Monday, March 26, 2012

Allahyarham Tun Ghafar pernah berkata kuasa memberi nilai ekonomi kepada UMNO

Apa yang sedang, telah dan akan terus berlaku di kalangan "orang UMNO"  sebenarnya telah dinyatakan oleh mantan Timbalan Perdana Menteri yang juga mantan timbalan presiden UMNO, Allahyarham Tun Ghafar Baba.
 
Semangat UMNO sejati sudah semakin pudar. Perebutan jawatan dengan menggunakan wang ringgit atau politik wang dan berbagai tipu helah tidak pernah belaku semasa golongan guru menjadi tulang belakang UMNO. 

Tun Ghafar, yang pulang ke Rahmatullah pada 23  April 2006,  berkata bahawa UMNO telah jauh berubah daripada UMNO dalam tahun 50-an. Kenyataan itu bukan sahaja satu kebenaran tetapi jauh lebih terserlah sekarang. 

Semasa golongan guru menjadi 'tiang seri' UMNO, perebutan untuk memegang jawatan boleh dikatakan tidak ada. Ramai yang menolak apabila dicalonkan untuk memegang jawatan termasuk menjadi wakil rakyat. Sekarang, mereka berebut, membentuk puak atau klik dan mengeluarkan belanja besar untuk merebut jawatan. Jawatan dalam parti adalah batu loncatan untuk mendapat jawatan atau kedudukan yang lebih tinggi dan berbaloi. 

Seperti yang Tun Ghafar pernah katakan, UMNO telah berkuasa dan  sudah ada nilai ekonominya. Ada orang yang sanggup mencurah  wang untuk mendapatkan jawatan kerana jawatan dalam parti membawa nilai ekonomi yang tinggi kepada mereka yang tahu mendapatkannya.

Saya ingin tambah dan sudah tentu akan dinafikan oleh orang UMNO, iaitu bukan sahaja wang digunakan untuk mendapat jawatan tinggi dalam parti, bahkan mereka sanggup mengguna khidmat pawang dan bomoh. Pendek kata, mereka yang terlalu ghairah untuk memegang jawatan tinggi, sanggup melakukan apa sahaja yang mampu untuk cuba mendapatkannya.

Benarlah apa yang pernah diingatkan oleh Tun Ghafar iaitu rasuah yang paling besar sekali ialah membeli undi untuk mendapatkan kuasa dalam parti kerana sudah tentu ada tujuan untuk faedah diri. 

Kenyataan ini diperkukuhkan lagi melalui kenyataan mantan Menterii Kabinet  dan ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Abdul Kader Sheikh Fadzir, yang kini keluar daripada menjadi ahli parti. Kader sudah tentu tahu apa yang berlaku setelah sebegitu lama berada dalam UMNO dan memegang beberapa jawatan bermula sebagai Setiausaha Politik Menteri Kebajikan Masyarakat, Tun Fatimah Hashim. Kenyataan Kader sudah tentu dinafi oleh kepimpinan UMNO sekarang. Oh ya, Kader dan keluarganya pun dapat faedah semasa cergas dalam UMNO.

Segelintir golongan muda dan korporat yang berjawatan dalam UMNO berkata zaman guru Melayu menguasai UMNO sudah luput, sudah lupus hayatnya. Sekarang zaman korporat menguasai politik kerana orang politik yang bertukar wajah menjadi orang korporat.

Kemasukan golongan korporat yang memandu kereta mewah dan dengan nama mereka didahului oleh gelaran tertentu membawa 'budaya' baru dalam UMNO. Mereka pada asalnya bukan tokoh korporat, tetapi bergelar demikian melalui pintu masuk UMNO. Ada yang semata-mata menjadi proksi kepada tokoh tertentu dan ada yang tidak lebih daripada "Ali Baba".

Golongan ini menyumbang dana kepada parti kerana mereka sebenarnya 'bekerja' bagi pihak parti termasuk mengepalai syarikat berkaitan kerajaan atau syarikat yang dikuasai sama ada secara langsung atau secara proksi oleh parti. Mereka dan parti saling perlu dan memerlukan.

Inilah yang dimaksudkan oleh Tun Ghafar iaitu UMNO mempunyai nilai ekonomi.

Saya akhiri catatan ini dengan memperturunkan nasihat Tun Ghafar iaitu "jika politik wang dan tujuan masuk UMNO semata-mata untuk mendapatkan faedah diri tidak dibendung, maka UMNO akan hancur."


2 comments:

Anonymous said...

Tuan Syed,

Malaysia yang kita cintai tidak akan melahirkan lagi seorang negarawan seperti Tun Ghafar.

Tentang kegelojohan pemimpin-pemimpin UMNO di setiap peringkat, ada beberapa bidalan yang boleh saya petik:-

1. Bapa kencing berdiri anak kencing berlari.

2. A fish rots from the head.

3. There are no bad soldiers, but bad generals.

4. Seperti ketam menyuruh anaknya berjalan betul.

5. Do what I tell you to do but do not do what I do.

ZMS

Unknown said...

ZMS,

Perkara 5 yang saudara perturunkan mengingatkan saya akan kata-kata Almarhum Tunku Abdul Rahman semasa menjadi PM, iaitu "ikut apa yang saya kata, bukan apa yang saya buat".

Kata-kata Tunku itu ditujukan kepada segelintir orang yang mempersoalkan minat dan kegemaran Tunku seperti lumba kuda, minuman tertentu dan hiburan (joget dan ronggeng). Tunku tidak menafikan perkara tersebut, tidak seperti pemimpin politik sekarang yang sering menafikan kebenaran, sebaliknya Tunku berkata jangan ikut apa yang dia buat, tetapi dengar dan ikuti nasihatnya.

Saya setuju dengan perkara 1 hingga 4 kerana ia cukup kena atau relevan dengan apa yang telah, sedang dan saya pasti akan terus berlaku.

Saya sering mengutip apa yang disebut oleh Tun Ghafar, tokoh yang saya bernasib baik dapat mengenalinya, kerana alllahyarham adalah seorang insan yang jujur memperjuangkan untung nasib anak bangsanya dan tidak mementingkan diri sendiri. Banyak perkara lagi mengenai ketokohan Tun Ghafar yang akan saya tulis dalam blog ini.