Wednesday, September 30, 2009

Kebebasan media yang disalahgunakan


Beberapa pihak di Indonesia menyifatkan serangan bertubi-tubi yang penuh dengan pembohongan dan pemalsuan berita oleh media mereka sebagai melambangkan kebebasan akhbar yang wujud di sana.

Kita tidak menafikan kebebasan itu tetapi kebebasan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menyebar berita palsu dan yang sengaja diada-adakan untuk membakar minda dan semangat rakyat membenci Malaysia.

Menteri Luar Anifah Aman juga hairan kenapa media Indonesia masih meneruskan serangan ke atas Malaysia, terutama berkaitan tarian pendet yang popular di kalangan masyarakat Bali beragama Hindu, sedangkan penjelasan telah dibuat oleh pihak Discovery Channel dan penafian oleh pihak berkuasa Malaysia.

Saya percaya tiada seorangpun rakyat Malaysia yang mendakwa bahawa tarian pendet milik kita kerana majoriti warga Malaysia tidak tahu dan tidak pernah melihat tarian itu.

Sebagai seorang berpengalaman 32 tahun dalam industri berkaitan media, saya tidak faham kenapa media Indonesia masih enggan menerima hakikat atau kenyataan. Mereka terus bermain dengan sentimen sempit dan penuh dengan onak semata-mata untuk memburuk-burukkan Malaysia.

Nama Malaysia sendiri dipermain-mainkan dengan panggilan "Malingsia" iaitu negara pencuri kerana kita ditubuh mencuri adat dan budaya mereka.

Adat dan budaya adalah milik manusia dan kita hairan kenapa media Indonesia enggan menerima kenyataan bahawa beberapa adat dan budaya yang sama diamalkan di kedua-dua negara kerana sebilangan besar rakyat Malaysia berhijrah dari Indonesia dan membawa bersama-sama mereka adat dan budaya. Mereka juga berhak ke atas adat dan hudaya yang diamalkan oleh nenek-moyang mereka sama ada di tanah Jawa, bumi Minang, Bugis mahupun Aceh.

Adakah media Indonesia nak menafikan hak rakyat Malaysia keturunan Jawa, Minang, Bugis, Boyan, Banjar atau Aceh daripada mengamal adat dan budaya yang mereka warisi?

Sekarang Indonesia sibuk mendaftar beberapa adat, budaya, seni, makanan dan tanaman sebagai waisan mereka. Mereka telah berjaya menjadikan batik sebagai warisan negara dan yang terkini mereka mahu mendaftarkan temulawak, sejenis herba yang dijadikan ramuan ubatan tradisional, sebagai warisan negara mereka. Apakah semuanya itu perlu?

Kementerian Pelancongan Malaysia juga sedang berusaha untuk mendaftar beberapa jenis makanan sebagai warisan negara dan ia telah menimbulkan rasa kurang senang di kalangan negara jiran yang turut mempunyai makanan yang sama. Apakah ianya perlu?

Berbalik kepada media Indonesia, masih segar dalam ingatan mengenai "wartawan sampul surat" yang menjadi amalan di sana.

Budaya "sampul surat" boleh mengakibatkan seseorang wartawan lupa akan etika kewartawanan, lupa akan tanggungjawab untuk membuat laporan yang benar dan tidak berat sebelah, lupa untuk mengamalkan kejurujuran dan ketelusan dalam menjalankan tugas.

Di Malaysia, walaupun media dikatakan bebas tetapi ada sekatan dan batasannya. Media yang digelar sebagai "arus perdana" dikuasai atau dikawal oleh pihak-pihak yang ada kaitan dengan pemerintah. Laporan yang dibuat lazimnya memihak kepada pemerintah.

Monday, September 21, 2009

Kerana nila setitik....


Kata orang tua yang cukup arif dengan nilai kehidupan, dek nila setitik rosak susu sebelanga. Saya memilih perumpamaan ini kerana inilah yang berlaku di kampung saya menjelang sambutan Aidil-Fitri atau Hari Raya Puasa.

Apa yang berlaku mengaibkan dan menjejas imej Islam dan adab serta budaya Melayu terutama pada bulan Ramadhan Al-mubarak dan di ambang Syawal.

Islam telah dijadikan alasan untuk orang berkenaan bertindak sedangkan ia berlawanan dengan ajaran Islam. Orang berkenaan mungkin berfikir bahawa dia sudah cukup alim sedangkan apa yang dilakukannya memperlihatkan kejanggalan pemikiran.

Yang turut menyedihkan apabila ketua cawangan UMNO turut sama sedangkan ia tiada kaitan sama sekali dengan UMNO mahupun isu politik. Sikap sedemikianlah yang memberi gambaran salah mengenai Islam dan adat budaya Melayu.

Apa yang berlaku?

Seperti tahun lepas, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus Koay Teng Hai dan Ahli Parlimen Bukit Bendera Liew Chin Tong, kedua-duanya mewakili DAP/Pakatan Rakyat memberi sumbangan (bukan wang) kepada warga emas berusia 50 tahun ke atas (untuk sebuah rumah) sempena Hari Raya. Pada tahun lepas, mereka menghantar wakil tetapi tahun ini, YB Liew dan YB Koay sendiri turun padang.

Sebelum mengunjungi kampung berkenaan mereka telah menemui bendahari Jawatankuasa Kariah Masjid yang juga bendahari JK Kampung untuk meminta izin berbuat demikian. Mereka diberi kebenaran dan semasa mengagih-agihkan sumbangan itu, mereka disertai oleh bendahari berkenaan dan salah seorang penduduk kampung.

Kedua-dua wakil rakyat itu turut memberi sumbangan berbuka puasa kepada masjid berkenaan dan turut sama menjamu selera.

Semasa mereka berada di kampung untuk mengagih-agihkan sumbangan raya, mereka diherdak dan dimarahi oleh seorang penduduk dengan alasan kedatangan mereka tidak diperlukan kerana mereka orang kafir dan bermacam alasan lain yang tiada kaitan seperti Yahudi dan soal bangsa (ras).

Perbuatan individu berkenaan yang mendakwa dia mewakili penduduk kampung sebenarnya tidak direstui dan disokong oleh hampir semua penduduk kampung.

Ia bukan kerana mereka berkehendakkan sangat sumbangan yang tidak seberapa itu tetapi ia melibatkan penghormatan ke atas tetamu yang datang dengan tujuan yang baik, bukan datang untuk bermusuhan.

Kita dididik untuk menjalin persahabatan dengan sesiapa sahaja yang tidak bermusuh atau mengancam keselamatan bukan menentang orang yang datang sebagai tetamu tanpa mengira bangsa dan anutan agama.

Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa. Itulah amalan hidup kita. Kita tidak seharusnya membalas manisan dengan tuba atau madu dengan racun.

Saya dan kebanyakan orang kampung tidak melihat kedatangan MP dan ADUN itu sebagai satu isu politik kerana politik adalah hak individu. Sebagai wakil rakyat yang dipilih secara sah oleh rakyat, mereka hanya melakukan apa yang mereka fikir betul, iaitu mendekati rakyat tanpa mengira sama ada penduduk yang mereka kunjungi itu mengundi mereka atau tidak.

Ketua cawangan UMNO yang masih muda dan masih belum matang dalam meredah liku-liku hidup, seharusnya tidak bertindak seperti mana dia bertindak. Dia harus sedar bahawa sebelum pilihan raya lepas, kampungnya diwakili oleh BN/Perikatan (sama ada MCA atau Gerakan) dan dia mungkin tidak tahu atau lupa bahawa wakil rakyat BN/Perikatan tidak menjejak kaki ke kampungnya apatah lagi untuk memberi sumbangan kepada warga emas seperti yang dilakukan oleh wakil rakyat bukan BN sekarang.

Orang kampung bukan begitu daif dan mengharapkan sumbangan atau bantuan daripada mana-mana pihak tetapi mereka menghargai ingatan wakil rakyat berkenaan. Tidak lebih daripada itu.

Orang kampung juga ingin tahu apa yang dilakukan oleh UMNO Cawangan Kelawai untuk mereka selepas UMNO asal diharamkan? Apa yang berada selama ini adalah hasil perjuangan UMNO asal bukan UMNO yang ada sekarang.

Apa yang berlaku bukan atas kehendak penduduk kampung tetapi tindakan mereka yang mungkin terlalu taksub dengan sesuatu sehingga bertindak melampaui batasan adab dan budaya.


Raya di kampung

Sambutan Eid-ul-Fitr di kampung saya di Kelawai, Georgetown, Pulau Pinang tahun ini, seperti biasa, meriah.

Pada malam raya, penduduk kampung mengunjungi setiap rumah untuk bertakbir. Jumlah umat Islam yang menyertainya pada kali ini bertambah terutama di kalangan anak muda. Alhamdulillah.

Walaupun mercun dan bunga api yang 'meletup' diharamkan, entah macam mana ianya terlepas dan kampung saya bukan sahaja dihujani serpihan bunga api tetapi diselimuti asap dan dihalwa telingakan dengan dentuman-dentuman kuat.

Kegembiraan anak-anak bermain bunga api melenyapkan sebarang perasaan marah, jika ada, di kalangan ibu bapa dan orang tua.

Sekali lagi, saya rakamkan ucapan Selamat Hari Raya Aidil-fitri kepada semua ahli keluarga, rakan dan taulan serta pengunjung blog ini.










Saturday, September 19, 2009

Selamat Hari Raya.... banyak bersabar atas jalan raya



Menuju ke Utara Semenanjung...


Bas Ekspres ini bukan sahaja dipandu laju tetapi berada di sebelah kanan lebuh raya dan tidak memberi laluan kepada kenderaan lain.


Alhamdulillah. Saya dan keluarga selamat sampai di Pulau Pinang dari KL. Walau bagaimanapun, perjalanan kali ini mengambil masa hampir tujuh jam kerana kesesakan di Lebuh Raya Utara-Selatan bermula dari Tanjong Malim hinggalah ke Changkat Jering.

Saya bergerak dari KL pukul 5.30 pagi dengan jangkaan tiada kesesakan. Rupa-rupanya silap.


Friday, September 18, 2009

Minal Aidil Wal Faizin


SELAMAT MENYAMBUT AIDIL-FITRI KEPADA SEMUA PENGUNJUNG BLOG INI.

AMPUN DAN MA'AF DIPINTA SEKIRANYA ISI KANDUNGAN BLOG INI TELAH SECARA TIDAK SENGAJA MENGGURIS PERASAAN ATAU MENYENTUH DAN MENYAKITI HATI SAUDARA MAHUPUN SAUDARI.

"MA'AFKANLAH DAN SURUHLAH BERBUAT MA'RUF, LUPAKANLAH APA YANG TIDAK BERGUNA KEPADAMU DAN BERSEGERALAH MENYEMPURNAKAN TANGGUNGJAWAB."
Al Imam Abu Hanifah Abu Nu'man

Wednesday, September 16, 2009

Hari Malaysia



Hari ini adalah ulang tahun pembentukan Malaysia 46 tahu lalu. Tarikh ini cukup besar ertinya kepada rakyat Malaysia terutama di Sabah dan Sarawak tetapi agak sepi dan dibiarkan ianya berlalu begitu sahaja di Semenanjung Malaysia.

Hari Malaysia sepatutnya dirayakan di seluruh negara sebagai Hari Kebangsaan. Bukan 31 Ogos, iaitu tarikh kemerdekaan Malaya atau Tanah Melayu. Dari sudut politik kenegaraan, Malaya sebagai sebuah negara tidak lagi wujud kerana ia telah diperbesarkan menjadi sebuah negara baru bernama Malaysia.

Jika PM Datuk Seri Mohamad Najib bin Tun Abdul Razak benar-benar ingin menjayakan konsep 1 Malaysia, dia sepatutnya menjadikan tarikh 16 September sebagai Hari Kebangsaan dan satu tarikh yang benar-benar melambangkan 1 Malaysia.

Dengan berbuat demikian, rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak akan lebih merasai kesatuan dan penyatuan dalam sebuah negara bernama Malaysia. Mereka tidak boleh dipaksa menerima tarikh 31 Ogos sebagai ulang tahun kemerdekaan kerana pada tarikh itu pada tahun 1957 mahupun 1963, Sabah dan Sarawak belum merdeka.

SELAMAT MENYAMBUT HARI MALAYSIA.

Tuesday, September 15, 2009

Apabila kita berpecah dan tidak sepakat

Satu demi satu perbuatan, kejadian dan tingkahlaku pihak dan golongan tertentu terhadap maruah dan kedudukan orang Melayu dipaparkan dan dipancarkan ke seluruh dunia.

Saya tidak mahu mengulangi semua perbuatan yang bersifat biadab itu tetapi cukuplah dengan menyebut suara si baghal yang menghadiri mesyuarat agung Kongres India Malaysia (MIC) yang mahu mengalung selipar pada gambar mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Lazimnya, masyarakat India akan mengalung 'bunga malai' kepada individu yang dihormati terutama pemimpin dan mereka yang diiktiraf sebagai ketua. Kalungan itu menandakan penghormatan tinggi yang diberikan kepada tokoh berkenaan. Tun Dr Mahathir pernah dikalung bukan satu, dua atau tiga bunga malai oleh masyarkat India tetapi lebih daripada itu pada satu majlis. Sesungguhnya masyarakat India menghormati dan menyanjungi Tun Mahathir.

Mungkin ada yang berkata itu semasa Tun Mahathir berkuasa, benar tetapi amalan itu diteruskan selepas dia bersara kerana Tun Mahathir adalah seorang negarawan yang banyak berjasa kepada negara dan amat dihormati.

Persoalannya, kenapa si baghal dalam MIC itu berani mengeluarkan kata-kata yang turut memeranjatkan sebilangan besar perwakilan MIC termasuk presidennya Datuk Seri S Samy Vellu?

Dia berani berbuat demikian kerana dia belajar daripada 'keberanian' puak-puak tertentu mencabar kerajaan dan kepimpinan negara. Dia melihat betapa kepimpinan Melayu mula dipertikai dan dipersoalkan secara terbuka walaupun kita sedar sebelum ini ia sememangnya berlaku secara berselindung.

Kenapa golongan tersebut berani berbuat demikian? Kenapa si baghal itu berani menghina Tun Mahathir dalam satu perhimpunan rasmi masyarakat India dan secara terbuka?

Jawapannya - dia dan mereka sedar bahawa orang Melayu tidak lagi bersatu, orang Melayu sudah berpecah-belah dan kepimpinan Melayu dilihat sebagai lemah. Itulah puncanya dan ianya bermula selepas era pemerintahan Tun Mahathir.

Salah siapa?