Monday, September 11, 2006

Era politik Tun Mahathir belum berakhir

Saya amat tidak bersetuju dengan pandangan Datuk Shahrir Abdul Samad yang menyatakan bahawa era politik mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sudah berakhir berikutan tidak terpilihnya beliau sebagai wakil Umno bahagian Kubang Pasu ke perhimpunan agung parti itu.

Kemenangan dan kekalahan dalam perjuangan politik tidak semestinya menentukan hidup atau mati seseorang pejuang politik. Jatuh bangun dalam sepak terajang seorang pejuang dalam gelanggang adalah lumrah hidup.

Bagi saya, orang yang sehebat Tun Mahathir amat sukar untuk ditumbangkan, bukan sahaja semasa beliau berkuasa tetapi selepas beliau tidak berkuasa. Sebagai seorang yang kaya dengan pengalaman dan yang telah menghadapi dan berdepan dengan gergasi-gergasi poliik antarabangsa, cabaran yang beliau hadapi sekarang adalah kecil.

Sebagai salah seorang yang bernasib baik kerana berpeluang mengikuti dan berinteraksi dengan Tun Mahathir di dalam dan di luar negara, saya yakin dan percaya bahawa era politik Tun Mahathir hanya akan berakhir apabila hayatnya tidak lagi dikandung badan.

Tun Mahathir adalah seorang pejuang politik yang tidak mudah menyerah kalah apatah lagi jika dia yakin dan percaya bahawa apa yang diperjuangkannya itu adalah benar dan betul.

Semasa bertugas di Singapura dan berkesempatan menyaksikan perubahan kepimpinan pulau republik itu daripada Lee Kuan Yew kepada Goh Chok Tong, saya masih teringat akan kata-kata Kuan Yew bahawa beliau melepaskan jawatan perdana menteri kepada Chok Tong setelah dia dapat menyelesaikan beberapa isu penting membabitkan Malaysia dengan Tun Mahathir. Beliau tahu bahawa Chok Tong mungkin tidak dapat menandingi kepintaran dan kebijaksanaan Tun Mahathir.

Malahan semasa berucap kepada para pelajar universiti di republik itu, Kuan Yew menyifatkan Tun Mahathir sebagai seorang silat "master" atau mahaguru silat. Beliau menjelaskan bahawa sebagai seorang mahaguru silat, musuhnya tidak dapat ataupun sukar untuk membaca langkah seterusnya. Jika anda gagal membaca langkah musuh anda, sudah tentu anda akan tewas dalam pertarungan. Itulah pandangan Lee Kuan Yew mengenai kepintaran dan kebijaksanaan Tun Mahathir.

Datuk Shahrir mungkin lupa bahawa era politik seseorang yang tewas atau tersingkir tidak semestinya berakhir. Era politik Shahrir sendiri, yang menyokong Team B dan kemudian dipecat oleh Tun Mahathir dari Kabinet, tidak berakhir. Malah Shahrir dengan gagah bangkit semula setelah memenangi kerusi parlimen sebagai calon bebas.

Begitu juga dengan mentor Shahrir yang juga mantan timbalan perdana menteri Tun Musa Hitam. Saya masih percaya bahawa era politik Tun Musa belum berakhir. Cuba bayangkan jika sesuatu yang tidak diingini berlaku dan kepimpinan negara menghadapi kekosongan kepimpinan, apakah tidak mungkin bagi Tun Musa kembali untuk menyelamatkan keadaan dan memimpin negara?

Kita harus sedar bahawa Tun Mahathir tidak pernah membakar jambatan apatah lagi rumahnya seperti yang dilakukan oleh Rais Yatim, rakan seperjuangan Shahrir dalam Team B dan mantan timbalan presiden Parti Melayu Semangat 46. Walaupun dia membakar jambatan dan memutuskan hubungan dengan Umno, akhirnya Rais Yatim pulang ke pangkuan parti itu dan dilantik oleh Tun Mahathir menganggotai kabinetnya. Era politik Rais Yatim tidak berakhir selepas dia membakar jambatan.

Jadi, hujah Shahrir bahawa era politik Tun Mahathir akan berakhir adalah satu pandangan yang amat cetek dan datang dari seorang yang saya kira masih menaruh dendam terhadap Tun Mahathir, orang yang pernah dia tentang dan cuba jatuhkan melalui pakatan Team B.

Dalam arena poliik, apa sahaja boleh berlaku dan kita tidak seharusnya menolak sebarang kemungkinan. Dalam politik tidak ada musuh yang kekal dan tidak pula wujud kawan yang sejati. Kesetiaan dan sokongan boleh dibeli dengan wang ringgit, pangkat dan kedudukan seperti yang berlaku dalam Umno. Inilah kenyataan. Inilah hakikat.

7 comments:

Anonymous said...

Kadang2 orang yang berpengalaman dan bijaksana seperti Shahrir pun menunjukkan kadangkalannya apabila dipengaruhi oleh sebab musabab dan tujuan tertentu. Bayangkan untuk menghadapi Dr M bagi memastikan dia tidak terpilih sebagai calon G7 gerak jentera kerajaan terpaksa dikerah. Di situ saja jelas terbukti keperkasaan Tun Dr M. Memang sudah pastilah dia tewas, apalagi apabila disogok dengan wang seperti yang dilaporkan di dalam akhbar The Star hari ini. Kenapakah puak2 di dalam UMNO ini begitu takut Tun Dr M bersuara di persidangan UMNO nanti. Takutkan bayang-bayang sendiri atau takut Tun Dr M "menempeleng" muka mereka seorang demi seorang, terutama pihak yang pandai bermuka-muka, talam dua muka dan tidak mengenang budi seperti Nazri dan Zam. Tidak mengapalah, saya percaya Tun Dr M tetap mempunyai caranya sendiri untuk memastikan suaranya didengari. Kita tunggu saja. Ketika pihak yang berkuasa sekarang merasa serba salah dalam menangani isu Tun Dr M ini, tuan punya badan (Tun Dr M) nampaknya tetap waras dan relax.

Unknown said...

Sdr Mawi,
saya bersetuju dengan sdr iaitu Tun akan menghadapi sebarang tekanan atau cabaran dengan tenang dan waras. Itulah antara ciri-ciri kekuatan Tun yang sukar ditandingi.

A Voice said...

Komen Dato Shahrir hanya komen "news worthy" untuk kemudahan propaganda NST dan lain-lain media sewaktu dengannya.

Walaupun nampak Tun sedang berperang seorang saja, dia masih "on top of the game". Dia menentukan langkah dan arah tuju bukan ditentukan oleh Pak Lah dan algojo2nya.

Apabila dia bertanding untuk menjadi seorang perwakilan di Kubang Pasu, dia meletakkan situasi dimana "head" dia menang dan "tail" dia masih menang.

Tanpa sokongan secara "paksa", Pak Lah sepatutnya dah lama habis. Kalau Najib "pull the carpet", saya tidak nampak Pak Lah boleh kekal.

Selagi penentu hala tuju adalah Tun, selagi itu ia akan berpanjangan. Selagi ia masih berpanjangan dengan asakan dari Tun, selagi itu Pak Lah, Khairy dan Tkt 4 akan terus membuat pelbagai kesilapan dan terus "self destruct".

Mula2 mereka melatah, lama2 orang2 dari bawah dan rakyat akan mengamuk. Rakyat Cina sudah marah dgn tindk tanduk Khairy. Mereka tak mudah lupa. Anwar mengasak dan PAS juga mengasak. Pilihanraya sudah hampir.

Boleh kah Pak Lah mampu bertahan? Menang tetap menang. Tapi sekiranya pencapaian terlalu rendah, desakan untuk Pak Lah turun akan bertambah kuat. Sekiranya mereka terus berdegil untuk menggunakan pilihanraya untuk mencantas orang2, Pak Lah dan Khairy hanya mengumpul musuh.

Masa tidak menyebelahi Pak Lah. Tindak tanduknya dan Khairy akan mengekorinya. Selagi Tun masih sihat dan bernyawa, ia akan sentiasa dihantui bayangan Tun yang mereka gelar "Minister Tormentor".

"Solution" dari mula sudah terang dan nyata. "Respect the old man and maintain the tradition for continuity in policies. Learn to "mengenal diri". Take your steps one at a time and not to go beyond ones capability."

Pak Lah, you are no reformer. Don't dream of being one!

Unknown said...

Saya terima pendapat saudara kerana apa yang saudara katakan ada kebenarannya. Bagi saya, perpecahan sudahpun berlaku dalam Umno. Perpecahan juga mungkin menular kepada parti-parti komponen BN ekoran keceluparan mulut Khairy Jamaluddin. Semasa di P Pinang, saya sempat mengamati suasana politik setempat. Orang Cina, terutama dari Gerakan, cukup tersinggung dan marah dengan kenyataan KJ serta beberapa pemimpin Umno yang lain termasuk Najib Tun Razak yang menghentam pemimpin mereka Koh Tsu Khoon. Umno mungkin lupa bahawa tanpa sokongan undi orang Cina, BN tidak mampu berkuasa di P Pinang. Saya berpendapat dalam pilihan raya akan datang, kedudukan kerajaan negeri BN terjejas dan besar kemungkinan P Pinang akan diperintah oleh DAP. Di mana Pak Lah nak letak muka selaku pengerusi badan perhubungan Umno P Pinang dan Perdana Menteri?

Sikap Pak Lah dan pengampu-pengampunya terutama Nazri Aziz terhadap Tun bukan sahaja merugikan Umno tetapi akan memberi kesan mendalam kepada politik di Negeri Sembilan, Selangor, Perak dan Pulau Pinang. Peristiwa pilihan raya 1969 dimana parti pembangkang memeranjatkan parti pemerintah akan berulang di negeri-negeri yang saya sebutkan itu.

Di negeri-negeri Kedah, Perlis, dan Terengganu, saya kira parti PAS akan memperlihatkan kekuatannya. Kita tidak boleh menolak kemungkinan PAS berkuasa ataupun muncul sebagai pembangkang yang kuat, jika Umno terus bergolak dan Tun terus dilayani seperti sekarang. Umno juga tidak akan dapat menawan Kelantan.

Anonymous said...

Biar kita tunggu dan lihat tindakan-tindakan TDM seterusnya.
Saya amat tersinggung dan marah dengan komen KJ terhadap kaum Cina dan ini juga dirasai oleh masyarakat Cina lain di PP.Kalau masyarakat Cina tidak sokong BN(MCA & Gerakan)habislah BN.Sekarang dengan komen yang begini daripada KJ tentu kaum Cina tidak akan undi BN.

Unknown said...

KJ adalah seorang yang masih berangkak dalam dunia politik. Dia masih berhingus tetapi cuba berlagak macam seorang pemimpin nasional yang hebat dan berani. Sayang sekali dia tidak melalui pengalaman-pengalaman pahit yang pernah saya lalui seperti rusuhan "hartal" di P Pinang dan Targedi 13 Mei. Dalam kedua-dua tragedi itu, manusia yang tidak berdosa menjadi mangsa, tak kiralah sama ada Melayu, Cina atau India. Dengan mempermainkan isu perkauman, KJ cuba menjadi jaguh. Ya, dia boleh mendapatkan perlindungan di Seri Perdana yang dikawal ketat pasukan UTK dan PGA dari PDRM. Tetapi, siapa yang nak melindungi rakyat marhain yang tidak berdosa jika rusuhan tercetus akibat tiupan api perkauman yang dimula oleh KJ? Adakah KJ atau penyokong-penyokongnya yang secara fanatik melaungkan slogan perkauman dan menyatakan niat mereka kononnya nak pertahan kepentingan Melayu akan melindungi orang yang mereka pertahankan? Bagaimana dengan rakyat Malaysia keturunan Cina dan India? Siapa nak lindungi mereka? Malaysia adalah negara semua rakyat Malaysia dan bukan milik satu-satu kaum. Hakikat ini hendaklah difahami dan dihormati oleh kita yang bergelar rakyat Malaysia.

Bijak pandai ada berkata:

"Orang yang bertindak demi keuntungan sendiri hanya akan membuat banyak permusuhan dan mengundang kebencian."

dan

"Jika seseorang hanya peduli pada apa yang menguntungkan, maka orang itu tak akan memperdulikan kebenaran."

Saya kira KJ dan penyokong-penyokongnya masih jahil tentang selok-belok berpolitik dalam sebuah negara yang majmuk seperti Malaysia.

Anonymous said...

Tun Mahathir memang seorang yang bijak dan pintar, belum ada orang lagi yang boleh menandingi beliau. Walaupun ada segolongan ahli politik yang tak mengenang budi dan cuba menjatuhkan beliau, tapi ingat tuhan itu maha mengetahui dan maha adil serta mereka akan mendapat balasan yang setimpal.Ingat Tun Mahathir banyak berjasa kepada negara ini, mereka yang tidak bersyukur dan mengenang budi akan dapat balasan yang setimpal dunia dan akhirat, itu janji tuhan.