Menteri Penerangan yang mula menerajui kementerian berkenaan pada 17 Februari 2006, Datuk Seri Zainuddin Maidin (Mamu Zam) dilaporkan sebagai berkata bahawa dia tidak mahu menjadikan dirinya sebagai satu masalah kepada pucuk kepimpinan UMNO sekiranya dipilih atau tidak dipilih untuk bertanding lagi pada pilihan raya umum akan datang.
Mamu Zam berikrar yang beliau akan akur terhadap apa jua keputusan yang bakal dibuat oleh Perdana Menteri merangkap presiden UMNO. Mamu Zam kini ahli Palimen kawasan Merbok, Kedah.
Ikrar dan janji yang dibuat oleh Mamu Zam sama saja seperti yang telah dan akan dibuat oleh orang politik (terutama yang bergelar Yang Berhormat) menjelang pilihan raya. Itu luahan luaran untuk tujuan publisiti tetapi tidak semesinya isi hati yang sebenar.
Bagi saya, baguslah kalau Mamu Zam sedar yang dia mungkin mendatangkan masalah kepada pucuk kepimpinan UMNO kerana itulah keadaan yang sebenarnya. Mamu Zam bukan sahaja menimbulkan masalah kepada bosnya tetapi kepada imej negara berikutan beberapa tindakan dan ulasannya berkaitan sesuatu isu, umpamanya komen kurang bijak yang dibuatnya kepada stesen berita tv antarabangsa Aljazeera.
Ia tidak ubah seperti satu perbandingan antara pintar dan goblok. Saya meminjam perkataan goblok yang merupakan hak mutlak negara Indonesia itu sekadar untuk mengingatkan bahawa Mamu Zam menggunakan perkataan ini untuk merujuk kepada penulis-penulis blog tertentu.
Bagi saya yang pernah berkhidmat dengan sebuah badan berkanun di bawah pengawasan Kementerian Penerangan ketika diterajui silih berganti oleh sembilan orang menteri iaitu Tan Sri Hamzah Abu Samah, Ghazali Shafie (sekarang Tun), Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen (dua kali 1974-75 & 1986-87), Tan Sri Abdul Taib Mahmud, Tan Sri Mohamed Rahmat (dua kali 1978-82 & 1987-99), Datuk Seri Adib Adam dan Datuk Seri Dr Rais Yatim, berani menyatakan bahawa Mamu Zam tidak dapat dibandingkan dengan ketokohan mereka terutama sekali Tok Mat dan Rais Yatim.
Dalam erti kata lain, Mamu Zam adalah menteri penerangan yang paling tidak sesuai dan tidak begitu berjaya jika dibandingkan dengan tokoh-tokoh yang saya sebutkan di atas. Walaupun saya tidak lagi berkhidmat semasa Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir menjadi menteri penerangan (2004-06), bagi saya Nana Kadir ada kelebihan tersendiri selaku menteri berbanding dengan Mamu Zam.
Jika benar Mamu Zam merasakan bahawa dia tidak mahu menjadikan dirinya sebagai satu masalah, jika dia jujur dan ikhlas dengan apa yang diperkatakannya, maka dia tidak perlu menunggu keputusan pihak atasan.
Saya katakan demikian kerana saluran tv RTM telah menyiarkan temubual dengan penduduk Sungai Petani selepas satu majlis yang dihadiri oleh Mamu Zam, topiknya berkaitan prestasi Mamu Zam selaku wakil rakyat. Mereka memuji dan mengangkat khidmat yang telah dicurahkan oleh Mamu Zam. Perlukah RTM berbuat demikian dan atas arahan siapa? Apa muslihat RTM? Kempen?
Kepada Mamu Zam, pesanan saya ringkas sahaja - tepuk dada tanyalah selera.

