UMNO telahpun menamatkan perhimpunan agungnya di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur. Buat julung kalinya, persidangan yang ada kalanya berapi-api dan sesekali agak dingin dan beriawara itu, dipancarkan ke seluruh negara secara langsung oleh Astro.
Keputusan kepimpinan UMNO untuk membenarkan siaran langsung dilihat sebagai satu kemajuan tetapi ia mempunyai natijah yang buruk dan juga baik.
Ia baik kerana bukan semua ahli UMNO dapat mengikuti perbahasan di PWTC. Mereka boleh mengikutinya melalui kaca tv. Oleh itu, ahli UMNO dan rakyat jelata dapat mengetahui apa yang sedang berlaku terutama ucapan sebenar dan tidak lagi bergantung kepada media yang tak mungkin memberi liputan 100 peratus. Ini baik.
Saya dapati bahawa liputan secara langsung persidangan-persidangan parti politik mempunyai kesan yang kurang baik dari segi penerimaan penonton terhadap apa yang dibangkitkan oleh pembahas.
Selaku pembahas politik, terutama sebuah parti yang bercorak perkauman seperti UMNO, MCA, MIC atau parti yang didominasi oleh satu-satu kaum seperti Gerakan, perkara-perkara berbau sensitif tidak dapat diketepikan. Lazimnya, pembahas akan menekankan fakta-fakta ini dalam nada yang berapi-api, tanpa memikirkan perasaan orang lain yang mendengarnya. Ini tidak baik untuk sebuah negara majmuk seperti Malaysia.
Kita sudahpun merayakan ulangtahun kemerdekaan yang ke-49 dan tahun depan, Malaysia berusia 50 tahun. Malaysia sebenarnya sudah matang. Rakyat Malaysia sepatutnya matang. Malangnya, ramai yang belum matang!
UMNO tentu sedar hakikat bahawa ia secara bersendirian tidak mampu membentuk sebuah kerajaan di peringkat persekutuan. UMNO memerlukan sokongan dan kerjasama rakan-rakannya seperti MCA, MIC, Gerakan, PBB dan parti-parti yang mewakili kaum Iban di Sarawak dan parti-parti lain di Sabah.
Di Semenanjung, kekuatan UMNO semakin berkurangan ekoran "perpecahan" masa lalu dan isu Anwar Ibrahim selain sokongan yang bertambah untuk PAS. Orang Melayu boleh dikatakan berpecah tiga. Ini tidak termasuk segelintir orang Melayu yang menyokong Gerakan, DAP dan PPP. Pendek kata, bukan semua orang Melayu menyokong UMNO dan Barisan Nasional. Angka keahlian tidak boleh diterjemahkan sebagai sokongan dalam pilihan raya.
Adakah jangka hayat UMNO akan berakhir dalam jangka masa yang singkat ini? Adakah UMNO akan menerima nasib yang sama seperti parti Congress di India, Liberal Democratic Party di Jepun dan beberapa parti politik yang mendokong kemerdekaan Indonesia seperti Partai Nasional Indonesia, Partai Demokrasi Indonesia dan Partai Golongan Karya (Golkar)?
Pertubuhan-pertubuhan politik di India, Jepun dan Indonesia yang saya sebutkan itu telah berjasa dan mendapat sokongan yang jauh lebih hebat daripada sokongan orang Melayu kepada UMNO. Kesemua parti politik itu tumbang, walaupun ada yang bangun semula tetapi dalam bentuk dan corak perjuangan yang berbeza.
Ia berlaku kerana kealpaan pucuk pimpinan dan ahli-ahli terhadap perkembangan semasa dan kehendak rakyat, atau akibat daripada perebutan kuasa yang mencetuskan perpecahan ataupun kerana soal rasuah dan salahguna kuasa.
Ramuan yang mencetuskan kejatuhan parti Congress di India, LDP di Jepun dan PDI serta Golkar di Indonesia setelah sebegitu lama berkuasa, sudahpun kelihatan dalam UMNO. Penyakit paling besar adalah rasuah dan salahguna kuasa.
Hasrat pemimpin utama UMNO, Abdullah Badawi untuk memerangi rasuah termasuk rasuah politik agak hambar kerana pemimpin-pemimpin bawahannya sudah leka dan hanyut dalam arus kemewahan hidup atau apa yang disebut oleh Pak Lah sendiri sebagai sindrom mi segera.
Nak cepat kaya, nak cepat berjaya dan nak cepat berkuasa adalah sindrom mi segera. Tetapi, sesuatu yang diperolehi secara segera akan berakhir dengan segera juga.
Jika sikap dan perangai mi segera tidak diubah dan diganti dengan semangat untuk bekerja kuat, tidak hipokrit dan berjuang dengan jujur dan ikhlas, jangka hayat UMNO boleh dikatakan tidak ubah seperti sebutir telur di hujung tanduk.
Hayatilah dengan teliti ucapan veteran UMNO dari Ampang, Selangor, Datuk Mufti Shuib. Fahamilah isi ucapannya dan ambil iktibar daripadanya.
No comments:
Post a Comment