Thursday, May 24, 2012

Mereka bukan mereka-mereka - "Oh My Bahasa Melayu"

Saya tidak faham kenapa ramai orang yang bergelar pemimpin, sama ada peringkat pentadbiran seperti Menteri dan Timbalan Menteri atau Menteri Besar dan peringkat jabatan seperti Ketua Polis Negara, Ketua Pengarah Kesihatan ataupun Ketua Setiausaha masih tidak faham maksud perkataan "mereka".

Semalam, MB Selangor mengulangi sebanyak tiga kali perkataan "mereka-mereka" ketika berucap pada sidang media berkaitan rumah maksiat manakala Ketua Pengarah Kesihatan menggunakan perkataan itu sekali. Saya mengikuti kedua-duanya melalui siaran televisyen.

Kenapa mereka masih tidak tahu maksud atau pengertian perkataan "mereka?

Jika mereka merujuk kepada bilangan orang yang banyak, perkataan yang betul ialah "mereka" bukan "mereka-mereka" seperti yang selalu disalah sebut. Perkataan mereka diguna sebagai gantinama diri ketiga, iaitu untuk bilangan yang banyak. 

Mungkin pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) perlu menganjur kursus atau bengkel penggunaan Bahasa Melayu yang betul khas untuk mereka yang bergelar pemimpin atau ketua  agar kesilapan kecil seperti penggunaan perkataan "mereka-mereka" dapat diperbetulkan.

Pihak Astro pula boleh memikirkan untuk menerbit sebuah rancangan sama seperti "Oh! My English" dengan memberi penekanan kepada penggunaan Bahasa Melayu yang betul.   

Wednesday, May 23, 2012

PAKAR nampaknya serius tagih sokongan

PAKAR atau Pusat Khidmat Rakyat BN Selangor benar-benar serius dalam usaha untuk memenangi sokongan rakyat pada pilihan raya umum yang akan diadakan tidak berapa lama lagi. 

Selain cuba mengatasi atau menangani masalah rakyat, petugas PAKAR turut menghubungi pengundi berdaftar di Selangor untuk meraih sokongan.

Saya turut menerima panggilan telefon daripada salah seorang petugas di bilik gerakan PAKAR yang memberitahu mengenai kawasan Parlimen (Dewan Rakyat) dan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang saya berada selaku pengundi atau pemilih. Saya juga dimaklumkan tempat untuk saya pergi mengundi, bukan membuang undi, seperti yang selalu disebut orang. 

Walaupun saya tahu kedudukan tersebut kerana bukan kali pertama mengundi di Selangor, tetapi saya tetap menghargai usaha PAKAR.

Cuma, saya tertanya-tanya dari siapa PAKAR mendapat nombor telefon selular saya? Bolehkah pihak ketiga memberi nombor Hp saya itu kepada orang lain atau pertubuhan tertentu? Isteri saya turut menerima panggilan serupa daripada PAKAR, melalui Hpnya.    

Oh ya, saya dahpun buat keputusan parti mana yang bakal disokong pada PRU-13 nanti. 

Perang bendera dan sepanduk di Terengganu

Saya berada di Terengganu, negeri yang beriman selama seminggu dan sedikit sebanyak berpeluang melihat 'perang bendera dan sepanduk atau kain pemidang' politik bermula dari Kemaman hinggalah ke Kuala Terengganu. 

Saya tidak meneruskan tinjauan ke utara Kuala Terengganu tetapi yakin keadaan yang sama sehinggalah ke sempadan negeri Kelantan. Perang bendera 'hijau putih' dan 'merah putih' dari yang bersaiz kecil hinggalah yang bergelar 'bendera gergasi' berkibar megah di merata tempat yang menjadi kubu kuat parti masing-masing. 

Begitu juga dengan sepanduk atau kain pemidang yang direntang dengan tertulis kata-kata yang membakar semangat, yang mengutarakan kejayaan dan tidak kurang pula dengan kata-kata sinis terhadap parti lawan. Antara beberapa sepanduk yang sempat diperhatikan, saya tertarik dengan sepanduk di bawah ini yang direntangkan di Kerteh. Kata-kata yang tertulis mungkin melucukan tetapi ada juga kebenarannya. "Terima Kasih PAKATAN RAKYAT! Kamu kuat, Duit kami dapat ......"
Saya bukan menyokong parti tertentu tetapi jika difikirkan, kata-kata itu mempunyai asas. Jika parti atau pakatan tiga buah parti politik itu lemah dan tidak memberi ancaman atau cabaran kuat kepada parti yang mentadbir Kerajaan Persekutuan, mungkin habuan dan bantuan yang begitu 'murah hati' seperti BR1M RM500, bantuan RM100 kepada pelajar sekolah menengah dan rendah serta baucer buku RM200 kepada pelajar IPT/Maktab tidak diadakan. 

Walaupun  sering kali dinafikan oleh pemimpin kerjaan, kita tahu bahawa semua bantuan dan 'habuan' itu ada kaitan dengan pilihan raya umum yang bakal diadakan sama ada sebelum Ramadhan atau selepas Syawal ini.

Walau apapun, rakyat sudah tentu menyambut baik 'hadiah' daripada kerajaan kerana siapa yang tidak mahu wang dan bantuan yang sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan hidup. Untuk itu, suka atau tidak, mereka yang mendapat faedah kenalah menghargainya tetapi tidak semestinya dalam bentuk sokongan atau undi untuk parti politik tertentu pada PRU-13 nanti. Undi adalah hak mutlak rakyat yang layak mengundi. Terpulanglah kepada mereka untuk 'memangkah' parti atau calon parti yang mereka fikir layak atau wajar disokong. 

Semasa di Terengganu, saya tidak dapat mengagak parti mana yang akan mendapat sokongan majoriti rakyat pada PRU-13 kerana politik negeri yang pada satu ketika dahulu disebut sebagai "Kuwait Malaysia" itu agak unik. Kedua-dua parti utama Melayu, iaitu UMNO dan PAS saling bertukar tempat selaku pentadbir negeri. Mungkinkah kali ini rakyat Terengganu Darul Iman akan melakukan satu lagi penukaran atau akan kekalkan pentadbiran sedia ada? Sukar diramalkan!


Wednesday, May 02, 2012

Pendirian dan gesaan NUJ tepat dan berasas

Sebagai mantan orang media, saya kesal dan sedih membaca laporan mengenai tidak kurang daripada 10 pengamal media yang cedera atau dikasari semasa bertugas membuat liputan perhimpunan BERSIH 3.0 Sabtu lalu di ibu negara.

Berdasarkan laporan, pihak yang mengasari petugas media adalah anggota Polis, kecuali satu kes yang melibatkan jurukamera TV Alhijrah, sesuatu yang tidak seharusnya berlaku.

Seperti anggota Polis, petugas media juga ke kawasan sekitar Dataran Merdeka kerana amanah yang dipikul selaku pelapor,  tidak kiralah untuk majikan mana atau pertubuhan media yang sama ada memihak kepada kerajaan atau pembangkang. Tugas tetap tugas. Sudah tentu mereka tidak akan ke sana jika bukan kerana tugas, sama seperti anggota Polis.

Saya sedar dan akur akan tekanan yang dihadapi oleh anggota Polis yang panas telinga mendengar kata-kata kesat seperti 'anjing' yang dilemparkan oleh segelintir manusia biadab yang menyertai perhimpunan itu, dan dengan itu tidak dapat menahan marah lalu bertindak kasar, tetapi tidak seharusnya keatas wartawan atas apa alasan sekalipun. 

Anggota Polis dilatih dan disemai dengan semangat jati diri dan disiplin yang tinggi dan tidak sepatutnya melakukan sesuatu yang bukan menurut arahan atau perintah. Perkara inilah yang perlu ditangani kerana jika anggota Polis tidak berdisiplin, maka huru-haralah jadinya.

Walaupun anggota Polis yang bertindak kasar itu amat kecil jumlahnya, ia tidak boleh dipandang ringan oleh pihak atasan pasukan di Bukit Aman dan saya menyanjung tinggi pendirian tegas Ketua Polis Negara yang berjanji untuk menyiasat dn mengambil tindakan sewajarnya.

Dalam hubungan ini, saya menyambut baik gesaan Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) yang mahu sebuah jawatankuasa bebas dan bukan pasukan Polis menyiasat dakwaan serangan Polis terhadap wartawan dan jurufoto media.

Presiden NUJ, Chin Sung Chew dalam kenyataannya berkata siasatan harus dijalankan oleh badan bebas  kerana tuduhan itu serius yang melibatkan tindakan Polis melakukan keganasan ke atas petugas media.

NUJ mencadangkan jawatankuasa bebas itu dianggotai sekurang-kurangnya oleh seorang mantan hakim mahkamah tinggi, mantan presiden Majlis Peguam dan seorang ahli akademik yang ahli dalam jurusan undang-undang kewartawanan. 

Saya menyokong penuh saranan NUJ itu kerana perkara yang hendak disiasat  bukan sahaja serius tetapi  ada kaitan rapat dengan amalan demokrasi dan kebebasan media seperti yang diamalkan di Malaysia. Saya yakin sebuah jawatankuasa bebas, bukan satu pasukan yang ditubuh oleh Bukit Aman, dapat menjalankan tugas dengan adil dan saksama kepada kedua-dua pihak, iaitu Polis dan Media.

Sementara itu, Malaysiakini.com melaporkan bahawa kerajaan dilihat cuba memulihkan hubungan dengan pertubuhan media melalui   pertemuan dengan kepimpinan media di Bukit Aman hari ini.

Walau apapun berlaku, kita tidak ingin melihat hubungan baik yang dijalinkan selama ini antara Media dan Polis 'terjejas'  dek "kerbau yang membawa lumpur".

Polis ada peranan dan tugas, begitu juga pihak Media. Polis dan Media adalah   seperti aur dengan tebing. 

  
     

Friday, April 06, 2012

Nazri tak perlu balun SPRM

Saya 'bercuti' daripada menulis agak lama sedikit dan menerima beberapa pertanyaan kenapa 'senyap' dan sebagainya. Kepada yang bertanya saya rakamkan ucapan terima kasih kerana sudi mengambil tahu. 

Saya sihat-sihat sahaja dan tiada masalah untuk terus menulis.

Kali ini saya nak ulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz mengenai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Nazri menang terkenal sebagai 'tukang  balun' bukan sahaja dalam Dewan Rakyat tetapi di mana-mana sahaja.    

Pihak terkini yang 'kena balun' ialah Timbalan Pesuruhjaya SPRM (Operasi) Datuk Mohamad Shukri Abdul.

Nazri marah kerana Shukri 'merungut' atau bersungut mengenai kes-kes rasuah yang disiasat oleh SPRM tetapi tidak diambil tindakan oleh Pejabat Peguam Negara. 

(Shukri mengeluarkan isi hatinya itu di sebuah  forum bahawa SPRM menyiasat semua tuduhan rasuah yang diserahkan kepadanya, tetapi Pejabat Peguam Negara yang enggan atau tidak memfailkan kes-kes tersebut di mahkamah atas alasan bukti tidak mencukupi) 

Harian bahasa Mandarin "Sin Chew Daily" dikutip oleh portal berita dalam talian 'Malaysiakini' sebagai melaporkan bahawa Nazri menyifatkan Shukri mempunyai watak yang lemah dan tidak sepatutnya merungut secara terbuka. (Nampaknya Nazri jadikan dirinya sebagai ahli atau pakar perwatakan apabila dia menuduh Shukri mempunyai watak yang lemah)

Lebih hebat daripada itu, Nazri berkata Shukri tidak perlu membuat atau mengeluarkan sebarang penjelasan kepada umum kerana ia (tindakan pendakwaan) merupakan tugas Pejabat Peguam Negara. SPRM hanya ditugaskan untuk menyiasat, itulah maksudnya.  

Shukri di"arah" supaya berhenti daripada membuat kenyataan sedemikian pada masa depan.

Saya simpati dengan Shukri dan SPRM kerana orang selalunya mempersalahkan mereka apabila sesuatu kes yang dilaporkan tidak diambil tindakan atau didakwa di mahkamah. 

Selain keengganan Pejabat Peguam Negara untuk mendakwa atas beberapa sebab terutamanya  kurang bukti, terdapat juga 'arahan' pihak lebih atas supaya fail siasatan kes tertentu  ditutup atau tidak diambil tindakan selanjutnya. 

Saya tahu akan keadaan sedemikian kerana pernah berinteraksi dengan pegawai Badan Pencegah Rasuah (BPR) sebelum ia ditukar kepada SPRM.  Pada masa itu, seliaan ke atas BPR diletak di bawah Menteri di JPM yang bertanggungjawab mengenai  hal ehwal undang-undang dan saya bertugas di pejabat menteri berkenaan.

Saya cukup mengenali Ketua Pengarah BPR ketika itu, Datuk Ahmad Zaki Hussein dan timbalannya yang kemudian Pesuruhjaya SPRM pertama, Datuk Ahmad Said Hamdan. Kedua-dua mereka adalah pegawai yang amat dihormati atas ketegasan menjalankan tugas. Malangnya, Datuk Ahmad Zaki telah ditukar hanya selepas dua tahun berkhidmat kerana dia tidak memilih 'bulu' untuk menyiasat dan sebab  itulah dia kurang disenangi oleh pihak yang lebih atas. Dia telah diganti, buat pertama kalinya, oleh seorang pegawai kanan Polis yang agak 'kontroversial' sehinggalah dia bersara. 

SPRM pun diletak dibawah seliaan Jabatan Perdana Menteri dan kebetulan pula Nazri menteri yang menjaga hal ehwal undang-undang.  Apa yang perlu ditegaskan di sini ialah seliaan tidak bermakna menteri 'berkuasa' ke atas SPRM atau SPRM mesti lapor tugasan mereka kepadanya. Tugas menteri tidak lebih daripada yang berkaitan keperluan logistik termasuk  kakitangan dan peruntukan belanjawan serta urusan di Parlimen seperti menjawab pertanyaan ahli Dewan atau membentang apa-apa pindaan rang undang-undang berkaitan.

Oleh itu, Nazri tidak sepatutnya menegur dan mengkritik Shukri semata-mata kerana pegawai berkenaan meluahkan perkara sebenar. Nazri tidak perlu 'balun' Shukri secara terbuka dan melemahkan semangat para pegawai SPRM. Saya sokong penuh apa yang diluahkan oleh Shukri kerana itulah kenyataan dan itulah kebenaran.

Saya  tahu bahawa ada pegawai BPR (semasa saya bertugas di JPM) yang kecewa dan patah semangat kerana ada  kes yang disiasat tidak diambil tindakan sewajarnya. Mereka hampa kerana setelah bertungkus lumus menyiasat kes-kes tertentu, kertas siasatan atau fail siasatan ditutup atau tidak didakwa di mahkamah. 

Jadi, apa yang dibangkitkan oleh Shukri bukan sesuatu yang baru dan saya yakin masalah ini berterusan sejak zaman BPR mengakibatkan para pegawai SPRM lemah semangat. Ia melibatkan soal maruah dan keyakinan terhadap sistem yang ada.

Nazri sepatutnya memberi sokongan moral kepada SPRM bukan membalun semata-mata untuk menunjukkan 'kuasa' dan 'siapa bos?"

Perkara sedemikianlah yang membuatkan rakyat mendesak supaya SPRM diletak di bawah Parlimen dan bertanggungjawab kepada Parlimen, bukan kepada JPM atau Kabinet.