Monday, January 16, 2012

Isu NFC - rakyat dah meluat

Isu National Feedlot Corporation (NFC) membabitkan suami dan tiga orang anak menteri kabinet lantikan melalui Dewan Negara, Shahrizat Abdul Jalil, terus diperkatakan dengan lebiah banyak pendedahan oleh Parti KeAdilan Rakyat atau PKR.  

Projek yang diberi jolokan 'lembah daging' di Gemas, Negeri Sembilan itu  diurus oleh NFC, anak syarikat Agroscience Industries Sdn Bhd dengan membabitkan kepentingan kerajaan (yang sudah pasti memegang amanah bagi pihak rakyat).

Ia mula mendapat perhatian media apabila diberi teguran dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010 dan disusuli oleh pendedahan demi pendedahan apa yang dikatakan sebagai 'salahguna' dan 'penyelewengan' oleh PKR.

NFC dikatakan telah 'mengguna' kira-kira RM181 juta daripada RM250 juta pinjaman mudah yang diberi oleh kerajaan untuk projek 'lembah daging' itu. Ia termasuk penggunaan dana  kira-kira RM27 juta untuk membeli tanah dan hartanah. 

Sejauh mana kebenaran mengenai semua pendedahan itu akan diketahui jika  Jabatan Peguam Negara berpuas hati dengan laporan yang dikemukakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Bukit Aman dan Suruhanjaya Pencegahan  Rasuah Malaysia (SPRM).

Pendedahan terbaru oleh Pengarah Strategi PKR, Mohamad Rafizi Ramli memeranjatkan - iaitu suami Sharizat yang juga pengerusi eksekutid NFC, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail dan tiga orang anak mereka yang  menduduki kerusi lembaga pengarah NFC,  menggunakan dana NFC untuk membayar bil kad kredit mereka berjumlah RM600,000 pada 2009.

Menurut Rafizi, purata NFC membayar RM10,000 sebulan. Banyak tu! 

Mengikut maklumat yang didedahkan oleh Ahli Parlimen Ipoh Timor, YB Lim Kit Siang, NFC membayar gaji lumayan kepada Dr Mohamad Salleh dan tiga orang anaknya dan berdasarkan habuan bulanan yang mereka perolehi itu, kita hairan kenapa NFC perlu membayar bil kad kredit sebegitu banyak untuk mereka? 

Kit Siang berkata gaji bulanan Dr Mohamad Salleh ialah RM100,000,  gaji anaknya Wan Shahinur Izmir, 31 tahun,  selaku pengarah eksekutif NFC ialah RM45,000 sebulan,  gaji seorang lagi anaknya Wan Shahinur Izran, 27 tahun, RM35,000  sebulan dan seorang lagi anak mereka, Wan Izzanah Fatimah, 25 tahun, RM35,000 sebulan. Jumlah keseluruhan gaji yang dibayar oleh NFC kepada suami dan tiga orang anak Shahrizat ialah RM215,000 sebulan.

Oleh itu, Kit Siang berkata pembekuan aset NFC seperti yang diumumkan oleh PM Datuk Seri Najib Tun Razak tidak cukup dan tidak memberi kesan selagi gaji bulanan keempat-empat mereka tidak dipotong daripada sejumlah RM215,000 sebulan kepada RM70,000 sebulan.

Apa yang sedang berlaku membuatkan rakyat semakin meluat dan membenci kerajaan, lebih-lebih lagi apabila Shahrizat sendiri dengan angkuhnya mempertahankan jawatan kabinet dan kerusi Wanita Umno seolah-olah itu bukan urusannya. Bukan masalahnya.

Adalah sesuatu yang pelik jika seorang isteri berkata apa  yang berlaku membabitkan keluarganya bukan urusannya. Mustahil dia tidak tahu apa yang berlaku, mustahil dia tidak tahu kemewahan hidup yang dinikmati datangnya dari mana? Rakyat tidak bodoh, rakyat tahu dan rakyat pandai membuat perhitungan apabila tiba masanya kelak. 

Projek NFC membabitkan wang rakyat dan ia bukan untuk memberi kemewahan hidup kepada satu-satu keluarga tertentu tetapi untuk kepentingan rakyat. Adakah kepentingan rakyat diambil kira jika dilihat dari segi dana itu dibelanjakan? Sudah tentu tidak!

Bayangkan berapa banyak rumah untuk rakyat daif boleh didirikan dengan peruntukan RM250 juta; berapa banyak bantuan boleh disalurkan kepada ibu tunggal dan orang kelainan upaya yang amat memerlukan bantuan dan pertolongan untuk mendapatkan sesuap nasi bagi menyambung hidup? 

Di mana letaknya keadilan dan kesaksamaan dalam mengagih-agihkan wang rakyat sebesar itu? Apakah kerajaan ingin lihat rakyat miskin tegar kelaparan atau hidup bergelendangan? Pasti tidak!

Benar, kerajaan mula mengagih-agihkan Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) sebanyak RM500 sekali bayaran,  tetapi adakah ia sama dengan dana RM250 juta untuk satu keluarga membelanjakannya? Membeli kondo mewah bernilai RM10 juta di Singapura, dua buah kondo mewah di Bangsar, sebuah kereta Mercedes Benz bernilai setengah juta ringgit dan hartanah lain?  Membayar bil kad kredit RM600,000. 

Rakyat dah bosan. Wanita UMNO pun bosan kerana pergerakan itu dikaitkan oleh Shahrizat sedangkan ia tiada kaitan sama sekali. Ia adalah masalah peribadi atau isu keluarga Shahrizat, bukan masalah Wanita UMNO. 

Rakyat bertanya di mana keadilan? Di mana ketegasan PM Najib? 

Shahrizat mesti letak semua jawatan  termasuk menyerah pucuk pimpinan Wanita UMNO kepada Dato' Hajah Kamilia Dato' Ibrahim.  Itupun jika Shahrizat sayangkan parti yang begitu banyak berjasa kepadanya daripada dia sayangkan pangkat dan jawatan.  Jika itupun Shahrizat tidak faham, tak tahulah apa nak dikata.
  
   


11 comments:

mr edz said...

ini kena tanya TPM sebab dia jadi menteri pertanian masa luluskan projek ni

Anonymous said...

buat apa tanya. masa pilihan raya buatlah pilihan, parti mana yang nak jaga hak rakyat. kalau parti yang jaga perut kroni, tak perlulah di undi lagi.

Anonymous said...

Tuan Syed,

Tindak-tanduk keluarga Shahrizat tidak ubah seperti dua orang penyamun dalam filem Nujum Pak Belalang arahan P.Ramlee.

Mereka langsung tidak ada perancagan masa depan yang konkrit selain dari hanya membahagi-bahagikan sesama mereka harta yang telah disamun dari khazanah kerajaan. Sebabnya mudah, mereka langsung tidak ada ilmu, kemahiran dan kompetensi selain dari hanya tahu menyamun.

Kalau dalam filem tersebut, kedua-dua penyamun akhirnya diberkas, begitu juga saya harapkan ke atas keluarga Shahrizat yang ternyata merupakan penyamun modern.

Shahrizat sendiri tidak boleh lepas tangan begitu sahaja kerana semuanya berlaku di depan matanya.

Apa lagi pendedahan yang akan datang? Saya juga naik meluat.

ZMS

Anonymous said...

Saudara ZMS,

Saya bukan hendak menyokong mana-mana, tapi kalau hendak dilihat sejarah dan perbandingan. Saya lebih suka ketua wanita yang sekarang dengan yang sebelumnya. Yang lebih baik Dr. Siti Zaharah tahun 90'an.

Dari segi latarbelakang, Ketua Wanita yang ada sekarang adalah terpelajar sesuai dengan jawatan yang dipegang sekarang.

Penglibatan keluarganya dalam skandal NFC tidak boleh diterima. Dgn sebab ini, dia perlu letak jawatan.

Dari segi karekter/peribadi, nampaknya Datuk Shahrizat seorang yang ada integriti. Mungkin dia terperangkap dengan keadaan dan kerenah keluarganya.

Saya tidak terperanjat dengan apa yang terjadi. Mengikut apa yang terbaca, UMNO dari Cheras mengatakan skandal ini adalah biawak hidup.

Yang bermain di kepala saya adalah, mengapa biawak hidup yang ini yang lantang disebut di Cheras. Banyak lagi Biawak, buaya, lipas hidup yang macam-macam lagi yang tidak disebut.

Pendekkan cerita, pada pandangan saya UMNO perlu memilih seorang Ketua Wanita yang sesuai, yang mempunyai integriti, karekter, pelajaran, dan kebolehan seperti Dr. Siti Zaharah untuk mengepalai Ketua Wanita.

Mungkin selepas ini, contract dan tender kerajaan seperti NFC tidak harus diberikan kepada anggota keluarga menteri dalam kerajaan.

Orang Johor

Anonymous said...

satu utk kau....3 utk aku.
satu utk kau....10 utk aku.
satu utk kau....30 utk suami anak2 aku. hahahahaaaaaaaaaaa. dasat lembu pun boleh pakai kad kredit.

Unknown said...

Orang Johor,

Saya setuju mengenai kewibawaan Datuk Dr Siti Zaharah semasa menerajui Wanita Umno. Malangnya, orang seperti beliau tidak kekal lama.

DS Shahrizat memang bijak orangnya. Namun demikian, mantan majistret yang menceburi politik ini kurang bijak dalam menangani masalah. Lihat saja komen beliau apabila dihimpit kemelut NFC. Orang sukar untuk mempercayai apa yang dikatakannya.

Bab mendukung biawak hidup, saya setuju bahawa banyak lagi 'beban' yang sedang dipikul atau didukung oleh UMNO. Bukan yang ini sahaja.
tetapi, UMNO juga yang mewujudkan keadaan tersebut.

Banyak kontrak, projek dan jawatan yang diberi atas kepentingan politik. Kita dapat lihatnya apabila meneliti mereka yang dilantik pengerusi dan lembaga pengarah GLC, perbadanan-perbadanan kerajaan, badan-badan berkanun dan syarikat-syarikat berkepentingan kerajaan.

Bukan semua yang dilantik itu memiliki kelayakan dan kepakaran sewajarnya, tetapi sekadar memenuhi kepentingan politik dan untuk mengekal sokongan kepada ketua atau sebagai habuan atas sokongan yang diberi.

Saya bukan nak puji Singapura, tetapi kita boleh pelajari dari mereka apabila melantik orang untuk menerajui sesebuah entiti besar dan penting demi kepentingan negara, bukan politik, walaupun orang itu ada hubungan keuarga dengan pemimpin, tetapi dia benar-benar layak dan memiliki kepakaran dan pengalaman secukupnya. Contoh, isteri PM Lee Hsien Loong.

Unknown said...

Merujuk kepada kenyataan bahawa NFC membayar bil kad kredit pengerusi dan tiga ahli lembaga pengarahnya berjumlah RM600,000, pengarah eksekutif Shahnur Izmir berkata ia adalah untuk perbelanjaan berkaitan NFC.

Walaupun demikian, kita masih tertanya-tanya kenapa sebegitu banyak 'perbelanjaan' dibuat oleh keempat-empat mereka. RM600,000 bukan sedikit jumlahnya.

Yang pasti, pendedahan yang dibuat oleh pengarah strategi PKR itu betul, iaitu dana NFC diguna untuk membayar bil kad kredit. Kenyataan ini tidak dinafikan. Itu yang penting.

Anonymous said...

KALAU TAK NAFI...MAKNA KATA MEMANG BETOL LAH PENDEDAHAN TERSEBUT.

Anonymous said...

Sdr Orang Johor,

Setuju dengan pandangan sdr 'Banyak lagi biawak hidup, buaya, lipas hidup yang macam-macam lagi yang tidak disebut.'

Mungkin inilah agaknya yang cuba disindir oleh Shahrizat apabila beliau menyatakan 'mana pemimpin UMNO yang tiada masaalah' ketika mengulas tindakan SPRM memulakan siasatan ke atas NFC.

ZMS

Anonymous said...

bukan setakat biawak, lipas, lembu, mak lembu, bapa lempu anak lembu bahkan ANAK BADAK sekalipun.

ting tong guy said...

Tuan Syed,

Kalau kerajaan BN serius mahu segera selesaikan isu ni dengan ikhlas dan telus, kerajaan BN hendaklah minta Ibrahim Ali supaya berhenti dari mengeluarkan sebarang kenyataan.

Sekiranya kerajaan BN tak mampu nak jawap dengan jujur dan tepat, jangan biar Ibrahim Ali jadi tukang cakap. Ia membuatkan BN kelihatan hilang punca dan takut.