Saturday, January 17, 2009

Sogokan wang kepada pemberita cukup mengaibkan



Perbuatan menyogok wang kepada petugas media yang membuat liputan pilihan raya kecil untuk mengisi kekosongan kerusi Dewan Rakyat bagi kawasan undi Kuala Terengganu amat mengaibkan. Ia lebih dahsyat apabila dikatakan berlaku di Pusat Media yang dikendalikan oleh Jabatan Penerangan.

Dua orang pemberita akhbar berbahasa Mandarin yang disogok telahpun membuat laporan polis. Kita tunggu dan lihat sejauh mana pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan bertindak.

Beberapa orang petugas media dalam talian, Malaysiakini.com, yang turut menerima wang tersebut yang diisi dalam satu sampul surat telah memulangkannya kepada pihak berkenaan. Mereka seharusnya membuat laporan polis supaya tindakan dapat diambil.

Tidak tahu pula saya siapa yang memberi sogokan itu tetapi menurut Malaysiakini.com, petugas media diminta oleh pihak berkenaan di Pusat Media untuk menulis nama dan nama pertubuhan media yang diwakili. Setiap petugas media yang berbuat demikian akan diberi sampul surat berisi wang tunai RM300.

Setiausaha Akhbar Menteri Penerangan menafikan perbuatan itu dilakukan oleh pihak kementerian tetapi yang menjadi kenyataan, ia berlaku dan dilakukan pula di Pusat Media kendalian Jabatan Penerangan.

Pak Lah (Datuk Abdullah Murad - Ketua Pengarah Jabatan Penerangan) perlu memberi penjelasan bagaimana perkara seumpama ini boleh berlaku di Pusat Media yang dikendalikan oleh jabatannya. Nama baik dan kewibawaan Jabatan Penerangan jelas terjejas dek perbuatan terkutuk itu.

Saya tidak sangka budaya sampul surat untuk petugas media yang cukup terkenal di sebuah negara jiran kini berlaku di negara ini dan ianya dilakukan dalam Pusat Media rasmi kendalian sebuah jabatan kerajaan.

Rakyat dah naik muak dan jelek dengan liputan berat sebelah media arus perdana terutama yang dimiliki dan yang berkaitan kerajaan pada setiap pilihan raya umum dan pilihan raya kecil, ini ditambah pula sogokan wang tunai. Apa nak jadi dengan integriti yang begitu hangat dilaung-laungkan oleh kerajaan?



11 comments:

Anonymous said...

bukan yang pertama kali dan bukanlah isu baru...

Unknown said...

Setahu saya, pertama kali dalam sebuah Pusat Media Jabatan Penerangan.

Sebelum ini, memang berlaku tetapi antara orang politik/parti politik dengan individu pertubuhan media.

Sebagai contoh, apabila menjelang musim pilihan raya ataupun pemilihan parti (UMNO), ada individu dari pertubuhan media yang mendapat "upah" untuk menghasilkan tulisan atau laporan yang memihak sebelah.

Kemunculan penulis-penulis upahan (mercenary witers) di negara ini bukan perkara baru termasuk yang menghasilkan buku untuk menjulang seseorang pemimpin.

Tetapi, sogokan menerusi sebuah Pusat Media Jabatan Penerangan adalah satu perkembangan baru.

Unknown said...

Kesilapan typo - mercenary writers bukan witers.

Unknown said...

Jangan menuduh tanpa bukti. itu namanya auta tanpa fakta... kalau bercakap tanpa bukti, itu bermakna menuduh membuta tuli....

Unknown said...

Aisaf,

Ini bukan tuduhan. Ia berlaku dan perlakuan itu berlaku di Pusat Media kerajaan termasuk yang membabitkan Unit Media di Pejabat MB Terengganu. Apakah saudara petugas Jabatan Penerangan atau Unit media berkenaan yang menafikan kebenaran?

Nampaknya, saudarapun termasuk dalam kalangan orang yang dijangkiti "sindrom penafian" atau denial syndrome yang sering dibawa oleh para pemimpin UMNO/BN.

Sindrom itulah yang akan membawa padah apabila kebenaran mengatasi kepalsuan.

Unknown said...

Saya abdullah morad(paklah) ingin menafikan sekeras kerasnya bahawa jabatan penerangan terlibat dalam pemberian sogokan kepada petugas media seperti tuduhan.Kami tidak pernah memohon atau diberi peruntukan untuk tujuan seperti itu.oleh kerana perkara ini telah dibuat aduan kepada polis dan juga SPRM,biarlah mereka menyiasat secara telus untuk mengetahui kedudukan sebenarnya.

Unknown said...

Kepada Morad,

Saya tidak pasti sama ada anda Abdullah Morad (Datuk KP Jabatan Penerangan) atau seorang penyamar. Tetapi tidak mengapa.

Saya tidak menyatakan Jabatan Penerangan yang memberi sogokan dan saya sedar tiada peruntukan untuk tujuan itu.

Apa yang saya tegaskan adalah perkara itu dilaporkan kepada polis telah berlaku di Pusat Media yang dikendalikan oleh Jabatan Penerangan. Ia tidak bermakna dilakukan oleh kakitangan Jabatan Penerangan tetapi kenapa ia dibenarkan berlaku di Pusat Media?

Petugas Jabatan Penerangan tidak seharusnya membiarkan orang lain menggunakan kemudahan di Pusat Media untuk memberi sogokan termasuk kepada wartawan. Di sinilah letaknya tanggungjawab Jabatan Penerangan.

Anonymous said...

bro syed,
saya begitu hargai tentang komen saudara mengenai wang sogokan yang berlaku di pusat media pilihanraya jabatan penerangan dan unit media dan komunikasi kerajaan terengganu baru-baru ini. rakan-rakan dari terengganu kata perkara itu telahpun selesai kerana pegawai tersebut dipanggil oleh bpr untuk memberi penjelasan lanjut dan semuanya beres pak. yang kita rasa pelik sedikit, kenapa 'towkay' nak beri duit kepada orang press kerana mereka bukannya pengundi di situ. saudara pun tahu, amalan beri duit kepada orang press ni bukanlah suatu yang baru. itulah - niat baik, cara tak betul dan akhirnya kerja tak jadi. niat orang yang berduit tu memanglah baik untuk orang press buat belanja, tapi caranya tak kena kerana menggunakan pusat media kerajaan dan akhirnya pecahlah tembelang. itulah sebabnya mereka perlu belajar dari unta yang lehernya panjang.

Unknown said...

Mary Brown,

Lega sikit bila anda kembali memberi pendapat setelah sebegitu lama berdiam diri.

Seperti yang anda sebut, saya tidak menuduh Jabatan Penerangan beri rasuah dan saya harap faktor ini difahami.

Persoalan yang saya bangkitkan dan yang anda turut ulas, ialah kenapa Pusat Media dipergunakan dan disinilah letaknya kekhilafan pegawai bertugas di Pusat Media yang datangnya dari Jabatan Penerangan. Akibat kealpaan pegawai berkenaan, nama baik Jabatan Penerangan terpalit.

Perkara sedemikian tidak boleh dibiarkan berulang. Pak Lah Penerangan mesti ambil tindakan tegas dan tidak bertolak ansur.

Unknown said...

memang benar saya adalah abdullah morad kp penerangan bukan menyamar.sebenarnya perkara ini berlaku tanpa dirancang.saya mengambil semua teguran secara positif dan telah mengarahkan semua petugas supaya lebih berhati-hati bagi mengelakkan kejadian ini tidak berulang.saya ingin mengucapkan setinggi tinggi terima kasih atas keperihatinan sdr.dan memuji sikap yang profesional dalam memelihara etika kewartawanan.

Unknown said...

Terima kasih Pak Lah (Datuk KP Penerangan) kerana sudi memberi ulasan. Amat jarang sekali bagi seorang ketua jabatan berbuat demikian. Sekali lagi terima kasih.
Saya percaya pihak berwajib, iaitu polis ataupun SPRM, akan dapat membawa pihak yang tidak bertanggungjawab itu (sudah tentu bukan petugas Jabatan Penerangan) ke muka pengadilan sekiranya ada kes.

Selamat bertugas dan tahniah atas sikap dan semangat bertanggungjawab Datuk KP.