Saturday, August 06, 2011

NGO Melayu/Islam perlu tangani masalah bukan berpolitik

Serbuan oleh Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor atau JAIS dan Polis Diraja Malaysia atau PDRM ke dalam premis gereja Metodis Damansara Utama atau DUMC menimbulkan banyak andaian, tanggapan dan cakap-cakap yang mungkin betul dan sekadar spekulasi.

Ada yang tuduh berlaku atau akan berlaku kegiatan murtad, ada yang kata ia sekadar majlis silaturrahim dan ada yang dakwa orang Islam yang ke situ kerana mendapat bantuan gereja.

Walau apapun, satu perkara yang membimbangkan ialah umat Islam yang tidak segan-silu mendapatkan bantuan dan pertolongan dari pihak gereja dan badan-badan kebajikan yang dikendalikan oleh agama lain. 

Mereka meminta bantuan atau pertolongan badan-badan kebajikan bukan Islam kerana terdesak, terpaksa dan kecewa setelah gagal mendapat bantuan daripada pihak-pihak yang diamanahkan seperti Baitulmal, Jabatan Zakat dan Wakaf, Yayasan Kebajikan Negara atau NGO seperti Yayasan Basmi Kemiskinan.

Mungkin mereka tidak layak atau tidak memenuhi syarat yang ditetapkan oleh pihak berkenaan untuk diberi bantuan. Kita tidak tahu. Yang terserlah, mereka beralih kepada badan atau institusi kebajikan bukan Islam dan mereka mendapat bantuan yang diharapkan. Tidak mustahil ada diantara mereka yang akan murtad sekiranya lemah iman dan tiada pilihan lain.

Di Malaysia sekarang, terutama di kalangan orang Melayu/Islam, keghairahan untuk menubuh badan-badan bukan kerajaan atau NGO begitu berselera. Ada sahaja NGO yang timbul untuk menjuarai sesuatu isu di atas kertas. Kebanyakan NGO berkenaan didalangi oleh parti-parti politik dan bertujuan sama ada untuk 'menyerang melalui media' pentadbiran yang diterajui oleh musuh politik atau 'mempertahan' tindakan pentadbiran yang disokong.

Semua NGO berkenaan bermatlamatkan perjuangan politik, bukan untuk memperjuangkan untung nasib orang Melayu/Islam seperti yang dilaung-laungkan oleh beberapa NGO termasuk PERKASA.

Kenapa NGO-NGO yang gah atas kertas melalui sidang-sidang akhbar dan kenyataan-kenyataan media mereka, tidak turut sama membantu orang Melayu/Islam miskin yang memerlukan bantuan dan pertolongan. Jika NGO-NGO Melayu/Islam berbuat demikian dan tidak memukul tong-tong kosong, kita yakin orang Islam yang pergi ke gereja atau badan-badan kebajikan bukan Islam untuk mendapat bantuan, tidak akan berbuat demikian.

Malangnya, hampir semua NGO Melayu/Islam lebih merupakan entiti berkepentingan politik, sama ada menyokong Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat. Mereka didalangi oleh politik dan bertindak atas kepentingan politik.

Jangan salahkan orang lain kerana  kealpaan kita yang terlalu banyak berpolitik.



5 comments:

d'enricher said...

Tuan Syed,

Kalau kita kaji sedalam dalamnya, situasi membantu yang dilakukan oleh kumpulan tertentu dalam usaha membantu orang ramai telah berlaku sejak sekian lama di seluruh dunia.

Mereka mengerjakan perkara yang 'baik' bagi sipenerima. Apabila orang tertarik, mereka dengan mudah meyakinkan bahawa mereka adalah bentuk "savior" yang diharapkan.

Islam di Malaysia am nya dan diseluruh dunia umumnya kurang menjalankan aktiviti yang sebegini dan akhirnya sibuk mencari atau menuduh sesatnya orang lain.

Kalau politik dah masuk cerita, itu akan lebih 'bias' lagi.

Selagi kita tidak berusaha memurnikan Islam yang berlandaskan Al Quran dan Sunnah Rasulullah SAW, kita akan terjebak dalam angan-angan Islam itu hebat, tapi sebaliknya terus di hina dan diperlekehkan.

A.Alshukor

Leman Lawak said...

Salam Tuan Syed,

Ni la kejadian lawak di bulan posa tahun ni. Orang Melayu yang ngaku Islam ternyata kalah di tangan orang Kristian dalam menjinak dan menarik manusia kepada agama Islam. Hanya bersandarkan agama Islam dilindngi oleh Perlembagaan tapi sejauh mana Perlembagaan boleh melindungi akidah dan keimanan manusia kalau manusia yang mengaku beriman dan menganuti Islam tidak mempamerkan sifat-sifat Islam itu sendiri. Kalau wang menjadi masalah..rakyat Islam di negara dan di dunia ini boleh dikatakan kita adalah antara masyarakat Islam yang mewah..dulu nak cari hartawan Melayu/Islam boleh dibilang dengan jari..tapi sekarang kita dah ada jutawan bahkan billionaire pun dah ramai..setakat hartawan..ada di kalangan orang biasa sahaja..tapi agak payah nak cari orang hartawan, jutawan dan billionaire yang sanggup bersedekah dan memanfaatkan harta mereka membantu saudara yang susah. Cuba kita tanya kepada saudara-saudara baru yang kita namakan sebagai "maalap" (mualaf)betapa sukarnya mereka mempertahankan akidah baik dari segi mental dan kewangan. Badan-badan yang Kerajaan tubuhkan seperti Baitulmal,Jabatan Zakat dan Wakaf, Yayasan Kebajikan Negara atau NGO seperti Yayasan Basmi Kemiskinan hanya menjadi juara dalam media dan hanya berfungsi pada waktu tertentu sahaja terutama apabila dikunjungi oleh pembesar negara. Dana yang banyak hanya untuk diumumkan bukan untuk digunakan kepada kemaslahatan umat. Begitu juga Jabatan Kebajikan Masyarakat gagal membela kebajikan umat bila mana masih terdapat umat yang menderita di sana sini. Sedangkan pendakwah Kristian dalam diam tidak pernah behenti menghulur bantuan kepada sesiapa sahaja dan menggunakan dana mereka ke jalan yang dapat menarik manusia kepada agama mereka. Kita orang Islam sentiasa di dalam "state of denial" terutama agamawan kita yang rata-rata sayang kepada pangkat dan darjat kebesaran. Apalah yang kita berharap sangat dengan pemimpin-pemimpin kita yang berpaksikan kerjaya politik semata-mata. Dakwah Kristin bukan sahaja berada di luar sana bahkan dalam rumah setiap orang Islam telah lama menyusup mask menerusi televisyen terutamanya ASTRO. Tiada siapa yang mampu menahannya atas nama pembangunan dan kemodenan. Secara jujur, tindakan JAIS itu wajar diikuti oleh semua jabatan agama Islam di negeri-negeri jika benar kamu tak berlawak dalam membela agama Islam yang diisytiharkan sebagai agama rasmi negara. dan

Syed Imran said...

A.Alshukor dan Leman Lawak,

Tepat sekali. Kegiatan mubaligh Kristian dalam membantu golongan miskin dan daif jauh lebih hebat.

Mereka tidak pentingkan kewangan untuk diri sendiri. Mereka jalankan kegiatan itu secara sukarela.

Kita akui pendakwah Islam yang bebas dan tidak makan gaji menjalankan usaha penyebaran syiar Islam tetapi agak kurang yang menjalankan tugas kebajikan apatah pula memberi bantuan kewangan dan kebendaan kepada golongan fakir miskin ataupun mualaf. Ini kerana mereka sendiri tiada dana untuk berbuat demikian tetapi berdakwah kerana Allah.

Tetapi, jika dilihat kepada pendakwah yang dibayar gaji oleh kerajaan yang bertugas di jabatan-jabatan agama peringkat negeri dan daerah termasuk para imam, sejauh mana mereka turun padang untuk berdakwah menjadi tanda tanya.

Cuba kita kira berapa kali imam di tempat kita yang menziarai rumah anak-anak kariah untuk bertanya khabar dan mengambil tahu tentang kedudukan mereka. Boleh dikatakan tiada sama sekali. Imam ditempat saya tinggal di Ampang, pernah ke rumah saya sekali. Itupun atas tugasnya sebagai penlong pendaftar nikah dan cerai untuk menyempurnakan pernikahan anak saya. Selepas itu muka hidungnyapun tak nampak.

Lain pula dengan pendakwah Kristian. Mereka kerap turun padang dan ziarah rumah untuk mengambil tahu tentang kehidupan penduduk. Baru-baru ini rumah adik ipar saya disinggahi oleh dua orang wanita pendakwah Kristian tetapi setelah menyedari itu rumah orang Islam, mereka minta maaf dan beredar. Kegigihan pendakwah Kristian yang dibantu oleh pertubuhan-pertubuhan Kristian antarabangsa cukup hebat.

Pihak berkuasa Islam di Malaysia bukanlah lokek dan miskin. Kutipan wang zakat fitrah, zakat harta, zakat perniagaan dan zakat pertanian, umpamanya berjumlah beratus juta ringgit bahkan mungkin melebihi berbilion ringgit. Wang ada, kemudahan ada, kakitangan dan logistik pun banyak. Tetapi kenapa mereka tidak sehebat pendakwah Kristian...

Saya ingin mengulangi cerita atau kisah yang berlaku sekitar tahun 1950-an di kampung saya di Pulau Pinang. Keluarga saya menetap di Jalan Kelawai dan sebahagian daripada bahagian bawah rumah didiami secara percuma oleh sepasang suami isteri India dan anak-anak mereka yang berjaya didakwah oleh mubaligh Kristian. Sekali dalam tempoh tiga bulan, seorang paderi dari gereja akan melawat mereka untuk bertanya khabar dan ambil tahu akan soal kehidupan mereka. Jika mereka gagal ke gereja pada hari Ahad, paderi akan datang untuk bertanya kenapa mereka tidak ke gereja dan jika mereka sakit atau menghadapi masalah kewangan, bantuan segera diberikan. Begitulah hebatnya pendakwah Kristian.

Beberapa tahun lalu, seorang wanita yang sering kali muncul di tv dalam program berbentuk dakwah, dijemput berceramah di sebuah negeri di utara Semenanjung oleh sebuah pertubuhan kebajikan yang bukanlah kaya. Pertubuhan yang menjemputnya terperanjat apabila dia minta bayaran RM3 ribu, tiket penerbangan dan penginapan di hotel empat bintang. Oleh kerana tidak mampu, maka jemputan itu ditarik balik. Ini juga satu dilema yang sedang dihadapi apabila 'para ustaz dan ustazah' mengenakan bayaran tinggi untuk berceramah.

Pendakwah zaman silam berdakwah kerana Allah. Mereka merantau meninggalkan kampung halaman untuk menyebar syiar Islam. Malangnya, tidak ramai pendakwah zaman serba moden ini yang bersikap sedemikian rupa terutama mereka yang bergelar kakitangan kerajaan. Mereka lebih selesa duduk di pejabat dan 'tunggu pelanggan'. Maaf jika saya silap tetapi itulah yang dapat dilihat.

Anonymous said...

Sdr Syed,
Ini bukan perkara baru tapi mereka yang diamanahkan menjaga akidah dan kebajikan umat Islam nampaknya tidak serius menanganinya. Depa lebih sibuk dengan benda lain dan memberi keutamaan kepada kepentingan politik peribadi dan parti.
-- BALANGLAMA

Anonymous said...

Pendakwah Islam di Malaysia cuma berdakwah tentang image dan pakaian saja.