(Pak Lah di Jelebu, zaman dahpun beredar, pesaka bila nak bergilir?)
Kebelakangan ini, ramai yang bercakap mengenai "rombakan" Kabinet pimpinan Datuk Seri Abdullah bin Haji Ahmad (Badawi). Bermacam spekulasi dan andaian dibuat oleh pelbagai pihak termasuk penulis-penulis media siber.
Ramalan mengenainya semakin rancak apabila mantan orang kuat UMNO Selangor yang kini Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad bin Muhammad Taib mengangkat sumpah sebagai ahli Dewan Negara (Senator).
Saya percaya perubahan akan berlaku. Kekosongan akan wujud apabila Perdana Menteri menggantikan beberapa orang menteri dengan muka baru dan muka lama yang diberi semangat dan nafas baru.
Ramalan sesetengah pihak kononnya Menteri Kewangan II Tan Sri Nor Mohamed Yakcop terpaksa mengosongkan kerusinya sudahpun meleset. Tempoh perkhidmatan Tan Sri Nor selaku Ahli Dewan Negara telahpun dilanjutkan untuk tiga tahun lagi oleh Yang Di-Pertuan Agong. Jadi kedudukan Nor Mohamed tidak tergugat.
Nor Mohamed dilantik menduduki kerusi Dewan Negara oleh SPB Agong atas nasihat Pak Lah pada 8 Januari 2004 dan tempoh satu penggalnya akan tamat pada 7 Januari 2007 dan akan dilanjutkan untuk tiga tahun lagi (penggal kedua dan akhir) mulai 8 Januari 2007 hingga 7 Januari 2010.
Ahli Dewan Negara atau Senator hanya boleh menduduki kerusi Dewan untuk tempoh dua penggal sahaja atau enam tahun.
Perlantikan mantan Menteri Besar Selangor yang kini Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad bin Muhammad Taib menarik perhatian ramai. Desas-desus menyatakan Mat Taib atau Mat Tyson akan dilantik menganggotai Kabinet dan saya yakin ramalan ini akan menjadi kenyataan.
Mat Tyson telah membuktikan keberkesanannya selaku ketua penerangan UMNO dan selaku panglima perang UMNO dalam menghadapi pilihan raya, sama ada pilihan raya kecil ataupun pilihan raya umum.
Ramai ahli UMNO yang berpendapat bahawa selaku ketua penerangan UMNO, Mat Tyson seharusnya diberi tempat dalam Kabinet. Kedudukan ketua penerangan UMNO amat penting bukan sahaja kepada parti tetapi kepada jentera pentadbiran politik keseluruhannya.
Jawatan paling sesuai untuk beliau adalah Menteri Penerangan. Jika demikian, bagaimana pula kedudukan Datuk Seri Zainuddin Maidin? Ramalan yang dibuat oleh tukang-tukang telek politik hampir serupa, iaitu ZAM akan digugurkan.
Adakah ZAM seorang sahaja yang akan digantikan oleh Pak Lah? Bagaimana pula kedudukan Datuk Aziz Samsuddin, Datuk Seri Rafidah Aziz, Datuk Azmi Khalid dan Datuk Seri Rais Yatim? Adakah mereka akan dikekalkan dalam pentadbiran Abdullah Badawi atau digantikan dengan muka-muka baru?
Semua nama yang saya sebutkan adalah wakil UMNO dan Perdana Menteri selaku Presiden UMNO tidak perlu berunding dengan sesiapapun untuk sama ada menggugur atau melantik menteri dari kalangan UMNO.
Tetapi jika mana-mana perubahan yang hendak dibuat membabitkan menteri dari parti-parti komponen Barisan Nasional, Perdana Menteri perlu berunding dengan presiden parti-parti berkenaan dan parti itu yang akan mengemukakan beberapa nama untuk dipertimbangkan oleh Perdana Menteri. Perkara ini sudahpun menjadi satu kelaziman dan amalan di negara ini.
Perubahan dalam Kabinet yang besar kemungkinan akan dibuat sama ada pada bulan Januari atau Februari depan tidak dapat diramalkan sama ada dalam bentuk gugur dan ganti atau gugur dan ganti serta rombak.
Kita harus tahu membezakan antara pengisian kekosongan dengan rombakan. Pengisian kekosongan tidak bermakna rombakan Kabinet. Ia sekadar mengisi satu-satu kekosongan yang berlaku atas sebab-sebab tertentu. Rombakan Kabinet pula melibatkan pertukaran portfolio di kalangan Menteri. Ia melibatkan perubahan jawatan. Pihak media sering melakukan kesilapan apabila menyebut rombakan Kabinet sedangkan tiada rombakan yang dibuat tetapi hanya mengisi kekosongan.
Apa yang sedang diperkatakan oleh media termasuk media alam siber hanyalah satu ramalan atau spekulasi. Sama ada perubahan ataupun rombakan akan dibuat oleh Perdana Menteri akan terjawab sebelum Mac 2007, itupun jika teka-teki ini betul dan tepat.
Bagi saya, Perdana Menteri perlu melakukan perubahan dalam Kabinetnya. Para menteri yang diwarisi daripada barisan Kabinet sebelum 2004 perlu diganti, bukan semua, tetapi kebanyakannya termasuk Rafidah Aziz dan Rais Yatim. Rais selaku berkata zaman beredar, pesaka bergilir, kini zaman sudahpun beredar dan pesaka perlu bergilir.
No comments:
Post a Comment