Banyak pihak termasuk pembangkang, badan-badan bukan kerajaan dan orang perseorangan yang prihatin sering menyeru kerajaan supaya menjadikan Badan Pencegah Rasuah (BPR) benar-benar bebas. Saya menyokong seruan ini kerana saya tahu bahawa BPR adalah sebuah badan yang tidak bebas dan tertakluk kepada kelulusan pihak atasan sama ada untuk mengambil tindakan atau untuk tidak mengambil tindakan.
Persoalan yang mereka bangkitkan adalah sama ada BPR bebas untuk menyiasat dan bebas pula untuk mengambil tindakan terhadap sesiapa atau mana-mana pihak yang terbabit dengan penyalahgunaan kuasa dan rasuah.
Lazimnya, apabila memperkatakan mengenai rasuah, ramai yang akan menuding jari kepada pihak polis dan agensi-agensi penguatkuasa lain termasuk kastam, imigresen, pihak berkuasa tempatan dan jabatan pengangkutan jalan.
Polis menjadi sasaran utama sehingga kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Penambahbaikan Polis yang diberi tugas menyiasat dan mengemukakan cadangan dan perakuan bertujuan untuk memperbaiki sistem kepolisian dan mengatasi apa-apa kelemahan dan kekurangan.
Sebenarnya apa yang berlaku dalam pasukan dan apa yang dihadapi oleh PDRM bukanlah sesuatu yang ekslusif dalam PDRM tetapi merupakan masalah yang berlaku dalam semua agensi penguatkuasa undang-undang, dalam agensi-agensi kerajaan yang mengeluarkan permit dan lesen serta dalam pertubuhan-pertubuhan politik, terutama parti yang memerintah.
Jadi kenapa PDRM sahaja dijadikan sasaran sedangkan pasukan itu mempunyai ramai anggota dan pegawai yang berkhidat dengan cekap dan mesra dan hanya segelintir yang rasuah? Bagi kita yang menghuni bandar raya besar seperti KL, Ipoh dan JB, saban hari kita dibantu oleh anggota trafik untuk melicinkan perjalanan, tak kira pagi, semasa matahari sedang terik atau petang, atau semasa musim jerebu. Berapa ramai pengguna jalan raya yang berterima kasih kepada mereka atau sekadar berkata itu tugas mereka. Kita mungkin tidak sedar bahawa anggota polis adalah kakitangan awam kedua paling rendah dari segi bayaran gaji. Bagi saya ia tidak setimpal dengan bidang tugas mereka. Jumlah anggota polis yang menggadai nyawa untuk membanteras jenayah juga semakin bertambah semata-mata untuk membawa pulang gaji yang kurang daripada RM800 sebulan.
Apakah kita bersikap adil kepada PDRM berkaitan isu rasuah sehingga perlu diwujudkan sebuah suruhanjaya siasatan khas?
Sebenarnya masih banyak masalah salahguna dan rasuah yang berlaku tetapi pihak-pihak tertentu menutup mata. Kebanyakannya melibatkan politik dan pentadbiran negeri atau tempatan.
Kita masih dihantui oleh isu pencemaran alam, pemusnahan hutan simpan kekal, penggondolan bukit dan tanah tinggi dan perbuatan mencuri pasir sungai yang semuanya berpunca daripada kerakusan manusia mengejar laba besar daripada projek-projek pembangunan, sama ada yang diluluskan atau tidak diluluskan.
Seperti biasa, pihak terlibat begitu cepat menafikan perkara sebenar atau cuba memberi alasan yang tidak lebih daripada melepas tangan. Kita masih ingat beberapa kejadian di negeri Selangor seperti yang dilaporkan oleh Karam Singh Walia dan rakan-rakannya dari TV3. Isu pencerobohan dan pemusnahan hutan di Bukit Cerakah, isu pencerobohan Taman Rimba Templer, di Selayang, di Sepang dan di Ampang.
Kegelojohan manusia meraih laba besar tanpa mengira kesannya ke atas alam sekitar atau kepada penduduk berdekatan semakin menjadi-jadi. Perkara ini boleh berlaku kerana antara mereka yang mendapat projek atau kelulusan untuk mencabul hutan simpan kekal adalah mereka yang ada hubung kait dengan "orang politik."
Mereka bukan pemaju profesional atau kontraktor tulen. Mereka mempergunakan hubungan dan pertalian politik untuk mendapatkan sesuatu projek. Selepas itu, mereka akan serahkan atau 'sub-contract' kepada pihak ketiga untuk meraih keuntungan mudah.
Apabila timbul masalah atau isu kontroversial, mereka cuba lepas tangan dengan berpaut pada dahan-dahan dan pokok-pokok politik yang dinaungi dengan harapan mendapat pembelaan, perlindungan dan penyelesaian.
Orang politik pula cukup mudah menuding jari kepada kakitangan awam. Kita akui ada sebilangan kecil kakitangan awam yang tidak bersih daripada rasuah tetapi kita tidak boleh melambakkan semua kesilapan dan kesalahan kepada kakitangan awam. Pemimpin politik mesti bertanggungjawab dan jauh lebih amanah.
Pengalaman saya semasa berkhidmat dengan kerajaan telah membuka mata tentang apa yang berlaku. Adakalanya apabila seorang pegawai kerajaan nak melaksanakan undang-undang dan peraturan dengan tegas, dia terpaksa berdepan dengan campur tangan politik sehingga ke peringkat menteri. Sebagai kakitangan atau pegawai awam yang 'menurut perintah' dia terpaksa akur dengan arahan pimpinan politik. Gangguan seperti ini bukan sahaja menjejaskan pelaksanaan sesuatu tugas atau projek tetapi mengakibatkan orang yang patut dapat tender tak dapat dan orang yang tak layak dapat tender. Maka tidak hairanlah apabila kita sering dihidangkan dengan berita jejantas retak atau runtuh, bumbung bangunan runtuh, makmal sains tidak siap, jalan mendap, projek tergendala dan bermacam kepincangan dalam pelaksanaan projek-projek pembangunan.
Maka Badan Pencegah Rasuah pun masuk menyiasat. Apa kesudahannya? Berapa banyak kes yang dibawa ke pengadilan?
Pengalaman di JPM membolehkan saya menyatakan bahawa BPR memiliki cukup kuasa untuk menyiasat tetapi dalam kes-kes tertentu, "tidak boleh" bertindak atau membawa kes ke mahkamah tanpa "restu' pihak atasan.
Di Malaysia, ketegasan dalam pelaksanaan undang-undang masih lemah dan tidak sama rata. Penangkapan dan pengheretan beberapa kerat individu yang dianggap sebagai orang kenamaan atau 'big fish' tidak boleh dilihat satu ketegasan. Gejala rasuah yang paling teruk dan tidak ubah seperti barah adalah rasuah politik. Inilah ibu segala punca yang semestinya diperangi habis-habisan.
Rasuah politik atau politik wang atau wang politik sudahpun menjadi barah yang sedikit demi sedikit sedang membunuh. Semua orang politik akan menafikan pembabitan mereka dalam gejala ini kerana semua nak dilihat sebagai bersih.
Tak kanlah Tan Sri Isa Samad seorang sahaja yang bergelumang dalam rasuah politik yang menjadi darah daging Umno? Semua orang yang berfikiran waras tidak akan mempercayai bahawa semua ahli Majlis Tertinggi Umno bersih daripada rasuah politik atau semua menteri Umno bersih.
Jika benarlah PM Abdullah Badawi nak memerangi rasuah, penyelewenbgan dan salahguna kuasa, tidak ada jalan lain baginya kecuali memberi kebebasan sepenuhnya kepada BPR bukan sahaja untuk menyiasat tetapi mengambil tindakan undang-undang. Letakkan BPR di bawah Parlimen bukan di bawah JPM seperti sekarang.
Beranikah Pak Lah lakukan sedemikian? Saya kira tidak dan rakyat Malaysia akan terus berdepan dengan masalah rasuah, salahguna kuasa dan penyelewengan. Janji Pak Lah hanya tinggal janji. Macam mana rakyat nak bekerja bersama-sama Pak Lah?
1 comment:
Saya pun tidak yakin Pak Lah mahu benar2 membenteras rasuah. Mana dia 18 kes rasuah yang dikatakan Dato Rais Yatim? Apa jadi dengan kes Kasitah Ghadam, Eric Chia, dan lain2. Macam mana dengan Rafidah, Nazri dll.
Macam mana dengan banyak anak dan menantu Pak Lah melibatkan dengan kontrak kerajaan tetapi dia sendiri berbohong terbuka kata anak2nya tidak dapat kontrak kerajaan.... Scomi dan pengambil alihan Avenue oleh ECM?
Post a Comment