Friday, July 12, 2013

BERNAMA TV - Kenapa Pak Menteri nak tutup?

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Ahmad Shabery Cheek awal-awal lagi dah beri amaran nak tutup BERNAMA TV jika stesen berita 24 jam itu tidak memperbaiki mutu perkhidmatannya. Saya tidak begitu faham apa yang dimaksudkan Pak Menteri kerana amarannya itu kurang jelas. 

Saya setuju mutu perkhidmtan BERNAMA TV perlu dipertingkatkan tetapi ia memerlukan modal dan sokongan. Bukan sahaja BERNAMA TV yang perlu berbuat demikian tetapi hampir semua stesen TV di negara ini.

BERNAMA TV yang kini kembali ke pangkuan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) ekoran arahan  mantan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Dr Rais Yatim, perlu mempelajari selok-belok sebuah stesen berita bukan mencontohi stesen-stesen umum seperti RTM mahupun yang dikuasai Media Prima.  Ini yang sedang berlaku.

BERNAMA TV melalui banyak ranjau dan onak semasa stesen badan berkanun itu dipimpin oleh orang seperti Anuar Zaini, Syed Jamil dan Azman Ujang. Bak kata orang, lain padang lain belalang.

Semasa Anuar Zaini 'berkuasa', BERNAMA TV terpaksa membuat liputan secara langsung istiadat penganugerahan darjah bintang kebesaran dan pingat peringkat negeri, sesuatu yang stesen 'gergasi' seperti RTM dan TV3 tidak lakukan. Saya tidak nampak nilai berita dalam membuat siaran langsung seperti itu sebaliknya ia menelan belanja yang besar. Kenapa BERNAMA TV diarah berbuat demikian, hanya orang yang mengarahkannya ada jawabannya. Mungkin wujud kepentingan tertentu.

Selain itu, BERNAMA TV tidak terlepas daripada menerima arahan demi arahan pihak tertentu termasuk yang berkepentingan politik sehingga khalayak melihat stesen berita itu tidak ubah sebagai sebuah lagi alat propaganda kerajaan.

Ahmad Shabery, politikus yang menimba pengalaman dan ilmu politik daripada mantan 'bosnya' Tengku Razaleigh Hamzah, sepatutnya bersikap lebih rasional dan saksama terhadap BERNAMA TV bukan memberi amaran yang memeranjatkan sebilangan besar hampir 200 petugas stesen berita itu.  

Beliau tidak boleh melihat perjalanan atau penyiaran berita oleh BERNAMA TV sama seperti yang dihidangkan oleh RTM mahupun TV3 dan stesen-stesen 'saudaranya" di bawah Media Prima.

BERNAMA TV sepatutnya mencontohi stesen-stesen berita tv yang jauh lebih ke hadapan termasuk CNA Singapura, bukan cuba bersaing dengan stesen-stesen tempatan, tetapi mendahului mereka dari sudut liputan berita yang seimbang, tepat dan adil dengan tidak terlampau memihak kepada kerajaan seperti yang berlaku sekarang. Biarkan peranan tersebut dimain oleh RTM dan Media Prima.

Sejak penubuhannya, BERANMA TV gagal muncul sebagai stesen berita serantu dan jauh sekali bertaraf benua. Dalam hubungan ini CNA Singapura lebih dahulu muncul sebagai sebuah stesen berita tv bertaraf antarabangsa. 

Untuk menuju ke arah serantau, buat permulaan peringkat ASEAN,  BERNAMA TV mesti meningkat dan memperbaiki mutu siaran berita dalam bahasa Inggeris. Ini yang mesti dilakukan.

BERNAMA TV juga mesti menambah rancangan bercorak majalah dalam bahasa Inggeris yang boleh meningkatkan pengetahun khalayak mengenai Malaysia dari sudut budaya, warisan sejarah, tarikan pelancongan dan adat resam rakyat berbilang kaum. 

Inilah yang sepatutnya menjadi perhatian dan tumpuan Ahmad Shabery Cheek untuk meningkatkan pencapaian BERNAMA TV, bukan memberi amaran untuk menutup stesen itu. Mungkin itu hanya satu 'sergahan' untuk membangkitkan kepimpinan BERNAMA TV daripada ruang selesa dan bukan amaran yang serius. Walau apapun, Ahmad Shabery mesti bersikap pro-aktif terhadap BERNAMA TV agar stesen itu muncul sebagai stesen berita tv hebat bukan sahaja dalam negara tetapi menjangkaui sempadan serantau.

Satu perkara lagi yang mesti diambil kira oleh pengurusan Bernama ialah memastikan pengendali rancangan atau hos kena pada tempatnya. Saya dapati ia agak lemah dan perlu diatasi.
   






9 comments:

Anonymous said...

kalau berita yg berat sebelah, undemocratic dan mengampu, lebih baik tutup

Anonymous said...

Pak Tuan Syed,

Well said !

MSF

Anonymous said...

Paktuan,
Saya sokong hujah tuan itu.BERNAMA TV,sebagai sebahagian daripada BERNAMA,iaitu pertubuhan berita yang mewakili negara sepatutnya berperanan mewakili MALAYSIA di rantau ini maupun antarabangsa.Justeru, wajarlah berjiwa besar dan bukannya masih terkial-kial di kalangan 'jaguh kampung'.
Sebagai permulaan, saya mohon paktuan cabar BERNAMA keluarkan dokumentari bermutu tentang keunikan Malaysia dan rakyatnya seperti 'Discovery Channel' atau 'National Geographic' (buat yang itu dulu).Saya kira, itu saja pun boleh mengangkat maruah, darjat dan hasil-pulangan (ROV & ROI) kepada BERNAMA. Kenapa masih 'struggle fighting fire everyday'?.Malah, pengurusan BERNAMA harus berani mencabar menteri melabur dan seterusnya,boleh buktikan kejayaan di dalam projek sebegini - sebelum mau ditutup.Apa kata paktuan?


Unknown said...

Terima kasih atas ulasan saudara.

Masalahnya, jika ia boleh dikatakan masalah, ialah beranikah pengurusan Bernama - terutama Pengurus Besar dan Ketua Pengarang - berbuat demikian? Saya berani kata "tidak".

Tabiat atau perangai "jaga jawatan" yang menjadi amalan di Malaysia, khususnya di pihak kerajaan termasuk badan-badan berkanun dan GLC, membuatkan mereka 'tidak berani" melawan arus walaupun ianya demi kebaikan pertubuhan. Itulah hakikatnya.

Anonymous said...

Paktuan,
Can't argue less with your statement.I rest my case.

May God bless you.

Anonymous said...

Paktuan

Menteri pun kalau nak buat program dengan Bernama TV dapat slot free saja. Beranikah GM minta bayaran. Itulah kekuatan yang tidak ada di Bernama.

Anonymous said...

Cari seorang grand inquisitor dan letaak di BERNAMA TV.

Anonymous said...

Saya sbg salah seorang staff Bernama TV sgt2 terkejut bila Datuk Yoong dan Datuk Zul sampaikan 'amanat' drpd Menteri Komunikasi dan Multimedia yg baru Julai lepas. Beliau sepatutnya datang melawat dan tinjau keadaan sebenar yang dihadapi pekerja Bernama TV. Bukan hanya dengar apa org ckp dan terus buat keputusan secara melulu.Sistem pengurusan di Bernama TV sendiri perlu dinaik taraf dan dipertingkatkan lagi, sama seperti penaiktarafan atau pembaharuan yang dilakukan ke atas RTM.Mungkin blh dikatakan wujud unsur 'bias' di situ.Terdapat pelbagai lagi kepincangan yang berlaku di Stesen TV tersebut.Pening....

Anonymous said...

Assalamualaikum

Pohon pihak Tuan menyiasat dan mendedahkan juga tentang sebuah anak syarikat milik penuh Bernama yang juga mengalami masalah pengurusan. Sudah 10 tahun anak syarikat ini wujud, nampak macam tidak ada hala tuju hinggakan nak buat pelarasan gaji untuk pekerja pun terpaksa memintah ehsan Bernama itu pun selepas 10 tahun.

Amalan dalam mana-mana syarikat swasta, sekiranya CEO gagal mengendalikan syarikat, beliau boleh diarahkan meletak jawatan oleh BOD. Segala salah laku jika ada disiasat dan dibawa ke mahkamah. Lihat sendiri Sime Darby dan CEO Datuk Ahmad Zuber Murshid. Kenapa Bernama sendiri tak ambil tindakan yang serupa?

Misteri di sebalik kewujudan anak syarikat ini masih tidak dapat dirungkaikan. Begitu juga objektifnya. Yang kasihannya ialah nasib para pekerjanya. Bernama pun tak pandang, CEO sendiri tak kenal pekerjanya. Pengurusan atasan bermewah dengan kereta besar2. Staff sendiri terlalu berkira.