Tuesday, September 19, 2006

Pandangan anak muda berkaitan isu Tun M-Pak Lah

Saya berkesempatan beramah-mesra dengan enam orang pemuda berusia 23-30 tahun, semuanya sudah bekerja dalam sektor swasta dan berpendapatan agak lumayan.

Saya bertanya kepada mereka akan pendirian masing-masing berkaitan suasana politik tanah air terutama yang membabitkan mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan penggantinya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Jawapan yang saya terima tidak memeranjatkan malah sudah dijangkakan.

Semua enam anak muda menyatakan sokongan terhadap Tun Mahathir. Satu-satunya pemimpin yang mereka berpengalaman bernaung dibawah pemerintahannya. Mereka sama ada belum dilahirkan ke dunia atau masih bayi/kecil semasa pemerintahan perdana menteri sebelum itu.

Kenapa menyokong Tun Mahathir? Apa keistimewaan yang ada pada Tun dan tidak pada Abdullah Badawi?

Semua sepakat menyatakan bahawa Tun Mahathir adalah seorang pemimpin yang berani, tegas dan banyak menyumbang kepada pembangunan Malaysia. Dunia mula mengetahui Malaysia dan bukan sekadar sebuah negeri berhampiran Singapura semasa Tun Mahathir menjadi PM. Orang tidak berani mempersoal atau mencabar kedudukan Islam dan Singapura tidak berani memperkecil-kecilkan Malaysia.

Kepada mereka, Abdullah Badawi seorang pemimpin yang lemah dan tidak tegas. Mereka percaya bahawa Abdullah dipengaruhi oleh orang tertentu dan tidak dapat menyelesaikan banyak masalah termasuk masalah kekurangan gula.

Salah seorang daripada mereka secara sinis berkata: "Pak Lah tak dapat selesai isu gula, macam mana nak selesai isu-isu yang lebih berat dan lebih besar?" Bagi saya, kenyataan ini ada kebenarannya walaupun kelihatan remeh.

Mereka juga sependapat bahawa Pak Lah gagal dalam tugasnya selaku pengerusi NAM dan OIC apabila dunia menghadapi krisis serius seperti pencerobohan tentera Israel ke atas Lubnan dan isu nuklear Iran. Mereka percaya sekiranya Tun Mahathir masih berkuasa dan memimpin kedua-dua pertubuhan itu, tindak balas sudah pasti jauh berbeza dan jauh lebih lantang dan lebih berani daripada apa yang dilakukan oleh Pak Lah.

Saya turut bertanya mengenai menteri yang dianggap ramai sebagai kaki ampu Pak Lah, iaitu Nazri Aziz. Semua mereka berkata Nazri bukan satu aset kepada Pak Lah dan Nazri biadab terhadap Tun Mahathir. Ada yang memberi gambaran bahawa Nazri bukanlah seorang yang "bersih sangat" untuk bercakap mengenai rasuah dan penyelewengan.

Adakah mereka akan menyokong BN dalam pilihan raya akan datang? Tiga daripada mereka dengan tegas berkata tidak dan tiga lagi menjawab mereka akan membuat keputusan bila tiba masanya.

Inilah pendirian enam orang anak muda yang saya sempat berinteraksi dan bagi saya gambaran yang mereka berikan itu melambangkan pendirian majoriti anak muda berkaitan isu politik dan perbalahan Tun Mahathir-Pak Lah.

6 comments:

Anonymous said...

Saya juga seorang anak muda yang menyokong Tun Dr. Mahathir. Sokongan saya bukanlah kerana saya membesar di zaman Tun, tetapi kerana nampaknya banyak kepincangan di dalam kerajaan ini. Memang tidak dapat dinafikan di zaman Tun juga punya banyak kepincangan, namum kita perlu akui bahawa tundak-tanduk dan keputusannya adalah untuk kepentingan negara. His underlying motive/intention is always for the country. Untuk Malaysia. Keranamu Malaysia.

Saya tidak boleh nampak persamaan itu di bawah kerajaan masa ini. Cukup jika saya ringkaskan bahawa 3 tahun yang lalu, saya sangat bangga menjadi rakyat malaysia, namum tidak lagi.

-Enough is Enough-

Unknown said...

Saya harap mesej yang disampaikan oleh golongan muda yang melihat kepada realiti, seperti saudara dan enam anak muda yang saya temui itu, dapat membuka mata dan hati para pemimpin yang berkuasa sekarang. Keadaan mungkin boleh diselamatkan jika mereka mahu menerima teguran dan mengakui hakikat politik semasa.

Anonymous said...

Tuan Syed Imran

Untuk menambahkan kredibiti pandangan anak muda itu seperti yang disiarkan, bolehkan agaknya dinyatakan bidang profesional yang kini disertai oleh enam anak muda itu. Tidak perlu dinyatakan nama mereka cukuplah sekadar dinamakan jawatan mereka dan syarikat mereka berkhidmat. Bukan apa, kebiasaannya pandangan mereka ini juga sebenarnya dikongsi oleh rakan sekerja. Cukup untuk memberi isyarat kepada pihak tertentu bahawa pandangan mereka tidak boleh dipandang sepi.

Unknown said...

Untuk makluman, saya berpegang kepada kepercayaan yang diberikan oleh sumber maklumat. Saya sekadar boleh menyatakan bahawa empat daripada mereka adalah bertaraf profesional, berkelulusan luar negara dan berkhidmat dengan syarikat multi-nasional manakala dua lagi bertugas dengan syarikat tempatan.

Anonymous said...

Saya juga seorang anak muda professional bekerja di dalam sebuah syarikat MNC.

Saya amat setuju dengan kenyataan yang Tuan ketengahkan dari keenam-enam pemuda itu. Dengan ini saya ingin menambah lagi sebagai pandangan lagi seorang anak muda kepada kepimpinan Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi ("Pak Lah").

Tiada 'role model' sesuai diantara pemimpin untuk orang muda mengambil contoh. Semuanya memberikan pandangan pandangan yang kurang bijak dan juga bertemakan membodek, tiada banyak beza dengan kenyataan mengelirukan yang selalu diberikan oleh Menteri-Menteri. Timbalan Ketua Pemuda UMNO yang juga menantu Pak Lah pula memberikan contoh yang tidak baik dengan menggunakan jalan "shortcut" untuk naik ke arena politik dan ekonomi diri sendiri.

Sekarang, ramai anak-anak muda cuba meniru perbuatan "shortcut" ini yang rata-ratanya mengambil contoh sikap didasarkan oleh Machiavelli. Biar tidak jujur, biar tidak berpendirian, tetapi berharta dan berkuasa.Tidak mustahil ia menjadi ikutan anak muda, kerana mereka yang jujur, yang bekerja keras, yang menggunakan jalan yang benar tidak mendapat apa-apa hasil. Kronisme dan nepotisme menjadi jalan pintas menuju kekayaan dan kekuasaan duniawi.

Anonymous said...

Walaupun kepimpinan Tun Dr Mahathir juga tidak sunyi dari kepincangan tetapi suka atau tidak, terpaksa diakui bahawa beliau merupakan pemimpin yang efektif dan mengetahui serta memahami banyak perkara kerana peka dengan apa yang berlaku di dalam negara atau luar negara. Ramai rakan saya dari kalangan generasi muda yang dahulunya idealist kini menyedari banyak perkara yang dilakukan oleh Tun Dr Mahathir banyak memberi faedah kepada rakyat negara ini. Seorang teman berkelulusan luar negara dan kini berkhidmat dgn syarikat multi nasional telah menyatakan kebimbangan tentang periuk nasinya sekiranya syarikatnya menarik diri dari Malaysia. Bukan Malaysia skrg tidak mesra pelabur tetapi pelabur asing nampak tidak teruja untuk menambahkan pelaburan mereka di sini, bermakna kuranglah potensi untuk menjana peluang pekerjaan kepada rakyat negara ini. Jangan lupa dalam kita asyik melaungkan pembinaan modal insan, peluang pekerjaan juga perlu disediakan. Nanti rakyat kita hendak kerja dimana???