Friday, April 02, 2010

SELAMAT ULANG TAHUN KE-64 RTM

Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyambut ulang tahun kewujudannya yang ke-64 bulan ini. Semuanya bermula dengan penubuhan sebuah stesen wayarles di Pulau Pinang dan perjalanan selama 64 tahun memperlihatkan kemajuan yang begitu hebat bagi stesen penyiaran milik kerajaan itu.

Tahniah RTM.

Ingatan saya dikebelakangkan kepada awal tahun 50-an di mana semasa kecil dan minda mampu menikmati siaran Radio Malaya, sesuatu yang indah yang masih kekal dalam ingatan. Di Pulau Pinang ketika itu ada tiga buah stesen radio yang boleh diikuti melalui pancaran gelombang pendek dan gelombang sederhana.

Selain Radio Malaya, ada Rediffusion dan Radio Royal Air Force yang dipancarkan dari pangkalan udara Royal Air Force, Butterworth. Melalui gelombang pendek, siaran dari Singapura dan Medan dapat didengar.

Siaran Radio Malaya ke udara dari stesen di Kuala Lumpur kerana pada waktu itu tiada stesen penyiaran di setiap negeri seperti sekarang.

Para penyiar pada waktu itu dikenali sebagai juruhebah dan bukan DJ. Semua juruhebah memiliki suara yang hebat, mantap dan sedap didengar sama seperti kata-kata ia menjadi halwa telinga pendengar.

Saya masih ingat dan sesekali seolah-olah mendengar semula suara-suara keramat juruhebah Radio Malaya, yang hampir semuanya sudah kembali ke Rahmatullah, seperti Haji Abu Bakar Ahmad, Aziz Abu Hassan, Hashim Amer Hamzah, Siti Hawa Zain, Zahrah Za'aba, Murtadza Za'ba, Daud Meah dan Zainal Alam serta kemudiannya Zulkifli Amin, Zulkarnain Hassan dan Ismail Jah.

Dua rancangan yang saya minati ketika itu ialah Kebun Pak Awang dan Mak Iti dengan Anak-anaknya. Sekarang, saya meminati stesen Klasik Nasional.

Para juruhebah Radio Malaya dahulu menggunakan bahasa Melayu yang sempurna, indah dan tidak dinodai dengan campur aduk bahasa Inggeris. Mereka benar-benar mendaulatkan bahasa Melayu dengan sebutan yang betul dan jelas serta mudah difahami pendengar.

Kita tidak nafikan perubahan besar dari segi penggunaan alat penyiaran yang canggih tetapi dari sudut penggunaan bahasa Melayu, saya berpendapat para juruhebah silam jauh lebih baik. Mungkin juruhebah canggih yang kini dikenali sebagai DJ atau "Disc Jockey", tidak menggunakan bahasa Melayu tetapi bahasa Malaysia, maka penggunaan bahasa Melayu dalam erti kata yang sebenar telah dikurangkan.

Saya juga tidak faham kenapa mesti menggantikan juruhebah dengan DJ sedangkan peranan dan tugas DJ pada hakikatnya tidak kena dengan tugas mereka. Setahu saya, DJ membawa maksud "a person who uses samples of recorded music to make techno or rap music" dan pengertian lain ialah "dinner jacket".

Inilah padahnya apabila bahasa Melayu ditukar menjadi bahasa Malaysia, umpamanya maklumat ditukar kepada informasi, siaran langsung menjadi "live", perhubungan diganti dengan komunikasi, kakitangan penerbitan menjadi kru, hasil jadi produk, pengarang lagu jadi komposer dan banyak lagi.

Walau apapun, kita rakamkan ucapan tahniah kepada RTM.

3 comments:

Non-partisan said...

Tuan Syed,

Memang tepat sekali apa yang dikatakan.Kita yg masih kecil pun amat berminat dgn suara mereka. Walaupun tidak ada pesaing mereka tetap menjaga kualiti termasuk rancangan seperti yang Tuan Syed katakan.

Pada masa itu belum ada TV. Tetapi dapat digambarkan seolah-olah menuntun TV apabila mendengar rancangan drama atau bangsawan yg terudara di radio. Semuanya dilakunkan juruhebah sendiri.

Bukan seperti sekarang yg terpekik terlolong. Buat kelakar, ketua sesama sendiri. Kalaupun ada drama panggil orang luar melakunkannya.

Unknown said...

Non-partisan,

Dulu Radio Malaya benar-benar bersifat profesional tanpa campur tangan atau arahan politik. Sekarang lain pula ceritanya. Itulah yang membezakan secara ketara antara dahulu dan sekarang.

Saya juga menyampah mendengar pekik lolong sang DJ stesen-stesen radio seperti yang anda katakan. Mungkin itulah sikap Dj dan bukan juruhebah bersopan santun yang wujud satu ketika dahulu.

Radio Ga GA said...

Bagi mereka yg duduk di Johor, jinak-jinakkanlah diri dengar BBC yang dipancarkan secara FM dari seberang; terang macam dari sebelah.

Banyak kebaikkan boleh didapati, listen to English yang terang dan jelas; become better speakers in the process.

Atau sekarang dengar on the Net - Google - listen bbc radio dan welcome to the world of excellent (well, subject to some qualifications but definitely better than Radio 4..now ntah Radio Aper ntah..)