Wednesday, May 12, 2010

Yayasan lagi...pi mai pi mai dok tang tu jugak!

Kawan-kawan tanya kenapa lama tak "up-date" blog ini, jawapan saya ringkas saja, malas dan bosan, itulah sebabnya. Bosan dengan apa yang berlaku di stesen-stesen tv milik Media Prima dan RTM sehingga penerbit letak jawatan dan penerbit kecewa rancangan terbitannya dipaksa tarik balik, semuanya kerana pilihan raya kecil. Saya juga kecewa dengan sikap rakan di Media Prima yang hanya menjemput calon BN untuk diwawancara dalam rancangan Soal Jawab (TV3) semasa tempoh berkempen pilihan raya kecil Hulu Selangor. Kenapa hanya calon BN dan tidak calon PKR? Apa dah jadi dengan etika kewartawan yang dipelajari dan sepatutnya dipegang dan diamalkan? Ke mana dicampaknya sikap adil dan saksama dan tidak memihak?

Sekarang dah lega sikit dan ada pula subjek yang nak diulas.

Sebagai anak Pulau Pinang, saya terpanggil untuk ulas mengenai penubuhan sebuah lagi entiti yang kononnya nak bantu orang Melayu, iaitu Yayasan Aset Bumiputera.

Nampaknya, Pulau Pinang mempunyai atau dilayani oleh "badan" atau "entiti" yang paling banyak semata-mata untuk membantu orang Melayu/Bumiputera yang sejak zaman pemerintahan Parti Perikatan, kemudian Gerakan, kemudian Kerajaan Campuran Gerakan-UMNO, kemudian Barisan Nasional dan sekarang Pakatan Rakyat, masih dikatakan "terpinggir". Malu dibuatnya.

Antara agensi yang ditubuh khusus untuk membantu orang Melayu Pulau Pinang adalah PERDA (Penang Regional Development Authority), Jawatankuasa Pemandu Penyertaan Bumiputera, Yayasan Bumiputera Pulau Pinang (kedua-duanya di bawah Jabatan Perdana Menteri) dan yang terbaru Yayasan Aset Bumiputera. Selain itu, ada agensi nasional seperti MARA, UDA, TEKUN, Pejabat Pembangunan Negeri (bawah JPM), dan Unit Perancang Ekonomi.

Dengan sebegitu banyak agensi pun orang Melayu Pulau Pinang dikatakan "terpinggir". Sudah tentu ada yang tidak kena sama ada dengan peranan dan tugas agensi-agensi berkenaan atau dengan sikap orang Melayu Pulau Pinang itu sendiri.

Kerajaan Persekutuan boleh tubuh seberapa banyak agensi untuk membantu orang Melayu dan kita akan terus mendengar sungutan dan rungutan yang kononnya orang Melayu "terpinggir". Nampaknya, nasib orang Melayu Pulau Pinang sudah ditakdirkan akan terus "terpinggir", begitulah agaknya.

Pulau Pinang telah menyumbang seorang tokoh sebagai Perdana Menteri, seorang lagi sebagai Timbalan Perdana Menteri, dan kini seorang menteri anak Pulau Pinang yang ditugaskan ke atas perancangan dan pembangunan ekonomi, tetapi kita masih dihujani dengan kata-kata "terpinggir"... sampai bila?

Jika orang Melayu Pulau Pinang mendakwa mereka "terpinggir" sebegitu lama, saya saran agar mereka pergi melihat rumah pemimpin-pemimpin Melayu termasuk ketua-ketua bahagian dan mantan ketua bahagian UMNO, lihat kereta apa yang mereka miliki dan lihat akan kesenangan hidup kroni-kroni mereka. Adakah mereka "terpinggir"?

Tak guna kerajaan tubuh yayasan atau badan khas untuk membantu orang Melayu sekiranya pelaksanaan dan pengagihan sama ada projek atau tender tidak dibuat secara adil, telus, tulus dan ikhlas.

Sebelum pentadbiran BN Pulau Pinang tumbang, tanya pemimpin UMNO yang menduduki kerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan termasuk timbalan ketua menteri, apa yang mereka buat? Sekarang mereka mengisi kerusi pembangkang di DUN Pulau Pinang dan tiba-tiba menjadi lantang mengkritik dan menyalahkan orang lain atas kegagalan mengeluarkan orang Melayu daripada "peminggiran" yang dikatakan masih berlaku.

Lihat saja apa yang sedang berlaku di kawasan Melayu Tanjong Tokong. Laut yang pada mulanya ditambak untuk membangun sebuah penempatan moden Melayu, boleh bertukar kepada sebuah projek besar pihak swasta yang mewujudkan perumahan mewah yang tidak mampu dimiliki oleh orang Melayu. Di situ, sememangnya orang Melayu "terpinggir". Salah siapa? Apa dah jadi dengan Kampung Haji Mahmood, Tanjong Tokong? Salah siapa?

Banyak sebab yang boleh diberi jika benar orang Melayu Pulau Pinang "terpinggir" atau "dipinggir" atau mungkin mereka yang "meminggirkan diri".

Pi mai, pi mai dok tang tu jugak!


12 comments:

mr edz said...

etika hanya tinggal etika

Anonymous said...

Pak Tuan Syed,
Di pulau pinang (pulau) mana ada orang melayu (ertikata sebenarnya). nama saja seakan-akan nama melayu tetapi asal usul dari india, timur tengah dan pakistan serta siam.
Jika belah tanah besar ramailah orang melayu termasuk ketua pembangkang.Orang melayu pulau pinang terpinggir kerana masing-masing mengaku dia saja melayu - i.e indian muslim kata dia melayu, orang arab juga kata dia melayu orang melayu penaja kat diala sebenarnya orang melayu. Orag keturunan pakistan juga kata di melayu. jadi siapa yang terpinggir sebenarnya? Bagi saya yang terpinggir dalam kata sebenarnya ialah UMNO sungguh menang banyak kerusi dalam pilihanraya DUn tetapi tetap tidak boleh jadi KM. Umno kini mampu jadi ketua pebangkang saja. Mas Pemerintah BN, wakil UMNO hanya mampu jadi Timbalan KM saja. Bawah pemerintahan PKR pun melayu tetap tidak boleh jadi KM. Sultan Kedah bijak Baginda tak mau pening kepala baginda serahkan pulau pinang kepada francis light untuk mentadbirkan pulau pinang.

Unknown said...

Bukan saja di Pulau Pinang soal siapa itu Melayu dibangkitkan, tetapi di mana-mana saja. Jika nak bahas soal "Melayu jati", kita tidak akan capai kata sepakat.

Melayu adalah satu-satunya "bangsa" yang ditakrifkan dalam Perlembagaan dan berdasarkan takrifan itulah wujudnya "Melayu". Saya adalah Melayu-Arab, itu adalah kenyataan yang tak boleh dinafikan. Datuk saya dari negeri Arab manakala nenek orang Bayan Lepas keturunan Melayu-Brunei.

Sejak Merdeka, Malaya dan kemudian Malaysia diketuai oleh Perdana Menteri Melayu berdarah campuran. PM pertama (Tunku) adalah Melayu-Siam, Tun Razak Melayu-Bugis, Tun Hussein Melayu-Turki, Tun Mahathir Melayu-India, Tun Abdullah Melayu-Cina dan kini Najib kembali kepada Melayu-Bugis.

Ketua pembangkang Anwar Ibrahim adalah Melayu-India.

Oleh itu, tidak harus berbangkit siapa lebih "Melayu" seperti yang saudara perkatakan berlaku di Pulau Pinang dan saya akui kebenarannya.

Di Seberang Perai pun wujud persoalan yang sama walaupun orang SP berkata mereka lebih "Melayu" daripada orang bahagian pulau.

Wakil-wakil rakyat dan pemimpin UMNO Seberang Perai yang berketurunan India adalah buktinya, seperti Musa Sheikh Fadzir, Omar Shah, Latif Mirasa dan Anwar Ibrahim sendiri. Pak Lah pula berketurunan Cina dari Kwantung (Guandong) melalui darah ibunya. Datuknya Hassan Ma berhijrah dari sana.

Oleh itu, tidak perlulah kita bangkitkan soal siapa itu "Melayu" atau siapa lebih "Melayu" antara keturunan-keturunan "Melayu" yang ada di Pulau Pinang mahupun di mana-mana negeri. Isunya kompleks dan tiada titik kesudahan.

Anonymous said...

Sdra Syed
memang kompleks bila berckap tentang melayu. tiada kesudahannya.
pokok pangkalnya atas nama 'melayu' seharusnya bangsa itu bersatu.

tahu kah apa berlaku dalam DUN PP baru-baru ini. pembangkang diketuai melayu macam tak cukup akal saja berhujah dlm DUN.

walaupun saya tidak berada dlm Dewan, dari cerita yang didengari, wakil2 BN macam dungu, mudah diratah oleh kerajaan diketuai lim guan eng.

guan eng dengan muka senyum selalu memberi jawapan yang cukup bernas. jangan dengar, lihat dan bergantung pada rtm/tv3 saja.

melayu sentiasa dalam kerugian.
malu....sungguh memalukan mendengar semua cerita yang sampai...

zulkifli said...

"Orang Melayu terpinggir" - ini slogan politik yang anehnya, tidak pernah lekang di bibir pihak UMNO Pulau Pinang, dari dulu sampai sekarang. 5o tahun lebih memerintah tak cukup masa kah untuk mereka menyahpinggirkan orang Melayu? Jangan disalahkan Lim Guan Eng atau kerajaan Pakatan Rakyat. Siapa yang meminggirkan Melayu marhen Pulau Pinang? Pemimpin UMNO Pulau Pinang tak ada yang terpinggir kalau dilihat dari segi kehebatan rumah, bukan, istana , mereka. Di Bukit Jambul, di Jalan Residensi ada beberapa rumah pemimpin dan businessman Melayu Pulau Pinang. Yang merobohkan kampung Melayu Tanjung Tokong ialah UDA, yang mana Pengerusinya ialah mantan ADUN Bertam, Parlimen Kepala Batas, yang juga pernah menjawat jawatan Pengerusi PERDA.
Yayasan banyak-baynak tidak berguna kalau yang dibantu bukan Melayu marhen, tetapi untuk menggemukkan tembolok Melayu kroni.

Unknown said...

Benar, apa yang berlaku atau apa yang dilakukan oleh pembangkang Melayu dalam DUN Pulau Pinang amat memalukan.

Sdr Zulkifli,

itulah hakikatnya di Pulau Pinang. "Melayu terpinggir" dan "masalah Melayu" tidak lebih daripaa slogan politik. Betul apa yang dikatakan mengenai isu Tanjong Tokong. Malangnya, pemimpin peringkat persekutuan masih nak mengabui mata rakyat dengan menubuhkan sebuah lagi "yayasan".

Anonymous said...

Pak Tuan Syed,

Pak Tuan mungkin bekas wartawan kanan di Bernama dulu. Dan Pak Tuan juga tau etika wartawan tu milik sapa. Saya tengok media arus perdana tidaklah seteruk yg disebut. Pada keseluruhannya agak seimbang. Apa salah RTM paparkan BN saja? RTM bilik kerajaan. Pak Tuan Syed ada tengok tv internet milik PKR, atau PAS? Mereka pun sama saja. 2 kali 5 tu! Ada mereka paparkan yang baik tentang BN? Takda Pak Tuan, percayalah.

Apapun, teruskan menulis Pak Tuan Syed. Jgn mudah bosan. Ada juga yang bosan dan tertekan tetapi terus menulis dan berkarya.

Syabas atas terus menulis Pak Tuan Syed.

Ali dari Glugor

Unknown said...

Ali,

Semasa saya bertugas selama 27 tahun dengan Bernama, kami pun terima arahan tertentu dari pihak atasan (kerajaan)tetapi tidaklah sampai ke tahap sekarang.

Dalam isu pilihan raya, ia bukan antara kerajaan dengan pembangkang, tetapi antara dua pihak yang berlainan parti. Oleh itu, media perlu bersikap saksama dan tidak memihak, terutama badan penyiaran kerajaan, ia dimiliki kerajaann yang ada dan pembiayaan termasuk bayaran gaji dibuat dengan hasil sumbangan rakyat dalam bentuk cukai dan hasil bumi seperti minyak. Rakyat terdiri daripada penyokong parti yang memerintah dan parti pembangkang. sebagai kakitangan awam, petugas RTM tidak boleh memihak kepada mana-mana parti politik walaupun mereka mesti taat dan setia kepada kerajaan, bukan parti.

Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran sekarang adalah "orang luar" yang diambil secara kontrak. Dia bukan kakitangan awam dan kontraknya boleh ditamatkan pada bila-bila masa oleh kerajaan. Oleh itu dia pasti tidak mahu kontraknya ditamatkan dan dia tidak akan membiarkan sesuatu yang negatif dilakukan oleh RTM.

Kita tidak boleh samakan RTM dengan tv internet milik parti-parti politik kerana RTM milik rakyat bukan milik mana-mana parti politik. Inilah yang membezakan antara RTM dengan stesen-stesen penyiaran lain termasuk yang disalurkan melalui Internet.

Kepada Sdr Ali, saya rakamkan ucapan terima kasih atas sokongan saudara untuk saya terus menulis. Saya amat menghargainya.

Cokodok said...

Salam...

Perkataan Melayu menurut perlembagaan adalah seperti berikut..

"Malay" means a person who professes the religion of Islam, habitually speaks the Malay language, conforms to Malay custom and -
(a) was before Merdeka Day born in the Federation or in Singapore or born of parents one of whom was born in the Federation or in Singapore, or was on that day domiciled in the Federation or in Singapore; or
(b) is the issue of such a person;

hmmmmmm... ertikata lain... semua org bleh jd melayu... hahahahah...

Unknown said...

Cokodok,

Itulah tafsiran Perlembagaan. Jika mendiang Tun Tan Cheng Lok dan anaknya mendiang Tun Tan Siew Sin beragama Islam, maka Melayulah mereka. Begitu juga dengan ratusan ribu Baba dan Nyonya serta masyarakat Chitti Melaka.

Anonymous said...

Salam,
Tuan Syed

Samalah macam BERNAMA yang dah nak melingkup bila melayu2 yang tadbir dan banyak salah guna kuasa. Yang jadi mangsa adalah orang2 melayu juga.

Ada GM baru ingat bagus. Berdasarkan pengalaman di syarikat swasta rasanya dia mampu menambahkan keuntungan kepada BERNAMA. Malangnya GM baru ini pun 2 X 5. Caranya adalah memotong semua faedah2 pekerja. Staff BERNAMA dah naik muak dengan perangai GM yang baru.

Mula2 dulu datang, kami semua mengharapkan GM ini lebih baik daripada yang lepas2. Kesudahannya sama saja. Pi mai pi mai Tang Tu ... hahahahaha

Renung-renungkanlah Tuan.

Orang BERNAMA

Anonymous said...

Salam Pak Tuan,
PP akan jadi macam tu walaupun sapa yang memerintah kerana orang Melayu PP ashik dok bergaduh sesama sendiri dan Ketua2 Bahagian dok buat duit. Bila depa dah tak jadi Ketua depa ashik dok kata sebaliknya, tapi depa lah hantu raya yang tak bertuan di PP. Saya anak PP dan dah pindah ke tempay lain dan saya rasa saya dah buat keputusan yang terbaik untuk keluarga saya.