Setiap akhir tahun dan sebelum memasuki tahun baru, maka media pun sibuk merakam apa yang disebut sebagai azam tahun baru. Bermacam-macam azam disuarakan oleh sama ada mereka yang bergelar artis, ahli sukan, orang politik dan kakitangan sektor awam mahupun swasta.
Luahan atau lontaran azam itu sebenarnya tidak lebih daripada kata-kata yang menyedapkan telinga kerana hampir semuanya dilupakan dan tinggal azam semata-mata. Itulah hakikatnya apabila sesuatu itu diucap atau disuarakan tanpa niat dan usaha untuk mencapainya.
Kita akui bukan semua orang yang melafazkan azam tersebut tidak cuba mencapainya tetapi kebanyakannya hanya meluahkannya apabila ditanya oleh pihak media. Ia hanyalah satu reaksi atau tindak balas yang mahu tidak mahu mesti disuarakan, tidak kira sama ada ia benar-benar azam yang tulen atau sekadar halwa telinga.
Saya membangkitkan soal azam kerana ia adalah sama dengan apa yang berlaku dan sedang berlaku apabila kita menghampiri pilihan raya, atau menghampiri kemungkinan pilihan raya diadakan dalam tempoh masa terdekat.
Apa yang saya maksudkan ialah laporan atau berita yang saban hari mengisi dada-dada akhbar dan berkemundang melalui radio dan televisyen, iaitu, sekumpulan orang yang dikatakan penyokong atau ahli parti politik keluar parti untuk menyokong dan menganggotai parti lain. Lazimnya dari parti-parti lawan ke parti pendokong pemerintahan.
Bukan sesuatu yang aneh atau pelik apabila berita berkenaan hanya muncul menjelang pilihan raya dan mendapat tempat dalam media arus perdana. Ia seolah-olah sesuatu yang wajib dilaporkan dan satu berita yang bernilai tinggi sedangkan ianya sandiwara politik teramat murah.
Berita mengenai penyokong dan ahli parti yang mendokong pemerintahan bertindak keluar parti untuk memihak kepada parti lawan tidak pula mendapat tempat dalam media arus perdana. Amat jelas media arus perdana tidak mengamalkan kesaksamaan dalam laporan berita walaupun ia bukan satu perkara baru.
Ada pihak yang akan berhujah bahawa media baru dan buletin parti-parti politik pun melaporkan perkara yang sama, oleh itu apa yang dilakukan oleh media arus perdana tidak boleh dipersoalkan. Jika itulah hujahnya, maka media arus perdana tidak layak sama sekali untuk dirujuk sebagai 'arus perdana' atau 'main stream media.' Media arus perdana seharusnya bersifat 'arus perdana' dengan membuat liputan adil dan saksama tanpa memihak. Media arus perdana tidak boleh disamakan dengan alat 'propaganda' pembangkang yang merupakan 'media politik' yang berkepentingan politik.
Selain laporan keluar parti, media arus perdana dengan tiba-tiba mendapat peluang untuk menemubual penulis blog dan editor Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin atau RPK. Tiba-tiba RPK menjadi sumber berita penting walaupun dia dikenali sebagai penyokong kuat dan pengkritik kerajaan nombor satu sehingga dia melarikan diri daripada tindakan undang-undang negara.
RPK jelas telah berpusing bulatan seluas-luasnya dan ia bukan sesuatu yang luar biasa dalam kehidupan manusia yang menjadi buruan pihak berkuasa atau yang melarikan diri daripada tindakan undang-undang. RPK digelar oleh media arus perdana sebagai 'self-exiled' atau orang yang atas pilihan sendiri menjadi orang yang hidup dalam buangan.
Kehadiran RPK di Singapura dan 'kebenaran' untuk dua pertubuhan media arus perdana menemu bualnya sudah tentu diatur oleh pihak tertentu dengan tujuan dan agenda yang memihak kepada kerajaan.
Saya pasti pertemuan itu tidak akan berlaku tanpa mendapat lampu hijau pihak tertentu dan ia sudah tentu tidak akan mendapat liputan seluas yang kita saksikan jika RPK bercakap sebaliknya, iaitu memburuk-burukkan kerajaan atau PM Najib dan isteri Rosmah Mansor.
RPK mungkin amat rindu akan kampung halamannya atau dia mungkin menghadapi sesuatu masalah termasuk berkaitan kesihatan yang membuatkannya berpusing sebegitu ligat. Kita tidak tahu apa sebab RPK berbuat demikian tetapi yang jelas ianya dilakukan menjelang pilihan raya. Analisis, jika ia boleh dikatakan sedemikian, RPK mengenai isu semasa termasuk yang berkaitan Anwar Ibrahim sudah tentu dijadikan modal politik Barisan Nasional untuk menghadapi pilihan raya. Itu pasti.
Bukan satu kebetulan apabila media arus perdana menemubual RPK pada waktu dan ketika negara menghadapi pilihan raya 'mengejut' dan bukan luar biasa media melaporkan penyokong parti lawan di merata kampung dan tempat yang keluar parti untuk menyokong Umno.
Laporan sedemikian mungkin diterima dan dipercayai oleh sebilangan kecil rakyat yang melewati usia 50 tahun tetapi susah dan tidak dapat diterima oleh golongan muda yang mempunyai nafsu dan selera berlainan. Inilah yang harus difahami oleh 'panglima perang' Umno dalam mengatur strategi untuk menghadapi pilihan raya. Bukan mengulang guna strategi lapuk yang hanya akan membawa kemusnahan, bukan kemenangan.
Umno dan BN akan menghadapi ujian sukar pada pilihan raya akan datang jika strategi yang sama dan ketinggalan zaman terus digunakan. Ingat, apa yang 'kerajaan' beri rakyat akan terima, tetapi ia tidak bermakna rakyat menyokong kerajaan. Kalau beri wang sudah tentu orang terima, beri bantuan motosikal roda tiga tentu orang terima, beri bantuan tanam semula tentu orang terima dan berilah apa sahaja orang akan terima. Persoalannya sama ada semua pemberian itu boleh diterjemahkan kepada undi untuk Umno dan BN?
Rakyat tidak mudah digula-gulakan. Itu yang mesti disedari dan dihalusi.
6 comments:
Tuan Syed,
Sekarang panglima-panglima perang ni sudah 'upgrade' depa punye skills perang tu, depa dah 'go 1 up dengan bawak masuk badut-badut, maharaja lawak, artis hisap candu dan war-warkan yang puak ini sangat mengkagumi usaha-usaha YAB PM, Rosmah Mansor, Shahrizat, Jamil Khir dan semua puak-puak mereka.
Ini sekadar usaha murahan untuk menarik sokongan walaupun keberkesanannya mungkin hampir tiada.
Mereka hampir sudah bankrap idea dan tidak yakin akan nilai-nilai murni, ketulusan dan prinsip amanah itulah yang akan menarik lebih ramai kembali menyokong.
Mereka hampir pasti tidak ingin berubah kerana terlalu lena dan taksub dengan kemewahan dan kuasa. Media arus perdana hanya akan terus melenakan puak-puak ini dari bangkit. Realiti akan mengajar mereka.
Kalaulah UMNO masih lagi menggunakan strategi lapuk untuk mendapatkan sokongan pengundi seperti yang Tuan Syed katakan, saya mula tertanya-tanya apakah transformasi yang telah dilakukan ke atas parti itu oleh pucuk pimpinannya.
Selain dari hanya terus-menerus menyerang parti-parti lawan tanpa mengira apa jua isu termasuk yang 'factitious' dan 'imaginary', saya tidak nampak sebarang usaha jitu untuk mengkonsolidasi UMNO itu sendiri. Sebaleknya, parti itu terus dibelenggu dengan pelbagai kontroversi yang melibatkan pucuk pimpinannya seperti Shahrizat dan Awang Adek.
ZMS
ting tong guy,
Itupun taktik lama. Kemasukan atau upacara penyerahan borang keahlian Umno oleh golongan artis dan sebagainya menjelang pilihan raya merupakan lakonan yang diulang tayang. Yang boleh dikatakan berbeza sedikit adalah seperti apa yang saudara katakan... "sangat mengkagumi usaha-usaha YAB PM..." atau tertarik dengan apa yang dilakukan oleh Najib. Itu yang baru. Benar, ia adalah usaha atau muslihat murahan untuk menarik sokongan pengundi muda. Mereka masih berada dalam awang-awangan kerana pengundi muda bukan golongan jahil politik.
ZMS,
Mereka masih menggunakan media (yang mereka kuasai dan kawal) untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa mereka mendapat sokongan. Berita kemasukan ahli parti lawan ke parti mereka, berita penyertaan atau sokongan golongan tertentu, berita mengenai jasa dan khidmat bakti pemerintah sedangkan ia adalah amanah dan tanggungjawab mana-mana parti yang diberi mandat untuk memerintah. Mereka tidak boleh ungkit atau mengharapkan apa-apa balasan kerana itu adalah tanggungjawab dan amanah.
Satu lagi taktik ialah memperalatkan wakil rakyat yang keluar parti untuk 'menghentam' atau memperkecil-kecilkan parti yang membolehkan mereka dipilih sebagai wakil rakyat. Rakyat bijak membuat penilaian mengenai sikap dan sifat wakil rakyat yang mengkhianati parti tidak kira sama ada dia memakai kopiah, serban atau berjanggut sejemput.
Tuan Syed,
Kalaulah nak ikut propaganda media arus perdana, sekarang ini tentu parti-parti pembangkang dah lumpuh kerana terlalu ramai anggotanya yang sudah keluar parti.
ZMS
ZMS,
Benar. Umno harus sedar bahawa bukan semua ahlinya undi calon parti sendiri. Mereka sepatutnya kaji dan selidiki kenapa ianya berlaku. Bukan heboh-hebohkan kemasukan ahli parti lawan yang tidak semestinya menguntungkan Umno.
Tuan Syed,
Maaf keluar topik, tetapi ada kaitan dengan UMNO dan kerajaan yang dikatakan gah dan hebat melaksanakan pelbagai program transformasi serta kepimpinan Najib yang juga dikatakan hebat dan menonjol setelah berkesempatan bertemu dan bersalam dengan Presiden Obama di Washington dan Bali.
Apakah ianya satu hakikat atau fantasi apabila Najib mudah sangat digertak oleh badan-badan dan kaum minoriti seperti CUEPACS dengan gaji baru, India dengan 'Interlok' dan terakhir Christians Federation of Malaysia (CFM) ?
ZMS
Post a Comment