Thursday, August 04, 2011

Ramadhan - antara dua kenyataan

Pada hari pertama umat Islam menyambut Ramadhan, Yayasan Kebajikan Negara dan Puspanita, mengagihkan 700 bungkusan makanan kepada insan yang kurang bernasib baik yang digelar gelandangan atau 'the homeless' di Kuala Lumpur. Majlis penyerahan itu dilakukan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Shahrizat Abdul Jalil di Anjung Singgah, Jalan Hang Lekiu.

Anjung Singgah adalah projek perintis antara kerajaan dan Yayasan Kebajikan Negara untuk memberi tempat berlindung sementara kepada golongan gelandangan. Ia mula beroperasi pada April lalu dan mampu menampung 76 penghuni.

Pengagihan bungkusan makanan di Anjung Singgah akan diteruskan sepanjang Ramadhan dan diberi kepada gelandangan tanpa mengira bangsa atau agama.

Selain itu, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan atau MAIWP mengagihkan 400 bungkusan makanan kepada golongan fakir miskin, juga tanpa mengira bangsa dan agama sepanjang bulan Ramadhan.

Kedua-dua pihak menunaikan tanggungawab kemasyarakatan untuk memastikan mereka yang kurang bernasib baik terutama umat Islam yang berpuasa, boleh membuka puasa dengan sempurna. 

Mereka sedar bahawa insan gelandangan, termasuk wanita dan kanak-kanak,  yang tiada tempat berteduh dan boleh dilihat setiap malam tidur di kaki-kaki lima, masjid ataupun di mana sahaja yang dapat melindungi mereka daripada hujan mahupun embun,  mendapati sukar untuk mendapat sesuap nasi dan seteguk air minuman.   

Selain dua agensi kerajaan, beberapa NGO yang dikendalikan sama ada oleh umat Islam atau agama lain, turut mengagihkan bungkusan makanan kepada insan-insan malang sekitar Lembah Klang.

Itu adalah satu episod kehidupan di Kuala Lumpur dan di bandar-bandar lain di bumi bertuah ini.

Ia amat jauh berbeza dengan satu lagi episod kehidupan insan yang bernasib baik yang diberi kemewahan hidup oleh Allah S.W.T.

Mereka berbuka puasa sama ada di restoran atau hotel mewah yang menyajikan pakej bufet Ramadhan. Ada yang menyediakan sehingga 60 jenis makanan/juadah untuk membolehkan golongan itu berbuka puasa.  Bulan Ramadhan seolah-olah bulan pesta makanan dan ini terserlah dengan sebegitu banyak pasar Ramadhan selain restoran dan hotel.

Menurut kontraktor sisa pepejal yang termasuk sisa makanan, pihaknya mengutip lima kali lebih banyak sisa pepejal di kawasan bandar pada bulan Ramadhan sedangkan di kawasan luar bandar jumlahnya menurun. Ini menunjukkan bahawa sisa makanan atau lebihan makanan yang dibuang ke dalam tong sampah di bandar-bandar meningkat mendadak akibat sikap manusia yang membazir  pada bulan Ramadhan.

Pembaziran makanan pada bulan Ramadhan amat dikesali kerana di negara lain seperti Somalia, Sudan dan Ethiopia, manusia sedang kebuluran manakala di sini pembaziran amat ketara.

Pembaziran makanan turut membabitkan pemborosan jika dilihat dari sudut harga pakej bufet yang ditawarkan oleh restoran dan hotel mewah, terutama di Kuala Lumpur.

Saya tidak dapat membayangkan banyak mana yang boleh dimakan oleh seorang di sebuah hotel yang menawarkan pakej Ramadhan pada harga RM115 seorang. Cuba bayangkan berapa banyak insan gelandangan yang boleh ditampung oleh wang sebanyak itu sedangkan ia hanyalah untuk seorang sahaja di hotel mewah berkenaan. Ini adalah satu contoh pembaziran yang tidak seharusnya berlaku bukan sahaja pada bulan Ramadhan tetapi pada setiap hari, setiap bulan dan setiap tahun.

Pakej Ramadhan yang ditawarkan berharga antara RM40 hingga RM120 seorang. Tiada keistimewaan yang dapat dilihat selain pembaziran. Benar, ada yang akan berkata mereka mampu dan apa salahnya jika mereka berbelanja besar untuk memenuhi nafsu makan selepas berpuasa.
   








1 comment:

Anonymous said...

Dan berikanlah kepada kerabatmu, orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan membazir yang melampau.

Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.

Dan jika engkau terpaksa berpaling tidak melayani mereka, kerana menunggu rezeki dari Tuhanmu yang engkau harapkan, maka katakanlah kepada mereka kata-kata yang menyenangkan hati.

Dan janganlah engkau jadikan tanganmu terbelenggu di lehermu, dan janganlah pula engkau menghulurkannya dengan sehabis-habisnya, kerana akibatnya akan tinggallah engkau dengan keadaan yang tercela dan menyesal.

Sesungguhnya Tuhanmu yang meluaskan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Dia juga yang menyempitkannya. Sesungguhnya Dia Maha Mendalam pengetahuanNya, lagi Maha Melihat akan hamba-hambaNya.
(Al-Quran 17:26-30)

* Semoga Allah melindungi kita semua daripada tergolong di dalam golongan yang melakukan pembaziran..Amin