Tuesday, April 07, 2009

Fairus nak tinggal PKR?

Nampaknya kemelut politik dalaman yang dihadapi oleh Parti KeADILan Rakyat (PKR) tidak habis-habis dan kali ini gelombang keretakan menghempas pantai Pulau Pinang.

Mantan Timbalan Ketua Menteri 1 Mohamad Fairus Khairuddin yang juga ADUN Penanti, dikatakan akan keluar parti untuk menjadi ADUN Bebas.

Dalam pada itu, PKR Pulau Pinang dilaporkan akan menyerah "surat letak jawatan sebagai ADUN" oleh Fairus kepada Speaker DUN. Surat tanpa tarikh itu disedia dan ditandatangani lebih awal sama seperti yang dilakukan di Perak. Jika berpandukan pengalaman Perak, maka Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah tentu akan menolak surat perletakan jawatan" sedemikian rupa.


(Fairus akan isytihar diri sebagai ADUN Bebas?)


Menurut kawan-kawan di Pulau Pinang, ADUN Batu Maung Abdul Malik Abul Kassim sudah "sedia" untuk dilantik menggantikan Fairus sebagai TKM 1. Harap-harap dia tidak akan kempunan sekali lagi.

Seorang lagi calon dari PKR ialah ADUN Sungai Bakap Maktar Shapee.

(Abdul Malik antara dua nama yang disebut untuk menggantikan Fairus sebagai TKM 1)

Fairus yang sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), meletak jawatan TKM 1 pada 22 Mac lalu dan berkuatkuasa 8 April ini.


Elakkan "Kabinet Kitar Semula"

Pembentukan sebuah Jemaah Menteri atau Kabinet baru oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam tempoh sehari dua ini menjadi tajuk perbualan dan ramalan di sana sini termasuk oleh mereka yang tiba-tiba muncul sebagai "penganalisis politik" atau "pemerhati politik" mi segera.

Bermacam-macam andaian dan agakan dibuat. Orang itu akan digugur, orang ini akan dilantik serta saiz Kabinet akan diperkecilkan sesuai dengan keadaan ekonomi semasa. Semuanya ini berlaku kerana mereka ingin melihat sebuah Kabinet yang pada pendapat mereka dapat membantu PM menakhodai bahtera dengan cekap dan selamat sampai ke pelabuhan yang ditujui.

Saya turut menerima SMS bertanyakan pendapat mengenai Kabinet Najib. Jawapan saya sama seperti kebanyakan orang iaitu saya hanya mampu agak dan ramal berlandaskan andaian sendiri.

Di kalangan menteri Kabinet yang dilantik oleh mantan PM Tun Abdullah Ahmad, ada yang berpendapat Najib akan melantik mereka yang benar-benar bersih, mereka yang mampu membantu PM dan mereka yang berwibawa. Tak tahu pula saya sama ada DS Najib ada memaklumkan kepada mereka bahawa itulah kriterianya atau mereka menonjolkan diri sendiri sebagai orang yang bakal dikekalkan dalam Kabinet.

Apa yang dapat diperkatakan ialah saya setuju dengan pendapat bahawa DS Najib perlu mengecilkan saiz Kabinet sesuai dengan keperluan dan realiti politik serta ekonomi semasa. Kabinet Malaysia terlalu besar kerana PM perlu mengambil kira soal kuota, soal menjaga hati parti-parti komponan, soal penyertaan wanita dan soal Sabah dan Sarawak.

Oleh itu, saya tidak akan menyentuh tentang kuota parti-parti komponan tetapi menumpukan ulasan kepada penyertaan UMNO. Jumlah wakil UMNO dalam Kabinet perlu dikurangkan kerana kuantiti tidak semestinya mencerminkan kualiti. Perkara ini sudah tentu tidak akan diterima secara waras oleh orang UMNO tetapi dalam mana-mana kerajaan campuran, BN adalah kerajaan campuran 14 buah parti politik, tolak ansur merupakan amalan terpenting.

Dalam Kabinetnya, DS Najib sudah pasti akan mengekalkan ketiga-tiga naib presiden UMNO - Ahmad Zahid Hamidi, Shafie Afdal dan Hishammudin Hussein - dan memberikan kepada mereka kementerian yang dikatakan "kanan".

DS Najib juga pasti menghormati kemenangan cemerlang Mustapa Mohamad dan Noh Omar dalam senarai Majlis Tertinggi UMNO untuk mengekalkan mereka dalam Kabinet.

Satu persoalan penting ialah sama ada ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin perlu diberi tempat dalam Pentadbiran sedangkan dia didapati bersalah mengamalkan rasuah politik oleh Lembaga Disiplin UMNO. Lazimnya, Pemuda UMNO diwakili dalam Kabinet atau sekurang-kurangnya dalam senarai timbalan menteri yang bukan pada hakikatnya anggota Kabinet.

Saya kira DS Najib melakukan kesilapan besar sekiranya dia melantik Khairy kerana ia akan dilihat sebagai tidak menghormati desakan ramai dalam memerangi amlan rasuah.

Pemuda UMNO boleh disenaraikan dalam Pentadbiran dengan melantik naib ketua Pemuda Razali Ibrahim dan ia tidak semestinya ketua Pemuda. DS Najib juga boleh mempertimbangkan Mukhriz Mahathir walaupun dia gagal dalam perebutan jawatan ketua pemuda.

Apa yang diharapkan, DS Najib dapat mengelakkan "Kabinet Kitar Semula" dengan tidak melantik menteri yang boleh dikatakan gagal atau tidak memperlihatkan pencapaian cemerlang dan yang mempunyai latar belakang yang boleh dipertikaikan atau yang telah ditolak oleh perwakilan parti.

Nama-nama seperti Muhammad Muhammad Taib, Zulhasnan Rafique, Azalina Othman Said, Ahmad Shabery Cheek, Syed Hamid Albar dan Shaziman Abu Mansor mungkin sesuai diketepikan.

Nama-nama seperti Amirsham A Aziz, Nor Mohamed Yakcop dan Rais Yatim boleh dikekalkan kerana mereka memiliki kepakaran yang dapat membantu DS Najib mengharungi kemelut ekonomi dan menghadapi dunia luar yang semakin mencabar.

Dari barisan timbalan menteri, dua nama agak teratas untuk dipertimbangkan sebagai menteri, iaitu Ahmad Husni Hanadzlah dan Saifuddin Abdullah.

Kita hanya mampu membuat agakan atau ramalan berdasarkan andaian dan keadaan semasa tetapi ianya tidak semestinya betul. DS Najib sudah tentu mempunyai cetusan akal yang jauh lebih bijak berdasarkan pengalamannya hampir 33 tahun dalam arena politik.

Apa yang dapat diperkatakan ialah harapan sebahagian besar rakyat yang ingin melihat sebuah Kabinet yang dianggoti oleh mereka yang benar-benar bersih daripada amalan rasuah dan salahguna kuasa, beramanah, berhemah tinggi dan mengutamakan kepentingan rakyat dan negara, bukan kepentingan peribadi, keluarga mahupun kroni.

Ia mungkin sukar tetapi bukan sesuatu yang mustahil. Yang penting orang itu mestilah seorang yang berpegang teguh dan patuh kepada ajaran agama.

Sunday, April 05, 2009

Bubar dan lompat parti bukan cara nak menang

Saya tidak setuju dengan muslihat atau taktik segelintir orang keluar daripada satu parti dan masuk parti lain semata-mata untuk meraih sokongan pada pilihan raya kecil mahupun besar.

Muslihat ini selalunya dimainkan oleh UMNO apabila mendakwa kononnya orang atau penyokong PAS keluar parti untuk menyokong UMNO. Ia berlaku pada peringkat awal di Bukit Gantang yang dihadiri Mamak MB Dr Z tetapi sehingga kini orang UMNO dah sedar dan tidak lagi menggunakan muslihat itu.

Nampaknya, apa yang diketepikan oleh UMNO diambil pula oleh Parti KeAdilan Rakyat (PKR) di Bukit Selambau. Saya tidak tahu sama ada PKR dan "ketua sebenarnya" DS Anwar Ibrahim begitu terdesak?

Pengumuman pembubabaran Parti Progresif Rakyat (PPP) Kedah yang diketuai oleh naib presiden kebangsaan PPP untuk keluar menyokong PKR, pada pendapat saya, satu muslihat yang lapuk yang sudahpun ditolak oleh rakyat.

Adakah muslihat itu satu strategi untuk menangkis "pembubaran bahagian PKR Jerai" kerana tidak menyokong calon PKR pilihan Anwar? Jika ya, maka ia adalah satu tindakan yang kurang bijak.

Sokongan rakyat yang layak mengundi bukan terletak pada pembubaran mana-mana bahagian parti politik mahupun perbuatan lompat parti. Mereka yang melompat parti mahupun membubar parti selalunya bukan pengundi di satu-satu kawasan berkenaan. Kesannya amat kecil untuk mengubah atau mengalih sokongan rakyat kepada mana-mana parti.

Bagi pilihan raya kecil Bukit Selambau, susah nak diramalkan kerana sudah menjadi caca-marba dan huru-hara.

Saturday, April 04, 2009

Mahathir serah borang ahli UMNO

Mantan Perdana Menteri yang juga mantan Presiden UMNO, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah menyerah borang untuk menjadi ahli UMNO hari ini. Menurut laporan, beliau menyerahkan borang permohonan itu kepada Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Najib Tun Razak di Putrajaya.

Turut menyerahkan borang permohonan menjadi ahli ialah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Friday, April 03, 2009

NAJIB BEBASKAN 13 TAHANAN I.S.A.


Perdana Menteri Datuk Seri Mohamad Najib Tun Abdul Razak memulakan pentadbirannya dengan mengumumkan pembebasan serta-merta 13 orang tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Butiran lanjut mengenai siapa yang dibebaskan itu akan dibuat oleh Kementerian Dalam Negeri.

Najib juga mengumumkan penarikan balik larangan penerbitan dua akhbar yang digantung selama tiga bulan oleh Kementerian Dalam Negeri. Walaupun Najib tidak menyebut nama akhbar berkenaan, umum mengetahui bahawa ia adalah Suara Keadilan dan Harakah.

Suara Keadilan adalah akhbar terbitan Parti KeAdilan Rakyat (PKR) manakala Harakah diterbitkan oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Tahniah dan syabas kepada Datuk Seri Najib atas tindakan positif itu.

Pak Lah kini bergelar "Tun"

Sekalung tahniah kepada Abdullah bin Ahmad (Pak Lah) yang kini bergelar Tun Abdullah.

Mantan Perdana Menteri dan anak kelahiran Kampung Perlis, Bayan Lepas, Pulau Pinang itu menerima anugerah tertinggi negara, Seri Maharaja Mangku Negara (SMN) daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin sejurus selepas istiadat mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri oleh Datuk Seri Mohamad Najib bin Tun Abdul Razak.

Isteri Tun Abdullah, Jeanne (Danker) Abdullah turut menerima gelaran Tun apabila dianugerahi darjah kebesaran Seri Setia Mahkota (SSM). Bertuah sungguh insan bernama Jeanne ini kerana sebegitu cepat diberi penghargaan tersebut. Sama ada dia layak atau tidak diberi anugerah itu boleh diperdebatkan.

Teringat saya akan jasa, sumbangan dan khidmat bakti tokoh-tokoh wanita negara yang "terlepas pandang" untuk diberi anugerah bintang kebesaran seperti itu. Antara nama yang terlintas ialah Tan Sri Aishah Ghani dan P.G. Lim.


Thursday, April 02, 2009

Biarlah Pak Lah bersara dalam keadaan tenang

Sudahlah. Inilah yang dapat dikatakan apabila saya ditanya mengenai kritikan dan kutukan berterusan ke atas mantan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad oleh mantan PM sebelumnya Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perjuangan Tun Mahathir untuk melihat Pak Lah letak jawatan dah tercapai. Hasrat Tun Mahathir nak lihat Datuk Seri Najib Tun Razak jadi PM akan tercapai. Hendak apa lagi Tun?

Saya pun ingin melihat Pak Lah letak jawatan atas sebab yang tidak sama dengan Tun. Pak Lah dah letak jawatan. Saya hormati tindakannya itu.

Pak Lah, Tun Mahathir dan kita semua adalah manusia biasa. Kita tidak terlepas daripada melakukan kesilapan termasuk melakukan dosa.

Tun Mahathir bukan malaikat. Tun Mahathir pun banyak melakukan kesilapan tetapi kita tidak ingin mendedahkannya satu persatu kerana kita menghormati Tun sebagai seorang negarawan yang banyak berjasa kepada negara.

Kita pohon kepada Tun Mahathir supaya hentikanlah kritikan dan kutukan secara terbuka ke atas Pak Lah. Insaflah yang kita adalah insan yang terlalu kerdil untuk menganggap kita saja yang betul dan orang lain semuanya tak betul.

Jika dunia dianggap berharga,
maka negeri balasan Allah lebih tinggi dan mulia.

Setiap orang mampu melenyapkan permusuhan dengan merenungkan apa yang akan diperolehi jika menang. Adakah manfaat yang diperolehi atau kepuasan hawa nafsu berlandaskan perasaan hasad dan dengki?

Permusuhan amat berbahaya kerana ia membangkitkan berbagai keburukan. Adakah ini yang diperjuangkan? Apakah ini yang dikatakan perjuangan yang belum selesai?

Cukuplah. Biarkanlah Pak Lah dan isteri menikmati sisa-sisa hidup dalam suasana aman, damai dan penuh dengan ketenangan. Pak Lah dah buat apa yang didesak dan diminta. Sama-samalah kita hormatinya.

Ulama Hadhramaut Habib Abdullah Bin Alwi Al-Haddad ada berpesan: "Secara umum, pada awalnya kebaikan itu berat untuk dilakukan, tetapi akhirnya penuh dengan kenikmatan. Orang yang berbuat baik ibarat seorang pendaki gunung. Ia tidak akan merasa tenang sebelum sampai ke puncaknya. Sedangkan keburukan awalnya manis dan akhirnya kelak pahit. Orang yang melakukan perbuatan buruk adalah ibarat seorang yang jatuh dari puncak gunung atau atap sebuah rumah. Ia baru akan merasa kesakitan setelah mendarat di tanah".

Kepada Pak Lah kita ucapkan "Selamat bersara dan semoga Allah menganugerahkan nikmat kesihatan dan ketenangan hingga ke akhir hayat".