Thursday, December 21, 2006

Ahli Dewan Negara menurut kehendak Perlembagaan

Hari ini sidang Parlimen bagi penggal terakhir tahun ini tamat apabila Dewan Negara menamatkan persidangannya. Persidangan pertama untuk tahun depan dijadualkan pada bulan Mac dan akan dirasmikan oleh SPB Yang di-Pertuan Agong XIII Sultan Mizan.

Semua ahli Parlimen sedia maklum mengenai jadual atau takwim persidangan. Adalah diharapkan para menteri tidak lagi memberi alasan mempunyai tugasan yang ditetapkan terlebih dahulu semata-mata untuk ponteng sidang Dewan Rakyat. Tidak ada sebab kenapa para menteri tidak mahu hadir sedangkan mereka menganggotai Kabinet kerana menjadi Ahli Parlimen.

Bercakap mengenai Parlimen, saya ingin menyentuh perlantikan Ahli Dewan Negara yang dikenali sebagai Senator.

Sejak beberapa tahun lepas, kita dapati keanggotaan Dewan Negara menjadi seolah-olah hak orang politik sedangkan Perlembagaan tidakpun menyebut ianya dikhaskan untuk sama ada ketua bahagian Umno, ketua wanita bahagian Umno, ketua pemuda bahagian Umno, ketua puteri Umno, ketua bahagian MCA atau MIC atau parti-parti lain yang menganggotai Barisan Nasional dan seterusnya.

Jadi kenapa sang ketua bahagian Umno yang tidak dipilih bertanding dalam pilihan raya atau yang kawasan parlimennya di peruntukkan kepada parti komponen yang lain harus dilantik menjadi Senator? Adakah ini satu kemestian atau satu cara untuk membalas sokongan kepada pucuk pimpinan peringkat negeri atau pusat?

Perkara 45 Perlembagaan Persekutuan menyebut:-

(1) Tertakluk kepada Fasal (4), Dewan Negara hendaklah mengandungi ahli-ahli yang dipilih dan dilantik seperti berikut-

(a) dua orang ahli bagi tiap-tiap satu Negeri hendaklah dipilih mengikut Jadual Ketujuh; dan

(aa) dua orang ahli bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, seorang ahli bagi Wilayah Persekutuan Labuan dan seorang ahli bagi Wilayah Persekutuan Putrajaya hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong; dan

(b) empat puluh orang ahli hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

(2) Ahli-ahli yang akan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong ialah orang-orang yang pada pendapatnya telah berbuat jasa cemerlang dalam perkhidmatan awam atau telah mencapai kepujian dalam lapangan profesyen, perdagangan, perusahaan, pertanian, kegiatan kebudayaan atau perkhidmkatan masyarakat atau yang mewakili kaum-kaum yang kecil bilangannya atau yang mempunyai kebolehan mewakili kepentingan Orang Asli.

Amat jelas sekali kriteria yang disebut dalam Perlembagaan Persekutuan tidak menyebut sama sekali perlantikan orang politik. Jelas sekali yang disebut adalah mereka yang berkhidmat cemerlang dalam perkhidmatan awam dan golongan profesional yang berjaya dalam bidang-bidang tertentu serta mereka yang mewakili kaum minoriti seperti Punjabi, Sinhala, Siam, Portugis, Serani dan Orang Asli. Termasuk dalam kategori profesional ialah mereka yang mewakili persatuan-persatuan veteran tentera dan polis.

Saya masih ingat keanggotan Dewan Negara semasa zaman Almarhum Tunku Abdul Rahman amat mematuhi kehendak Perlembagaan Persekutuan tetapi selepas zaman Tunku, sedikit demi sedikit keanggotaannya condong kepada kepentingan politik. Faktor ini juga telah menyumbang kepada penurunan nilai dan isi hujah-hujah yang dikemukakan dalam Dewan Negara.

Keanggotaan Dewan Negara harus dipenuhi mengikut kehendak Perlembagaan Persekutuan bukan ikut selera politik kepartian. Tempat orang politik adalah Dewan Rakyat atau Dewan-Dewan Undangan Negeri, bukan di Dewan Negara.

2 comments:

Anonymous said...

Saudara Syed Imran yg dihormati,

Saya rasa tindaktanduk ketua negara kita dah masuk ke tahap menguris hati rakyat jelata./ (atau mungkin kah hanya sekelompok kita sahaja?)

Yang terutamanya berkenaan yacht mewah yang dinafikan pembeliannya secara sambil lewa dalam masa kita diumumkan akan kenaikan tol dan lain2 yang telah pun naik berkali2 sebelum ini.

Yang kedua, bercuti dan bersenang lenang dalam masa rakyat merana tidur di dewan2 dan masjid2 akibat banjir.

Dan yg lain2nya....isu2 korporat, pengabungan, pembelian syarikat kerajaan oleh swasta, penjualan harta negara pada orang asing, dll.


Mungkin beliau boleh lupakan janji yang dibuat pada rakyat. Sekurang2nya saya harap dia tidak lupa pada janji yang dibuat pada arwah ibunya sendiri semasa mula2 mengambilalih tampuk kuasa.

Gambar besar muka hadapan setiap akhbar masa tu menayangkan Pak Lah mencium tangan arwah ibunya untuk dapat restu katanya. Pada pendapat saya yang muda lagi mentah ni, jangan kita sekali2 mengkomersialkan ibubapa, dan agama untuk tujuan promosi. Padahnya mungkin tak akan tertanggung kemudian hari.

Khalid said...

Inilah "Sistem Budi" yang banyak dihalusi di negara kita, terutamanya orang-orang Melayu.

Orang memberi, kita merasa.

Orang yang dilantik berbudi dengan orang atasan, orang atasan haruslah berbudi dengan orang melalui pelantikan ke pangkat itu.

Kadang-kadang budi berbentuk dalam kertas dalam sampul pun ada.