Thursday, November 16, 2006

Ucapan Mufti Shuib seharusnya timbulkan kesedaran & keinsafan

Walaupun pada mulanya saya keberatan untuk mengulas mengenai perhimpunan agung UMNO yang sedang berlangsung, tetapi hati dan perasaan saya terguris dan terharu mendengar ucapan wakil UMNO Selangor, Datuk Mufti Shuib, pada hari kedua persidangan (Khamis 16 November).

Bagi saya, inilah antara ucapan dari kalangan perwakilan yang cukup bermakna, berisi dan penuh dengan ingatan dan kata-kata nasihat untuk direnungi oleh generasi pelapis dan golongan muda dalam UMNO. Datuk Mufti merujuk kepada mereka sebagai Melayu mentaliti kelas pertama.

Saya cukup kenal dengan Datuk Mufti semasa sekampung dengannya di A.U.2A Taman Seri Keramat dan beliau bukan orang baru atau produk mi segera dalam UMNO. Beliau tergolong dalam kategori veteran UMNO yang banyak berjasa kepada partinya.

Saya dapat menyatakan bahawa intipati ucapan Datuk Mufti menjurus kepada matlamat untuk mengenang kembali dan mengingat sejarah berkaitan penubuhan UMNO, kisah suka-dukanya dan yang lebih penting kisah semangat perpaduan di kalangan rumpun Melayu yang terdiri daripada berbilang kaum dan suku kaum seperti Jawa, Minang, Boyan, Banjar, Aceh, Batak, Mandailing, Melayu, Bugis, Arab, Jawi Peranakan, Mamak dan sebagainya.

Saya harap para perwakilan telah disedarkan bahawa dari titik awal perjuangan mencapai kemerdekaan, UMNO telah hidup dan dihidupkan dengan semangat perjuangan yang berapi-api, walaupun menghadapi tekanan secara kasar dan secara halus daripada pentadbiran penjajah Inggeris.

Pada masa itu, orang Melayu yang mendokong dan memimpin UMNO dikatakan bertaraf mentaliti kelas ketiga seperti yang disebut oleh Datuk Mufti, namun semangat perjuangan mereka tidak mudah dilunturkan.

UMNO dapat bergerak sehinggalah ia berjaya menghasilkan taraf kerajaan sendiri di Tanah Melayu pada tahun 1955 dan akhirnya kemerdekaan pada tahun 1957. Apabila negara menyambut kemerdekaan, Datuk Mufti berusia 19 tahun, iaitu 11 tahun lebih tua daripada saya. Seperti Datuk Mufti, saya juga dapat mengimbas kembali detik-detik bersejarah itu.

Apa yang cuba diperkatakan oleh Datuk Mufti ialah semua kejayaan itu adalah natijah daripada semangat perjuangan UMNO yang bermula pada tahun 1946 di padang Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur. Perjuangan itu merangkumi setiap perasaan, setiap keazaman dan setiap pengorbanan orang Melayu mentaliti kelas ketiga. Mereka telah membulatkan perjuangan terhadap menegakkan kedaulatan bangsa Melayu dan kemerdekaan tanah air.

Tetapi, kata Datuk Mufti, ramai Melayu sekarang bermentaliti kelas pertama tetapi bersemangat juang kelas ketiga. Mentaliti mi segera!

Wakil Selangor itu juga berkata sekalipun pemimpin berubah tetapi perubahan itu berlaku secara baik. Beliau menyebut kata orang tua... patah tumbuh hilang berganti. Tiada perebutan dalam parti, yang dahulu didahulukan dan yang terkemudian tunggu giliran. Tetapi, kata-kata itu tidak relevan sekarang. Satu patah seribu menunggu untuk menggantinya.

Penghargaan seharusnya diberikan kepada para pemimpin terdahulu kerana setiap pemimpin yang bersilih ganti telah meneruskan dasar perjuangan dengan cita-cita dan matlamat yang sama. Oleh itu, jasa dan khidmat bakti semua mantan presiden UMNO tidak boleh dipertikai dan diperkecil-kecilkan.

UMNO mesti sentiasa menghargai dan berterima kasih kepada Almarhum Datuk Onn Jaafar, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra, Almarhum Tun Abdul Razak, Almarhum Tun Hussein Onn dan Y.A.Bhg. Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mereka mempunyai cara dan corak kepimpinan yang berlainan tetapi matlamat dan halatuju yang satu. Mereka telah menabur jasa yang tidak ternilai harganya dan tidak dapat diukur dengan hakikat yang nyata.

Oleh itu, ahli UMNO mesti membulatkan perpaduan dan bersama-sama membaharui azam dan tekad supaya perjuangan orang Melayu kembali kepada semangat asal dengan memusatkan segala usaha, tenaga dan kemampuan demi kepentingan masa depan yang lebih cemerlang.

Hapus dan kikiskan mentaliti mi segera!

4 comments:

apekome said...

Saya setuju bahawa hanya ucapan Dato Mufti yang agak boleh diterima berbanding semua uycapan pembahas-pembahas yang sudah dipilih dan ditapis darisegi orang dan kandungan ucapan masing-masing. Sebagai peringatan kepada Umno, cara initidak semestinya baik. Mungkin bauk buat masa ini tetapi untuk akan datang, ia tidak semestinya baik. Yang bercakap tu sedikit saja orangnya, tapi yang mendengar tu ramai orangnya. Yang mengundi adalah orang yang ramai mendengarnya. Kalau mereka percaya apayang dicakapkan, nasib baiklah, Tapi, kalaua yang mendengar ity memperlecehkan apa yang dikatakan, kesannya amat tidak baik. Sekarang pun, malah di luar dewan sewaktu pembahas-pembahas sedang berhujah pun, pemerhati sudah memperlecehkan mereka dengan mengatakan bodej lagi, bodek lagi. Cuma, bila ada diselang seli dengan jenaka, ia tidak begitu dirasakan. Apa pun Dato Mufti boleh diberi pujian kerana beliau tidak terikat dengan mana-mana pihak dan sudah tentu tidak mengharapkan apa-apa jawatan atau kedudukan daripada Umno lagi. Yang lain-lain tu, bercakap soal kontrak, minta kontrak secara gurauan. Inilah orang Umno sebenarnya.

A Voice said...

Apakah dilakukan oleh Dato Mufti berkenaan Kg Berembang, Ampang yang mana AzmanWahid, menantunya adalah ADUN?

Syed Imran said...

Sesuatu yang amat menyedihkan.

Tetapi, jangan dipersalahkan Dato Mufti. Yang menjadi ADUN adalah menantunya. Kalau menantu tidak sensitif mengenai sesuatu masalah, takkan bapa mertua nak dipersalahkan.

Kita harus akur bahawa negara ini mempunyai undang-undang dan peraturan yang mesti dipatuhi dan pelaksana undang-undang pula mesti mempunyai sikap bertimbang rasa dan perikemanusiaan.

Mungkin sikap ini yang asing bagi sesetengah pihak termasuk ADUN Bkt Antarabangsa dan MPAJ.

Ampangboy said...

saya lagi kenal dato mufti lebih dari saudara... bapa saya adalah rakan karib dato di Kampung baru, memang geng-geng pokok jati hujung pasir.

memang betul ucapan datuk fasal "mee segera", tapi kalau nak ikutkan anak menantu beliau pun dikira mee segera juga... belum sempat beliau mengosongkan kerusi terus mencadangkan menantu nya Sdr Azman Wahid, bekas Guru yang sepertiya...yang bagi saya, tak layak menduduki. Lihat sahaja cara beliau berucap... ucapan kosong tak sehebat mentuanya... jikalau dulu anak didik yang derhaka kepada mufti Sdr Jamaludin Ropa saya angap memang layak di kerusi Azman Wahid kerana cuma 3 tahun menduduki tangga pemuda sudah hebat mengelapai pemuda, tetapi si Azman seumpama spare tayar kosong yang sudah tak bermaya.

Datuk Mufti di zaman kegemilangannya memang diakui hebat, yelah manataknya... rakan2 kampung beliau seperti Sulaiman Rounders, Arwah Dato Ahmad Razali, adalah pengiat UMNO yang hebat menyokong beliau dari belakang. Perjuangan mereka dahulu adalah perjuangan tulus, ikhlas dan benar..bukan mee segera..

Tetapi malangnya setelah zaman berlalu ... diakhir perjuangan Dato Mufti..saya boleh katakan disini, perjuangan beliau kepada mempertahankan Monarki pemerintahan beliau di Ampang Jaya...lebih kepada mengumpul kekayaan kepada anak2 dan menantu beliau, dan membelangkangi kepentingan penduduk. Lihat sahaja pilihanraya lepas... sepatut Dr Rozaidah yang lawan Azmin Ali, sebaliknya beliau mengeluarkan surat layang memalukan Dr Rozaidah yang mengakibatkan Dr terpaksa berundur dan diganti kan "anak angkat" beliau hazlinda zerain yang masih mentah macam mee segera...

Isu kampung berembang memang isu panas...Ia timbul semenjak dibawah naungan Dato Mufti lagi..terus gagal diselesaikan oleh "useless" menantu beliau. Memang membosankan bila saya asik berjumpa muka Sdr Azman dengan alasan tak masuk akal..bak seperti rekoder rosak.

Mufti dizaman kegemilangan nya memang kami solute...tetapi dan tidak sekarang sudah pudar dan tidak releven.

Jikalau saudara kata saudara kenal beliau lebih dalam arena politik... saya cuma boleh katakan saya kenal beliau dengan hati dan budi, dari asal usul beliau mula masuk UMNO sehingga kini.