Berbalik kepada siaran langsung dari Dewan Rakyat yang bermula pukul 10 pagi dan dihentikan kira-kira 41 minit (dari dalam Dewan) kemudian semasa Perdana Menteri sedang menjawab soalan tambahan wakil Marang, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Haji Awang, penonton dapat melihat dan boleh menjangkakan suasana perdebatan yang panas.
Hampir separuh masa yang diperuntukkan bagi sesi soal-jawab telah dipenuhi dengan perdebatan berkaitan Standing Order atau aturan dan peraturan persidangan. Pertikaman lidah yang pada satu ketika menjadikan suasana dalam Dewan hingar-bingar, dapat dikawal dengan baik oleh Speaker yang baru dilantik, Pandikar Amin Haji Mulia dari Sabah.
Dua orang wakil rakyat yang sering bertikam lidah semasa persidangan Dewan Rakyat ke-11, iaitu Karpal Singah (Bukit Glugor) dan Bung Mokhtar (Kinabatangan) nampaknya masih mengekalkan kehebatan masing-masing. Pada satu ketika Karpal yang bercakap sambil duduk atas kerusi roda, menggelar Bung Mokhtar sebagai "Big Foot" dan Bung Mokhtar pula memanggil Karpal "Big Monkey".
Kita menunggu Mohamad Abdul Aziz (Sri Gading), Mahfuz Omar (Pokok Sena) dan Ibrahim Ali (Tanah Merah) menunjukkan bakat masing-masing.
Yang pasti, persidangan Dewan Rakyat kali ini tidak boleh dipandang ringan atau tidak penting oleh wakil-wakil rakyat kerajaan (BN) seperti masa-masa lalu sehingga kuorom tidak mencukupi. Kehadiran 82 orang wakil Pakatan Rakyat seharus dan semestinya memberi kesedaran kepada BN bahawa mereka tidak boleh alpa dan lalai.
Kepada semua wakil rakyat, kita ucapkan selamat bersidang dan berharap Ahli-Ahli Yang Berhormat akan menghormati tatasusila dan aturan persidangan.
Wednesday, April 30, 2008
Tahniah kepada RTM dan Menteri Penerangan
Sunday, April 27, 2008
Raja Petra hebat dalam rancangan Blog RTM
Antara glamor dan maruah bangsa
Wednesday, April 23, 2008
ALFATIHAH
Monday, April 21, 2008
Khir Toyo dan isu pemberian tanah di Selangor
Saya amat tertarik dengan sikap mantan Menteri Besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo yang nampaknya telah berputar hampir 360 darjah selepas kerajaan negeri pimpinannya di Selangor tumbang dan digantikan oleh kerajaan Pakatan Rakyat (PR).
Khir Toyo mengakui bahawa pentadbirannya bersih daripada salahguna kuasa dan rasuah dan beliau mencabar sesiapa, terutama pentabiran baru Pakatan Rakyat, atau mana-mana pihak yang berpandangan sebaliknya supaya membuktikan tuduhan mereka. Khir Toyo mendakwa bahawa pentadbirannya telus dan tiada ada apa-apa yang hendak disembunyikan.
Sebelum kerajaannya tumbang, Khir Toyo termasuk diantara pemimpin Barisan Nasional (BN) yang agak tidak gemar dengan penulisan blog yang mereka sifatkan sebagai alat pembangkang dan anti-kerajaan. Tetapi, sekarang Khir Toyo sendiri menulis blog dan menggunakan blog untuk menyuarakan pendapat dan sebagai wadah perjuangan politiknya. Melalui blognya itu, Khir Toyo turut mendesak Pak Lah berundur selaku perdana menteri. Itu hak Khir Toyo dan kita mesti menghormatinya. Sekurang-kurangnya Khir Toyo sedar akan betapa penting dan bergunanya blog.
Saya ingin menyahut cabaran Khir Toyo untuk mempersoal 'ketelusan dan kebersihan daripada rasuah' pentadbirannya selaku Menteri Besar Selangor. Saya juga ingin tahu apa dah jadi dengan laporan yang dibuat kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) termasuk oleh mantan timbalan Menteri Besar Selangor Dr Zainal Abidin Ahmad yang kini Ahli Parlimen Hulu Selangor mewakili Pakatan Rakyat.
Saya ingin kembalikan ingatan Khir Toyo kepada persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor pada 29 April, 2003, dimana Khir Toyo berkata kerajaan negeri pimpinannya bercadang untuk mengurniakan tanah kepada kakitangan kerajaan negeri sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang berusaha untuk memajukan Selangor.
Beliau berkata niat untuk mengurniakan tanah tersebut adalah bagi melaksanakan pembahagian tanah secara adil dan bukan kepada sesetengah pihak sahaja.
Kerajaan Negeri Selangor, kata beliau, bukan hendak mengurniakan tanah kepada pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri sahaja tetapi juga kepada kakitangan peringkat bawahan seperti kerani, budak pejabat dan pemandu.
Khir Toyo berkata demikian apabila menjawab pertanyaan ADUN Bandar Klang dari DAP, Teng Chang Khim mengenai tindakan kerajaan negeri meluluskan pemberian tanah di Lot 557, Mukim Dengkil dan Kampung Labu Lanjut, Sepang kepada beberapa orang yang menurutnya mempunyai kepentingan.
(Teng kini ADUN Sungai Pinang dan bakal dilantik Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor yang pertama dari kalangan wakil rakyat bukan Melayu. Setinggi-tinggi tahniah saya hulurkan kepada beliau)
Teng berkata bagi pemberian tanah di Lot 557 untuk tujuan pertanian, seramai 107 orang pemohon telah berjaya dalam permohonan mereka. Menurut beliau antara yang berjaya ialah mereka yang ada kaitan dengan Khir Toyo; dengan ADUN Dengkil (ketika itu) Mohd Sharif Jajang dan beberapa kakitangan kerajaan negeri.
Teng turut mendakwa bahawa walaupun Khir Toyo dan beberapa orang yang berkepentingan telah mengisytiharkan kepentingan mereka tetapi mereka tidak meninggalkan mesyuarat semasa kertas dibentangkan. Tiada pengerusi dilantik bagi menggantikan Menteri Besar sebagai pengerusi dan oleh itu, dari segi tatacara dan undang-undang, mereka melakukan satu kesalahan kerana percanggahan kepentingan.
Begitu juga dengan isu pemberian tanah di projek pembesaran Kampung Labu Lanjut, Sepang apabila Khir Toyo sekali lagi tidak meninggalkan mesyuarat walaupun telah mengisytiharkan kepentingan berkaitan dengan kakitangan beliau, iaitu seorang pengawal peribadi dan seorang pemandu. MB terus mempengerusikan mesyuarat dan meluluskan permohonan yang melibatkan kakitangan beliau, tegas Teng.
Pada 30 April, 2003 (sehari selepas Teng membangkitkan perkara itu), Khir Toyo memberitahu pemberita di lobi Dewan Undangan Negeri Selangor, Shah Alam bahawa semasa Exco (Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri) membuat keputusan itu (meluluskan permohonan tanah berkenaan), beliau telah meninggalkan bilik mesyuarat selepas mengisytiharkan kepentingannya.
Khir Toyo berkata tuduhan pembangkang (Teng) bahawa beliau tidak keluar mesyuarat adalah tidak betul, dan selalunya apabila beliau (Khir Toyo) tinggalkan mesyuarat Timbalan Menteri Besar (Dr Zainal Abidin Ahmad) atau Datuk Tang See Hang akan mempengerusikan mesyuarat kerana itu dah jadi prosedur.
Khir Toyo berkata beliau keluar daripada mesyuarat Exco itu kerana ada pegawai dan pemandunya memohon tanah tersebut dan demikian juga semua ahli Exco yang terbabit memohon tanah itu turut keluar mesyuarat kerana tidak mahu timbul masalah.
Tetapi, kenyataan Khir Toyo itu dinafikan oleh Dr Zainal Abidin dan ia dibuat melalui sepucuk surat kepada Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) ketika itu, Zulkifli Mohd Noor bertarikh 1 Mei, 2003. Salinan surat itu dipanjangkan kepada Perdana Menteri (Dr Mahathir Mohamad), Timbalan Perdana Menteri (Pak Lah) dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Dr Rais Yatim) yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal undang-undang. Pada ketika itu, saya berkhidmat di Pejabat Menteri di JPM dan berpeluang membaca isi kandungan surat tersebut setelah diarah oleh Menteri untuk menyimpannya dalam satu fail khas.
Setahu saya, inilah kali pertama dalam sejarah pentadbiran moden Malaysia dimana seorang Timbalan Menteri Besar menafikan kenyataan bosnya, Menteri Besar yang membabitkan Akta Pencegahan Rasuah. Tetapi, tidak pula diketahui sama ada BPR mengambil tindakan dan jika diteliti laporan media, tiada tindakan yang diambil.
Seperti yang umum ketahui, Khir Toyo telah menggugurkan Dr Zainal dari senarai calon BN pada pilihan raya 2004 walaupun nama Dr Zainal adalah yang teratas seperti yang dikemukakan oleh Umno bahagian berkenaan. Selepas itu, Dr Zainal keluar daripada Umno dan menganggotai Parti KeAdilan Rakyat dan kini terpilih sebagai Ahli Parlimen Hulu Selangor menewaskan timbalan presiden MIC G. Palanivel yang juga mantan wakil rakyat kawasan itu.
Friday, April 18, 2008
Isu ladang ternakan babi dipolitikkan
(Keterangan gambar: Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor kawasan Tanjung Sepat, Dr. Karim Mansor (UMNO) sedang posing di sebelah kandang babi semasa mengikuti rombongan Kerajaan Negeri BN pimpinan Dr. Khir Toyo meninjau sistem ternakan babi secara moden di Jerman).
Yang cadang Kerajaan BN, yang nak laksana Kerajaan PR
Isu cadangan pembukaan sebuah ladang ternakan babi secara moden yang dibuat oleh kerajaan negeri Selangor semasa dibawah pentadbiran Dr Khir Toyo nampaknya telah dijadikan satu isu politik oleh orang BN (UMNO) sendiri.
Saya perlu membuat ulasan kerana nampaknya orang yang pernah menyokong projek swasta itu kini menjadi antara yang paling lantang menentang. Ini yang tidak betul dan perlu diperbetulkan agar rakyat tidak dikelirukan.
Kita akui bahawa di Selangor terdapat tidak kurang daripada empat ladang ternakan babi yang telah menimbulkan banyak masalah berkaitan pencemaran air, pencemaran udara dan mengotori alam sekitar.
Oleh itu, kerajaan negeri Selangor pimpinan BN membuat keputusan untuk memusatkan ladang ternakan babi di satu kawasan khas dan diselenggarakan secara moden. Ladang yang dicadangkan itu dijamin tidak akan mencemar udara, air mahupun alam sekitar kerana ia akan dikendalikan secara 'kitar semula'. Kita sokong sebarang usaha untuk melindungi alam sekitar seperti yang dicadangkan itu.
Untuk tujuan itu, kerajaan negeri pimpinan Dr Khir Toyo telah menghantar serombongan ahli Exco dan pegawai kanan meninjau projek seumpama itu di Eropah dan antara negeri yang dilawati ialah Jerman.
Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Tanjung Sepat, Dr Karim Mansor adalah antara orang yang begitu lantang membantah sedangkan dia telah melawat beberapa ladang ternakan babi secara moden di Eropah.
Yang pasti, projek bernilai beratus juta ringgit di Ladang Tumbuk itu tidak akan dibiayai oleh kerajaan negeri Selangor tetapi oleh sebuah entiti persendirian milik bersama Persatuan Penternak Babi Kuala Langat.
Kenapa ia tiba-tiba dijadikan satu isu panas semata-mata kerana pentadbiran kerajaan negeri bertukar tangan daripada BN kepada Pakatan Rakyat? Bukankah dari segi mutu alam sekitar projek yang dicadangkan itu boleh dan dapat mengatasi masalah pencemaran yang begitu ketara sekarang?
Apakah ia tidak akan menjadi isu sepanas yang ditiupkan oleh media tertentu sekiranya BN terus berkuasa di Selangor. Bukankah ia projek yang terilham semasa BN memerintah Selangor?
Nampaknya orang BN termasuk Datuk Noh Omar, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang saya kenali semasa menjadi Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, turut melakukan lagak tari berlainan semata-mata kerana negeri Selangor kini diperintah oleh Pakatan Rakyat dan bukan BN. Noh berkata ladang ternakan babi secara moden itu adalah hadiah Kerajaan PR kepada rakyat Selangor. Noh oh Noh, kenapa sampai begitu jauh saudara lari daripada kenyataan? Bukankah ia satu projek yang dirancang oleh Kerajaan BN dan mahu tidak mahu, ia adalah sesuatu yang elok dari segi menjaga alam sekitar dan menjamin tidak berlaku pencemaran yang begitu teruk sekarang? Janganlah kerana berbeza fahaman dan pegangan politik membuatkan kita alpa dan lupa akan kenyataan.
Thursday, April 17, 2008
Polis mesti bersikap adil dan saksama
Tetapi, apa yang berlaku selepas itu agak mengecewakan terutama berkaitan apa yang diperjelaskan oleh ketua polis Kuala Lumpur, Muhammad Sabtu Osman.
Wednesday, April 16, 2008
Antara Benggali, Punjabi dan Sikh
Kita menyanjung tinggi pendirian tokoh politik DAP Karpal Singh yang menyifatkan isu tersebut sebagai remeh dan Mohammad Nizar tidak sekali-kali berbuat demikian untuk menghina kaum Sikh.
Tuesday, April 15, 2008
Foto Perhimpunan Raksasa Rakyat di Kelab Sultan Sulaiman
Monday, April 14, 2008
Tren laju - siapa yang untung?
Tren yang dikatakan dapat menuju destinasi sama ada dari KL mahupun Kota Singa dalam tempoh masa 90 minit itu bakal meninggalkan kesan mendalam kepada kedua-dua negara jika dilaksanakan.
Jika diteliti, yang bakal meraih faedah dan keuntungan yang lebih besar ialah Singapura, bukan Malaysia.
Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) akan terjejas teruk sekiranya wujud satu sistem pengangkutan laju seperti tren yang dicadangkan itu. Sebaliknya, lapangan terbang Changi akan mendapat faedah. Akibatnya, KLIA akan menjadi sebuah lapangan terbang gajah putih.
Bayangkan apa yang boleh ditawarkan oleh pihak Singapura terutama syarikat penerbangan Singapura (SIA) sekiranya wujud perkhidmatan tren laju antara KL dan republik itu. Dengan tawaran yang cukup menarik, para penumpang sudah tentu akan memilih untuk ke Changi dan tidak lagi ke KLIA untuk ke destinasi antarabangsa.
Pihak Singapura juga pasti akan mengadakan beberapa pakej percutian dan pelancongan dengan menawarkan sama perkhidmatan tren laju sebagai salah satu tarikan. Malaysia juga boleh berbuat demikian tetapi daya tarikan melalui Changi jauh lebih besar dan lebih banyak berbanding KLIA.
Malaysia sebenarnya tidak memerlukan perkhidmatan tren laju antara KL dan Singapura. Memadailah dengan menaik taraf perkhidmatan tren KTM yang ada sekarang kepada landasan berkembar menggunakan tren berkuasa letrik, bukan lokomotif diesel seperti sekarang.
Sunday, April 13, 2008
Bersedia hadapi peningkatan kos hidup
Saya memberi gambaran tentang apa yang sedang dan mungkin akan berlaku di Amerika Syarikat kerana seperti yang diketahui umum, jika Amerika bersin seluruh dunia akan dijangkiti selsema.
Spekulator pasaran wang terkemuka, George Soros menyatakan bahawa krisis kewangan semasa adalah yang paling buruk sejak 1930-an. Beliau membuat penganalisaan itu berdasarkan pengalamannya selama 50 tahun dalam pasaran dan teori filosofikal berkaitan corak pasaran yang dihalusinya dalam tempoh tersebut.
Dalam kita menghadapi kancah politik, sama ada yang berkaitan isu kepimpinan UMNO ataupun antara Barisan Nasional yang menguasai Kerajaan Persekutuan dengan lima buah kerajaan negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat, kita seharusnya bersiap sedia menghadapi krisis yang lebih besar, iaitu krisis makanan.
Perbelanjaan hidup seharian naik setiap hari dan kenaikan paling ketara akan berlaku apabila ia membabitkan harga beras. Ia tidak dapat dielakkan kerana harga dalam pasaran dunia sudah melambung dan keperitannya sudahpun dirasai di negara-negara jiran.
Kita bukan tidak mahu menjadi pengguna yang bijak kerana soal harga bukan bergantung kepada kebijaksanaan, ia berada di luar kawalan kita. Sejauh mana yang boleh, kita cubalah berjimat dalam perbelanjaan hidup. Beli apa yang perlu dan jauhkan daripada berbelanja untuk benda yang kita tidak begitu memerlukannya.
Thursday, April 10, 2008
Zahrin Yasin dan Pak Lah
Perbezaan pendapat dan pegangan politik tidak seharusnya memutuskan silaturahim. Walaupun kita mengkritik seseorang itu, ia tidak semestinya kita bermusuhan dan tidak berkawan dengannya. Kawan tetap kawan dan kritik tetap kritik.
Kita adalah manusia biasa.
Sunday, April 06, 2008
Radio dan bahasa penyiaran (Bahasa Melayu)
Sempena ulang tahun itu, saya ingin memperkatakan mengenai penggunaan Bahasa Melayu di radio seperti yang saya ketahui sejak tahun 1950-an hingga sekarang.
Pada awal tahun 50-an, saya masih ingat betapa teliti dan indahnya para juruhebah radio menggunakan bahasa Melayu apabila ke udara. Oh ya, pada masa itu mereka dikenali sebagai juruhebah bukan Dee Jay (DJ) seperti sekarang. Para juruhebah ketika itu menggunakan apa yang disebut sebagai bahasa surat dan mereka tidak menggunakan loghat-loghat daerah atau bahasa rojak (campuran dengan bahasa Inggeris).
Warga emas tentu masih ingat nama para juruhebah yang hebat seperti Abu Bakar Ahmad, Hashim Amir Hamzah, Siti Hawa Zain (Mak Iti), Dom Mahdzi, Aziz Abu Hassan dan Zainal Alam. Selepas era mereka timbul pula juruhebah yang tidak kurang hebatnya seperti Jamsari Mohamad, Siti Hawa Majid, Karim Mohamad, Nor Azah Aziz dan Asiah Omar Idros.
Mereka bukan sahaja teliti dan cermat dalam penggunaan bahasa yang betul tetapi memiliki suara yang sedap di dengar.
Penggunaan bahasa rojak amat ketara oleh DJ stesen-stesen swasta dan dalam usaha untuk menarik minat pendengar, beberapa orang yang bergelar artis diambil sebagai DJ. Tidak semua artis berkenaan mahir dalam penggunaan Bahasa Melayu mengikut nahu dan sebutan yang betul.
Mungkin pada masa lepas, para juruhebah menggunakan Bahasa Melayu sedangkan DJ yang ada sekarang menggunakan Bahasa Malaysia. Bahasa Melayu dan Bahasa Malaysia sebenarnya tidak sama walaupun berakar umbi kepada Bahasa Melayu. Bahasa Malaysia sebenarnya sedang membunuh Bahasa Melayu sedikit demi sedikit.
BBC berhasrat untuk 'membeli' stesen tersebut dan kemudian menaikkan taraf sebagai sebuah stesen radio gelombang pendek antarabangsa untuk menyalur rancangan-rancangan terbitan BBC ke seluruh Asia.
Pada tahun 1939, perancangan dibuat untuk memasang satu unit gelombang pendek berkuasa 100 kW di stesen pemancar baru yang sedang dibina di Jurong, berdekatan dengan Taman Burung Jurong yang ada hari ini. Pada tahun 1940 sebuah unit pemancar Marconi yang dipesan dari kilang Chelmsford, England dihantar dengan kapal, tetapi kapal itu tidak sampai ke Singapura apabila ia ditenggelamkan oleh serangan torpedo musuh.
Selepas itu, sebuah pemancar RCA berkuasa 50 kW dihantar dari Amerika Syarikat tetapi apabila tiba di Singapura, ia didapati tidak sesuai kerana transformer kuasanya tidak selari dengan sistem tenaga kuasa voltan tempatan.
Selepas tamat Perang Dunia II, petugas radio dari stesen-stesen radio British di India dan Sri Lanka ditukar ke Singapura untuk membantu memulihkan siaran radio dibawah BMA atau British Military Administration.
Wednesday, April 02, 2008
Malaysians has matured in thinking
Tuesday, April 01, 2008
Exco Bayangan atau bayang-bayang?
Pembentukan Exco Bayangan parti pembangkang itu disambut baik oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Saudara Lim Guan Eng (Foto sebelah).
Ketika mengumumkan pembentukan tersebut, pengerusi BN Pulau Pinang Dr Koh Tsu Koon berkata semua 11 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO yang mewakili BN, akan mengawasi pentabiran kerajaan negeri.
Exco Bayangan itu diketuai oleh ADUN Penaga yang juga setiausaha UMNO Perhubungan Negeri, Azhar Ibrahim. Untuk ingatan, Azhar adalah pemimpin UMNO yang mengepalai tunjuk perasaan tanpa kebenaran polis di KOMTAR dan dia jugalah orang yang mendesak pemecatan Ahli Parlimen Jerlun, Mukhriz Mahathir oleh ketua pemuda UMNO tanpa menyedari bahawa ketua pemuda tiada kuasa untuk berbuat demikian.
Exco Bayangan akan bertemu dari masa ke masa untuk menilai pencapaian kerajaan negeri dan memberi maklum balas kepada pihak atasan BN. Tidak tahu pula kita sama ada barisan yang diketuai oleh Azhar ini dapat berbuat demikian atau mampukah mereka berbuat demikian.
Tsu Koon berkata matlamat pembentukan Exco Bayangan itu untuk memastikan kerajaan negeri menunaikan semua janjinya yang dibuat semasa kempen pilihan raya dan Azhar menambah mereka akan membuat yang terbaik untuk rakyat. Apakah kerajaan BN yang turut disertai Azhar sebelum ini telah melaksanakan yang terbaik untuk rakyat?
Azhar dipertugaskan mengawasi portfolio pertanian dan industri asas pertanian, kemajuan luar bandar, dan penanganan masalah banjir.
Pembentukan Exco Bayangan diharap dapat mewujudkan satu sistem pengawasan dan pengimbangan yang mampu mengawasi perjalanan kerajaan negeri. Itulah harapan ketua menteri Lim Guan Eng.
Tetapi, beliau berkata ia tidak akan memberi kesan sekiranya tidak bersifat konstruktif (membina), objektif (bermatlamat) dan memainkan peranan yang benar-benar sihat. Pendek kata, ia tidak sekadar satu sandiwara politik.
Guan Eng, sama seperti majoriti rakyat Pulau Pinang, tidak ingin melihat pembentukan Exco Bayangan oleh BN sebagai satu cara untuk cuba 'menutup' tindakan-tindakan kerajaan BN yang lepas.
Saya melihat pembentukan Exco Bayangan itu sebagai satu tindakan yang baik tetapi sejauh mana keberkesanannya belum boleh dihuraikan. Semuanya bergantung kepada sama ada semua 11 ADUN UMNO (BN) itu benar-benar bersemangat dan beriltizam tinggi untuk menjalankan tugas dan amanah yang diberikan itu.
Jika dilihat daripada prestasi mereka yang sebelum ini pernah menjawat jawatan Exco dalam kerajaan negeri pimpinan Tsu Koon, dan mereka yang bergelar ADUN sebelum ini, kita mungkin kurang yakin. Semasa kerajaan BN memerintah, apa yang tidak ada untuk mereka membantu dan menyelesaikan masalah rakyat, tetapi masalah masih wujud dan ketidakpuasan rakyat diperlihatkan pada pilihan raya 8 Mac lepas.
Kita harap Exco Bayangan tidak akan menjadi Exco Bayang-bayang, hilang cahaya hilanglah bayang-bayang.
Lim Guan Eng - Ketua Menteri yang menjanjikan pembaharuan dalam pentadbiran negeri. Rakyat perlu memberi peluang kepada pentadbiran pimpinan Guan Eng untuk membuktikan kemampuan mereka. Guan Eng dan barisan Exco DAP-PKR pasti akan melakukan yang terbaik kerana mereka tidak mahu menjadi kerajaan satu penggal. Rakyat berpeluang membuat perbandingan kerajaan mana yang lebih baik - BN atau DAP-PKR-PAS apabila tempoh kerajaan negeri tamat kelak. Sekiranya rakyat berpuas hati dengan pentadbiran Guan Eng, mereka sudah tentu akan memberi mandat yang lebih besar kepadanya, dan jika buruk prestasi maka kerajaan Guan Eng akan dicampak sama seperti mereka mencampak kerajaan BN. Berilah peluang kepada Guan Eng untuk membuktikan kemampuan dan kebolehannya mentadbir kerajaan negeri Pulau Pinang