Sunday, August 31, 2008

SELAMAT MENGERJAKAN IBADAH PUASA

Kepada semua pengunjung blog ini yang beragama Islam saya doakan semoga ibadah puasa kita diterima dan dirahmati Allah. Selamat mengerjakan ibadah puasa sepanjang bulan Ramadhan Al-Mubaraq.

Logo Hari Kebangsaan hasil ciplak, sungguh mengaibkan



Logo sebelah kiri adalah logo rasmi yang diguna pakai untuk barangan keluaran Taiwan manakala di sebelah kanan logo Hari Kebangsaan Malaysia ke-51 yang jelas diciplak daripada logo Taiwan.


Memalukan bahkan mengaibkan. Itulah kata-kata yang dapat diluahkan setelah mendapati logo Hari Kebangsaan Malaysia ke-51 adalah hasil ciplak.

Logo itu ditiru hampir keseluruhannya daripada logo rasmi Taiwan. Manusia yang kononnya melakarkan logo itu hanya membuat sedikit perubahan tetapi konsep dan rekabentuknya 100 peratus diciplak.

Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal dan para pegawai yang bertanggungjawab memilih logo itu semestinya berani bertanggungjawab atas kealpaan memilih logo yang diciplak.

Perbuatan dan tindakan mereka memilih sebuah logo ciplak amat memalukan seluruh rakyat Malaysia.

Apakah Malaysia ketandusan insan yang boleh menghasilkan rekaan logo yang asli sebagai lambang kejayaan negara selama 51 tahun, untuk Malaya dan 45 tahun untuk Sabah dan Sarawak?

Semasa mengetuai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Shafie sering malaung-laungkan kepada rakyat Malaysia supaya beli barangan yang "Ori" atau yang asli/tulen. Beliau juga sering mengetuai usaha memerangi cetak rompak tetapi kenapa dalam usaha memilih logo hari kebangsaan, beliau memilih logo ciplak?

Inikah keterbukaan dan ketelusan yang selalu dicanang oleh Kerajaan Datuk Seri Abdullah bin Ahmad (Pak Lah). Adakah keterbukaan dan ketelusan membolehkan kita menutup sebelah mata kepada perbuatan menciplak?

Ciplak adalah satu kesalahan di bawah Akta Hak Cipta. Kita ingin tahu apakah tindakan yang akan diambil ke atas insan yang menciplak logo dari Taiwan untuk dijadikan logo Hari Kebangsaan Malaysia ke-51?




Friday, August 29, 2008

Merdeka ... atau Hari Kebangsaan Malaysia




31 Ogos dikatakan tarikh keramat bagi negara Malaysia. Ia adalah hari kemerdekaan bagi tanah jajahan Inggeris bernama Malaya tetapi bukan untuk tanah jajahan Inggeris di pulau Borneo yang dikenali sebagai British North Borneo dan Sarawak.

Negeri Di bawah Bayu dan Bumi Kenyalang menyambut kemerdekaan sebenar pada 16 September bukan 31 Ogos. Oleh itu, 31 Ogos sebenarnya adalah Hari Kebangsaan Malaysia.


Selepas melepasi separuh abad (bagi Malaya) dan 45 tahun bagi Sabah dan Sarawak, kita tentu tertanya-tanya apa erti kemerdekaan.


Merdekakah jiwa dan raga, semangat dan keringat, hati dan budi kita ....





Kita masih bongkak, angkuh dan sombong. Maruah bangsa tidak boleh dipertahankan semata-mata dengan meminta supaya orang lain tidak menghina kita. Kita mesti membuktikan bahawa bangsa kita memiliki semangat jati diri yang tebal dan bekerja kuat untuk berjaya bukan mengharapkan bantuan dan pertolongan, ... mesti berani kata tidak kepada rasuah dan salahguna kuasa dan buang amalan pilih kasih dan kronisme...



Merdekakah kita sekadar berjaya dalam gelanggang politik tetapi ia membuahkan perpecahan apabila kita taksub dalam satu-satu isu atau pemimpin kita mengamalkan pilih kasih, menghalalkan rasuah dan menutup mata kepada penyelewengan. Merdekakah kita ...?


Apa erti Merdeka jika kita menggunakan kuasa dan kekerasan atas apa nama sekalipun ...


Apa erti Merdeka jika dalam bidang kemasyarakatan, kita sering memencilkan diri, bergaul dengan bangsa sendiri atau rakan senegeri dan kita menggunakan kuasa untuk meraih laba dan harta.
Apakah kita masih tercari-cari sesuatu untuk melengkapkan apa yang kita cuba perjuangkan ... Al-Ghazali, As-Syafie, Islam Hadhari ...? Ke mana hendak dituju, di mana arah haluan?
Kita seharus dan semestinya menyertai sektor ekonomi berbekalkan kebolehan dan kekuatan sendiri bukan bergantung kepada orang lain. Merdekakah kita jika orang lain yang lebih berkuasa dan mengatur segala-galanya ...?

SELAMAT MENYAMBUT HARI KEBANGSAAN NEGARA MALAYSIA.

Tuesday, August 26, 2008

Permatang Pauh - tamparan hebat kpd Pak Lah dan Najib

Kemenangan besar Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan kekalahan memalukan yang dipikul oleh Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil kerusi Dewan Rakyat (Parlimen) Permatang Pauh merupakan satu tamparan menyakitkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah bin Ahmad dan timbalannya Datuk Seri Najib bin Abdul Razak.

Pak Lah telah beberapa kali turun ke Permatang Pauh untuk merayu dan meminta para pengundi menyokong calon BN, Arif Shah Omar Shah, yang kononnya calon popular dan paling sesuai untuk berdepan dengan Anwar semata-mata kerana dia boleh berturur bahasa Cina, iaitu Mandarin dan Hokkian serta dapat membawa perubahan ke Permatang Pauh. Sebaliknya, beberapa akhbar berbahasa Cina mendedahkan perbuatan Arif Shah yang kurang jujur berkaitan kelayakan akademiknya.


Selaku pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang, Pak Lah harus memikul tanggungjawab atas kekalahan BN Pulau Pinang di tangan Pakatan Rakyat (PR) pada pilihan raya umum Mac lalu dan kini kekalahan teruk pada pilihan raya kecil Permatang Pauh.

Najib pula boleh dikatakan berkampung di Permatang Pauh untuk memastikan calon BN yang dibanggakan kerana boleh bertutur dalam bahasa Cina itu, patut sama-sama memikul tanggungjawab atas kekalahan itu.

Najib sendiri terlibat dengan serangan peribadi ke atas Anwar dan memperlekehkan agama Islam apabila mengangkat sumpah di dalam masjid di Permatang Pauh. Orang Najib juga telah membawa orang yang tidak sepatutnya terlibat sama dalam pilihan raya kecil ini seperti Konsol Kehormat Mongolia dan manusia yang membuat tuduhan dia diliwat oleh Anwar.

Selain itu, Najib juga telah menggunakan kemudahan kerajaan khususnya Kementerian Pertahanan untuk turun ke Permatang Pauh sedangkan ia dilarang oleh undang-undang kerana pilihan raya tiada kaitan dengan Kementerian Pertahanan mahupun Pejabat Timbalan Perdana Menteri. Ia adalah soal politik dan bukan soal pentadbiran.

( Nak kebumikan kerjaya politik Anwar Ibrahim, inilah sikap angkuh Khairy yang merupakan antara faktor kenapa rakyat terus menolak BN di Permatang Pauh)

Antara kesilapan besar yang dilakukan oleh jentera BN ialah membawa naib ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin (KJ) untuk berkempen. Kehadiran KJ telah menyemarakkan serangan peribadi ke atas Anwar dan pendekatan ini membuatkan rakyat di Permatang Pauh marah.

Dengan begitu angkuhnya, KJ melaungkan kata-kata bahawa pilihan raya kecil Permatang Pauh sebenarnya akan menanamkam (menyemadikan) kerjaya politik Anwar dan bukan untuk membuka jalan untuk Anwar ke Putrajaya. KJ adalah antara orang yang begitu lantang menghentam peribadi Anwar. Ini adalah satu kesilapan amat besar yang tidak disukai oleh orang Permatang Pauh.

Seperti biasa, BN tidak mempelajari daripada kesilapan dengan menjadikan pembangunan sebagai umpan untuk mendapatkan undi. Muslihat ini sudah ketinggalan zaman dan tidak lagi diterima oleh rakyat. Walau seluruh Kabinet turun ke Permatang Pauh dengan menaburkan 1001 macam bantuan dan membuat beratus-ratus janji, rakyat tidak mudah terpedaya dan terpengaruh. Ini adalah taktik lapuk.

BN sebenarnya tidak peka dan tidak mengikuti arus perdana berbanding dengan PKR. Kempen yang dijalankan oleh BN tidak berkesan kerana isu yang dibangkitkan lebih mirip kepada serangan peribadi, sogokan pembangunan dan janji-janji manis berbanding dengan isu pokok yang dibawa oleh PKR iaitu kehidupan seharian rakyat.

Kehadiran sebegitu ramai orang UMNO yang berkampung sama ada di Permatang Pauh atau di Bukit Mertajam tidak memberi sebarang kesan kerana kebanykan mereka hanya melepak dan membuang masa. Ketua-ketua bahagian UMNO termasuk yang diterbangkan dari Sabah juga tidak membantu sama sekali. Kehadiran mereka hanya membazirkan wang sahaja.


Oleh kerana terlalu terdesak untuk menang, BN sanggup menggunakan taktik kurang sihat sedangkan kempen yang dijalankan oleh PKR jauh lebih teratur dan berkesan. Isu liwat dan sumpah laknat sebenarnya telah melaknatkan BN sendiri. Kehadiran tokoh-tokoh agama yang dihormati oleh masyarakat Melayu seperti Dr Haron Din, Datuk Seri Haji Hadi Awang, Dauk Seri Nik Aziz Nik Mat dan mantan mufti Wilayah Persekutuan Datuk Hashim Yahya dengan mudah mematahkan serangan BN itu.

Orang Melayu tolak dakwaan ke atas Anwar kerana mereka tidak dapat menerima perbuatan mengaibkan itu. Mereka berpendapat bahawa ia adalah isu lama yang dibangkitkan semula semata-mata atas kepentingan politik dan ia bukan satu isu bagi rakyat tempatan.

Rakyat Permatang Pauh juga tidak dapat menerima tuduhan yang dilemparkan ke atas Anwar kononnya dia adalah pengkhianat bangsa, ejen Amerika dan yang lebih dahsyat lagi ejen Yahudi.


(Pengorbanan Dr Wan Azizah cukup berbaloi dan amat dihargai oleh pengundi Permatang Pauh)

Kita juga tidak boleh menafikan bahawa media arus perdana seperti Utusan Malaysia, New Straits Times, Berita Harian, RTM, TV3 dan stesen-stesen lain di bawah Media Prima dan Bernama, tidak memberi liputan yang adil dan saksama. Hampir semua media berkenaan menghidangkan laporan berat sebelah atau yang condong memihak kepada BN. Kita juga akui ada media alternatif termasuk penulis blog yang memihak kepada Anwar Ibrahim semata-mata kerana mereka dah naik muak dengan sikap media arus perdana.

Tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR).


Anwar menang di Permatang Pauh

Berita mutakhir: Datuk Seri Anwar Ibrahim menang dengan majoriti 15,524 undi. Anwar memperolehi 31,195 undi, Arif Shah 15,524 undi manakala Hanafi cuma 92 undi.



Keputusan tidak rasmi pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh - Datuk Seri Anwar Ibrahim menang dengan majoriti melebihi 12,000 undi.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) sudah pasti akan mempertahankan kerusi yang diwakili isteri beliau, Dr Wan Azizah Ismail. Calon Barisan Nasional (BN) Arif Shah Omar Shah ketinggalan jauh di belakang manakala calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia, Hanafi Mamat hanya diberi 74 undi dan hilang wang pertaruhannya.
BERNAMA melaporkan bahawa sehingga pukul 9.00 malam, Anwar mendahului dengan memperolehi 23,674 undi manakalan Arif Shah di belakang dengan 10,762 undi manakala Hanafi 72 undi.

Monday, August 25, 2008

Sumpah laknat - imam kata dia diarah untuk saksinya



Foto Malaysiakini.com






Salah satu sepanduk yang direntang di Permatang Pauh








Imam Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang menyaksikan majlis atau upacara mengangkat sumpah laknat oleh Mohamad Saiful Bukhari Azlan berkata dia terpaksa berbuat demikian kerana di arah oleh "orang atasannya".


Ustaz Ramlang Porigi, yang turut dijadikan bahan kecaman sama ada melalui e-mel, sms mahupun percakapan umum, berkata semasa berucap di dua majlis berasingan di Permatang Pauh bahawa dia telah diarahkan hadir di majlis sumpah itu pada 15 Ogos lalu dimana Mohamad Saiful mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim meliwatnya.


Ustaz Ramlang, dipetik oleh Malaysiakini.com sebagai berkata agar dia tidak dikaitkan dengan majlis sumpah itu kerana kehadirannya adalah tanpa perancangan awal dan hanya kebetulan berada di masjid untuk urusan pernikahan.

Ustaz Ramlang mengkui bahawa dia adalah ahli UMNO cawangan Seri Machang, dalam bahagian Bukit Mertajam dan mendaftar sebagai pengundi dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh.


Kita menghargai keberanian dan keinsafan yang diperlihatkan oleh Ustaz Ramlang untuk menegak kebenaran walaupun dia adalah ahli UMNO.

Sunday, August 24, 2008

Tunku Abdul Aziz dilantik naib pengerusi DAP



Pejuang anti-rasuah dan amalan bersih yang tidak asing lagi, Tunku Abdul Aziz telah dilantik sebagai salah seorang naib pengerusi kebangsaan Parti Tindakan Rakyat (DAP).

Tunku Abdul Aziz yang pernah memegang beberapa jawatan penting dalam sektor korporat termasuk selaku penasihat Bank Negara dan jawatan penting dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, juga seorang penulis ruangan akhbar New Straits Times/Sunday Times.

Apakah mereka yang menguasai Kumpulan New Straits Times akan menarik balik atau menamatkan ruangan mingguan Tunku Abdul Aziz?

Untuk biodata Tunku Abxul Aziz, sila klik di bawah ini.

Tunku Abdul Aziz Bio