Kematian dua orang kanak-kanak di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Taman Permata, Ulu Klang, Selangor adalah satu tragedi yang membuka mata terhadap soal penguatkuasaan undang-undang dan peraturan serta kepekaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Kita sedih dan dukacita atas kematian Muzaffar Mohd Faizal, tiga bulan, dan Arif Amsyar Ruhi Budiman, tujuh bulan, yang punca pulangnya kedua-dua mereka ke Rahmatullah belum dipastikan oleh pihak berkuasa kesihatan. Bedah siasat telah dilakukan dan menunggu laporan forensik/patologi untuk mengetahui puncanya.
Kepada ibu bapa dan keluarga kedua-dua kanak-kanak ahli syurga itu kita doakan agar mereka bersabar menerima dugaan Allah dan tabah menghadapinya kerana semuanya itu adalah ketentuan Ilahi.
Namun demikian, yang menjadi tanda tanya ialah sikap pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang awal-awal lagi mengeluarkan kenyataan yang bukan sahaja salah tetapi seolah-olah mempersalahkan pihak tertentu.
Saya merujuk kepada kenyataan Pengarah Bahagian Perundangan dan Advokasi, JKM, Zaitol Salleh seperti yang dipetik oleh akhbar Utusan Malaysia bertarikh Sabtu 21 Januari iaitu pusat penjagaan kanak-kanak berkenaan beroperasi tanpa lesen atau sebarang pendaftaran.
"Dari segi penyeliaan, tempat itu langsung tidak memenuhi syarat minimum yang ditetapkan. Buat masa ini, ia diarahkan tutup sehingga siasatan lebih lanjut selesai dilakukan," kata Zaitol.
Kenapa Zaitol berkata demikian setelah pusat itu beroperasi sejak 22 tahun lalu? Apakah selama tempoh itu JKM tidak sedar dan tidak tahu sama sekali akan kewujudan pusat jagaan kanak-kanak itu?
Saya tidak tahu sama ada Zaitol telah melawat pusat jagaan kanak-kanak berkenaan atau sedar akan kedudukan sebenar sebelum dia mengeluarkan kenyataan tersebut atau dia memberi ulasan hanya dengan berada di pejabat tanpa turun padang?
Saya berkata demikian kerana setelah melungsuri laman sesawang JKM dan menyemak senarai Pusat Jagaan Berdaftar, JKM Selangor, saya dapati pusat jagaan berkenaan di Taman Permata berdaftar dengan JKM dan pendaftaran telah diperbaharui pada 30 Disember 2011 dan akan tamat tempoh pada 29 Disember 2016.
Bagaimana seorang pegawai kanan JKM boleh mengeluarkan kenyataan yang tidak betul iaitu pusat penjagaan kanak-kanak itu beroperasi tanpa berdaftar? Atau wartawan Utusan Malaysia yang membuat kesilapan dalam laporannya itu?
Sementara itu, dalam laporan pada hari yang sama, akhbar The New Straits Times memetik jurucakap JKM (yang namanya tidak disiarkan) sebagai berkata pusat itu berdaftar dengan JKM, tetapi tiada lesen untuk kendali sebagai 'nursery' atau pusat jagaan kanak-kanak bawah umur empat tahun.
Kenyataan yang bercanggah oleh pegawai JKM memperlihatkan kelemahan di pihak mereka yang bertanggungjawab ke atas penguatkuasaan undang-undang dan peraturan berkaitan pusat jagaan kanak-kanak. Ia menimbulkan tanda tanya akan keberkesanan dan kecekapan para pegawai JKM itu sendiri.
Apakah setelah berlaku sesuatu tragedi barulah pihak berkenaan sedar dan tiba-tiba pro-aktif sedangkan sebelum ini mereka mungkin tidak turun padang menyiasat sama ada pusat-pusat jagaan kanak-kanak di daerah atau negeri masing-masing berdaftar atau tidak? Atau sama ada pusat-pusat berkenaan mematuhi syarat-syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh JKM?
Umum mengetahui bahawa di Malaysia ada undang-undang yang ketat dan teratur tetapi yang sering menjadi masalah ialah soal penguatkuasaan yang kadang-kala amat kurang, lemah dan mungkin tiada sama sekali. Saya tidak merujuk kepada kes ini tetapi secara umumnya begitulah keadaannya.
Banyak tragedi berlaku berpunca daripada tiada atau kurangnya penguatkuasaan undang-undang termasuk di jalan raya, lereng bukit dan bidang perniagaan. Sebagai contoh, pemandu di larang mengguna telefon bimbit semasa memandu melainkan secara "hands free", tetapi oleh kerana soal penguatkuasaan, kita boleh lihat pelanggaran undang-undang tersebut setiap hari.
Berbalik kepada soal penjagaan kanak-kanak, semua pihak mempunyai tanggungjawab sama ada dari segi moral atau dari segi undang-undang. Tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapa atau penjaga mempunyai tugas dan tanggungjawab ke atas kanak-kanak dibawah jagaan mereka.
Selaras dengan itu, peruntukan-peruntukan yang mengenakan tugas dan tanggungjawab undang-undang kepada ibu bapa atau penjaga telah diwujudkan dalam Akta Perlindungan Kanak-Kanak 1991 dan kemudiannya diperkemaskan dalam Akta 611, iaitu Akta Kanak-Kanak 2001 yang khusus dan komprehensif mengenai kanak-kanak.
Undang-undang mengenai perlindungan terhadap kanak-kanak di Malaysia wujud seawal 1947 dengan Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda, Akta Mahkamah Juvana 1947, Akta Perlindungan Wanita dan Gadis 1973 dan Akta Perlindungan Kanak-Kanak 1991.
Akta 611 menyatukan dan meminda undang-undang yang berhubungan dengan pemeliharaan, perlindungan dan pemulihan kanak-kanak dan untuk mengadakan peruntukan bagi perkara-perkara yang berkaitan dan bersampingan dengannya.
Pendek kata Akta 611 adalah undang-undang yang merangkumi pelbagai isu penting mengenai kanak-kanak. Ia boleh dikatakan satu undang-undang yang lengkap.
Apa yang pasti ialah antara tujuan utama peruntukan-peruntukan yang terkandung dalam akta berkenaan adalah supaya ibu bapa atau penjaga akan lebih bertanggungjawab dan mengambil berat akan keadaan anak-anak mereka.
Kita sedar bahawa pada zaman serba moden sekarang, ibu dan bapa terpaksa bekerja untuk menampung kos hidup yang semakain melambung dan jalan keluar bagi mereka adalah menghantar anak ke pusat-pusat jagaan kanak-kanak. Oleh itu, kita tidak boleh mempersalahkan ibu bapa kerana mereka terpaksa berbuat demikian demi memenuhi keperluan hidup, lebih-lebih lagi di bandar-bandar besar.
Oleh itu, beban tangungjawab ke atas kanak-kanak yang dihantar ke pusat-pusat penjagaan dipikul oleh pihak pusat berkenaan.
Semua pengusaha dan pengendali Taman Asuhan Kanak-Kanak atau TASKA dan Pusat Jagaan diwajibkan berdaftar dibawah Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 dan Akta Pusat Jagaan 1993 di Pejabat Kebajikan Masyarakat daerah yang berhampiran.
Kelulusan pendaftaran bergantung kepada kelulusan teknikal terlebih dahulu oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Kesihatan.
Oleh itu, bukan mudah untuk sesiapapun membuka sama ada TASKA atau Pusat Jagaan Kanak-Kanak. Persoalannya, apa yang berlaku selepas itu? Adakah pihak-pihak berkenaan mengadakan lawatan pemantauan ke atas TASKA dan pusat-pusat jagaan kanak-kanak yang didaftar itu?
Inilah yang selalunya menjadi tanda tanya dalam penguatkuasaan undang-undang dan peraturan oleh pihak-pihak berkenaan.
Kita tidak mahu dengar lagi kata-kata seperti yang didakwa dikeluarkan oleh Pengarah Bahagian Perundangan dan Advokasi, Jabatan Kebajikan Masyarakat, iaitu "Dari segi penyeliaan, tempat itu langsung tidak memenuhi syarat minimum yang ditetapkan".
Kenapa tiada tindakan jika benar apa yang didakwa oleh Zaitol Salleh? Apakah selama 22 tahun pusat jagaan kanak-kanak di Taman Permata itu wujud, pegawai JKM tidak memantau, menyelia atau memeriksanya?
Ia adalah soal penguatkuasaan undang-undang dan peraturan yang merupakan satu masalah besar di Malaysia.
5 comments:
Tuan Syed,
Seolah-olah sudah menjadi 'Standard Operating Procedure', apabila berlaku sahaja sesuatu tragedi seperti di Taman Permata, tanpa berlengah lagi dan kadang kala tanpa usul periksa, pihak yang bertanggungjawab akan mengeluarkan kenyataan sama ada sesuatu pusat itu halal (berdaftar) atau haram (tidak berdaftar).
Sekiranya haram, mereka akan lepas tangan dan terus menyalahkan pusat tersebut. Tetapi sekiranya berdaftar, apa agaknya tindakan mereka? Bagaimana agaknya mereka hendak melepaskan diri dari sebarang kebertanggungjawaban?
Halal atau haram sesuatu pusat itu, tindakan pencegahan yang drastik mesti buat supaya tidak ada lagi tragedi meimpa kanak-kanak atau bayi di masa akan datang.
1. Wujudkan, kalau belum ada, satu pangkalan data (data base) yang mengandungi butir-butir lengkap ke atas setiap pusat, halal atau haram.
2. Pemantauan (monitoring) yang berterusan mesti dibuat ke atas semua pusat ini untuk menentukan mereka mematuhi arahan-arahan dan undang-undang yang ada. Kekurangan kaki-tangan tidak boleh dijadikan alasan. Seperti kata Mao Tse-Tung,'It's not the number that matters, but how you organise them.'
3. Mana-mana pusat yang masih belum berdfatar tetapi mempunyai potensi besar menjadi pusat yang berwibawa dan berprestasi tinggi hendaklah dibantu pendaftarannya.
3.Latihan yang berterusn yang ditaja sepenuhnya oleh kerajaan hendaklah diberikan kepada setiap staf pusat kanak-kanak, tadika atau yang seumpamanya.
ZMS
Tuan Syed,
Kejadian tanah runtuh yang mengorbankan begitu ramai anak yatim di Ulu Kelang juga dikeluarkan kenyataan tanpa lesen.
Ini adalah masalah pentadbiran.
Undang-undang sudah tersedia ada, maka pihak yang berkuasa bertanggungjawap supaya undang-undang dipatuhi.
Sekiranya, pentadbiran yang sedia ada tidak boleh mentadbir, maka dalam sistem demokrasi, kita boleh lantik mereka yang lebih berkebolehan untuk mentadbir.
Saya tinggal di Johor Bahru ini sangat geram bagaimana lampu trafik di jalan utama boleh rosak tiap-tiap bulan menyebabkan kesesakkan.
Seperti saya katakan, pentadbiran (good governance) yang baik diperlukan supaya kehidupan kita lebih baik.
Orang Johor
ZMS dan Orang Johor,
Masalah paling ketara di kalangan jabatan dan agensi kerajaan yang mempunyai kuasa pelaksana undang-undang dan peraturan adalah penguatkuasaan.
Seperti yang saudara berdua katakan, mereka akan buka mulut dan menuding jari apabila malapetaka atau kemalangan berlaku.
Salam,
Kita tunggu dan lihat lah cerita dan berita ini sekejap saja 'hangat' dan 'panas' di media, saya sebagai seorang Ibu yang juga kematian bayi di taska 'HARAM' Shah Alam (16mac2011) sudah 'masak' dan 'lali' dengan jawapan2 'bernas' dari JKM mahupun Zaitol Salleh sendiri, lagi mengharukan Pegawai JKM sendiri yang tugas nye untuk memantau taska di sekitar Shah Alam juga menempatkan anaknya di taska yang sama tempat bayi saya meninggal dunia, selama setahun lebih, anaknya 'membesar' dengan sihat dan selamat tetapi merisiko kan anak orang lain, yang pelik nya taska hanya ditutup 3hari utk siasatan awal itupun hanya bilik bayi shj bukan keseluruhan taska, dan apabila taska diarah henti operasi oleh MBSA, file siasatan terus 'dibungkus', alasannya taska dah tutup, nak siasat apa lagi? Dgn tragedi yg sgt tragis di mana melibatkan dua kematian bayi di taska Taman Permata ini, diharapkan jadi satu pengajaran hebat kpd pihak2 yang berkuasa. Buatlah sesuatu, akta dah ada, takkan hanya jadi perhiasan semata. Pemantauan amat penting. Sekian, salam hormat.
sikap pemilik taska yang tamak menyebabkan semua kejadian tak diingini berlaku,,,ada lesen atau tidak bukannya persoalan..tapi sikap pemilik yg tamak mengambil kanak2 melebihi jumlah...pengasuh juga yg jd sebab utama,,cuai!!!!
Post a Comment