
Semasa musim pemilihan parti sekarang, ramai pemimpin UMNO di peringkat bahagian dan Majlis Tertinggi begitu lantang bersuara "mempertahankan kedudukan dan hak Bumiputera". Sejauh mana keikhlasan mereka berbuat demikian boleh diukur dan hampir semuanya berbuat demikian semata-mata atas kepentingan politik peribadi. Inilah lumrah yang dilalui oleh parti itu apabila tiba masa dan ketika untuk ahli parti, yang disebut sebagai akar umbi, menggunakan kuasa untuk membuat pencalonan barisan kepimpinan parti.
Banyak wang yang mengalir untuk menyogok bagi mendapatkan pencalonan. Lebih banyak akan mengalir apaila anggota perwakilan yang akan berkampung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) mengundi kelak.
Pemimpin-pemimpin berkenaan menonjolkan kemarahan apabila pihak lain menyentuh tentang kedudukan dan hak Bumiputera. Ini termasuk mempertikai perlantikan seorang pegawai kanan dalam Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dilantik memangku jawatan Pengurus Besar perbadanan itu. Ia hanya memangku.
Bantahan dibuat semata-mata pegawai itu bukan berbangsa Melayu. Saya mencari tetapi tidak menjumpai syarat atau peruntukan dalam akta penubuhan PKNS yang menyebut bahawa jawatan itu adalah hak mutlak sesuatu bangsa atau kaum. Alasan yang diberi oleh Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim tidak dihiraukan walaupun ianya berasas dan tidak bercanggah dengan peruntukan undang-undang.
Yang penting bagi mereka ialah bantah. Itu saja.Yang jelas, ada di kalangan pemimpin UMNO berkenaan yang kononnya berjuang mempertahankan hak dan kepentingan Bumiputera melakukan sesuatu yang sebaliknya semata-mata atas kepentingan peribadi. Tidak pula kedengaran suara-suara yang lantang membantah.
Mereka bukan sahaja bersekongkol dengan orang lain tetapi mendapat faedah daripadanya.
Lihat saja senarai ahli lembaga pengarah syarikat-syarikat milik bukan Bumiputera sama ada yang tersenarai dalam Bursa Malaysia atau tidak. Lihat siapa yang dilantik selaku pengerusi (hampir semua bertaraf bukan eksekutif) dan siapa pula yang dilantik menduduki lembaga pengarah. Adakah muka-muka bangsa Melayu itu benar-benar layak atau perlantikan mereka berkepentingan? Atau ianya dibuat semata-mata untuk memenuhi syarat dan tidak lebih daripada untuk diperkudakan apabila syarikat berurusan dengan kerajaan?
Pemimpin UMNO boleh menerima kedudukan sedemikian kerana ianya menguntungkan mereka tetapi tidak dapat menerima sekiranya orang bukan Bumiputera yang layak dan cukup syarat dilantik ke jawatan tertentu. Kenapa wujud dwi-standard?
Dalam kes PKNS, pengurus besar tidak boleh melakukan sesuatu sesuka hatinya kerana wujud Akta dan lembaga pengarah. Walau siapapun yang dilantik, ia tidak tidak terlepas daripada perkara itu. Menteri Besar adalah bosnya.
Semasa Dr Khir Toyo berjawatan MB Selangor, dia bertangunggjawab penuh ke atas PKNS dan kini tiba giliran Tan Sri Khalid. Kita sudah merdeka lebih separuh abad dan kita seharusnya sudah dewasa.



