga Pengelola Bernama, atau lebih tepat lagi pengerusi Bernama, telah berlaku tidak adil kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk mengisi kekosongan yang ada.
Saya juga tidak nampak sebarang kelebihan pada Azman Ujang, seperti mantan Pengurus Besar Syed Jamil Shahabuddin, dalam bidang pengurusan dan pentadbiran selain pengalaman dalam bidang kewartawanan. Bagi saya, perlantikan Syed Jamil adalah satu kesilapan dan kesilapan yang sama telah diulangi. Nampaknya Lembaga Pengelola Bernama terutama Pengerusinya tidak mempelajari daripada kesilapan.
Mengenai Yong atau "Buyong", saya akur dengan alasan yang diberi oleh Pengerusi Bernama, jika itulah alasan sebenar. Cuma, pada pendapat saya, ia mungkin membangkitkan rasa tidak puas hati atau kecewa di kalangan dua tiga orang wartawan kanan yang pernah disebut-sebut sebagai bakal KP.
Bak kata orang, semuanya telah berlaku, dah berlalu dan dah terngadah. Terima sajalah.
Kepada Azman dan Buyong, pendayung ditangan anda, dayunglah perahu itu, sama ada menongkah arus atau sebaliknya, dengan cermat dan berhati-hati semoga ia tidak karam dipertengahan laluan.
2 comments:
Macam ada yang tak kena saja di bernama ni? Ada kah sesuatu yang Syed Imran tahu yang kita semua tidak tahu? Apakah yang syed cuba nak ceritakan di sini? Patut-patutnya syed berterus terang sajalah mengenai berita hangat di bernama.
Saya terbaca satu kisah oleh gelamat selat teberau di rocky bru yang berbunyi seakan-akan mengugut pengrus besar baru bernama dengan kata-kata seperti "AU, rahsia mu rahsia ku orang tak tahu. tapi jangan sampai bernama tergelincir landasan lagi.dulu hampir-hampir sekali. Rezeki Tuhan yang kasi jangan sampai jadi kelabu mata lagi.Umur makin pendek tapi perjalanan masih lagi jauh Dato."
Ini bunyi macam sesuatu yang pelik je.... Syed Imran tahu ke apa cerita ni?
Nak kata tak kena... hmmm ada kebenarannya, ada sesuatu yang mencurigakan. Setahu saya (hampir 27 tahun dengan Bernama), perlantikan penting seperti ini tidak dibuat sebegini rupa. Pada zaman Tan Sri Mazlan Nordin menjadi pengerusi Bernama, dia mengambil masa dan berunding dengan pihak-pihak berkenaan termasuk Kesatuan dan Persatuan dalaman untuk mendapatkan pandangan. Saya turut terlibat dalam menjayakan perlantikan Abdul Rahman Sulaiman sebagai Ketua Pengarang dan bagi saya, ia sesuatu yang bukan mudah, banyak halangan dan rintangan termasuk campur tangan politik. Tapi sekarang perlantikan dibuat begitu segera seolah-olah nak elak sesuatu atau nak sekat "orang luar" yang berkelayakan daripada menerajui Bernama. Saya bimbang tentang masa depan Bernama jika orang yang dilantik menerajuinya tidak kena dan tidak sepatutnya. Perlu diingatkan bahawa Bernama adalah sebuah agensi berita nasional yang kini perlu bersaing dalam pasaran sarwajagat yang terbuka luas. Ia bukan lagi sebuah agensi berita untuk memenuhi keperluan akhbar-akhbar nyamuk dan media di Sabah dan Sarawak atau sekadar memenuhi "liputan berjadual".
Post a Comment