Tuesday, November 21, 2006

Soal pegangan bumiputera, data mana yang betul?

(Bangunan Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang)

Unit Perancang Ekonomi (EPU) kata 18.9 peratus, Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) kata 45 peratus, Universiti Malaya (UM) kata 33.7 peratus dan timbalan menteri kewangan Dato' Dr Awang Adek Hussin kata 36.64 peartus. Mana satu yang betul?

Kecelaruan mengenai data ekuti bumiputera adalah sehebat kecelaruan berkaitan pelaksanaan dan kejayaan dasar yang diwujud khusus untuk membantu bumiputera khasnya dalam sektor ekonomi dan rakyat Malaysia amnya.

Sasaran pemilikan ekuiti bumiputera sebanyak 30 peratus di bawah Dasar Baru Ekonomi (ini yang betul, bukan dasar ekonomi baru, yang baru adalah dasar bukan ekonomi) tidak tercapai dan tempoh pelaksanaan dasar itu sudah pun tamat. Yang dilanjutkan adalah sasaran dalam dasar itu seperti pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat.

Oleh itu, kerajaan melanjutkan tempoh sasaran hingga ke tahun 2020 kerana pemilikan bumiputera dalam aset produktif fizikal dan bukan fizikal masih jauh. Jurang pendapatan antara kaum Cina dengan bumiputera bernisbahkan 1:1.64 pada tahun 2004 dan kerajaan akan cuba kecilkan kepada 1:1.50 pada tahun 2020.

Bumiputera harus akui bahawa pencapaian sebanyak 18.9 peratus (angka EPU), dalam bidang ekonomi diperolehi kerana peranan agensi-agensi kerajaan. Sebilangan kecil orang Melayu yang mencapai sedikit kejayaan bergantung semata-mata kepada perniagaan dengan kerajaan. Tanpa kerajaan, orang Melayu tidak dapat bersaing.

Ini, sebenarnya, bukanlah pencapaian yang dimaksudkan dan diharapkan dalam dasar yang disasarkan. Matlamat dasar baru ekonomi adalah bagi orang Melayu dan bumiputera lain menyertai bidang ekonomi dengan kebolehan dan kekuatan mereka sendiri. Jika kerajaan membantu, ini adalah pada permulaan sahaja atau dalam pembekalan kemudahan-kemudahan asas untuk menembusi bidang yang dimonopoli oleh kaum lain.

SYARIKAT MILIK BUMIPUTERA

Dato' Dr Awang Adek telah mengutip data Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang menunjukkan bahawa sebanyak 717,935 buah syarikat telah didaftarkan sehingga 31 Disember 2005 dan daripada jumlah ini, terdapat 172,568 buah syarikat yang dikawal oleh orang Melayu, iaitu 24 peratus dari segi jumlah syarikat yang didaftarkan dan jumlah ini juga berdasarkan kepada pemilikan lebih daripada 50 peratus yang dipegang oleh bumiputera.

Manakala berdasarkan kepada laporan tahunan yang dikemukakan oleh syarikat tersenarai setakat 31 Dis 2005, peratusan pegangan saham oleh bumiputera di dalam syarikat tersenarai di Papan Utama dan Papan Kedua Bursa Malaysia adalah seperti berikut:

1. bagi syarikat-syarikat dimana pemilikan adalah kurang daripada 30 peratus sebanyak 539 buah syarikat
2. bagi pemilikan antara 30 peratus hingga 50 peratus oleh bumiputera, jumlahnya ialah 187 buah syarikat, dan
3. bagi pemilikan lebih 50 peratus oleh bumiputera jumlahnya ialah 186 buah syarikat.

Dr Awang Adek berkata jika dikira dari segi peratusan, sebanyak 59 peratus adalah syarikat-syarikat dimana pemilikan bumiputera adalah 30 peratus ke bawah, 20.5 peratus dimana pemilikannya adalah 30 peratus hingga 50 peratus dan hanya 20.4 peratus pemilikannya adalah lebih daripada 50 peratus.

Nilai pemilikan adalah seperti berikut:

1. bumiputera RM78.4 bilion atau 36.6 peratus
2. bukan bumiputera RM100.4 bilion atau 46.9 peratus
3. asing (nominee) RM35.2 bilion atau 16.45 peratus.

Data ini adalah data rasmi kerajaan seperti yang dinyatakan oleh timbalan menteri kewangan dalam jawapan lisan di Dewan Rakyat pada 7 Nov 2006 ketika menjawab pertanyaan Tengku Razaleigh Hamzah. Wakil Gua Musang itu meminta menteri kewangan menyatakan jumlah syarikat yang dikawal oleh orang Melayu (tidak termasuk badan-badan amanah kepentingan Melayu) dan nilai saham pegangan orang Melayu berbanding dengan pihak lain pada akhir 2005 dan berapakah syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia dan nilai sahamnya.

Sudah lebih 35 tahun kerajaan dan rakyat memperjuangkan agenda bumiputera ini. Banyak kemajuan telah dicapai. Masyarakat bumiputera boleh berbangga dengan kelahiran banyak profesional, usahawan dan syarikat bumiputera yang telah berjaya dalam bidang perniagaan dan perindustrian. Ramai ahli korporat, akauntan, jurutera, doktor pakar, peguam dan profesional dalam beberapa bidang yang lain.

Kejayaan dasar baru ekonomi harus dilihat dari semua sudut kerana ia adalah satu dasar yang menyeluruh. Ia bukan dasar yang dikhususkan kepada bidang perniagaan atau ekonomi semata-mata. Ia bukan sekadar memberi laluan kepada segelintir bumiputera mendapatkan tender, kontrak atau hak pengedaran barangan tertentu. Dasar baru ekonomi diwujudkan bukan untuk melahirkan jutawan mi segera.

No comments: