Saya menghabiskan sepanjang minggu pertama Syawal di kampung, iaitu di Pulau Pinang. Saya mengambil kesempatan itu untuk cuba melupakan seketika peristiwa baik dan buruk yang menimpa masyarakat dan bumi bertuah ini. Tetapi, rupa-rupanya isu perbalahan antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi merupakan antara topik paling utama di mana-mana, tak kira di rumah orang yang dikunjungi atau apabila tetamu mengunjungi ke rumah.
Ada yang agak beremosi mempertahankan Pak Lah dan tidak kurang yang memihak kepada Tun M. Malah, dalam satu keluarga yang saya temui, perbezaan pendapat dan pendirian yang berlainan wujud. Si bapa saudara menyokong Pak Lah manakala anak saudara mempertahankan Tun M.
Suasana dan keadaan demikian bukan saja wujud dalam keluarga bahkan dalam masyarakat dan dalam parti politik, terutama Umno. Perpecahan yang berlaku cukup jelas. Dalam Umno, ramai yang bijak berlakon dan bersandiwara semata-mata untuk menjamin kelangsungan hidup dalam sepak terajang politik. Puak-puak yang "bermusuhan" mula mencari-cari dan melabelkan "musuh" masing-masing. Si polan itu dikatakan orang Pak Lah dan si polan ini pula orang Najib (TPM). Maka bermulalah congak-menyongak jika orang itu orang Najib maka dia dikatakan menyokong Tun M kerana kritikan yang dilemparkan oleh Tun sebenarnya menguntungkan Najib.
Orang Najib pula cukup hebat dengan permainan wayang kulit dan gamelan Pahang yang menggambarkan "kesetiaan" dan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Pak Lah selaku presiden Umno dan Perdana Menteri. Sokongan dan ikrar taat setia mereka boleh dipersoalkan keikhlasannya.
Sebenarnya, kita sedang menyaksikan ulang tayang sandiwara yang sering dilakonkan apabila Umno menghadapi krisis seperti yang berlaku dalam zaman Almarhum Tunku Abdul Rahman, semasa Tim A ditentang oleh Tim B dan semasa isu Datuk Seri Anwar Ibrahim memuncak. Inilah Umno yang sebenarnya.
Dalam keghairahan mengejar kedudukan, tempat, pangkat dan kekayaan, orang Umno yang hampir 100 peratus beragama Islam, kecuali segelintir di Sabah dan masyarakat keturunan Siam di Kedah dan Kelantan, sering melupai ajaran dan perintah Yang Maha Agung dan Yang Maha Berkuasa.
Umat Islam dilarang sama sekali daripada berpecah-belah dan berselisih faham tetapi apa yang berlaku tidak mencerminkan perintah Tuhan. Ia berlaku bukan sahaja di Malaysia bahkan di seantero dunia Islam. Semuanya kerana manusia tamak kuasa, ingin cepat kaya dan mementingkan pangkat dan kebesaran duniawi.
Malangnya, manusia sering lupa untuk bersyukur kepada Allah seperti yang diperintah olehNya.
"Ingatlah kurnia Allah kepada kamu, ketika kamu dahulu bermusuh-musuhan, lalu Allah persatukan antara hati-hati kamu (dalam agama Allah)". (Ali Imran: 103)
Ayat ini merupakan satu perintah daripada Allah untuk bersyukur kepadaNya. Iaitu sesudah adanya titik permusuhan yang kuat antara kaum "Aus dan kaum Khazraj. Mereka sering berbunuh-bunuhan. Mereka juga sering rampas-merampas, saling menzalimi antara sesama sendiri, sehingga Allah mengutus RasulNya dan menurunkan kitabNya (Al-Quran), akhirnya mereka bersatu-padu.
Segala bibit permusuhan dan dendam kesumatpun lenyap, segala bentuk fitnah dan pemboikotanpun hilang. Malah mereka "betukar kulit" menjadi saudara seagama, menyokonh tugas-tugas Rasulullah s.a.w. dan mendukung syiar Allah s.w.t. Bukankah semua itu disebabkan oleh nikmat Islam?
Apakah umat Islam yang mendokong Umno tidak boleh mengambil iktibar daripada kisah yang disebut dalam Al-Quran ini? Sampai bila nak bermusuh-musuhan? Manusia mana yang tidak melakukan kesilapan dalam mengharungi kehidupan duniawi apatah lagi dalam menerajui sesebuah kerajaan?
1 comment:
Kami org Johor tuntut UMNO Johor yang sedang mengadakan Konvensyen pada hari Ahad dan Isnin ini supaya menyokong tuntutan DYMM Tuanku Sultan Johor untuk merobohkan Tambak Johor yang merupakan legasi penipuan penjajah terhadap negeri Johor.
Kami juga tidak setuju dengan rancangan K(haz)ianat untuk SJER mengadakan Free Access Zone, pihak berkuasa otonomi SJER, memberi keutamaan kepada pelabohan & lapangan terbang singapura, dan menjadikan JB bandar satelit & tempat berhibur untuk Singapura.
Daulat Tuanku!
Daulat Tuanku!
Daulat Tuanku!
Post a Comment