Tuesday, October 28, 2008

Siapa bakal penghuni Aras 4, Blok Utama, Kompleks Perdana Putra





(Foto Kompleks Seri Perdana, Kediaman Rasmi Perdana Menteri Malaysia)

Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menukilkan mengenai penghuni "Tingkat 4" dalam blognya sambil menasihati bakal Perdana Menteri Najib Abdul Razak supaya jangan terjerumus (ini kata-kata saya bukan Tun M) dalam kubang yang sama seperti PM Abdullah Haji Ahmad (Pak Lah). Nasihat Tun M amat berguna dan harus diambil kira oleh Najib, andai kata dia ditakdirkan berpejabat di Aras 5, Blok Utama.


Tun M merujuk kepada lantai berkenaan sebagai "Tingkat 4" sedangkan perkataan yang diguna secara rasmi untuk merujuk kepada lantai-lantai di Kompleks Perdana Putra ialah "aras" dan bukan tingkat.


Pejabat PM terletak di Aras 5, Blok Utama manakala pejabat Timbalan PM di Aras 4, Blok Barat, sama searas dengan segolongan penasihat Pak Lah yang mengisi ruang-ruang pejabat di Blok Utama.


Semasa Tun M menjadi PM, ruang pejabat di Aras 4 turut menempatkan Pembantu Khasnya Hashim Ahmad Makaruddin (kini Tan Sri dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan Melayu), Setiausaha Akhbarnya Zakaria Wahab (kini Pewarta Bernama di Singapura) dan Penolong Setiausaha Akhbar Saufi Yusof (kini Pegawai Khas Tun M). Dalam erti kata lain, bidang tugas mereka yang menghuni Aras 4 adalah yang berkaitan media.


Apabila Pak Lah mengambil alih kerusi PM, peranan dan kuasa mereka yang menghuni Aras 4 turut berubah dan tidak terbatas kepada urusan berkaitan media. Penghuni-penghuni Aras 4 dikatakan cukup hebat dan berpengaruh sehingga boleh menghubungi para menteri dan ketua-ketua kementerian dan jabatan melalui telefon untuk memberi 'arahan' atau pesanan dan nasihat bagi pihak PM.


Oleh itu, peranan penghuni-penghuni Aras 4 dikatakan mengatasi semua 'penasihat' PM termasuk Kabinet dan Majlis Tertinggi UMNO. Tun M pun kata demikian dalam blognya. Keadaan itu juga mengakibatkan pentadbiran Pak Lah tidak popular dan peranan Aras 4 turut diguna untuk kepentingan lain. Akibatnya, Pak Lah terpaksa membayarnya dengan kos yang cukup tinggi, iaitu melepaskan jawatan tertinggi yang disandangnya.


Tun M telah menasihati Najib, jika anak mantan PM Tun Abdul Razak itu dapat menduduki kerusi PM, supaya pelajari daripada kesilapan yang dilakukan oleh Pak Lah. Saya berkata jika Najib menjadi PM kerana berpegang kepada kenyataan bahawa manusia hanya mampu merancang dan yang menentukannya adalah Allah. Jika Allah mengizinkan maka Najib akan jadi PM.


Najib harus berhati-hati dan mengamalkan ketelitian dan tapisan yang sehalus-halusnya jika ingin melantik mana-mana individu sebagai penasihat dan pembantu yang bakal menghuni Aras 4. Lulusan Oxbridge atau Harvard tidak semestinya yang terbaik dan lulusan UM, UKM atau USM dan IPT lain di Malaysia tidak semestinya tidak bagus.


Najib tidak semestinya mengikuti apa yang dibuat oleh Pak Lah iaitu melantik 15 orang pegawai, lima orang penasihat dan lima orang setiausaha politik semasa mula-mula mengambil alih teraju kepimpinan kerajaan daripada Tun M. Ianya terlalu ramai dan tidak diperlukan oleh seorang PM.


Saya ingin kembalikan ingatan para pembaca kepada siapakah pegawai-pegawai utama Pak Lah pada masa itu.


Mereka adalah Dato' Mohamed Thajudeen Abdul Wahab selaku Ketua Setiausaha Sulit (KSUS), Ahmad Nazri Yusof selaku Timbalan KSUS (I), Khairy Jamaluddin selaku Timbalan KSUS (II), Ho May Yong selaku Pegawai Tugas-tugas Khas, Ahmad Yaacob selaku Setiausaha Sulit Kanan, Ahmad Zaki Zahid selaku pegawai Khas Unit Luar (Aras 4), Kamal Khalid selaku Pegawai Khas Unit Komunikasi (Aras 4), Azhar Osman (allahyarham) selaku Setiausaha Akhbar (I) (Aras 4), dan Aminuddin Md Yassin selaku Setiausaha Sulit (I).

Khairy terpaksa melepaskan jawatannya setelah Pak Lah dimaklumkan mengenai satu Pekeliling yang melarang ahli Kabinet daripada melantik anggota keluarga memegang jawatan-jawatan tertentu bersifat pembantu seperti Setiausaha Sulit, Setiausaha Akhbar dan Pegawai Khas.


Lima orang penasihat yang dilantik ketika itu adalah Tan Sri Dato' Nor Mohamed Yakcob (Kewangan) yang kini Menteri Kewangan II, Tan Sri Dato Ali Abul Hassan Sulaiman (Ekonomi), Tan Sri Abdul Kadir Mohamad (Dasar Luar), Tan Sri Datuk Dr Ahmad Zaharuddin Idrus (Sains) dan Tan Sri Abdul Hamid Othman (Agama). Nama Tan Sri Hamid tiada dalam senarai asal yang dikeluarkan tetapi dia dikekalkan, atas sebab-sebab tertentu, selaku Penasihat Agama.



Lima orang setiausaha politik ketika itu adalah Dato' Mohd Johari Baharum (kemudian Timbalan Menteri Dalam Negeri), Dato' Mahadzir Khalid (kemudian mantan MB Kedah), Dato' Osman Desa (tewas dalam pemilu lepas), Dato Hasbullah Lebai Isa dan Dr Vincent Lim Kian Tick.



Para pegawai, penasihat dan setiausaha politik yang dilantik oleh Pak Lah sebaik sahaja mengambil alih jawatan PM mengatasi yang berkhidmat dengan mantan PM sebelum itu. Adalah diharapkan Najib tidak akan melakukan perkara yang sama semata-mata untuk memberi jawatan kepada kroni atau membalas budi orang tertentu.



Perlantikan pegawai dan penasihat di Pejabat PM amat penting dari semua sudut terutama keselamatan. Ia harus dibuat dengan cukup teliti dan melepasi tapisan keselamatan. Penghuni Aras 4 di bawah Najib, jika dimakbulkan Tuhan, harus balik kepada peranan dan bidang tugas asal dan tidak mengulangi apa yang dilakukan oleh pentadbirasn Pak Lah.

Tuesday, October 21, 2008

Politik wang dan pawang politik dalam UMNO




Kelohan Menteri Luar Negeri Dr Rais Yatim mengenai keseriusan politik wang atau rasuah politik dalam Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO bukanlah sesuatu yang baru dalam sepak terajang politik tanah air terutama di kalangan orang UMNO.

Rasuah politik dalam UMNO sukar malahan tidak dapat dihapuskan selagi mereka yang bertanding merebut jawatan dalam Majlis Tertinggi mahupun di peringkat bahagian dan mereka yang dipilih menjadi ahli perwakilan bersifat tamak haloba dan tamak kuasa. Selagi kedu-dua ketamakan ini bersemai dalam hati orang yang bertanding dan orang yang bakal membuat pemilihan (mengundi), maka penyakit ini tetap akan wujud.

Rasuah politik di kalangan pemimpin atau bakal pemimpin UMNO bertapak di peringkat cawangan lagi dan menjadi parah apabila tiba di peringkat bahagian dan merebak sebagai wabak apabila membabitkan pemilihan di peringkat Majlis Tertinggi.

Kita akui bukan semua cawangan dihidapi penyakit ini dan bukan semua orang yang bertanding merebut jawatan dalam UMNO mengamalkan rasuah politik. Ada pemimpin yang bersih daripada amalan rasuah politik dan ada juga ahli perwakilan yang menolak sogokan dan habuan yang sememangnya diharamkan itu.

Semasa menceburi dunia kewartawan hampir 27 tahun dan kemudian selaku setiausaha akhbar kepada seorang menteri UMNO (Dr Rais Yatim), saya ada sedikit pengalaman berkaitan isu rasuah politik yang sudahpun menjadi barah kepada UMNO.



Semasa berkhidmat dengan Dr Rais saya dilantik selaku Wakil Calon apabila Dr Rais bertanding merebut salah satu jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan tahun 2000. Sebenarnya, saya bukanlah orang yang sepatutnya dilantik tetapi sebagai seorang pegawai yang menurut perintah, saya mematuhi arahan ketua.

Selaku Wakil Calon, saya mewakili Dr Rais dalam urusan rasmi berkaitan pertandingan termasuk menyaksikan proses mengundi dan pengiraan undi. Perlu ditegaskan bahawa saya tidak sama sekali mengurus atau mengendalikan apa-apa perbelanjaan yang dibuat oleh urusetia atau bilik gerakan calon berkenaan.



Kurang 24 jam selepas perlantikan saya dibuat secara rasmi, saya mula menerima panggilan telefon daripada mereka yang mengakui mewakili bahagian-bahagian UMNO tertentu. Saya tertanya-tanya bagaimana mereka boleh dengan cepat tahu bahawa saya adalah Wakil Calon Dr Rais? Saya bukan membuat andaian tetapi percaya bahawa maklumat itu disalurkan oleh pihak tertentu di Ibu Pejabat UMNO (Menara Dato Onn).

Mereka yang menghubungi saya menyatakan bahawa pencalonan Dr Rais mendapat sokongan dan mereka menjanjikan beberapa undi daripada bahagian masing-masing. Saya tidak perlu menyatakan apakah tujuan mereka menghubungi saya kerana umum mengetahui bahawa mereka mahukan habuan atau sagu hati atas daya usaha mendapatkan sokongan.

Tetapi, seperti yang saya katakan awal-awal lagi, saya tidak mengurus wang atau terlibat dalam sebarang perbelanjaan semasa berkempen dan oleh itu, saya dengan jelas menyatakan kepada mereka yang menghubungi saya bahawa saya tidak diberi sebarang peruntukan untuk dibelanjakan termasuk memberi sogokan sama ada kepada ejen atau ahli perwakilan.

Dr Rais telah memberitahu bahawa dia tidak akan memberi wang ataupun menerima wang daripada mana-mana pihak dalam usaha untuk merebut jawatan Naib Presiden UMNO. Sekiranya perkhidmatan dan pengalaman beliau dikehendaki, ahli-ahli perwakilan boleh mengundi dengan jujur dan ikhlas. Saya berpegang kepada pesanannya itu dan kesannya saya turut dicemuh dan dijadikan bahan sindiran.

Saya menyebut "menerima wang" kerana itulah yang saya lalui selaku Wakil Calon. Selama ini orang bercakap mengenai politik wang yang membabitkan sogokan daripada pihak calon kepada perwakilan tetapi jarang orang bercakap mengenai sogokan daripada pihak ketiga kepada calon.

Saya menerima banyak panggilan telefon daripada orang yang tidak dikenali yang menawarkan sokongan dalam bentuk wang ringgit. Semuanya terpaksa ditolak atas arahan Dr Rais sendiri. Katanya, jika kita terima sumbangan, kita kena membalasnya kemudian dalam apa jua bentuk termasuk pemberian projek atau kontrak serta mahukan sokongan untuk bintang dan darjah kebesaran. Oleh itu, semua tawaran sumbangan yang diterima melalui pejabat saya telah ditolak dengan cara yang baik.

Selain panggilan telefon, pejabat saya di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya turut dikunjungi oleh mereka yang kononnya mewakili bahagian-bahagian UMNO tertentu dari utara hinggalah ke selatan. Mereka sanggup mengeluarkan perbelanjaan untuk ke Putrajaya menemuai sama ada menteri yang bertanding atau Wakil Calon untuk tujuan-tujuan tertentu.
Selain rasuah politik, satu perkara yang memeranjatkan saya semasa menjadi Wakil Calon ialah penggunaan bomoh dan pawang oleh calon yang bertanding. Saya sendiri menerima tawaran daripada seorang yang kononnya boleh membantu Dr Rais melalui khidmat "wali". Tawaran yang bersifat syirik itu telah ditolak kerana orang yang menawarkan perkhidmkatan itu sebenarnya cuba mendapat habuan semata-mata.

Pada tahun pemilihan yang saya terlibat itu, saya difahamkan bahawa khidmat bomoh dan pawang termasuk bomoh Siam, Orang Asli, Jawa dan pawang Melayu telah digunakan oleh sebilangan calon yang benar-benar ingin menang. Perkara ini sudah pasti akan dinafikan oleh mereka yang terlibat sama seperti mereka menafikan pembabitan dalam politik wang.

Penggunaan pawang dan bomoh oleh orang politik untuk mendapat sesuatu, terutama jawatan penting, bukan perkara baru. Lihat saja apa yang terjadi kepada seorang mantan Ahli Dewan Undangan Negeri Pahang yang bercita-cita menjadi Menteri Besar dengan menggunakan khidmat seorang bomoh wanita.

Orang politik yang ingin mendapat sesuatu jawatan penting akan menggunakan apa sahaja yang termampu untuk mencapai cita-cita mereka. Wang ringgit bukan merupakan satu-satunya saluran dan ukuran untuk berkuasa tetapi mereka sanggup melakukan apa saja, termasuk menggunakan pawang dan bomoh, untuk mendapatkannya.

Sekali lagi saya tegaskan bukan semua yang bersikap sedemikian tetapi tidak boleh dinafikan ada yang berbuat demikian untuk memuaskan hawa nafsu menjadi pemimpin kerana melalui kepimpinan itu mereka boleh meraih kemewahan hidup.

Sebab itulah ramai orang yang tidak jujur berebut-rebut untuk menjadi Ketua Cawangan, Ketua Bahagian dan seterusnya ahli Majlis Tertinggi bukan kerana ingin berkhidmat dan menabur budi dan jasa kepada parti, bangsa, agama dan negara tetapi kerana pulangan yang bakal diperolehi hasil daripada kedudukan tersebut.
Inilah penyakit yang menjadi barah yang bakal membunuh UMNO sekiranya pemimpin dan ahli parti itu tidak mahu mencari penawar untuk mengubatinya.

Saturday, October 18, 2008

Perlantikan hakim bidang kuasa Agong

Perlantikan hakim-hakim bagi Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi adalah bidang kuasa dan hak mutlak Yang diPertuan Agong dan tidak seharusnya dipertikai oleh mana-mana pihak.

Perkara ini disebut dengan jelas dan dalam bahasa yang mudah difahami dalam Perlembagaan Perskutuan Malaysia di bawah Perkara 122B.

Oleh itu, agak kurang bijak bagi sesiapa termasuk orang politik terutama wakil rakyat DAP ataupun Majlis Peguam untuk mempersoalkan perlantikan Ketua Hakim Negara yang baru, Tan Sri Zaki Tun Azmi. Sama ada kita suka, setuju atau tidak dengan perlantikan itu, kita kena menerima dan menghormati kebijaksanaan Yang diPertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.

Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyebut bahawa Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan, Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi hendaklah dilantik oleh Yang diPertuan Agong, yang bertindak atas nasihat Perdana Menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Sebelum memberi nasihatnya di bawah Fasal (1) dalam Perkara 122B tentang perlantikan seseorang hakim, lain daripada Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan, Perdana Menteri hendaklah meminta fikiran Ketua Hakim Negara. Oleh itu, perlantikan Tan Sri Zaki dibuat setelah Perdana Menteri berunding dengan Ketua Hakim Negara yang akan bersara Tun Abdul Hamid. dalam erti kata lain, perlantikan Tan Sri Zaki dibuat mengikut semangat dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Ahli Dewan Rakyat (DAP) YB Lim Kit Siang nampaknya sedang mempertikai perlantikan Tan Sri Zaki dengan cuba menggunakan Perkara 127 dalam Perlembagaan Persekutuan dan meminta semua wakil rakyat Pakatan Rakyat (PR) menyokongnya.

Perkara 127 memperinci persoalan berkaitan sekatan mengenai perbincangan Parlimen tentang kelakuan hakim., iaitu:-

"Kelakuan seseorang hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi tidak boleh dibincangkan dalam mana-mana Majlis Parlimen kecuali dengan suatu usul yang tersendiri dan notis mengenainya telah diberi oleh tidak kurang daripada satu perempat daripada jumlah bilangan ahli Majlis Parlimen itu, dan juga tidak boleh dibincangkan dalam mana-mana Dewan Negeri."

Kita tidak mempersoalkan hak YB Kit Siang untuk mengemukakan usul berkenaan tetapi adakah ianya perlu dan tidakkah ia, secara langsung, mempertikai kebijaksanaan dan bidang kuasa Yang diPertuan Agong?

Yang diPertuan Agong membuat perlantikan itu mengikut apa yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan ianya mesti dihormati dan dipatuhi oleh semua rakyat Malaysia. Kebijaksanaan Majlis Raja-Raja tidak seharusnya dipertikai kerana pada masa lepas, Majlis Raja-Raja pernah tidak bersetuju dan menolak calon yang dikemukakan oleh Perdana Menteri. Majlis Raja-Raja menggunakan bidang kuasa yang diperuntukkan oleh Perlembagaan dan tidak hanya meluluskan sesuatu cadangan perlantikan yang dikemukakan oleh Perdana Menteri.

Kita akui bahawa perlantikan hakim mungkin mempunyai kepentingan politik tetapi itu adalah hak Perdana Menteri dan terpulanglah kepada Majlis Raja-Raja untuk membuat keputusan muktamat dan ianya mesti dihormati dan diterima oleh rakyat.

Tuesday, October 14, 2008

Alahai Datuk Shahrukh Khan

Penganugerahan gelaran Datuk oleh Kerajaan Negeri Melaka, lebih tepat oleh Ketua Menteri Mohamad Ali Rustam, ke atas pelakon Hindi, Sharukh Khan, sewajarnya membangkitkan rasa kurang senang di kalangan segelintir rakyat terutama mereka yang berada dalam industri hiburan khususnya perfileman.

Melaka memang terkenal dengan penganugerahan datuk kepada golongan politik tetapi apabila ia menganugerahkan bintang kebesaran itu kepada seorang pelakon dari India, tak kiralah sama ada dia popular atau tidak, ianya menimbulkan banyak tanda tanya.

Orang filem kurang senang kerana seolah-olah mereka tidak memberi sumbangan langsung kepada usaha memperkenalkan negeri Melaka dalam babak-babak filem atau drama yang diterbitkan.

Sebenarnya, penganugerahan darjah kebesaran, bintang dan pingat disambut baik oleh rakyat dan kakitangan awam sekiranya ia dibuat berdasarkan sumbangan dan khidmat bakti seseorang itu kepada sesebuah negeri ataupun negara. Ia dilihat sebagai satu penghormatan dan bukan satu ganjaran atau membalas budi mahupun sokongan politik kepada ketua kerajaan (ketua menteri atau menteri besar).

Sejak beberapa tahun lalu, isu penganugerahan gelaran datuk hangat diperkatakan kerana hampir semua negeri mengeluarkan senarai yang panjang lebar sehingga terkeluar kata-kata sinis jika membaling batu di satu-satu perjumpaan, ia pasti akan menimpa kepala seorang datuk.

Satu ketika dahulu, gelaran datuk hanya diberikan kepada mereka yang berumur 45 tahun ke atas. Rasionalnya, jika seseorang itu sudah berumur 45 tahun, dia pasti telah berkhidmat atau menabur jasa dan bakti kepada sesebuah negeri sekurang-kurangnya selama 20 tahun. Ianya bertujuan untuk mempastikan bahawa mereka yang benar-benar layak sahaja diberi pertimbangan untuk gelaran datuk.

Setiap negeri pula akan mempertimbangkan gelaran datuk kepada rakyat atau pemastautin yang benar-benar menabur bakti dan jasa kepada negeri berkenaan termasuk dalam bidang kebajikan dan khidmat masyarakat secara sukarela.

Tetapi, amalan seperti itu tidak lagi menjadi pertimbangan. Orang politik yang tidak menabur bakti kepada sesebuah negeri, umpamanya Melaka, Sabah atau Pulau Pinang, diberi penghormatan itu semata-mata atas kepentingan politik. Adalah sesuatu yang bukan luar biasa apabila seseorang ahli politik menerima penganugerahan datuk dari lebih daripada sebuah negeri.

Amalan sedemikian juga memperlihatkan mereka yang berumur 35 tahun dan ke bawah, terutama yang menceburi dunia perniagaan, dan ada yang tidak faseh becakap dalam Bahasa Melayu, mendapat penganugerahan datuk.

Apa yang berlaku dalam penganugerahan darjah kebesaran telah mencalarkan kemurniaan darjah kebesaran itu sendiri dan orang ramai tidak lagi menghormati atau memandang tinggi mereka yang bergelar datuk dan gelaran-gelaran tambahan seperti datuk diraja, datuk seri panglima, datu seri, datuk wira atau datuk pahlawan.


Teringat kita akan lagu ...."ala-ala latuk, ala-ala latuk...

Thursday, October 09, 2008

Majlis Silatulrahim PEMENANG


Saya tidak akan melepas peluang untuk menghadiri majlis-majlis anjuran Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG) sekiranya berpeluang dan berkesempatan berbuat demikian. Bagi saya, setiap majlis anjuran PEMENANG ada keistimewaan tersendiri.

Pada hari Rabu, 8 Oktober, saya dan isteri sekali lagi ke Pulau Pinang untuk menghadiri Majlis Makan Malam Silatulrahim sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri anjuran PEMENANG di sebuah hotel bertaraf lima bintang di Persiaran Gurney (Kelawai), Pulau Pinang. Kami menaiki bas dari stesen KTM Kuala Lumpur ke Sungai Nibong, Pulau Pinang kerana lebih murah berbanding memandu kereta dari KL ke Pulau Pinang.




Hotel dimana majlis itu diadakan hanyalah sepelaung, kata orang suatu ketika dahulu, dari rumah kami di Jalan Burma.

Dewan besar hotel berkenaan penuh dan yang cukup menarik perhatian saya ialah kehadiran wakil semua kaum yang bermastautin di Pulau Pinang. Inilah sesuatu yang unik pada majlis anjuran PEMENANG.

Ini diakui oleh Presiden PEMENANG, Dato' Seri Haji Mohamad Yussof Latiff bahawa istimewanya majlis pada tahun ini adalah kehadiran wakil-wakil dari persatuan-persatuan etnik/kaum di negeri Pulau Pinang yang dijemput khas.

Kehadiran wakil-wakil orang Sikh, Serani (Eurasian), India dan Cina serta rumah-rumah anak yatim Islam, Hindu dan Kristian (Salvation Army) menandakan semangat muhibbah di kalangan masyarakat majmuk Pulau Pinang.



Saya juga tertarik dengan kata-kata yang terkandung dalam perutusan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tetapi agak terkilan kerana beliau tidak dapat menghadiri majlis itu dan mewakilkan Timbalan Ketua Menteri (1) Mohammad Fairus Khairudin.

Antara lain, Guan Eng berkata perpaduan yang tulen tidak hanya terbatas kepada satu-satu kaum tetapi secara menyeluruh.

"Seperti mana yang saya faham, ini turut bersesuaian dengan makna Islam sebagai agama yang Syumul atau universal. Ad-Din atau cara hidup Islam itu adalah menyeluruh yang mencakupi semua aspek kehidupan manusia sama ada ekonomi, politik mahupun sosial. Ianya tidak bersifat perkauman kerana Ad-Din adalah berteraskan sistem keadilan tanpa mengira kaum dan agama. Sememangnya, saya amat menghormatinya dan berharap ianya akan menjadi teras atau tapak kepada usaha merapatkan silatulrahim antara kaum di negara ini," tegas Guan Eng.

Apa yang diperkatakan oleh Gun Eng adalah sesuatu yang cukup bermakna dan seingat saya, belum pernah disuarakan oleh mana-mana pemimpin MCA, MIC mahupun Gerakan.

Sesungguhnya, Majlis anjuran PEMENANG ini merupakan majlis sambutan dan perayaan semua kaum dan semua lapisan masyarakat Pulau Pinang.


Kepada teraju kepimpinan PEMENANG terutama presidennya, Dato' Seri Yussof Latiff, timbalannya Dato' Haji Azmi Merican, naib-naib presiden Dato' Abdul Rashid Ismail, Haji Abdul Karim Khan, Hajjah Azizah Dato' Daud dan setiausaha kehormat Haji Shaik Mohamed Shaik Abdul Kadir, saya rakamkan ucapan syabas dan tahniah atas daya usaha dan kejayaan menganjurkan majlis yang benar-benar memancarkan cahaya silatulrahim antara kaum yang ada di negeri Pulau Pinang.

Wednesday, October 08, 2008

Akhirnya Pak Lah lakukan sesuatu yang betul

Akhirnya PM Abdullah bin Ahmad (Pak Lah) melakukan sesuatu yang betul apabila membuat keputusan untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti yang ditunda daripada Disember 2008 kepada Mac 2009.

Ini bermakna jawatan presiden UMNO dikosongkan dan terpulanglah kepada bahagian-bahagian parti itu untuk mencalonkan sesiapa sahaja yang difikir layak, berwibawa, beramanah dan bertanggungjawab untuk memimpin UMNO.

Ianya tidak semestinya Najib Abdul Razak walaupun dia dan Pak Lah membuat perjanjian lisan berkaitan peralihan kuasa yang jelas tidak terkandung dalam mana-mana peruntukan dalam Perlembagaan UMNO.

Sesiapa sahaja yang memperolehi jumlah pencalonan yang mencukupi boleh bertanding dan menurut sumber-sumber yang boleh dipercayai, antara calon yang berminat selain Tengku Razaleigh Hamzah ialah Muhyiddin Yassin.

Sementara itu, perebutan untuk jawatan timbalan presiden boleh dikatakan terbuka luas dan ramai yang berminat. Persoalannya, mampukah mereka yang berminat itu mendapat pencalonan yang mencukupi untuk bertanding.

Dengar khabar, wang sudahpun mengalir dan khidmat pawang dan bomoh juga sedang dicari.