Thursday, August 22, 2013

Lagi pelantikan "kitar semula" oleh DS Najib

Setelah pelantikan Jemaah Menteri yang termasuk beberapa kes "kitar semula",  Perdana Menteri Datuk Seri Mohamad Najib Tun Abdul Razak nampaknya terus melaksanakan pelantikan "kitar semula" apabila dilaporakan sebagai telah atau akan melantik Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil selaku "penasihatnya"  berkaitan "isu wanita".

Saya tidak nampak apa-apa kelebihan dalam pelantikan Shahrizat,  mantan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Apakah pelantikan itu semata-mata untuk memenuhi kehendak Wanita UMNO yang dipimpin oleh Shahrizat atau "membalas budi dan sokongan" mantan Ahli Dewan Negara yang ditumbangkan oleh naib presiden PKR Nurul Izah Anwar pada PRU-12 di Lembah Pantai itu? 

Apakah kerana Shahrizat mengetuai Wanita UMNO maka dia mesti diberi jawatan walaupun tidak lagi menjadi wakil rakyat yang dipilih melalui pilihan raya ataupun dilantik melalui pintu Dewan Negara?

Atau apakah Shahrizat begitu hebat dan  dia tidak boleh diketepikan oleh Najib sehingga  dilihat sebagai membelakangi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Rohani Abdul Karim? 

Rohani, tokoh wanita dari Sarawak, nampaknya kurang senang dengan pelantikan itu apabila dia dikutip media sebagai berkata "Beliau (Shahrizat) bukan penasihat dikementerian saya". Jelas sekali Rohani tidak memerlukan seorang penasihat untuk menjalankan tugas. Kementerian berkenaan mempunyai pegawai dan pakar yang mencukupi untuk "menasihati" menteri, jika perlu, berkaitan isu wanita. 

Sesiapapun yang mengetaui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pasti akan rasa tersinggung mengenai pelantikan seorang "penasihat" berkaitan isu wanita sedangkan sudah wujud sebuah kementerian khusus untuk itu.

Najib mesti sedar bahawa dia tidak boleh "menggembirakan" semua orang dan harus peka akan hakikat tersebut. Mungkin Najib sendiri "dinasihati" oleh seorang wanita tertentu untuk melantik Shahrizat dan dia terpaksa akur dengan "nasihat" itu.

Saya setuju dengan kenyataan Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh, bahawa pelantikan Shahrizat sebagai penasihat kepada Perdana Menteri dalam isu wanita sebagai  satu "produk kitar semula" menggunakan wang pembayar cukai. Katanya, Shahrizat tidak membawa sebarang  "tambah nilai" terutamanya dalam isu-isu wanita. 

Selain pelantikan Shahrizat, saya difahami bahawa seorang ahli politik yang  tiga kali "melompat parti" dari UMNO kepada PKR dan kembali berpaut kepada UMNO,  akan dilantik sebagai Duta Besar ke Republik Indonesia. Ini pun satu pelantikan "kitar semula" untuk membalas "sokongan" tokoh berkenaan kepada Najib dan UMNO sebelum PRU-13.

Nampaknya, Najib sedang menguji kesabaran ahli UMNO yang mulai kurang senang dengan beberapa tindakan dan keputusan yang dibuatnya.

   

Tuesday, August 20, 2013

NAZRI AZIZ - pelantikan anaknya bangkit bantahan dan tuduhan

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Muhammad Nazri  Abdul Aziz, sekali lagi terbabit dalam perbalahan mengenai pelantikan anaknya selaku 'Pegawai Khas' seperti yang tercatat dalam senarai petugas di Pejabat Menteri Kementerian berkenaan. 

Jika dilihat dari sudut tertentu, sudah pasti pelantikan itu membangkitkan beberapa persoalan termasuk pilih kasih dan amalan kronisme, tetapi bagi sesetengah pihak ia tidak menjadi masalah atau melanggar peraturan. 

 Sebagai orang yang pernah berkhidmat di pejabat menteri, saya tahu bahawa pelantikan anggota keluarga tidak menjadi satu kesalahan kecuali beberapa jawatan tertentu seperti Setiausaha Akhbar, Setiausaha Sulit Kanan ataupun Setiausaha Sulit. 

 Larangan itu jelas termaktub dalam Surat Pekeliling Perkhidmatan Bil. 7 Tahun 1982 dan Bil. 10 Tahun 1983 yang masih berkuatkuasa sehingga sekarang. 

 Malah mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri mengingati Menteri dan Timbalan Menteri mengenai pekeliling itu apabila beliau mendapat tahu berlaku pelanggaran pekeliling  semasa beliau menerajui pentadbiran negara. (Lihat salinan surat berkenaan di bawah ini). 

 Jelas sekali Nazri tidak melakukan kesalahan tetapi yang menjadi tanda tanya dan perdebatan ialah apa yang dikatakannya setelah pelantikan anaknya itu heboh diperkatakan terutama dalam media sosial. Ini yang dipersoalkan, bukan pelantikan yang dibuat.
Nazri seharusnys bijak menangani persoalan itu, tetapi ia tidak dilakukannya. Sekiranya beliau lebih berhati-hati sudah tentu perkara ini tidak menjadi lebih heboh dan panas.

Jawaban dan tangkisan oleh Nazri bukan mendinginkan  keadaan tetapi bak kata orang 'mencurah minyak' yang membuatkan api lebih marak. Inilah kesilapan Nazri, walaupun dia sering menyatakan yang dia seorang yang bijak dan terpelajar. 

Satu perkara lagi yang tidak seharusnya dilakukan oleh Nazri ialah meletakkan atau menyenaraikan nama anaknya itu dalam senarai pegawai pejabat menteri. Ini tidak betul kerana anak Nazri, seperti yang didakwa olehnya, bukan kakitangan kerajaan atau dibayar gaji oleh kerajaan. Oleh itu, nama anaknya tidak boleh disenaraikan sebagai kakitangan pejabat menteri.  Oleh itu, tidak salah bagi  orang ramai  mempersoalkannya.  Nazri tidak boleh melenting kerana di situ dia melakukan kesilapan.







Saturday, August 03, 2013

Alfatihah: Mantan Hakim Mahkamah Agung (sekarang Mahkamah Persekutuan) Tan Sri Syed Agil Barakhbah pulang ke Rahmatullah



Mantan Hakim Mahkamah Agung (sekarang Mahkamah Persekutuan) Tan Sri Syed Agil bin Syed Hassan Barakhbah telah pulang ke Rahmatullah kira-kira pukul 7.30 petang tadi di Alor Star, Kedah.


Monday, July 22, 2013

Apa dah jadi dengan Pusat Kebudayaan di Kampung Baru, Kuala Lumpur?

Orang sering memperkatakan mengenai pembangunan Kampung Baru, Kuala Lumpur. Sebuah perbadanan ditubuh untuk tujuan itu tetapi kita belum dapat melihat sebarang kemajuan. Kita sedar banyak masalah perlu ditangani terutama soal pemilikan tanah yang dilaporkan ada yang tersenarai sehingga berpuluh nama sebagai 'tuan punya'.

Buat seketika, kita lupakan soal pembangunan menyeluruh Kampung Baru tetapi menumpukan kepada persoalan apa sudah jadi dengan pembangunan sebuah pusat kebudayaan dan kesenian  bernilai kira-kira RM40 juta di tapak bekas pasar malam Jalan Raja Muda Musa?

Mungkin Teuku Adnan Teuku Mansor yang kini Menteri Wilayah Persekutuan ada jawabannya kerana dia sendiri hadir apabila  Perdana Menteri (ketika itu) Tun Abdullah Ahmad  membuat pengumuman mengenai pembangunan tersebut. Ku Nan ketika itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Menurut laporan media, selepas lawatannya pada 4 Januari 2004, Abdullah menyatakan bahawa Kompleks Pusat Kebudayaan dan Makanan Antarabangsa itu akan dibina sebaik siasatan mengenai punca kebakaran yang berlaku pada Januari 2004 itu selesai.  Kebakaran itu membabitkan 35 unit rumah kedai yang didiami 38 keluarga.

Abdullah juga berkata kompleks berkenaan akan dijadikan sebagai contoh kepada projek pembangunan menyeluruh yang dirancangkan oleh Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) untuk Kampung Baru.

Kompleks yang dicadangkan itu diberitakan akan menempatkan sebuah muzium mini, kompleks membeli-belah dan pusat kebudayaan makanan yang akan dimanfaatkan oleh lebih 100 kedutaan asing yang terdapat di Kuala Lumpur.

Rancangan DBKL itu memang hebat tetapi kita ingin tahu apa sudah jadi dengan apa yang dijanjikan itu? 

   

     

Friday, July 12, 2013

BERNAMA TV - Kenapa Pak Menteri nak tutup?

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Ahmad Shabery Cheek awal-awal lagi dah beri amaran nak tutup BERNAMA TV jika stesen berita 24 jam itu tidak memperbaiki mutu perkhidmatannya. Saya tidak begitu faham apa yang dimaksudkan Pak Menteri kerana amarannya itu kurang jelas. 

Saya setuju mutu perkhidmtan BERNAMA TV perlu dipertingkatkan tetapi ia memerlukan modal dan sokongan. Bukan sahaja BERNAMA TV yang perlu berbuat demikian tetapi hampir semua stesen TV di negara ini.

BERNAMA TV yang kini kembali ke pangkuan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) ekoran arahan  mantan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Dr Rais Yatim, perlu mempelajari selok-belok sebuah stesen berita bukan mencontohi stesen-stesen umum seperti RTM mahupun yang dikuasai Media Prima.  Ini yang sedang berlaku.

BERNAMA TV melalui banyak ranjau dan onak semasa stesen badan berkanun itu dipimpin oleh orang seperti Anuar Zaini, Syed Jamil dan Azman Ujang. Bak kata orang, lain padang lain belalang.

Semasa Anuar Zaini 'berkuasa', BERNAMA TV terpaksa membuat liputan secara langsung istiadat penganugerahan darjah bintang kebesaran dan pingat peringkat negeri, sesuatu yang stesen 'gergasi' seperti RTM dan TV3 tidak lakukan. Saya tidak nampak nilai berita dalam membuat siaran langsung seperti itu sebaliknya ia menelan belanja yang besar. Kenapa BERNAMA TV diarah berbuat demikian, hanya orang yang mengarahkannya ada jawabannya. Mungkin wujud kepentingan tertentu.

Selain itu, BERNAMA TV tidak terlepas daripada menerima arahan demi arahan pihak tertentu termasuk yang berkepentingan politik sehingga khalayak melihat stesen berita itu tidak ubah sebagai sebuah lagi alat propaganda kerajaan.

Ahmad Shabery, politikus yang menimba pengalaman dan ilmu politik daripada mantan 'bosnya' Tengku Razaleigh Hamzah, sepatutnya bersikap lebih rasional dan saksama terhadap BERNAMA TV bukan memberi amaran yang memeranjatkan sebilangan besar hampir 200 petugas stesen berita itu.  

Beliau tidak boleh melihat perjalanan atau penyiaran berita oleh BERNAMA TV sama seperti yang dihidangkan oleh RTM mahupun TV3 dan stesen-stesen 'saudaranya" di bawah Media Prima.

BERNAMA TV sepatutnya mencontohi stesen-stesen berita tv yang jauh lebih ke hadapan termasuk CNA Singapura, bukan cuba bersaing dengan stesen-stesen tempatan, tetapi mendahului mereka dari sudut liputan berita yang seimbang, tepat dan adil dengan tidak terlampau memihak kepada kerajaan seperti yang berlaku sekarang. Biarkan peranan tersebut dimain oleh RTM dan Media Prima.

Sejak penubuhannya, BERANMA TV gagal muncul sebagai stesen berita serantu dan jauh sekali bertaraf benua. Dalam hubungan ini CNA Singapura lebih dahulu muncul sebagai sebuah stesen berita tv bertaraf antarabangsa. 

Untuk menuju ke arah serantau, buat permulaan peringkat ASEAN,  BERNAMA TV mesti meningkat dan memperbaiki mutu siaran berita dalam bahasa Inggeris. Ini yang mesti dilakukan.

BERNAMA TV juga mesti menambah rancangan bercorak majalah dalam bahasa Inggeris yang boleh meningkatkan pengetahun khalayak mengenai Malaysia dari sudut budaya, warisan sejarah, tarikan pelancongan dan adat resam rakyat berbilang kaum. 

Inilah yang sepatutnya menjadi perhatian dan tumpuan Ahmad Shabery Cheek untuk meningkatkan pencapaian BERNAMA TV, bukan memberi amaran untuk menutup stesen itu. Mungkin itu hanya satu 'sergahan' untuk membangkitkan kepimpinan BERNAMA TV daripada ruang selesa dan bukan amaran yang serius. Walau apapun, Ahmad Shabery mesti bersikap pro-aktif terhadap BERNAMA TV agar stesen itu muncul sebagai stesen berita tv hebat bukan sahaja dalam negara tetapi menjangkaui sempadan serantau.

Satu perkara lagi yang mesti diambil kira oleh pengurusan Bernama ialah memastikan pengendali rancangan atau hos kena pada tempatnya. Saya dapati ia agak lemah dan perlu diatasi.
   






Monday, July 08, 2013

MENARA UMNO PULAU PINANG - MENIMBULKAN BANYAK TANDA TANYA



Setelah lama berehat, saya kembali menulis dan topik pertama yang menjadi pilihan ialah isu pemilikan Menara UMNO Pulau Pinang.

Banyak orang termasuk media memperkatakan mengenai tragedi yang menimpa dua orang akibat runtuhnya penebat kilat yang terletak di atas Menara UMNO di Jalan Macalister, George Town. Akibat tragedi itu, ramai yang terperanjat mengetahui bahawa Menara UMNO bukan milik UMNO dan parti itu hanya menyewa dua lantai atau tingkat di menara 21 tingkat itu.

Bagi saya, bangunan UMNO asal  meninggal banyak kenangan dan pengalaman terutama berkaitan sukan badminton. Di dalam Dewan UMNOlah terdapat satu-satunya gelanggang tertutup badminton milik Melayu yang menjadi "tuan rumah" bukan sahaja kepada Persatuan Badminton Melayu tetapi beberapa pasukan badminton untuk berlatih dan menganjur kejohanan.

Di situ juga terdapat sebuah kedai "borong" milik Pernas Edar yang bertujuan membantu peniaga atau peruncit Melayu mendapat bekalan selain menempatkan dewan mesyuarat dan pejabat UMNO. Kali terakhir saya bermain badminton di Dewan UMNO sekitar tahun 60-an apabila menyertai kejohanan anjuran Persatuan Badminton Melayu (kategori bawah umur 18 tahun).

Bangunan asal telah diroboh dan digantikan dengan Menara UMNO. Yang menjadi tanda tanya ialah kenapa pemilikan Menara UMNO bukan milik parti itu sedangkan bangunan asal yang dikenali sebagai Rumah UMNO atau Dewan UMNO adalah milik parti Melayu itu 100 peratus. Apa yang berlaku sehingga parti itu "hilang" pemilikan ke atas Menara UMNO?

Sesungguhnya berita mengenai bencana itu menimbulkan pertanyaan mengenai bangunan setinggi 21 tingkat itu.

Siapa sebenarnya pemilik bangunan yang dibina atas tanah wakaf yang diamanahkan kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang selaku pentadbir. Apa hubungan antara pemilik bangunan dengan tanah wakaf dan sama ada pembinaan bangunan itu mengikut syarat dan hukum-hakam yang berkaitan dengan harta  wakaf umat Islam.

Pewakif yang mewakafkan tanah seluas setengah ekar itu tentu mempunyai niat tertentu apabila mewakafkan tanahnya itu. Pusara atau kubur pewakif dan beberapa kubur lain yang dipercayai keluarganya, masih terdapat di situ. 

Apa peranan atau tanggungjawab Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang apabila membenarkan pembinan di atas tanah wakaf itu? Persoalan ini pun memerlukan jawaban.

UMNO Perhubungan Negeri Pulau Pinang pula mesti memberi penjelasan kenapa bangunan asal milik parti itu  diroboh dan digantikan dengan bangunan 21 tingkat yang akhirnya tidak menjadi milik UMNO.

Setahu saya, bangunan asal UMNO itu dibangunkan hasil kutipan derma dan usaha sebuah jawatankuasa UMNO Bahagian Pulau Pinang. Jawatankuasa Pungutan Derma untuk membina Rumah UMNO dipengerusikan oleh Kapten (VF) Mohamed Noor dengan  Tan Sri Syed Abbas Alhabshee selaku setiausaha dan Tan Sri Ismail Hashim selaku bendahari (kemudian diganti oleh Osman Ismail). Jawatankuasa itu ditubuhkan tidak lama selepas Merdeka.

Antara usaha yang dilakukan oleh Jawatankuasa itu ialah penjualan tiket cabutan bertuah  khusus untuk mengumpul dana selain menyertai penganjuran "pesta" di "New World Park" yang mirip Pesta Pulau Pinang sekarang.  Penjualan tiket berkenaan  mendapat sambutan ekoran daripada tarikan hadiah utamanya, iaitu sebuah kereta Austin A-40 selain hadiah motosikal dan barangan kemas. 

Pengerusi dan setiausaha Jawatankuasa berkenaan tidak kenal penat dan lelah untuk turun padang dengan mengunjungi setiap cawangan di bahagian Pulau Pinang untuk menjual tiket cabutan bertuah. Begitulah usaha mereka untuk mendapat dana bagi membina bangunan UMNO.

Jawatankuasa itu berjaya memperolehi keuntungan sebanyak RM38,000.00 dan wang itulah yang dijadikan modal membina bangunan UMNO di Jalan Macalister. Bangunan itu adalah milik UMNO sepenuhnya.

Saya kurang pasti bagaimana UMNO Bahagian Pulau Pinang boleh mendirikan bangunan di atas tanah wakaf seluas setengah ekar itu.  Pihak Lembaga Wakaf, Majlis Agama Islam Pulau Pinang, yang turut menyewa ruang pejabat di Menara UMNO,  perlu memberi penjelasan mengenai perkara ini. 

Menara UMNO yang ada sekarang direka bentuk oleh firma arkitek TR Hamzah and Yeang dan mula dibina pada tahun 1995 dan siap pada bulan Mac 1998. Pemaju dan pemilik  bangunan itu ialah South East Asia Development Corporation Berhad. (Apakah TR Hamzah merujuk kepada seorang tokoh veteran UMNO?) 

Saya tidak tahu sama ada UMNO menjual bangunan asal kepada syarikat berkenaan atau tidak kerana syarikat itu menjadi pemaju dan pemilik Menara UMNO. Jika berlaku sebarang urusan jual-beli, sudah tentu ada rekod dan buktinya. Mungkin Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh menyiasat persoalan ini.  

Pemilikan Menara UMNO kemudian berpindah milik kepada Amanah Capital Malaysia dan kemudian kepada JKP Sdn. Bhd.

Apa yang menarik perhatian saya ialah pengerusi JKP Sdn Bhd sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 lalu ialah Datuk Zainal Abidin Osman, iaitu Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang. Zainal meletak jawatan pada 15 April untuk bertanding selaku calon BN pada PRU-13 tetapi kalah, buat kali kedua selepas kalah pada PRU-12. 

Apa kaitan antara JKP Sdn  Bhd  dan UMNO? Ini yang menjadi tanda tanya.

Tragedi Menara UMNO sebenarnya membuka mata mengenai beberapa persoalan termasuk pemilikannya, apa terjadi kepada harta UMNO Bahagian Pulau Pinang yang membina bangunan asal dan kedudukan tanah wakaf yang diatasnya terdiri bangunan 21 tingkat itu.