Tuesday, October 14, 2008

Alahai Datuk Shahrukh Khan

Penganugerahan gelaran Datuk oleh Kerajaan Negeri Melaka, lebih tepat oleh Ketua Menteri Mohamad Ali Rustam, ke atas pelakon Hindi, Sharukh Khan, sewajarnya membangkitkan rasa kurang senang di kalangan segelintir rakyat terutama mereka yang berada dalam industri hiburan khususnya perfileman.

Melaka memang terkenal dengan penganugerahan datuk kepada golongan politik tetapi apabila ia menganugerahkan bintang kebesaran itu kepada seorang pelakon dari India, tak kiralah sama ada dia popular atau tidak, ianya menimbulkan banyak tanda tanya.

Orang filem kurang senang kerana seolah-olah mereka tidak memberi sumbangan langsung kepada usaha memperkenalkan negeri Melaka dalam babak-babak filem atau drama yang diterbitkan.

Sebenarnya, penganugerahan darjah kebesaran, bintang dan pingat disambut baik oleh rakyat dan kakitangan awam sekiranya ia dibuat berdasarkan sumbangan dan khidmat bakti seseorang itu kepada sesebuah negeri ataupun negara. Ia dilihat sebagai satu penghormatan dan bukan satu ganjaran atau membalas budi mahupun sokongan politik kepada ketua kerajaan (ketua menteri atau menteri besar).

Sejak beberapa tahun lalu, isu penganugerahan gelaran datuk hangat diperkatakan kerana hampir semua negeri mengeluarkan senarai yang panjang lebar sehingga terkeluar kata-kata sinis jika membaling batu di satu-satu perjumpaan, ia pasti akan menimpa kepala seorang datuk.

Satu ketika dahulu, gelaran datuk hanya diberikan kepada mereka yang berumur 45 tahun ke atas. Rasionalnya, jika seseorang itu sudah berumur 45 tahun, dia pasti telah berkhidmat atau menabur jasa dan bakti kepada sesebuah negeri sekurang-kurangnya selama 20 tahun. Ianya bertujuan untuk mempastikan bahawa mereka yang benar-benar layak sahaja diberi pertimbangan untuk gelaran datuk.

Setiap negeri pula akan mempertimbangkan gelaran datuk kepada rakyat atau pemastautin yang benar-benar menabur bakti dan jasa kepada negeri berkenaan termasuk dalam bidang kebajikan dan khidmat masyarakat secara sukarela.

Tetapi, amalan seperti itu tidak lagi menjadi pertimbangan. Orang politik yang tidak menabur bakti kepada sesebuah negeri, umpamanya Melaka, Sabah atau Pulau Pinang, diberi penghormatan itu semata-mata atas kepentingan politik. Adalah sesuatu yang bukan luar biasa apabila seseorang ahli politik menerima penganugerahan datuk dari lebih daripada sebuah negeri.

Amalan sedemikian juga memperlihatkan mereka yang berumur 35 tahun dan ke bawah, terutama yang menceburi dunia perniagaan, dan ada yang tidak faseh becakap dalam Bahasa Melayu, mendapat penganugerahan datuk.

Apa yang berlaku dalam penganugerahan darjah kebesaran telah mencalarkan kemurniaan darjah kebesaran itu sendiri dan orang ramai tidak lagi menghormati atau memandang tinggi mereka yang bergelar datuk dan gelaran-gelaran tambahan seperti datuk diraja, datuk seri panglima, datu seri, datuk wira atau datuk pahlawan.


Teringat kita akan lagu ...."ala-ala latuk, ala-ala latuk...

Thursday, October 09, 2008

Majlis Silatulrahim PEMENANG


Saya tidak akan melepas peluang untuk menghadiri majlis-majlis anjuran Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG) sekiranya berpeluang dan berkesempatan berbuat demikian. Bagi saya, setiap majlis anjuran PEMENANG ada keistimewaan tersendiri.

Pada hari Rabu, 8 Oktober, saya dan isteri sekali lagi ke Pulau Pinang untuk menghadiri Majlis Makan Malam Silatulrahim sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri anjuran PEMENANG di sebuah hotel bertaraf lima bintang di Persiaran Gurney (Kelawai), Pulau Pinang. Kami menaiki bas dari stesen KTM Kuala Lumpur ke Sungai Nibong, Pulau Pinang kerana lebih murah berbanding memandu kereta dari KL ke Pulau Pinang.




Hotel dimana majlis itu diadakan hanyalah sepelaung, kata orang suatu ketika dahulu, dari rumah kami di Jalan Burma.

Dewan besar hotel berkenaan penuh dan yang cukup menarik perhatian saya ialah kehadiran wakil semua kaum yang bermastautin di Pulau Pinang. Inilah sesuatu yang unik pada majlis anjuran PEMENANG.

Ini diakui oleh Presiden PEMENANG, Dato' Seri Haji Mohamad Yussof Latiff bahawa istimewanya majlis pada tahun ini adalah kehadiran wakil-wakil dari persatuan-persatuan etnik/kaum di negeri Pulau Pinang yang dijemput khas.

Kehadiran wakil-wakil orang Sikh, Serani (Eurasian), India dan Cina serta rumah-rumah anak yatim Islam, Hindu dan Kristian (Salvation Army) menandakan semangat muhibbah di kalangan masyarakat majmuk Pulau Pinang.



Saya juga tertarik dengan kata-kata yang terkandung dalam perutusan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tetapi agak terkilan kerana beliau tidak dapat menghadiri majlis itu dan mewakilkan Timbalan Ketua Menteri (1) Mohammad Fairus Khairudin.

Antara lain, Guan Eng berkata perpaduan yang tulen tidak hanya terbatas kepada satu-satu kaum tetapi secara menyeluruh.

"Seperti mana yang saya faham, ini turut bersesuaian dengan makna Islam sebagai agama yang Syumul atau universal. Ad-Din atau cara hidup Islam itu adalah menyeluruh yang mencakupi semua aspek kehidupan manusia sama ada ekonomi, politik mahupun sosial. Ianya tidak bersifat perkauman kerana Ad-Din adalah berteraskan sistem keadilan tanpa mengira kaum dan agama. Sememangnya, saya amat menghormatinya dan berharap ianya akan menjadi teras atau tapak kepada usaha merapatkan silatulrahim antara kaum di negara ini," tegas Guan Eng.

Apa yang diperkatakan oleh Gun Eng adalah sesuatu yang cukup bermakna dan seingat saya, belum pernah disuarakan oleh mana-mana pemimpin MCA, MIC mahupun Gerakan.

Sesungguhnya, Majlis anjuran PEMENANG ini merupakan majlis sambutan dan perayaan semua kaum dan semua lapisan masyarakat Pulau Pinang.


Kepada teraju kepimpinan PEMENANG terutama presidennya, Dato' Seri Yussof Latiff, timbalannya Dato' Haji Azmi Merican, naib-naib presiden Dato' Abdul Rashid Ismail, Haji Abdul Karim Khan, Hajjah Azizah Dato' Daud dan setiausaha kehormat Haji Shaik Mohamed Shaik Abdul Kadir, saya rakamkan ucapan syabas dan tahniah atas daya usaha dan kejayaan menganjurkan majlis yang benar-benar memancarkan cahaya silatulrahim antara kaum yang ada di negeri Pulau Pinang.

Wednesday, October 08, 2008

Akhirnya Pak Lah lakukan sesuatu yang betul

Akhirnya PM Abdullah bin Ahmad (Pak Lah) melakukan sesuatu yang betul apabila membuat keputusan untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti yang ditunda daripada Disember 2008 kepada Mac 2009.

Ini bermakna jawatan presiden UMNO dikosongkan dan terpulanglah kepada bahagian-bahagian parti itu untuk mencalonkan sesiapa sahaja yang difikir layak, berwibawa, beramanah dan bertanggungjawab untuk memimpin UMNO.

Ianya tidak semestinya Najib Abdul Razak walaupun dia dan Pak Lah membuat perjanjian lisan berkaitan peralihan kuasa yang jelas tidak terkandung dalam mana-mana peruntukan dalam Perlembagaan UMNO.

Sesiapa sahaja yang memperolehi jumlah pencalonan yang mencukupi boleh bertanding dan menurut sumber-sumber yang boleh dipercayai, antara calon yang berminat selain Tengku Razaleigh Hamzah ialah Muhyiddin Yassin.

Sementara itu, perebutan untuk jawatan timbalan presiden boleh dikatakan terbuka luas dan ramai yang berminat. Persoalannya, mampukah mereka yang berminat itu mendapat pencalonan yang mencukupi untuk bertanding.

Dengar khabar, wang sudahpun mengalir dan khidmat pawang dan bomoh juga sedang dicari.

Tuesday, September 30, 2008

Takbir Aidilfitri




Setiap tahun, umat Islam di Kampung Syed, Kelawai, George Town, Pulau Pinang tidak ketinggalan mengadakan acara takbir raya (Aidilfitri) dari rumah ke rumah pada malam raya. Upacara itu bukan sahaja menghidupkan suasana menyambut kedatangan Syawal keesokan harinya, tetapi mempertemukan sanak saudara dan jiran tetangga yang pulang ke kampung terutama dari Lembah Klang dan negeri-negeri lain di Semenanjung untuk bersama kaum keluarga.

Di setiap rumah yang dikunjungi, doa kesyukuran dilafazkan selepas tamat bertakbir. Tuan rumah lazimnya menyediakan jamuan ringan tanda kesyukuran atas kejayaan menyempurnakan ibadah puasa dan menyambut Aidilfitri.





Beberapa kawasan di Pulau Pinang hadapi banjir sempena Aidilfiri






Beberapa kawasan rendah di bahagian pulau Pulau Pinang kini menghadapi banjir berikutan hujan yang turun tanpa henti sejak petang Isnin. Kawasan sekitar perkampungan Caunterhall dan Jalan Perak sudahpun dinaiki air manakala sebahagian Jalan P Ramlee ditutup kepada kenderaan ringan.


Sejak memijak semula bumi Pulau Pinang dua hari lalu, saya khuatir sesetengah masyarakat Islam di bahagian pulau akan berhadapan dengan masalah banjir pada Hari Raya ini. Hujan masih membasahi bumi.

Penduduk di kawasan-kawasan yang sering dilanda banjir seperti Caunterhall, Kampung Rawana dan sekitar perkampungan Sungai Pinang berkemungkinan akan berhari raya dalam keadan banjir.
Sama-samalah kita berdoa agar banjir tidak akan bertambah buruk dan menjejaskan penghidupan seharian para penduduk di kawasan-kawasan brknaan.

Masyarakat Cina menyambut "Nine Emperor Gods"

Selain umat Islam menanti ketibaan Aidilfitri Rabu ini, masyarakat Cina Pulau Pinang sedang menyambut perayaan "Nine Emperor Gods". Beberapa batang jalan yang berdekatan tokong-tokong Cina agak sesak dipenuhi gerai-gerai yang menjual makanan berasaskan sayur-sayuran.

Seperti biasa, jalan-jalan utama di bahagian pulau agak sesak terutama pada sebelah petang. Pihak berkuasa tempatan, iaitu Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) perlu menyegerakan pengubahan beberapa laluan daripada dua hala kepada sehala untuk mengatasi masalah aliran lalulintas.

Jalan Burma, bermula dari simpang Jalan Pangkor hingga ke simpang Jalan Bagan Jermal-Jalan Gottlieb perlu dijadikan laluan sehala, begitu juga dengan Jalan Kelawai dari simpang Jalan Pangkor-Persiaran Gurney hingga ke Jalan bagan Jermal.

Jalan-jalan yang menghubung Jalan Burma dengan Jalan Kelawai juga perlu dijadikan laluan sehala seperti Jalan Edgecumbe, Jalan Jones, Lorong Bangkok, Lorong Leandros dan Lorong Maktab.



Monday, September 29, 2008

Favourite karaoke songs .....



Received the following from a friend via SMS (with slight changes).

2008 favourite Karaoke songs of:-

Tun Dr Mahathir Mohamad: "My Way" ;
Najib Tun Razak: "Your cheating heart." ;
IGP (Police Chief): "I'll be watching you" ;
Anwar Ibrahim: "Winds of change" ;
Saiful Buhari: "I swear"
and Syed Hamid Albar: "What kind of fool am I."
I pray that the authorities will not put me behind bars for the above "crime". My favourite song is "Jail House Rock".
Some one alerted me that Pak Lah's favourite song is "Dream, Dream, Dream."

Sokongan terbuka untuk gandingan Najib-Muhyiddin

Dua orang pemimpin UMNO Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah memberi sokongan terbuka kepada Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak dan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin untuk merebut jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung parti Mac depan.

Pengumuman untuk mencalonkan Najib dan Muhyiddin dibuat oleh ketua UMNO Bahagian Cheras Dauk Wira Syed Ali Alhabshee dan ketua UMNO Bahagian Titiwangsa Datuk Dr Sulaiman Mohamad.

Yang menariknya, pengumuman itu dibuat di hadapan Muhyiddin pada majlis berbuka puasa anjuran UMNO Cheras malam Ahad.

Pengumuman sokongan secara terbuka oleh dua orang pemimpin bahagian UMNO itu memberi isyarat yang cukup jelas tentang kehendak dan pendirian akar umbi UMNO yang menolak kepimpinan Datuk Seri Abdullah bin Ahmad (Pak Lah).

Selepas Mac tahun depan, Pak Lah akan mempunyai masa yang lebih daripada mencukupi untuk mencari apa yang sedang dicarinya termasuk Al-Ghazali dan As-Syafie dan memperjuangkan konsep "Hadhari", itupun sekiranya ia masih mendapat sokongan.