Minggu ini ramai yang sibuk dengan Perhimpunan Agung UMNO. Parti politik yang dikatakan "keramat" dan pembela serta pejuang nasib bangsa Melayu. Itu kata mereka, itu hak mereka untuk berkatakan demikian.
Tetapi memandangkan apa yang sedang berlaku dalam UMNO sekarang, kata-kata keramat UMNO dulu, kini dan selama-lamanya mungkin tidak akan menjadi kenyataan. UMNO sudah jauh berubah. Sekiranya para pengasas UMNO dihidupkan semula, mereka mungkin tidak akan mengenali parti yang mereka asaskan.
Saya tidak akan mengulas mengenai perhimpunan agung yang sedang berlangsung dalam suasana cukup meriah lengkap dengan keriuhan bazar, majlis-majlis jamuan dan kemewahan yang tak terbayang oleh para pengasas parti. Biarlah penulis-penulis blog yang lain menulis mengenai persidangan itu. Saya cuma ingin mengingatkan semula pesanan dan wasiat para pengasas UMNO untuk renungan bersama.
Pada tanggal 26 Ogos 1951, semasa menyampaikan ucapan terakhirnya selaku Yang Dipertua UMNO (sekarang disebut Presiden), Almarhum Datuk Onn Jaafar berkata bahawa UMNO telah menerima bebanan, berbagai teguran dan cercaan daripada orang-orang yang hanyalah pandai menegur dan mencerca.
Beliau kesal kerana golongan itu tidak bersedia atau tidak ingin bersama-sama dalam perjuangan parti itu tetapi memilih untuk mengkritik dari luar. Mereka tidak ikut sama dalam membina dan memperkukuhkan UMNO.
Saya bangkitkan perkara ini kerana ingin menunjukkan bahawa UMNO, sebagai sebuah parti "keramat" akan sentiasa mendapat perhatian orang Melayu, sama ada yang berada di dalam parti itu, atau yang duduk di atas pagar ataupun yang menjadi anggota parti lain. Sebab itulah UMNO dikatakan parti "keramat".
Teguran atau cercaan, seperti yang disebut oleh Datuk Onn, sebenarnya membayangkan populariti UMNO. Jika tidak popular, orang tidak akan ambil tahu atau ambil peduli. Pada tahun 1950-an, orang menegur atau mencerca UMNO atas sebab-sebab tertentu termasuk hasrat Datuk Onn untuk "membuka pintu UMNO kepada semua kaum". Hasrat Datuk Onn itu jauh mendahului masa dan orang Melayu tidak dapat menerimanya.
UMNO juga dikritik kerana ingin mendapatkan kemerdekaan. Ada pihak yang berkata bahawa Malaya tidak mampu untuk merdeka dan mempunyai kerajaan sendiri sedangkan orang Melayu tidak mampu untuk menghasilkan walau sebatang jarum. Jadi UMNO dikritik. Pemimpin UMNO dicerca.
Soal kritikan, teguran dan cemuhan terhadap UMNO dan para pemimpinnya bukanlah sesuatu yang baru tetapi sudah menjadi satu kelaziman. Ia harus diterima sebagai salah satu amalan demokrasi dan tidak seharusnya disekat.
Datuk Onn menerima teguran dan kritikan itu dan sebagai seorang pemimpin yang berpegang kepada prinsip perjuangan, beliau melepaskan jawatan dan keluar daripada UMNO untuk menubuhkan sebuah parti lain. Semangat perjuangan dan prinsip yang dipegang kuat oleh Datuk Onn nampaknya tidak diwarisi dalam UMNO termasuk oleh anak-cucu beliau sendiri.
Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra yang dipilih menggantikan Datuk Onn, telah memberi buah fikirannya mengenai apa itu pemimpin atau ketua.
"Ketua ialah seorang hamba yang mempersembahkan diri supaya menjadi pesuruh kepada sekelian rakyat jelata dan pekerjaannya ialah mengorbankan diri untuk berkhidmat kepada rakyat jelata."
Takrifan ketua oleh Tunku cukup hebat. Di mana kita nak dapatkan seorang ketua seperti yang ditakrifkan oleh Tunku sekarang? Ia adalah sesuatu yang sukar pada zaman sekarang.
Jika kita kaji kedudukan mereka yang bergelar ketua dalam peringkat-peringkat tertentu seperti ketua bahagian dan ke atas, sukar untuk kita menemui seorang ketua seperti yang ditakrifkan oleh Tunku.
Ya! ramai yang mengaku bahawa mereka berjuang untuk parti, untuk bangsa, untuk agama dan untuk negara! Tidak seorangpun yang akan berkata bahawa mereka bertungkus-lumus untuk dipilih menjadi ketua bahagian UMNO untuk kepentingan peribadi, kepentingan kelompok tertentu dan kepentingan kroni masing-masing.
Lihat sajalah kedudukan ketua-ketua bahagian yang ada. Bandingkan taraf hidup dan kedudukan mereka sebelum dan selepas menjadi ketua bahagian. Saya akui bukan semua tetapi majoriti.
Seorang mantan penjaga pintu lintasan kereta api yang memasuki UMNO dan dipilih menjadi ketua bahagian dan wakil rakyat mampu mendirikan sebuah mahligai tanpa mendapat kebenaran pihak berkuasa tempatan boleh dijadikan contoh.
Atau seorang mantan pembaca meter elektrik TNB yang memasuki UMNO dan dipilih menjadi ketua bahagian kemudian dilantik menjadi Senator dan kemudian bergelar Datuk dan mampu membina sebuah banglo mewah pun boleh dijadikan contoh.
Banyak lagi contoh yang dapat diberikan untuk menunjukkan betapa mereka yang menjadi ketua dalam UMNO sekarang amat jauh daripada takrifan yang dibuat oleh Tunku.
Jika tidak sudah tentu tidak ada orang yang sanggup mengeluarkan banyak wang semata-mata untuk menjadi ketua bahagian dan kemudian menduduki Dewan Negara atau menjadi wakil rakyat yang dipilih, atau bergelar Datuk dan Datuk Wira dan sebagainya. Adakah ini perjuangan untuk bangsa, untuk agama dan untuk watan atau untuk diri sendiri?
Benar seperti apa yang dikatakan kepada saya oleh seorang ketua bahagian UMNO iaitu beliau terpaksa menjadi hipokrit dan menyuarakan sokongan kepada pemimpin yang ada sekarang semata-mata untuk kelangsungan hidup dalam dunia politik tanah air.
Saya katakan kepadanya bahawa beliau tidak keseorangan. Dalam UMNO ramai hipokrit. Ramai yang nak hidup mewah, ramai yang inginkan gelaran dan ramai yang nak pertahankan kedudukan.
UMNO dulu, kini dan entah sampai bila.....
No comments:
Post a Comment