Thursday, December 31, 2009

SELAMAT TAHUN BARU MASIHI






Dalam menyambut tahun baru masihi atau Era Kristian dengan bermacam acara dan majlis yang diadakan di sana sini, jangan lupa bahawa bertambahnya usia dunia bermakna bertambahlah usia kita. Dunia mendekati hari kiamat begitu juga kita yang mendekati hari kematian.

Oleh itu, perbanyakkanlah amal ibadat, amal kebajikan dan amalan-amalan yang berguna dan berfaedah untuk kita, keluarga, masyarakat, negeri dan negara tak kira apa anutan agama atau kepercayaan hidup. Kita adalah insan yang sama-sama menumpang hidup di atas bumi yang sama.

Berpada-padalah dalam menyambut tahun baru.


Monday, December 28, 2009

Soal nak penjara orang bukan perkara kecil


Ada kawan yang mengirim SMS kepada saya seolah-olah ingin tahu kenapa saya tidak mempertahankan rakan penulis blog, Datuk Ibrahim Yahya (Dunia Tiger) yang diancam untuk dipenjarakan oleh makhluk DAP. Kata kawan tersebut hanya penulis blog Ahiruddin Atan (Rocky's Bru) yang sokong melalui penulisannya.

Sebagai 'orang lama' yang memiliki pengalaman yang lebih sedikit, saya sebenarnya tidak melihat apa yang dikatakan oleh makhluk yang mengaku dia bertugas di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng itu sebagai sesuatu yang penting tetapi ia tidak lebih daripada sampah.

Saya anggap orang seperti itu sebagai si bahlol, si baghal dan si tolol yang cuba menonjolkan diri sebagai seorang yang ada kuasa dan kekuatan untuk mengancam dan mengugut orang lain.

Di Malaysia, hanya mahkamah yang boleh dan diberi kuasa untuk menjatuhkan hukuman penjara selain Menteri Dalam Negeri yang diberi kuasa di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk menahan (sebenarnya penjara tanpa bicara) seseorang di pusat-pusat tahanan yang diwartakan seperti di Kamunting, Perak. Orang lain tidak ada kuasa dan tidak boleh berbuat demikian.

Sebab itulah saya rujuk orang yang bekerja di Pejabat KM Pulau Pinang itu sebagai seorang yang tidak lebih daripada si bahlol, si baghal dan si tolol.

Kita tidak perlu layan orang sedemikian rupa kerana kita bukan bahlol, baghal atau tolol.

Saturday, December 26, 2009

Akibat pemandu terlelap, 10 nyawa melayang

Saya tidak dapat menahan kesedihan dan amat berdukacita apabila mendapat tahu bahawa pemandu bas ekspres yang kecelakaan di KM272.8 Lebuh Raya Utara Selatan mengakibat 10 orang penumpang terkorban, mengaku dia terlelap semasa memandu.


Amat malang bagi keluarga yang kehilangan orang tersayang kerana terpaksa berduka cita dan meratapi musibah itu semata-mata kerana si pemandu bas Sani Ekpress terlelap.


Jika mengantuk, kenapa tidak memberhentikan bas dan diganti oleh pemandu kedua? Mungkin persoalan ini tidak berkaitan kepada keluarga yang kehilangan orang tersayang kerana ia sudahpun berlaku dan ajal maut tak dapat ditahan atau ditangguh. Ia sudah ditentukan Yang Maha Berkuasa.


Saya mengenali Syed Harun Aljunid yang sekali gus menerima takdir kehilangan dua orang anak perempuannya, Sharifah Raheel Aljunid, 21, dan Sharifah Hasanah Aljunid, 15, dalam tragedi amat menyedihkan itu. Sharifah Hasanah baru saja memperolehi keputusan 6A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah atau PMR. Hanya mereka berdualah anak perempuan dalam keluarga Syed Harun.


Sebelum itu, 12 hari lalu saya menghadiri majlis walimatul-urus anak lelaki Syed Harun, iaitu abang kepada kedua-dua gadis malang itu, di rumah mereka di Taman Melor, Sungai Petani. Itulah kali terakhir saya menatapi wajah kedua-dua anak gadis itu.


Syed Harun, yang berasal dari Pulau Pinang, adalah pesara Jabatan Penyiaran (RTM) dan memilih untuk menetap di Sungai Petani, Kedah, iaitu negeri kelahiran isterinya.


Kecelakaan yang meragut 10 nyawa itu seharusnya membuka mata dan telinga pihak berkuasa, terutama Kementerian Pengangkutan dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan atau LPKP tentang waktu perjalanan bas ekspres.


Satu ketika yang tidak berapa lama dahulu, ada uru-ura nak melarang bas ekspres daripada beroperasi pada waktu menghampiri tengah malam. Ianya disuarakan berikutan satu tragedi di lebuh raya sama dekat Kuala Kangsar yang meragut 22 nyawa.


Ura-ura itu senyap begitu sahaja bak kata orang hangat-hangat tahi ayam. Di Malaysia, pihak-pihak tertentu memang cepat membuat janji dan seolah-olah akan segera bertindak apabila sesuatu nahas atau tragedi yang meragut banyak nyawa berlaku. Malangnya, selalunya ia senyap tanpa sebarang tindakan dan terus dilupakan.


Berapa banyak lagi tragedi yang perlu berlaku sebelum pihak berwajib nak bertindak, dan berapa banyak janji dan ikrar yang nak dibuat tetapi tidak akan dilaksanakan ...?


Seperti kata MB Perak Dr. Zambry Abdul Kadir....''Nyawa orang ramai adalah yang paling utama.''


Beliau mengulangi desakan kepada kerajaan persekutuan supaya mempertimbangkan agar tidak membenarkan lagi bas ekspres beroperasi pada waktu malam.

Ini bukan satu atau dua Malaysia, bukan soal BTN itu perkauman atau tidak bukan soal sidang PARLIMEN perlu dihadkan waktunya tetapi soal nyawa manusia dan soal keberkesanan pelaksanaan undang-undang dan peraturan.

Tuesday, December 22, 2009

Kecurian enjin jet pejuang cukup mengaibkan

Bukan satu tapi dua buah enjin jet pejuang F5E-Tiger lesap daripada kawalan keselamatan dan diseludup ke luar negara.

Apa nak jadi dengan sistem keselamatan negara dan selepas ini apa pula yang akan lesap... jet pejuang Sukhoi atau kapal selam Scorpene...????

Kehilangan enjin jet pejuang berlaku semasa Kementerian Pertahanan dibawah pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Menteri Pertahanan, iaitu pada tahun 2007 dan hanya disedari hampir setahun kemudian.

Sebuah enjin yang hilang itu bernilai RM50 juta dan ini bermakna jumlah kerugian sebanyak RM100 juta.

Wang ringgit boleh dicari tetapi soal keselamatan negara tiada nilainya dan tidak boleh sama sekali ditolak ansur. Inilah yang membimbangkan kita kerana kecurian itu berlaku dalam kawasan yang tidak sepatutnya berlaku, iaitu di sebuah pangkalan udara yang sudah tentu dikawal ketat.

Dalam laporan yang didedahkan oleh akhbar The New Straits Times, enjin pertama yang hilang dibawa keluar dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Butterworth, Pulau Pinang ke Pangkalan TUDM Sungai Besi, Kuala Lumpur pada 26 Jun 2007.

Pada 1 November 2007, enjin kedua dibawa keluar dari TUDM Butterworth ke TUDM Sungai Besi untuk kerja-kerja baik pulih dan selenggaraan.

Kehilangan kedua-dua enjin jet pejuang itu disedari pada bulan Mei 2008, iaitu hampir setahun kemudian dan pada 4 Ogos pihak TUDM membuat laporan polis; pada 13 Mei 2009 polis menyerahkan kertas siasatan pertama kepada Jabatan Peguam Negara.

Kehilangan dua buah enjin jet pejuang bukan perkara kecil tetapi ia amat mengaibkan dari segi kawalan keselamatan dan soal keselamatan negara pada keseluruhannya. Jika enjin jet yang bukan satu benda yang kecil dan yang tidak boleh didapati di mana-mana sahaja boleh hilang daripada sebuah tempat yang dikawal ketat, bagaimana pula dengan aspek kawalan keselamatan amnya di semua tempat strategik seperti loji penjanaan tenaga, loji penapisan minyak, prasarana perhubungan dan penyiaran dan sistem pengangkutan termasuk di lapangan-lapangan terbang?

Kehilangan dua buah enjin jet pejuang juga memperlihatkan kelemahan yang amat sangat dari sudut kawalan keselamatan. Sebelum ini negara dikejutkan dengan kehilangan cip mikro bernilai berpuluh juta ringgit yang dibawa dengan lori kontena dari sebuah kilang di Bayan Lepas, Pulau Pinang mengakibatkan pemilik kilang dari Amerika Syarikat hilang kepercayaan akan aspek keselamatan di negara ini.

Kita juga sering membaca mengenai kecurian kayu balak yang dikeluarkan dari hutan-hutan simpan oleh berpuluh lori balak dan kecurian pasir yang diseludup ke negara jiran.

Benda yang dicuri bukan benda kecil seperti mancis tetapi kayu balak, cip mikro yang dibawa lari bukan dengan basikal tetapi lori kontena dan pasir yang diseludup bukan dengan perahu kayak tetapi tongkang besar.

Macam mana pihak berkuasa boleh tak nampak dan tidak sedar akan kelilangan dan kecurian tersebut sedangkan benda yang dicuri bukan benda kecil atau kenderaan/pengangkutan yang diguna untuk mencuri atau menyeludup juga bukan kecil.

Kehilangan/kecurian/penyeludupan kayu balak, cip mikro dan pasir adalah serius tetapi apabila dua buah enjin jet pejuang pun boleh hilang dan diseludup ke luar negara.... ia bukan lagi bertahap serius tetapi amat genting dan berbahaya kerana ia melibatkan ancaman kepada keselamatan negara.

Tindakan tegas mesti diambil dan kenyataan Panglima Ankatan Tentera, Jen. Tan Sri Azizan Ariffin supaya mereka yang terlibat yang disifatkannya sebagai pengkhianat itu didakwa sewajarnya selaku pengkhianat negara.

Wednesday, December 16, 2009

Bas Transnasional cipta cogan kata baru

Sebuah bas Transnasional milik konsortium pengangkutan Bumiputera nampaknya telah memberi pengertian baru terhadap cogan kata atau slogan pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak - Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan - kepada Rakyat Didahulukan capaian iutamakan.

Saya tidak tahu sama ada ia melambangkan kecekapan pihak pengurusan Transnasional atau ia memperlihatkan satu kealpaan dan sikap tidak mengambil berat pihak yang menyelenggara bas berkenaan.

Foto ini dirakam di Perhentian Bas Ekspres Pulau Pinang di Sungai Nibong pada 15 Disember 2009 pukul 3.05 petang.