Thursday, December 28, 2006

Bagi Pak Lah cuti lebih penting dpd kebajikan rakyat

Sedih, cukup sedih melihat tindak-tanduk pemimpin yang kononnya mesra rakyat dan selalu mengambil berat mengenai masalah rakyat.

Macam mana tak sedih.... Perdana Menteri Abdullah Ahmad (Badawi) bermain sandiwara di khalayak ramai dan dipancarkan oleh semua stesen tv dan disiarkan oleh semua akhbar.

Kononnya Pak Lah membatalkan cutinya dan bergegas pulang untuk meninjau nasib rakyat yang dilanda banjir besar di Johor dan Melaka, khususnya. Pak Lah digambarkan sebagai seorang yang benar-benar mengambil berat tentang untung nasib rakyat jelata.

Tetapi, ke mana Pak Lah selepas "lakonannya" itu tersebar luas? Kenapa Pak Lah tidak hadir pada majlis rumah terbuka Malaysia sempena Krismas di Pusat Dagangan Dunia Putra yang dihadiri oleh Agong?

Rupa-rupanya Pak Lah sedang bercuti di Perth, Australia. Masya Allah.

Pak Lah berlepas dengan menaiki pesawat VIP Global Express yang dikendalikan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia.

Nampaknya Pak Lah memilih untuk berehat dan beriadah di Perth sedangkan hampir 70,000 rakyat Malaysia hidup dalam serba kekurangan di pusat-pusat pemindahan banjir dengan tidur beralaskan tikar arau tilam nipis, makan dan minum ala kadar dan melalui urusan peribadi (untuk mandi-manda dan membersihkan diri serta ke tandas) dalam keadaan yang amat tidak selesa.

Di mana sifat insaniah? Ke mana pula perginya amanah sebagai pemimpin? Selaku pemimpin Pak Lah bertanggungjawab terhadap rakyat. Pak Lah tidak seharusnya ke luar negara untuk bercuti sedangkan sebilangan besar rakyat menderita akibat banjir.

Dalam tempoh tiga tahun menjadi PM saya dapati jumlah cuti yang diambil oleh Pak Lah telahpun mengatasi jumlah cuti yang diambil oleh mantan PM Tun Dr Mahathir Mohamad dalam tempoh 10 tahun.

Benar, Pak Lah berhak mengambil cuti tetapi bukan semasa rakyat dan negara menghadapi bencana seperti banjir. Pak Lah nampaknya tidak sensitif terhadap masalah rakyat. Macam mana rakyat nak kerja bersama-sama Pak Lah?

Wednesday, December 27, 2006

Isu Melayu Pulau Pinang di RTM

Saya agak kecewa kerana gagal menembusi talian telefon untuk mengemukakan pendapat kepada perbincangan secara langsung mengenai Melayu Pulau Pinang di RTM1 malam ini. Rancangan itu dipancarkan melalui slot "Bersama Menteri" walaupun dua orang tetamu yang diundang bukanlah menteri. Kedua-duanya sahabat lama saya iaitu Datuk Seri Mohd Yusof Latif, Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG) dan Datuk Jamelah Bakar, mantan wartawan Utusan Melayu yang kini bergelar usahawan dan penulis.

Tajuk perbincangan yang dipengerusikan oleh seorang lagi sahabat, Sabaruddin Ahmad Sabri, amat menarik dan agak terbuka. Banyak perkara dan persoalan telah dibangkit dan diulas oleh kedua-dua orang tokoh berkenaan.

Bagi saya, apa yang dikatakan sebagai masalah Melayu Pulau Pinang merupakan sesuatu yang begitu subjektif dan boleh diperdebatkan. Ianya bukan sesuatu yang baru tetapi sudah berlanjutan sejak zaman mendiang Tan Sri Wong Pow Nee menjadi ketua menteri. Setiausaha politik beliau ketika itu tidak lain Datuk Seri Yusof Latif sendiri. Oleh itu, beliau memang berpengalaman dan berpengetahuan untuk bercakap mengenai Melayu Pulau Pinang.

Saya tetap mempersalahkan kepimpinan politik Melayu Pulau Pinang bermula dari zaman almarhum Tan Sri Syed Hassan Aidid, almarhum Datuk Ahmad bin Abdullah Badawi, Datuk Seri Abdullah Badawi, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kembali kepada Datuk Seri Abdullah Badawi. Semuanya memimpin UMNO Pulau Pinang dan semua telah gagal dalam usaha membangunkan Melayu Pulau Pinang dari segi ekonomi dan sosial. Inilah satu hakikat yang walaupun pahit mesti ditelan.

Zaman kepimpinan Tan Sri Syed Hassan dan Datuk Ahmad Badawi, tidak banyak masalah politik kepartian seperti perebutan jawatan di peringkat bahagian dan perebutan projek-projek pembangunan berlaku kerana tiada banyak projek dan tidak berlaku rasuah politik secara berleluasa. Ini mengakibatkan kealpaan dan kewujudan satu sikap yang boleh dikatakan "tidak apa" terhadap isu orang Melayu.

Apabila Pak Lah mengambil alih kepimpinan UMNO Pulau Pinang, beberapa agensi yang kononnya untuk membantu orang Melayu telah diwujudkan tetapi masalahnya ia telah dipolitikkan oleh orang UMNO. Pada masa itu juga timbul tuduhan mengenai "orang Pak Lah" yang diberi keutamaan termasuk dalam pemilihan calon pilihan raya. Antara mereka yang mempunyai hubungan keluarga dengan Pak Lah dan diberi tempat adalah Mohd Subki Raof dan Mohamad Zain Haji Omar, kedua-duanya di kawasan Parlimen Balik Pulau.

Pemimpin politik lain yang dikatakan berada dalam kem Pak Lah juga mendapat tempat di beberapa bahagian UMNO seperti Abdul Rashid Ismail, Abdul Rahman Abbas, Mohd Nor Abu Bakar, Syed Mohamad Aidid, Shamsuri Haji Salleh, Ismail Hashim dan Mohd Shariff Omar serta kemudian Dr Hilmi Yahya.

Apabila jawatan Pak Lah diberikan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim setelah Pak Lah tersingkir dari Kabinet, maka mereka yang berada dalam kem Anwar pula mendapat tempat. Nama-nama seperti Dr Ibrahim Saad, Zaharin Mohd Hashim, Ahmad Ismail, Ahmad Ibni Hajar, Ahmad Saad, Ishak Ahmad, Latiff Mirasa dan Farid Ariffin mula gah dalam politik Melayu Pulau Pinang.

Sebenarnya, kem Pak Lah mempunyai agenda tersendiri dan begitu juga dengan kem Anwar Ibrahim. Maka bermulalah, sama ada secara langsung atau sebaliknya, perebutan untuk mengumpul kekayaan dan bermulalah pengagihan projek kepada kroni.

Dalam melaksanakan agenda masing-masing atas kepentingan politik, isu Melayu Pulau Pinang dijadikan sebagai modal politik dan modal perjuangan peribadi. Orang Melayu pada amnya masih di takok lama, masih hidup dalam keadaan yang serupa seperti pada zaman Syed Hassan Aidid dan Ahmad Badawi.

Iltizam politik yang dikatakan atas kepentingan Melayu Pulau Pinang sebenarnya iltizam untuk kepentingan peribadi atau puak dan untuk mereka yang menyokong atau memihak kepada kem tertentu.

Oleh itu, masalah Melayu Pulau Pinang akan terus diperkatakan, diperbahaskan dan diseminarkan serta dikonvensyenkan tanpa membuahkan hasil seperti yang diharapkan.

Sekarang, Pak Lah begitu beriya-iya dan bersemangat untuk mengubah nasib Melayu Pulau Pinang menerusi Rancangan Malaysia Ke-9 dan kononnya peruntukan sebanyak RM800 juta sedang menanti untuk direbut oleh orang Melayu Pulau Pinang. Pak Lah melantik panglima perangnya, Tan Sri Nor Mohamad Yakcop untuk memimpin dan mempastikan kejayaan dalam memerangi isu masalah Melayu Pulau Pinang.

Sebagai anak Pulau Pinang, saya begitu mengharapkan segala yang dirancang dapat dilaksanakan dengan jujur, ikhlas dan telus. Agihan projek dan kontrak hendaklah dibuat secara betul, iaitu kepada kontraktor tulen dan bukan kepada kontraktor berkaitan politik atau kontraktor Ali Baba atau membiarkan Kalimullah Masheerul Hassan dan Khairy Jamaluddin melakarkan strategi dan formula untuk mencapai kejayaan.

Jika ini dapat dibuat, saya percaya kejayaan boleh dicapai dan orang Melayu akhirnya akan dapat menikmati apa yang dijanjikan selama ini.

Barisan baru di Utusan

Saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada tiga orang rakan dan sahabat di Utusan Melayu yang diberi kepercayaan dan amanah oleh pihak pengurusan untuk sama-sama menerajui Utusan Malaysia.

Saudara Aziz Ishak dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarang menggantikan sahabat lama saya Hamzah Sidek (panglima) yang bersara manakala Othman Mohamad dilantik selaku Pengarang Utusan Malaysia dan Zaini Hassan selaku Penolong Pengarang.

Tahniah dan syabas atas perlantikan masing-masing. Semoga perlantikan ini akan memberi semangat dan kekuatan kepada ketiga-tiga mereka untuk terus memartabatkan Bahasa Melayu melalui Kumpulan Syarikat Utusan Melayu.

Thursday, December 21, 2006

Ahli Dewan Negara menurut kehendak Perlembagaan

Hari ini sidang Parlimen bagi penggal terakhir tahun ini tamat apabila Dewan Negara menamatkan persidangannya. Persidangan pertama untuk tahun depan dijadualkan pada bulan Mac dan akan dirasmikan oleh SPB Yang di-Pertuan Agong XIII Sultan Mizan.

Semua ahli Parlimen sedia maklum mengenai jadual atau takwim persidangan. Adalah diharapkan para menteri tidak lagi memberi alasan mempunyai tugasan yang ditetapkan terlebih dahulu semata-mata untuk ponteng sidang Dewan Rakyat. Tidak ada sebab kenapa para menteri tidak mahu hadir sedangkan mereka menganggotai Kabinet kerana menjadi Ahli Parlimen.

Bercakap mengenai Parlimen, saya ingin menyentuh perlantikan Ahli Dewan Negara yang dikenali sebagai Senator.

Sejak beberapa tahun lepas, kita dapati keanggotaan Dewan Negara menjadi seolah-olah hak orang politik sedangkan Perlembagaan tidakpun menyebut ianya dikhaskan untuk sama ada ketua bahagian Umno, ketua wanita bahagian Umno, ketua pemuda bahagian Umno, ketua puteri Umno, ketua bahagian MCA atau MIC atau parti-parti lain yang menganggotai Barisan Nasional dan seterusnya.

Jadi kenapa sang ketua bahagian Umno yang tidak dipilih bertanding dalam pilihan raya atau yang kawasan parlimennya di peruntukkan kepada parti komponen yang lain harus dilantik menjadi Senator? Adakah ini satu kemestian atau satu cara untuk membalas sokongan kepada pucuk pimpinan peringkat negeri atau pusat?

Perkara 45 Perlembagaan Persekutuan menyebut:-

(1) Tertakluk kepada Fasal (4), Dewan Negara hendaklah mengandungi ahli-ahli yang dipilih dan dilantik seperti berikut-

(a) dua orang ahli bagi tiap-tiap satu Negeri hendaklah dipilih mengikut Jadual Ketujuh; dan

(aa) dua orang ahli bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, seorang ahli bagi Wilayah Persekutuan Labuan dan seorang ahli bagi Wilayah Persekutuan Putrajaya hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong; dan

(b) empat puluh orang ahli hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

(2) Ahli-ahli yang akan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong ialah orang-orang yang pada pendapatnya telah berbuat jasa cemerlang dalam perkhidmatan awam atau telah mencapai kepujian dalam lapangan profesyen, perdagangan, perusahaan, pertanian, kegiatan kebudayaan atau perkhidmkatan masyarakat atau yang mewakili kaum-kaum yang kecil bilangannya atau yang mempunyai kebolehan mewakili kepentingan Orang Asli.

Amat jelas sekali kriteria yang disebut dalam Perlembagaan Persekutuan tidak menyebut sama sekali perlantikan orang politik. Jelas sekali yang disebut adalah mereka yang berkhidmat cemerlang dalam perkhidmatan awam dan golongan profesional yang berjaya dalam bidang-bidang tertentu serta mereka yang mewakili kaum minoriti seperti Punjabi, Sinhala, Siam, Portugis, Serani dan Orang Asli. Termasuk dalam kategori profesional ialah mereka yang mewakili persatuan-persatuan veteran tentera dan polis.

Saya masih ingat keanggotan Dewan Negara semasa zaman Almarhum Tunku Abdul Rahman amat mematuhi kehendak Perlembagaan Persekutuan tetapi selepas zaman Tunku, sedikit demi sedikit keanggotaannya condong kepada kepentingan politik. Faktor ini juga telah menyumbang kepada penurunan nilai dan isi hujah-hujah yang dikemukakan dalam Dewan Negara.

Keanggotaan Dewan Negara harus dipenuhi mengikut kehendak Perlembagaan Persekutuan bukan ikut selera politik kepartian. Tempat orang politik adalah Dewan Rakyat atau Dewan-Dewan Undangan Negeri, bukan di Dewan Negara.

Tahniah Bernama TV

Sekalung tahniah untuk unit tv Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) kerana menerima anugerah "Towering Companion" dalam kategori media elektronik sempena ulang tahun ke-10 Menara KL.

Atas kejayaan itu, saya mengucapkan syabas kepada Sdr Ahmad Wahab dan semua petugas Bernama TV.

Saya kira nama anugerah itu agak kurang tepat kerana perkataan "towering" tidak berapa sesuai. Alangkah elok jika pihak pengurusan Menara KL menamakan anugerah itu sebagai "Teman Menara KL" memandangkan anugerah itu adalah berkaitan penonjolan Menara KL sebagai satu destinasi pelancongan.

Wednesday, December 20, 2006

Pak Lah nafi tempah kapal mewah

Perdana Menteri Abdullah Ahmad (Badawi) hari ini menafikan laporan media Turki bahawa beliau telah menempah sebuah kapal pesiar mewah (yacht) berharga 8 juta dolar Amerika (RM30 juta) dari sebuah limbungan kapal di negara itu.

Menjawab pertanyaan media sama ada beliau akan mengambil tindakan terhadap akhbar berkenaan, Pak Lah berkata beliau hanya akan meminta mereka membuat pembetulan.

Berita mengenai penempahan kapal pesiar mewah itu telah dikutip dan disiarkan oleh beberapa blog tempatan termasuk blog ini.

Saya terima sahaja penafian Pak Lah tetapi ingin menambah dan memetik apa yang pernah disuarakan oleh menantu beliau, Khairy Jamaluddin yang lebih kurang begini bunyinya ...jika tiada angin masakan pokok bergoyang tetapi di bawah ada beruk yang menggoncang pokok itu....

Tuesday, December 19, 2006

Apa Kata Pak Lah (4)

Masalah kemiskinan rakyat:

Pak Lah berkata kerajaan pimpinannya bertekad menghapuskan kemiskinan daif (hard-core poor) yang masih wujud di kalangan rakyat, sama ada dalam kawasan bandar apatah lagi di desa.

Kerajaan mempunyai kemampuan dan keupayaan untuk membasmi kemiskinan menerusi pelbagai usaha pembangunan negara dan pendidikan yang dilaksanakan sejak dahulu lagi.

Oleh itu, Pak Lah berhasrat membantu golongan daif yang masih wujud bagi merealisasikan (menjadikan kenyataan) wawasan negara untuk muncul maju menjelang 2020.

Pak Lah berkata sebagai perdana menteri yang mewarisi negara yang berjaya, aman, makmur dan stabil, beliau perlu menguruskan negara dengan baik bagi memastikan kejayaan yang dinikmati sekarang dapat diteruskan.

"Saya perlu pastikan golongan miskin keluar dari kemelut kemiskinan mereka demi memastikan kejayaan negara yang ditinggalkan Tun Dr Mahathir Mohamad dapat diteruskan serta menjadikan negara lebih maju dan berjaya pada masa depan," kata Pak Lah ketika berucap merasmikan Islam Hadhari peringkat negeri Pulau Pinang di Kepala Batas pada 28 Februari 2004.

Ulasan saya: Kata-kata Pak Lah memang sedap didengar dan mudah diterima oleh rakyat. Siapa yang mahu hidup dalam kemiskinan? Siapa yang tidak mahu mengecapi keselesaan hidup dan ketenangan jiwa dalam membina keluarga yang bahagia? Oleh itu, kata-kata seperti yang dilafazkan oleh Pak Lah amat dialu-alukan.

Malangnya, saban hari kita dihidangkan oleh pihak media dengan cerita penderitaan rakyat, cerita kehidupan yang amat daif di kampung-kampung dan di dalam kota-kota besar. Pada zaman serba maju ini, masih ada rakyat yang menerangi kehidupan sebelah malam dengan sebatang lilin, masih ada rakyat yang hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, masih wujud rakyat yang menumpang teduh dalam satu struktur yang tak ubah seperti kandang haiwan atau reban ayam dan masih ada manusia yang menumpang tidur di kaki-kaki lima.

Kita terima hakikat bahawa untuk membasmi kemiskinan bukanlah suatu kerja yang mudah. Kita juga mengakui bahawa kemiskinan akan tetap wujud walaupun di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah.

Malaysia mempunyai pelbagai agensi untuk mengatasi isu kemiskinan tegar tetapi yang menjadi persoalan ialah kesungguhan dan kejujuran pihak yang dipertanggungjawabkan untuk melaksana tugas. Bantuan dan pertolongan dihulurkan atas kepentingan politik dan bukan atas sifat kemanusiaan. Para pegawai jarang turun padang untuk melihat sendiri kedaifan hidup rakyat. Inilah masalah utama yang dihadapi rakyat - kejujuran dalam soal pelaksanaan dasar. Bantuan dan pertolongan diberi kepada mereka yang dikatakan "orang kita" dari sudut kepartian politik.

Kepada Pak Lah, saya ingin bertanya, wajarkah Pak Lah menempah sebuah kapal pesiar mewah (yacht) berharga RM30 juta dari sebuah limbungan di Turki?

Wang sebanyak itu cukup besar dan mampu menyumbang kepada usaha untuk memperbaiki taraf hidup rakyat miskin yang dilaung-laungkan oleh Pak Lah.

Jika benarlah laporan berkenaan, saya juga ingin tahu dari mana Pak Lah memperolehi wang sebanyak itu?

Macam mana nak bekerja bersama-sama Pak Lah kalau cakap tak serupa bikin?