Tuesday, February 21, 2012

Debat MCA-DAP bangkitkan persoalan hukum Hudud

Debat antara presiden MCA, parti gabungan Barisan Nasional, dan setiausaha-agung DAP, parti perkongsian Pakatan Rakyat, tidak menghasilkan apa-apa yang kukuh selain membangkitkan isu-isu yang merupakan perbalahan politik di kalangan masyarakat Cina. 

Debat yang dilangsungkan dalam bahasa Mandarin itu tidak mampu diikuti secara langsung atau sepenuhnya oleh majoriti rakyat Malaysia yang tidak faham sama sekali bahasa Mandarin, iaitu bahasa kebangsaan Republik Rakyat China dan bukan bahasa 'rasmi' di Malaysia.

Mungkin menyedari bahawa perdebatan mereka tidak mendapat liputan seluas-luasnya, maka SU Agung DAP yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng minta diadakan debat kedua sama ada dalam bahasa Melayu, iaitu bahasa kebangsaan Malaysia atau bahasa Inggeris.

Guan Eng dan presiden MCA Chua Soi Lek yang terkenal dengan rakaman 'CD' tertentu, harus sedar bahawa selaku pemimpin politik peringkat kebangsaan, mereka sepatut dan semestinya mengutamakan bahasa kebangsaan. 

Seperti majoriti rakyat Malaysia, saya hanya mampu mengikuti laporan media berkaitan perdebatan yang dikatakan tidak menepati tajuk sepenuhnya itu. Oleh itu, ulasan yang mampu saya lakukan juga terbatas kepada topik tertentu. Saya memilih topik hukum Hudud yang dibangkitkan oleh Soi Lek.

Apabila memperkatakan hukum Hudud, bukan sahaja orang bukan Islam yang tidak tahu atau samar-samar mengenainya tetapi sejumlah besar umat Islam pun keliru. Oleh kerana itu, apabila disebut hukum Hudud maka timbul  bantahan dan tentangan termasuk oleh pemimpin-pemimpin politik, sama ada yang membentuk kerajaan peringkat negeri mahupun pusat atau yang bergelar pembangkang.

Soi Lek menjadikan hukum Hudud peluru hidupnya untuk memusnahkan hujah Guan Eng. Sedikit sebanyak dia berjaya kerana Guan Eng gagal menyahut cabaran tersebut. Mungkin Guan Eng terbayang akan wajah pengerusi DAP Karpal Singh yang berkata "langkah mayat saya  dahulu" jika  hendak melaksanakan hukum Hudud. Kita tidak tahu selama mana  hayat Karpal Singh untuk membolehkan mayatnya dilangkahi.

Perlu diingatkan bahawa Pakatan Rakyat (PR) mengiktiraf Enakmen Jenayah Syariah di Kelantan dan Terengganu. Namun begitu, pelaksanaan hukum Hudud tidak boleh dilaksanakan selagi Kerajaan Persekutuan tidak memberi kebenaran.  Inilah kenyataan yang mesti diketahui. 

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pernah berkata perbezaan pandangan antara PAS dengan DAP dalam soal penafsiran "bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan" adalah sangat relatif kerana wujud perbezaan ketara antara pandangan pengamal undang-undang kedua belah pihak, terutama kaedah untuk mengatasinya. Namun begitu, sehingga sekarang Kerajaan Negeri Kelantan tidak dapat melaksana hukum Hudud.

Saya ingin merujuk kepada Perkara 4 (1) Perlembagaan Persekutuan iaitu "Perlembagaan ini adalah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka dan yang berlawanan dengan Perlembagaan ini hendaklah terbatal setakat yang berlawanan itu."

Walaupun Malaysia mengamalkan dwi-sistem kehakiman,   iaitu undang-undang lazim dan undang-undang Syariah,  tafsiran dibuat bahawa undang-undang Syariah adalah undang-undang negeri, ia hanya meliputi atau berkuatkuasa  ke atas umat Islam. Pada hakikatnya, ia meliputi persoalan undang-undang keluarga seperti pernikahan, pewarisan harta dan isu murtad. Walaupun ada negeri yang memperuntukkan kesalahan jenayah Syariah, ia  terbatas  kepada hukuman denda yang tidak melebihi RM5,000.00 dan penjara tidak melebihi tiga tahun.

Kita sedar bahawa mencuri, merompak, membunuh, berzina, rogol dan  sumbang mahram, sebagai contoh, adalah antara kesalahan mengikut undang-undang Islam,  tetapi,  semuanya jelas berada di bawah kuasa undang-undang lazim (kuasa Kerajaan Persekutun). Oleh itu, ia tidak boleh dilaksana diperingkat negeri melalui undang-undang yang berlawanan.

Ini kerana semuanya termasuk dalam Kanun Keseksaan atau Penal Code, iaitu undang-undang kesalahan jenayah utama yang mengandungi tidak kurang daripada 511 seksyen  meliputi banyak kesalahan jenayah yang boleh dijatuh hukum oleh mahkamah. 

Selain Kanun Keseksaan, terdapat undang-undang khusus dan tertentu seperti Akta Dadah Berbahaya 1952, dan Akta Senjata Api (hukuman lebih berat) 1971,  untuk memperluas kawalan dan penguatkuasaan ke atas kes-kes jenayah tertentu.

Oleh itu, hukum Hudud tidak dapat dilaksanakan kerana kesalahan jenayah seperti yang terkandung dalam senarai kesalahan jenayah Syariah di bawah hukum Hudud, sudahpun berada dalam senarai di bawah Kanun Keseksaan. Ia adalah bidang kuasa Persekutuan, bukan negeri dan  ia hanya boleh dilaksanakan jika Perlembagaan Persekutuan dipinda dengan suara majoriti dua-pertiga ahli Dewan Rakyat.

Jika Pakatan Rakyat berhasrat untuk melaksanakan hukum Hudud, ia perlu terlebih dahulu memenangi pilihan raya dengan majoriti melebihi dua-pertiga. 

Persoalan yang harus difikirkan oleh PAS terutamanya, mahukah DAP ataupun PKR  menyokong pindaan Perlembagaan di Dewan Rakyat jika Pakatan menguasai Parlimen? Tanpa sokongan DAP dan PKR, sudah tentu sukar bagi PAS untuk melaksana hukum Hudud. 

Saya tidak yakin DAP mahupun PKR akan menyokong PAS dalam isu hukum Hudud. 

       

  

Thursday, February 16, 2012

Hassan Marican diketepikan di Malaysia, amat berharga bagi Singapura

Tan Sri Hassan Marican, anak Melayu yang begitu sinonim dengan industri petrolium bukan sahaja di Malaysia bahkan di dunia, semakin mendapat tempat dalam industri berkaitan di Singapura.

Anak Melayu kelahiran Kedah Darul Aman yang menerajui Petronas sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif dari 1995 hingga 2010, akan dilantik Pengerusi Singapore Power Ltd. (SP), menggantikan Ng Kee Choe yang akan bersara pada 12 Jun.

Hassan adalah anak Melayu pertama dilantik ke jawatan tersebut walaupun dia bukan warga negara Singapura bahkan tiada anak Melayu Singapura yang begitu dihargai oleh republik tersebut.

Selepas bersara dari Petronas, Hassan dilantik oleh beberapa buah syarikat gergasi berkaitan kerajaan Singapura untuk menduduki lembaga pengarah. Antara GLC berkenaan adalah SembCorp Industries Ltd., SembCorp Marine Ltd dan SP sendiri.

Selain syarikat gergasi Singapura, kepakaran dan pengalaman luas Hassan dalam industri petrolium turut dihargai oleh gergasi minyak Amerika Syarikat, ConocoPhillips, yang melantiknya sebagai ahli lembaga pengarah dan oleh Kerajaan Negeri Sarawak yang melantik beliau menduduki kerusi lembaga pengarah Sarawak Energy Bhd.

Kepakaran dan pengalaman insan bernama Hassan Marican dilihat, dihargai dan digunapakai oleh Kerajaan Singapura dan syarikat gergasi minyak Amerika Syarikat. Bukan senang bagi pentadbiran Singapura untuk melantik seorang anak Melayu seperti yang dilakukan ke atas Hassan Marican, lebih-lebih lagi dia adalah rakyat Malaysia.  Tetapi, oleh kerana Singapura melihat kepada merit seseorang itu dan sedar  betapa pentingnya dia kepada industri tertentu, maka mereka terus melantiknya.

Singapura nampak kelebihan yang dimiliki oleh Hassan Marican. Malaysia tidak, kenapa?

Saya mempunyai jawapan yang mungkin tidak tepat tetapi boleh dikatakan itulah kenyataan. Jawapan saya mudah, iaitu Kerajaan Malaysia mengutamakan pelantikan politik daripada profesional. Lihat saja GLC yang ada di Malaysia, siapa pengerusinya dan siapa pula yang dilantik menduduki kerusi lembaga pengarah?

Gergasi ekonomi Malaysia dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan seperti Sime Darby, Felda, Felcra, Risda dan banyak lagi dipengerusikan oleh orang politik, selalunya yang dah bersara, kalah pilihan raya atau Yang Berhormat yang tidak dapat jawatan sedangkan mereka boleh dikatakan bukan golongan profesional yang ada kaitan dengan GLC yang dipengerusikan itu.

Oleh kerana Hassan Marican bukan orang politik tetapi seorang profesional, maka dia tidak mendapat tempat di Malaysia walaupun sebagai Pengerusi Petronas atau Penasihat Ekonomi (berkaitan industri minyak dan gas) kepada Perdana Menteri.

Singapura mengutip permata yang digilap di Malaysia kerana ia masih bersinar dan bergemerlapan sedangkan Malaysia melihatnya sebagai permata yang mulai pudar. 

Singapura sedar bahawa Hassan Marican memiliki begitu banyak maklumat dan ilmu pengetahuan berkaitan industri minyak dan gas bukan sahaja di Malaysia bahkan menjangkaui batas serantau. Apa yang dimiliki oleh Hassan Marican sudah tentu diterokai  oleh Singapura kerana republik itu tidak perlu untuk "mencari gali" sesuatu yang sudah jelas wujud. 

Pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak mesti keluar daripada amalan melantik orang politik menerajui GLC atau sebagai ahli lembaga pengarah. Bidang tersebut seharusnya diberi kepada golongan profesional yang ahli  atau mahir dalam industri berkenaan. 

Kita tidak ingin melihat lagi orang seperti Hassan Marican diambil oleh negara lain semata-mata kerana negara sendiri mengamalkan pelantikan berkepentingan politik murahan.

    



  

Tuesday, February 14, 2012

Anwar Ibrahim dan isu Yahudi

Ketua Pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini tersepit dengan isu sokongan terhadap rejim Yahudi Zionis dilaporkan akan menghadap Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, untuk memberi penjelasan mengenai kenyataan kontoversinya itu.

Anwar terpaksa berbuat demikian setelah Nik Aziz mengeluarkan kenyataan menggesa ketua pembangkang itu menarik balik kenyataannya seperti yang dilporkan oleh Wall Street Journal (WSJ) bulan lepas atau mengambil tindakan saman. 

Anwar tidak boleh membisu dan membiarkan isu tersebut terumbang-ambing kerana ia bukan satu persoalan remeh tetapi satu isu besar di kalangan negara-negara Islam.

Nik Aziz berkata sekiranya laporan WSJ itu salah atau membawa maksud yang berbeza, maka Anwar mesti  ambil tindakan undang-undang. Tetapi, setahu saya, hingga sekarang Anwar tidak pun membantah atau menafikan kesahehan laporan WSJ itu. Ini bermakna apa yang dilaporkan itu adalah benar belaka.

Kenyataan Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan mendapat sokongan penuh ahli Majlis Syura Ulamak PAS.

Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr. Khairuddin Razali berkata kenyataan Nik Aziz membuktikan bahawa  PAS tetap menyuarakan pandangannya dan tidak akan tunduk kepada mana-mana pihak apabila membicarakan tentang isu-isu prinsip Islam. 

Walaupun Dr Khairuddin tidak menyebut secara terang-terangan siapa yang dimaksudknnya, tetapi kata-kata "tidak akan tunduk kepada mana-mana pihak" difahami merujuk kepada kenyataan ketua pembangkang yang juga ketua sebenar Parti KeAdilan Rakyat (PKR).

Umum mengetahui bahawa PAS tidak mengiktiraf negara haram Israel dan parti itu juga menolak penyelesaian dua negara, satu untuk rakyat Palestin dan satu lagi bernama Israel untuk Yahudi Zionis.

Kenyataan Anwar yang menyokong "semua usaha untuk melindungi/mempertahan keselamatan Israel" bukan sahaja dibantah oleh majoriti rakyat Malaysia tetapi tidak disenangi di kalangan pemimpin dan rakyat Palestin, beberapa buah negara Arab dan Turki.

Sementara itu, mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menulis dalam blognya bahawa pentadbiran Amerika Syarikat dan Israel sedang berpakat untuk membolehkan pertukaran rejim di Malaysia melalui penubuhan sebuah kerajaan boneka diketuai  Anwar Ibrahim.

Dr Mahathir berkata Washington berharap kepimpinan baru dibawah ketua pembangkang itu akan mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel dan menjauhkan diri daripada perjuangan rakyat Palestin.

Saya tidak pasti sejauh mana kebenaran atau kebolehpercayaan kenyataan Dr Mahathir tetapi apa yang pasti kenyataan Anwar Ibrahim tidak boleh diterima sama sekali. Kita tidak boleh bertolak ansur atau beralah atau tunduk kepada sebarang tekanan kuasa-kuasa besar apabila membicarakan soal  Palestin.

Tindak tanduk Anwar Ibrahim kebelakangan ini tidak memberi faedah atau sebarang saham kepada perjuangan Pakatan Rakyat.  Saya percaya barisan kepimpinan PAS sedar akan kedudukan itu dan mereka kenalah lakukan sesuatu untuk membetulkan keadaan.... sebelum terlambat. 




  


Monday, February 13, 2012

HARI VALENTINE - BUKAN ISLAM JANGAN PERSOAL URUSAN UMAT ISLAM

Seluruh dunia dilaporkan bersiap sedia untuk merai atau menyambut "Valentine's Day" atau Hari Valentine atau Hari Memperingati Kekasih seolah-olah pada hari dan tarikh 14 Februari sahajalah mereka boleh berkasih-kasihan, bermesra-mesraan dan bersayang-sayangan, hari-hari lain boleh dilupakan sahaja.

Asal usul hari tersebut dikaitkan dengan seorang paderi Kristian bernama Saint Valentine. Ia sudah cukup untuk memberi gambaran yang jelas kepada kita, umat Islam khususnya, mengenai punca sambutan hari tersebut.

Majoriti tokoh agama Islam menyatakan bahawa menyambut atau meraikan  sambutan Hari Valentine adalah bertentangan dengan Syarak. 

Menurut Panel Kajian Aqidah (PKA) dan Panel Kajian Syariah (PKS) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia atau JAKIM, amalan ini adalah haram dan bertentangan dengan ajaran Islam.

Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan bahawa amalan merayakan Hari Valentine tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Ruh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Oleh itu amalan meraikan Hari Valentine tidak digalakkan oleh agama Islam.

Amat jelas sekali bahawa umat Islam dilarang daripada  menyertai mereka yang bukan beragama Islam untuk menyambut atau merayakan Hari Valentine. Ia adalah soal agama, bukan soal masyarakat atau sosial dan jauh sekali isu politik.

Oleh itu, apakah jadahnya golongan bukan Islam di Malaysia termasuk media seperti The Star dan The New Straits Times membidas PAS kerana parti itu menasihati umat Islam agar tidak menyambut atau meraikan Hari Valentine?

Kenapa mereka menjadikan PAS sasaran kutukan sedangkan ia bukan isu politik tetapi soal aqidah umat Islam?

Sebagai sebuah parti mewakili umat Islam, sudah tentu PAS memainkan peranannya untuk memastikan umat Islam di Malaysia tidak turut terpedaya dan terpengaruh oleh banjiran promosi dan kempen bersifat komersil untuk sama-sama menyambut Hari Valentine. Salahkah PAS berbuat demikian? 

Apakah jadahnya The Sunday Star menulis dalam ruangan editorialnya dibawah tajuk "Those opposing Valenine's Day should just grow up"  Adakah pihak The Star cuba mencabar kewibawaan JAKIM dan umat Islam di Malaysia? Kenapa The Star mengkritik tindakan PAS mengenai isu Hari Valentine sedangkan ia adalah soal aqidah umat Islam, bukan soal politik?

Kenapa pemberita The New Straits Times bernama Sean Augustin begitu berani mempersoal dan membidas PAS atas pendirian parti itu mengenai Hari Valentine?  Sebagai seorang pemberita dia sudah tentu tahu dan sedar bahawa pihak berkuasa agama Islam di Malaysia telah memutuskan bahawa sambutan hari tersebut bertentangan dengan aqidah dan tidak Islamik? Jika dia tidak tahu, maka dia gagal  sebagai seorang pemberita kerana tidak membuat kerja rumah sebelum menulis laporan berkenaan. 

Pembetulan: Sean Augustin tidak menyebut PAS dalam laporannya yang berbentuk umum. Saya merujuk kepada berita di muka surat yang sama bertajuk "No love lost in Pas, DAP Valentine's row". Ayat di peranggan tersebut tidak tepat dan pembetulan adalah seperti berikut;


Kenapa The New Straits Times begitu berani mempersoal dan membidas PAS atas pendirian mengenai Hari Valentine? Pemberita mesti sedar bahawa pihak berkuasa agama Islam di Malaysia telah memutuskan bahawa sambutan hari tersebut bertentangan dengan aqidah dan tidak Islamik! Jika pemberita tidak tahu, maka dia gagal sebagai seorang pemberita kerana tidak membuat kerja rumah sebelum menulis laporan berkenaan. 


Ketidakpekaan pemimpin politik turut menjalar kepada Setiausaha Agung MCA Datuk Seri Kong Cho Ha dan Pengerusi Kebangsaan DAP Karpal Singh yang turut mempersoal pendirian PAS.

Cho Ha dalam kenyataannya meminta PAS jangan tuduh sambutan itu sebagai sesuatu yang tidak bermoral dan jangan menghina orang Malaysia yang nak sambut Hari Valentine. PAS, terutama Pemuda PAS, dijadikan sasaran kutukan semata-mata atas kepentingan politik yang amat sempit dan bodoh! Isu Hari Valentine bukan isu politik, ini yang tidak difahami oleh orang seperti Cho Ha. 

Karpal Singh pula menuduh pendirian PAS sebagai sesuatu yang tidak betul, silap dan berlawanan dengan hak asasi dan kebebasan. Seperti Cho Ha, Karpal Singah pun janggal dalam pemikiran dan tidak sedar bahawa ia bukan isu politik atau soal hak asasi dan kebebasan, ia soal agama, soal aqidah umat Islam.   

Akhbar The Star, The New Straits Times, Cho Ha dan Karpal Singh hentam PAS atas pendirian tegas parti itu berkaitan Hari Valentine. Kenapa PAS sahaja? Kenapa tidak hentam JAKIM, Majlis Fatwa Kebangsaan, dan pihak berkuasa agama Islam negeri-negeri  yang lebih awal lagi mengeluarkan kenyataan sama seperti yang disuarakan oleh PAS?

Ini soal aqidah umat  Islam, bukan soal politik atau yang kena-mengena dengan slogan 1Malaysia PM Najib Tun Razak. 

Islam tidak larang penganut agama lain menyambut perayan yang berkaitan agama mereka. Lihat saja kehadiran PM Najib yang sama-sama penganut agama Hindu sempena Thaipusam di Batu Caves.  Islam hanya melarang umat Islam. Kenapa mereka yang bukan beragama Islam melenting tak tentu pasal? Ini sudah melampaui batas dan sempadan yang sepatutnya.

Ingat, jangan campuri urusan umat Islam, ia mungkin membawa padah! 





Friday, February 10, 2012

Apa yang dilakukan oleh pentadbiran negeri Pulau Pianang untuk Islam

Saya menghabiskan lapan hari di Pulau Pinang dan dalam tempoh tersebut dapat melihat dan meneliti beberapa perkara yang sering dijadikan 'berita sensasi' mengenai untung nasib Melayu/Islam. Jika mempercayai sepenuhnya laporan-laporan yang dimuat dalam akhbar dan media elektronik 'arus perdana', kita pasti akan marah dan melemparkan 1001 tuduhan kepada pentadbiran negeri.

Sebagai anak jati Pulau Pinang, saya sedar dan tahu akan kedudukan sebenar atau apa yang berlaku dan dilakukan sebelum pilihan raya 2008.  Banyak masalah berkaitan orang Melayu/Islam bermula sebelum 2008 dan berterusan hingga ke hari ini.   

Banyak perkampungan Melayu dalam kawasan bandar raya dan pinggirnya wujud atas tanah milik bukan Melayu termasuk golongan pemberi hutang yang digelar 'Ceti' dan apabila tuan tanah jual harta mereka itu, maka orang Melayu yang 'menumpang'  di situ terpaksa berpindah. Akibat daripada perpindahan itu,  berkuranglah jumlah atau bilangan orang Melayu dalam kawasan bandar raya atau pinggir bandar.

Dalam kawasan bandar raya, kampung Melayu/Islam yang masih kekal adalah atas tanah wakaf seperti di Lebuh Aceh (Acheen Street - wakaf Syed Hussein Idid) walaupun hanya tinggal beberapa buah rumah sahaja,  Kampung Makam di Jalan Dato' Keramat (wakaf Sheikh Kassim) dan Kampung Syed di Jalan Burma (wakaf Kupima Ku Zainal Abidin/Syed Mohamad Alhabshee).

Ketiga-tiga buah kampung itu kini bernilai tinggi dan dilihat sebagai 'lombong emas' yang mengundang banyak pihak menaruh  minat tetapi oleh kerana tarafnya sebagai harta  wakaf, maka pihak tertentu tidak boleh menyentuhnya. Bayangkan apa akan  berlaku jika ketiga-tiga kawasan atau hartanah itu bukan harta wakaf?

Sekitar tahun 1970-an ada pihak yang ingin membangunkan Kampung Makam selaras dengan kehendak dan wasiat pewakif untuk memastikan ia selari dengan kemajuan dan pembangunan sekitarnya. Malangnya, usaha tersebut dibantah oleh segelintir penduduk dan akibatnya Kampung Makam kekal seperti sedia kala hingga sekarang. 

Kebelakangan ini, pentadbiran negeri sering dijadikan sasaran dan kecaman oleh pihak-pihak tertentu yang antara lain menuduhnya menganaktiri dan menzalimi orang Melayu dan orang Islam. Mereka melempar tuduhan dengan merujuk kepada pentadbiran negeri sebagai "kerajaan DAP" sedangkan ia adalah sebuah kerajaan campuran tiga buah parti politik yang dikenali sebagai Pakatan Rakyat. Mungkin dengan merujuk kepada pentadbiran negeri sebagai "kerajaan DAP" pihak berkenaan berharap ia dapat membakar semangat marah di kalangan orang Melayu dan Islam. 

Banyak masalah yang dibangkitkan oleh mereka sebenarnya bukan perkara baru. Ia mula berlaku semasa pentadbiran Barisan Nasional/Perikatan dan diwarisi oleh pentadbiran Pakatan Rakyat. Kebanyakan daripada masalah yang bersangkut-paut dengan isu tanah dan perumahan membabitkan soal undang-undang dan pentadbiran yang mengambil alih selepas pilihan raya umum 2008 tidak seharusnya dipersalahkan.

Pentadbiran Pakatan Rakyat yang berkuasa di Pulau Pinang, walaupun dicemuh oleh pihak tertentu, telah membuktikan kecemerlangan khususnya dalam aspek pentadbiran kewangan dan memelihara kebajikan rakyat.

Belanjawan atau Bajet  2012 Kerajaan Negeri Pulau Pinang berjaya mengukuhkan kesihatan dana negeri dengan mengurangkan hutang yang ditinggalkan kerajaan terdahulu daripada RM630.13 juta kepada RM29.66 juta dalam tempoh tiga setengah tahun sahaja. 

Pengurangan hutang sebanyak RM600.47 juta atau 95.29 peratus adalah kadar yang paling cemerlang di antara semua negeri di Malaysia. Hasil daripada pengukuhan kewangan, penjimatan dan perbelanjaan berhemah yang diperolehi melalui prinsip tadbir Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) telah disalurkan untuk keperluan pembangunan dan kesejahteraan rakyat.

Antara program yang dilancarkan atau diperkenalkan sejak 2008 - Program Membasmi Kemiskinan Tegar, Program Penghargaan Warga Emas, bantuan kepada golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) dan ibu tunggal serta Penghargaan Anak Emas yang bermul pada 2011.

Mulai tahun ini, kerajaan negeri bertekad untuk membantu 743 Ketua Isi Rumah (KIR) yang majoritinya orang Melayu, memperolehi pendapatan sekurang-kurangnya RM600 sebulan yang membabitkan bantuan sebanyak RM4.0 juta setahun. Kerajaan negeri mensasarkan sebelum 2015, Pulau Pinang menjadi negeri pertama di Malaysia yang berjaya menghapuskan miskin tegar  sepenuhnya.

Sudah tentu ada pihak yang kurang senang dengan apa yang saya nyatakan tetapi itulah hakikatnya dan itulah kenyataan. Saya tidak memihak kepada sesiapa tetapi sebagai anak Pulau Pinang, saya kena akui dan terima kenyataan tanpa mengira siapa atau parti politik mana yang berkuasa.

Saya  perturunkan fakta kewangan berkaitan Hal Ehwal Agama Islam yang dilaksana oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang sejak ia mentadbir negeri pada 2008. Ia adalah fakta, bukan sesuatu yang direka-reka untuk menyedap hati atau sebagai hiasan jendela. BN merujuk kepada pentadbiran Barisan Nasional pimpinan Parti Gerakan dan PR merujuk kepada pentadbiran Pakatan Rakyat pimpinan DAP.


1. PERUNTUKAN BERKAITAN HAL EHWAL AGAMA ISLAM

Tahun 2008 (BN) ..............RM25.7 juta
Tahun 2009 (PR)...............RM33.2 juta
Tahun 2010 (PR)...............RM38.9 juta
Tahun 2011 (PR)...............RM45.7 juta
Tahun 2012 (PR)...............RM64.03 juta


2. SAGUHATI TAHUNAN GURU KAFA

Tahun 2008 (BN)..............RM659,000.00
Tahun 2009 (PR)...............RM879,000.00
Tahun 2010 (PR)...............RM913,200.00
Tahun 2011 (PR)...............RM900,000.00
Tahun 2012 (PR)...............RM900,000.00


3. PERUNTUKAN TAMBAHAN TAHUNAN UNTUK SEKOLAH AGAMA RAKYAT (SAR)

Tahun 2008 (BN).............TIADA
Tahun 2009 (PR)..............RM1.50 juta
Tahun 2010 (PR)..............RM1.75 juta
Tahun 2011 (PR)..............RM1.75 juta


4. SUMBANGAN DAN PENGIKTIRAFAN AL-HUFFAZ

Tahun 2008 (BN)............TIADA
Tahun 2009 (PR).............RM75,000.00
Tahun 2010 (PR).............RM100,000.00
Tahun 2011 (PR).............RM130,000.00


5. SUMBANGAN EKYA' RAMADAN (KEPADA SELURUH MASJID)

Tahun 2008 (BN)............TIADA
Tahun 2009 (PR).............RM213,000.00 setahun bermula  tahun 2008 selepas ambil alih pentadbiran negeri


6. PROGRAM BULANAN AL-QURAN

Tahun 2008 (BN)..........TIADA
Tahun 2009 (PR)...........RM100,000.00 setahun


*FAKTA ADALAH  DARIPADA JABATAN HAL EHWAL AGAMA ISLAM PULAU PINANG

Saya tidak pasti sama ada berita ini mendapat tempat dalam media arus perdana tetapi percaya ianya tidak dilaporkan. Apa yang dilaporkan lebih merupakan laporan negatif yang mencemuh dan memberi gambaran buruk terhadap pentadbiran negeri semata-mata kerana ia diterajui oleh DAP.


      

Sunday, February 05, 2012

Hassan Ali oh Hassan Ali!

Dulu saya hormat  Dr Hassan Ali sebagai salah seorang cerdik pandai Melayu yang boleh diteladani. Dia sering muncul dalam rancangan terbitan RTM mahupun TV3 sebagai ahli panel. Dia bijak berkata-kata dan mampu membuatkan orang khusyuk mendengarnya. 

Kemudian dia tenggelam setelah cergas dalam PAS. Biasalah dengan dunia penyiaran dan surat khabar Malaysia, orang yang mendokong atau menyokong parti politik yang lain daripada UMNO/BN, tiada tempat dalam media arus perdana. 

Dr Hassan Ali kemudian menghadapi sedikit masalah dengan  PAS dan dia dipecat tanpa diminta membela diri. Dalam hubungan ini, saya  bersimpati dengan nasib yang menimpanya. 

Tiba-tiba, Hassan Ali mendapat tempat dalam media elektronik dan cetak yang sama ada dikuasai atau dikawal melalui alat kawalan jauh oleh UMNO. Sekali lagi wajah Hassan Ali muncul dalam sama ada dalam rancangan khas atau segmen berita.  

Hassan Ali timbul  seolah-olah seperti pulangnya  seorang wira dari medan perang. Dia disanjung, dijulang dan diarak ke sana sini untuk menceritakan kepada rakyat jelata akan 'kemenangan' dan 'kepulangan' seorang wira ke pangkuan ibu pertiwiwi. 

Begitulah hebatnya manusia bernama Hassan Ali dan begitu jua hebatnya ranjau perjuangan yang dilaluinya dalam gelanggang politik. 

Kita tidak terperanjat mendengar dan membaca 'pendedahan demi pendedahan' oleh Hassan Ali mengenai PAS setelah dia dipecat.  Dulu lain, sekarang lain, itulah hakikatnya.

Kita hairan kenapa Hassan Ali membisu seribu bahasa semasa dia bersama-sama dengan 70 peratus golongan sekular dalam PAS? Kenapa dia tidak mendedahkan muslihat DAP untuk bergabung dengan PAP dan membentuk sebuah republik?

Dengan mendiamkan diri, Hassan Ali membuktikan bahawa dia bukan seorang pemimpin sejati yang jujur, jika dia boleh disifatkan sebagai pemimpin, semasa dia bersama-sama dengan orang DAP dan PKR yang membentuk pentadbiran Negeri Selangor. Semasa duduk sebumbung dan tidur sebantal dengan rakan-rakan politiknya itu, Hassan Ali akur dan sokong mereka. Kenapa lain pula ceritanya apabila dipecat?

Orang seperti Hassan Ali tidak boleh dipercayai sama sekali. Dia tidak ubah seperti sesumpah atau lalang yang berlenggang-lenggok mengikut arah tiupan angin.

Jika dia benar-benar jujur dan mengaku sebagai seorang yang memperjuangkan Islam, kenapa dia sanggup bersama-sama orang atau kumpulan yang kini dia begitu marah dan melemparkan  bermacam-macam tuduhan?

Siapa  parasit? Siapa munafik? Hassan Ali dah tentu ada jawapannya.