Friday, September 29, 2006

Pemecatan Zaharin membuktikan demokrasi dlm Umno semakin terhakis

Saya turut bersimpati dengan nasib rakan perawimaya Zaharin Mohamad Yassin yang mengendalikan blog Sang Kelembai. Zaharin dipecat oleh Majlis Tertinggi (MT)Umno kononnya kerana dia mengkritik Umno dan presiden parti, Abdullah Ahmad Badawi.

Saya andaikan bahawa dengan memecat Zaharin, Umno yang dipimpin oleh Pak Lah memberi isyarat kepada ahli Umno bahawa mereka tidak boleh mengkritik parti apatah lagi presiden parti.

Menurut laporan, setiausaha agung Umno Radzi Sheikh Ahmad berkata MT Umno telah menerima syor atau cadangan daripada Lembaga Disiplin untuk menggantung keahlian Zaharin tetapi MT (Pak Lah) mahukan Zaharin dipecat untuk memberi amaran kepada ahli yang lain supaya jangan berbuat demikian. Amat jelas sekali bahawa Pak Lah dah mula menunjukkan belangnya - dia tidak boleh dikritik seolah-olah dia adalah seorang insan yang kamil yang tidak melakukan kesalahan.

Mengikut fahaman saya, pemecatan Zaharin seharusnya mengikuti dan mematuhi Perlembagaan Umno Fasal 20 yang berkaitan disiplin.

Untuk kepentingan umum saya perturunkan perkara tersebut:

20.9 Mana-mana ahli yang melanggar peruntukan Perlembagaan ini atau Tataetika Ahli Umno boleh dikenakan mana-mana hukuman yang tersebut di bawah:-

(a) Diberi amaran;
(b) Digantung hak-haknya dalam parti;
(c) Dilarang daripada bertanding bagi mana-mana jawatan dalam parti ataupun sebagai calon dalam Pilihan Raya Negeri atau Umum bagi mana-mana tempoh yang ditentukan oleh Majlis Tertinggi;
(d) Dipecat daripada parti;
(e) Dikenakan lain-lain hukuman yang difikirkan wajar dan selaras dengan Perlembagaan ini.

Sepatutnya dan jika MT Umno benar-benar bersikap adil, keputusan untuk memecat Zaharin hendaklah mengikuti susunan perkara-perkara di bawah Fasal 20.9 (a) atau diberi peluang membela dirinya. Adakah Zaharin diberi notis berkaitan kesalahan yang didakwa dilakukannya itu? Adakah Zaharin dipanggil oleh Lembaga Disiplin untuk membela diri?

Bagi saya, pemecatan Zaharin menunjukkan kebenaran dakwaan banyak pihak yang Umno pimpinan Pak Lah mula menyekat kebebasan ahli untuk mengkritik lebih-lebih lagi presiden parti.

Sekatan yang dikenakan secara senyap-senyap dan rahsia, tetapi diketahui umum, terhadap mantan presiden Umno Tun Dr Mahathir Mohamad kini diperluaskan kepada ahli biasa dan Zaharin menjadi mangsa pertama.

Jika kebebasan seorang mantan presiden untuk berucap dan mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli Umno disekat dan dihalang, inikan pula orang lain. Di mana demokrasi dalam Umno? Macam mana nak bekerja bersama-sama Pak Lah?

Apa dah jadi dengan janji Umno seperti yang dicatatkan dalam Perlembagaan Umno Fasal 3.4 iaitu: "Mempertahankan kedaulatan rakyat dan keadilan sosial dengan mengamalkan Sistem Pemerintahan Demokrasi Berparlimen serta memajukan ekonomi rakyat Melayu dan Bumiputera khasnya dan rakyat Malaysia amnya."

Demokrasi jenis apa yang nak dipertahankan jika ahli Umno sendiri tidak bebas untuk mengkritik parti atau pemimpin parti?

Kepada saudara saya Zaharin, saya sampaikan ucapan syabas atas pendirian saudara yang menerima pemecatan dengan hati yang berani dan tidak akan membuat rayuan selagi Pak Lah memimpin Umno. Saudara tidak rugi jika tidak menjadi ahli Umno dan teruskan perjuangan saudara demi menegakkan kebenaran dan keadilan. Syabas!

2 comments:

warisang tokku said...

Sdra Syed Imran,

Semakin canggih dunia politik tanah air semakin ketat kawalan jadinya peraturan dan etika kepada ahli-ahli parti. Saya rasakan dalam demokrasi politik kita masih ketinggalan jauh jika hendak dibandingkan dengan negara-negara yang sedang membangun.

Pada anggapan saya, suasana demokrasi politik di India dan Thailand tidak keterlaluan kalau saya katakan masih kehadapan kalau dibandingkan dengan situasi kita di sini. Jauh bangat kalau hendak dibandingkan dengan negara-negara maju.

Di United Kingdom misalnya, Mr Bean di dalam sitcomnya sentiasa mengkritik bersahaja Mr PM Blair. Begitu juga keadaanya di USA dimana Mr David Letterman saban malam mempersendakan Mr Presiden Bush Jr. Mungkin anda mengatakan bahawa kita punyai budaya dan tamadun yang berlainan!!!

Lalu saya teringat kepada satu ceramah agama disurau dimana penceramah pernah menceritakan perihal sahabat Rasul yng dipilih menjadi khalifah berkata tegurlah beliau sekiranya dia salah silap dalam mentadbir empayar Islam. Seterusnya sahabat berkata bahawa dia bukanlah yang terbaik untuk memimpin. Hanyalah semata-mata untuk renungan saya sendiri.

Mungkin terdapat pendapat yang mengatakan bahawa 'politic is all about power, when you are in power you must be powerful otherwise you are bloody fool'. Entahlah mana yang hendak dituruti dalam zaman serba canggih sekarang. Wallahu 'alam.

Sdra Syed Imran, terima kasih kerana sudi membenar saya mencoret sekelumit komen di dalam blog
sdra. Selamat berpuasa.

Unknown said...

Sebenarnya Sdr Zaharin telah diberitahu mengenai pertuduhan ke atasnya dan beliau telahpun memberi jawapan bertulis. Mohon maaf atas ketinggalan fakta tersebut.

Sdr Zaharin dituduh dibawah Fasal 20.8 Perlembagaan Umno yang dalam perkataan mudah melahirkan ahli-ahli yang tidak ubah seperti Pak Turut.

Antara lain peraturan itu mahukan (memaksa?)ahli mengikut perintah-perintah parti, menjalankan dasar-dasar parti, patuh dan menghormati keputusan-keputusan parti, dan sentiasa menunjukkan tatalaku yang sopan lagi tertib.

Ia disusuli oleh Fasal 20.9 yang antara lain terkandung peraturan pemecatan, iaitu tindakan kelima dalam susunan tindakan yang boleh diambil.

Sdr Zaharin terus dikenakan tindakan kelima sedangkan dia boleh dihukum menurut tindakan pertama iaitu diberi amaran, atau tindakan kedua digantung hak-haknya dalam parti.

Pak Lah memilih tindakan itu untuk menakutkan atau memberi amaran kepada ahli parti supaya jangan mengkritik atau mencabar presiden parti.