Monday, March 10, 2008

Tahniah orang Pulau Pinang

Saya masih berada di Pulau Pinang dan ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada rakyat Pulau Pinang.

Tahniah bukan kerana mereka telah membuat pilihan yang bijak tetapi kerana mereka tidak mendengar khabar angin dan hasutan pihak tertentu setelah parti Barisan Nasional tumbang.

Saya sendiri menerima beberapa SMS 'memberi nasihat' jangan keluar rumah, jangan ke sana dan jangan ke situ kerana kononnya 'tidak selamat'. Salah satu SMS itu berpunca daripada seorang 'orang kuat' UMNO.

Orang Pulau Pinang - Melayu, Cina, India, Serani, Jawi Pekan, Keling, Arab dan lain-lain - tidak memperdulikan itu semua. Pada malam keputusan pilihan raya diketahui, bilangan orang yang berada di taman-taman selera popular seperti Persiaran Gurney, Padang Kota Lama, Astaka (Jalan Perak) dan Padang Brown (orang Penang kata Padang Berom) tidakpun berkurangan. Tetap ramai.

Zaman sekarang, orang tidak mudah diperdaya dan dihasut. Orang Pulau Pinang telah membuktikan hakikat ini.

Urusan seharian berjalan seperti biasa. Semua bangsa hidup seperti biasa. Tidak ada masalah.

Tahniah orang Pulau Pinang.

Hashim, Khalid Utusan bagaimana?

Selain peranan negatif yang dimainkan oleh RTM, dah tentu atas arahan Mamu Zainudin Maidin (Maideen) yang tersungkur di Sungai Petani, akhbar di bawah Kumpulan Utusan Melayu turut bertanggungjawab atas kekalahan BN (UMNO).

Lihat saja berita yang disajikan oleh Kumpulan Utusan Melayu menjelang dan semasa tempoh berkempen. Laporan Kumpulan Utusan adalah yang paling berat sebelah kepada BN (UMNO) dan yang paling bawah dari sudut profesionalisme kewartawanan. (tak termasuk akhbar berbahasa Mandarin dan Tamil).

Saya tidak menyalahkan para wartawan di lapangan yang membuat liputan. Tidak sama sekali. Mereka hanya mengikut arahan dan tugasan yang diberikan oleh Meja Berita.


Wartawan yang mengendalikan Meja Berita, sama ada ketua pemberita, penolong pengarang berita ataupun pengarang berita, mendapat arahan daripada pengarang, penolong ketua pengarang, timbalan ketua pengarang dan ketua pengarang kumpulan.


Peranan yang dimainkan oleh Kumpulan Utusan telah memberi kesan buruk yang turut menyumbang kepada penolakan rakyat terhadap calon-calon BN. Pembaca dah bosan dan jelek dengan berita yang dipaparkan dalam akhbar, Utusan Malaysia terutamanya.


Rakyat tidak mudah digula-gulakan dengan berita dan cerita yang sebenarnya satu penghinaan kepada minda dan tahap pemikiran mereka. Hakikat inilah yang harus difahami oleh pucuk pimpinan Kumpulan Utusan.


Saya dapati bos-bos besar Utusan Melayu telah turun padang ke Sungai Petani semasa tempoh berkempen dan jelas sekali tujuannya untuk apa. Tak kiralah apa alasan yang diberikan sama ada nak lancar kempen kesedaran membcakah, kempen ITkah atau kempen politik Zainudin Maidin.


Bos-bos Utusan tidak seharusnya membiarkan diri mereka diperalatkan untuk menyokong mantan bos kumpulan akhbar itu. Ini tidak profesional.


Mereka mungkin mengharapkan sesuatu kerana terlalu yakin yang Mamu Zam akan menang besar. Mereka tidak menyangka bahawa satu gelombang besar yang dikatakan tsunami politik akan melanda dan meranapkan segala-galanya.


Apakah kita harus biarkan bos-bos di Utusan Melayu begitu sahaja. Apakah mereka tidak turut bertanggungjawab atas apa yang berlaku? Apakah para pemegang saham Kumpulan Utusan Melayu nak peluk tubuh sahaja?


Terus terang saya katakan, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan Melayu yang bergelar Tan Sri Hashim Ahmad Makaruddin (anak Perak) yang juga mantan Pembantu Khas Tun Dr Mahathir Mohamad semasa berjawatan Perdana Menteri, harus bertanggungjawab penuh atas apa yang dilakukan oleh akhbar-akhbar Kumpulan Utusan Melayu.


Turut bertanggungjawab dan mesti memikulnya ialah Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu yang bergelar Datuk Khalid Mohamad, Nana anak Pulau Pinang (Jelutong).


Mereka berdualah yang bertangungjawab, bukan para wartawan yang mengikut arahan, bukan wartawan yang bertaraf pengarang, penolong pengarang dan pengarang berita. Hanya Hashim dan Khalid sahaja.


Oleh itu, saya mencabar Hashim dan Khalid untuk meletak jawatan kerana di bawah kepimpinan anda berdua, kewibawaan dan profesionalisme Kumpulan Utusan Melayu telah merudum.


Kewibawaan Utusan Melayu mesti dipulihkan. Profesionalisme kewartawanan mesti dipertahankan.

Sunday, March 09, 2008

Mamu ZAM akhirnya disedarkan oleh kenyataan



Tak sah kalau saya tak ulas mengenai mantan menteri penerangan yang tidak popular, Zainuddin Maidin atau Mamu Zam. Semasa menghadiri satu majlis kenduri kahwin di Pulau Pinang hari ini, saya ditanya kenapa tak ulas?

Ramai orang yang menerima kenyataan sedar bahawa Mamu Zam tidak popular di Merbok dan orang Merbok tidak mahu dia bertanding di sana. Pak Lah pun tahu jika Mamu Zam bertanding semula di Merbok dia akan tewas.

Masalahnya, Pak Lah tidak melakukan yang sepatutnya iaitu menggugurkan Mamu Zam sebagai calon. Sebaliknya dia memindahkan mantan pemberita keturunan India Muslim itu ke Sungai Petani untuk menggantikan mantan wakil rakyat BN Mahadzir Khir. Orang Sungai Petani keberatan menerima Mamu Zam tetapi khabar tersebut tidak dihiraukan.

Apabila pihak Parti KeAdilan Rakyat (PKR) menyebarkan cerita bahawa pengundi Merbok menolak Mamu Zam dan sebab itulah dia di terjunkan ke Sungai Petani, maka Mamu pun naik angin dan seperti biasa, menghentam bukan sahaja PKR tetapi media alternatif, terutama penulis blog (bloggers).

Dalam nadi yang amat marah dan sombong, Mamu Zam berkata dia disukai ramai di Merbok dan sebagai seorang ahli parti yang setia, dia sanggup bertanding di mana sahaja jika diarahkan oleh presiden parti.

Yang lebih memeranjatkan, Mamu Zam berkata bahawa dia bukan sahaja akan menang besar di Sungai Petani tetapi akan memastikan yang wang pertaruhan calon PKR Johari Abdul akan hangus (iaitu hilang wang depositnya). Kalau ini bukan angkuh, bukan takbur dan bukan mendahului takdir, tak taulah saya apa nak kata.

Nah, apa dah jadi... Mamu Zam kalah besar (para pengampunya pun terperanjat besar). Calon PKR Johari Abdul menang dengan kelebihan 9,381 undi dan dia bukan sahaja dapat menyimpan wang deposit pilihan rayanya tetapi mendapat penghormatan sewajarnya sebagai seorang ahli Dewan Rakyat.

Geli hati saya melihat para penganalisis yang muncul di kaca tv media arus perdana mengulas kekalahan Mamu Zam. Sebelum hari mengundi, mereka memberi ulasan dan laporan yang hebat mengenai Mamu Zam, lebih-lebih di RTM dan Bernama TV.

Pak Lah harus letak jawatan

Pengerusi BN merangkap ketua kerajaan sementara, Abdullah Ahmad (Badawi) atau Pak Lah harus meletak jawatan.

Kekalahan BN di Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Perak serta kegagalan mempertahankan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat merupakan tamparan besar kepada Pak Lah.
Mesej atau isyarat yang disampaikan oleh rakyat cukup jelas dan Pak Lah mesti menerimanya berdasarkan semangat dan konsep Hadhari yang dibawanya.
Cukuplah Pak Lah. Berhentilah sebelum anda dijatuhkan oleh parti anda sendiri kerana ada desas-desus yang menyatakan kedudukan anda selaku presiden UMNO akan dicabar pada pemilihan agung parti. Jika ini berlaku, anda berkemungkinan besar akan ditolak.
Terimalah hakikat bahawa kepimpinan anda tidak mendapat sokongan majoriti rakyat. Sedarlah wahai Pak Lah. Sedarlah.

Tahniah rakyat Malaysia

Keputusan dahpun diketahui. BN trus memerintah kerajaan persekutuan tetapi tanpa majoriti dua-pertiga.

Parti-parti bukan BN (saya tak suka sebut parti pembangkang kerana dalam pilihan raya mana ada pembangkang, semuanya sama taraf) berjaya menguasai negeri-negeri Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor manakala PAS kekal dan memperkukuhkan lagi kuasanya di Kelantan.

Para penganalisis yang sering kali muncul di kaca tv (semuanya media pro-BN) yang sebelum ini memberi ulasan memberangsangkan terhadap BN dan memperkecilkan kemampuan parti-parti bukan BN, tiba-tiba tersedar dari lamunan dan menyifatkan keputusan kali ini sebagai luar jangkaan. Luar jangkaan siapa?
Hampir semua penulis blog yang realistik tahu ia bukan luar jankaan.

Kekalahan mantan menteri penerangan, Zainuddin Maidin di Sungai Petani memang dijangkakan kerana dia bukan calon yang disukai termasuk di Merbok. Tetapi, entah atas nasihat siapa dan pertimbangan apa, Pak Lah memilihnya bertanding di Sungai Petani. Inila padahnya.
Kita masih ingat bagaimana ZAM dengan begitu angkuh menyatakan dia mahu mengalahkan calon PKR dengan membuatkan calon itu hilang wang pertaruhannya. Apa dah jadi Mamu?
Semoga keputusan yang bijaksana oleh para pengundi kali ini akan membuka mata para pemimpin BN, terutama UMNO, supaya jangan angkuh, jangan terlampau yakin dan jangan sombong dan bongkak.
Rakyat tidak mudah dipengaruhi oleh iklan-iklan, berita dan cerita yang memperlihatkan kesombongan dan kebongkakan seperti yang disajikan saban hari oleh media-media arus perdana.
Penulis-penulis blog pun menjadi sasaran para pemimpin BN sebagai tidak boleh dipercayai, tidak ada kredibiliti dan karut. Media-media arus perdana dikatakan memberi laporan yang tepat dan betul. Rakyat tahu sama ada ianya benar atau tidak.
Rakyat tahu peranan media arus perdana - Utusan Melayu, Bernama, NST, Berita Harian, RTM, TV3, NTV7, TV8 dan TV9 - yang memberi laporan berat sebelah dan adakalanya yang diada-adakan untuk memenangi sokongan kepada BN. Lihatlah kesannya.
Tahniah kepada semua calon yang menang dan takziah (bukan dukacita) kepada mereka yang kalah.
Tahniah khas untuk Mukhriz Mahathir, Nurul Izzah Anwar, Zulkifli Noordin, Jeff Ooi, Azmin Ali, Tan Sri Khalid, Zuraidah Kamaruddin, Tuan Guru Nik Aziz, Tuan Guru Haji Hadi Awang, Nor Mohamed Yakcop, Dr Lo'Lo Mohd Ghazali, Ustaz Taib Azamuddin, Karpal Singh, Lim Guan Eng, Fong Po Kuan dan banyak lagi. Tahniah.

Saturday, March 08, 2008

PAS kekal memerintah Kelantan

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kekal memerintah Kelntan setelah memenangi majoriti kerusi Dewan Undangan Negeri Kelantan hari ini.

Calon BN yang ditaja sebagai Menteri Besar andai kata BN menang, Dr Awang Adek turut tumbang kepada calon PAS.

Saya menghadapi masalah untuk mencapai talian Internet (wireless) di Pulau Pinang. Harap maaf kerana tidak dapat memberi laporan terkini.

Maklumat yang saya terima daripada beberapa sumber (belum disahkan) membayangkan beberapa orang tokoh besar BN tewas dan BN kehilangan banyak kerusi Parlimen berbanding dengan pilihan raya 2004.

BN tumpas di Pulau Pinang

Parti Barisan Nasional gagal mempertahankan kedudukannya di Pulau Pinang apabila tewas kepada calon-calon parti bukan BN pada pilihan raya ke-12 hari ini. BN kalah teruk.

Menurut sumber-sumber, turut tewas mantan ketua menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang bertanding di kawasan undi kerusi Parlimen Batu Kawan.

Menteri Kewangan II Tan Sri Nor Mohamed Yakcop menang di Teluk Air Tawar.