Sunday, August 21, 2011

Selangor agih zakat lebih RM 100 juta dalam tempoh lima bulan pertama 2011

Jumaat lepas, seorang khatib jemputan yang membaca khutbah Jumaat di Masjid Darul Ehsan, Taman Tun Abdul Razak, Ampang menyatakan bahawa cuma 10 peratus daripada 2.5 juta umat Islam di Selangor membayar zakat harta tahun lepas.

Beliau mengambil ibadah zakat sebagai tajuk khutbah sambil memberi huraian mengenai ibadah tersebut dengan harapan agar umat Islam yang wajib membayar zakat harta mahupun jenis zakat lain supaya berbuat demikian.

Bagi saya yang bukan seorang yang  bijak pandai dalam hukum-hakam dan ilmu agama, kenyataan khatib tersebut agak mengelirukan kerana bukan semua 2.5 juta umat Islam yang disebutkannya itu diwajibkan mengeluar atau membayar zakat harta mahupun jenis zakat lain.

Oleh itu, kenyataan bahawa cuma 10 peratus daripada 2.5 juta umat Islam yang membayar zakat harta boleh  dipertikaikan kerana orang akan mengandaikan bahawa 90 peratus lagi belum membayar zakat harta atau mereka, iaitu yang 90 peratus itu, tidak memiliki harta yang cukup syarat untuk membayar zakat. Kedua-duanya adalah satu kemungkinan.

Saya menyemak perangkaan zakat yang diuruskan oleh Lembaga Zakat Selangor dan dapati bahawa jumlah kutipan atau pengeluaran zakat oleh umat Islam agak memberangsangkan.

Bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini, iaitu Januari hingga Mei, Lembaga Zakat Selangor  mengutip atau menerima bayaran zakat berjumlah RM 103,493,481.00.

Jumlah paling banyak adalah melalui kuipan zakat pendapatan iaitu RM 60,767,872.00 dikuti oleh zakat perniagaan RM 22,144,872.00, zakat harta RM 4,589,482.00,  zakat simpanan  RM 9,224,148.00, zakat saham  RM 2,760,377.00 manakala zakat emas cuma  RM 278,056.00


Agihan oleh Lembaga Zakat Selangor untuk tempoh Januari hingga Mei 2011 adalah seperti berikut - Asnaf fakir  RM 10,444,279.00;  Asnaf miskin   RM 17,236,716.00;  Asnaf Amil   RM 13,511,683.00;  Asnaf Mualaf  RM  5,210,784.00;  Asnaf  Fisabilillah  RM 35,966,567.00;  Asnaf Gharimin   RM 17,603,088.00; Asnaf Ibnu Sabil   RM  422,948.00;  dan Asnaf Riqab  RM 1,016,216.00.

Ini bermakna Lembaga Zakat Selangor telah mengagih-agihkan  RM 101,412,281.00 kepada orang-orang yang berhak mendapatkan zakat di negeri Selangor dalam tempoh tersebut hasil daripada kutipan atau bayaran zakat sebanyak RM 103,493,481.00.

Perangkaan di atas memperlihatkan kesedaran di kalangan umat Islam di Selangor yang mengeluarkan zakat dan tanggungjawab atau amanah yang dijalankan oleh Lembaga Zakat Selangor dalam mengagih-agihkan zakat kepada asnaf-asnaf yang ditetapkan. 

Apabila zakat dilaksana sepenuhnya, hasilnya akan kelihatan dengan jelas, dan ia akan menyucikan jiwa daripada pelbagai hasad dengki dan iri hati, ia juga akan mempersaudarakan manusia yang berbeza dari sudut harta dan kekayaan. 

'' Ambillah [sebahagian] daripada harta mereka menjadi sedekah [zakat], supaya dengannya kamu membersihkan mereka [daripada dosa] dan menyucikan. '' - terjemahan Surah al-Taubah ayat 103.

Kita mengharapkan agar Lembaga Zakat Selangor akan mempertingkatkan usaha untuk membantu umat Islam yang daif dan seharusnya dibantu demi mengelak mereka daripada memohon bantuan atau pertolongan daripada pihak lain, terutama gereja.

Para pegawai Lembaga Zakat mesti turun padang dan tidak sekadar menunggu 'pelanggan' di pejabat agar amanah yang dipikul, iaitu amanah yang bukan datangnya daripada manusia tetapi Allah, dapat dilaksanakan dengan lebih cekap, adil dan sempurna.

Pemimpin-pemimpin masyarakat Islam termasuk wakil rakyat, penghulu, ketua kampung, pengerusi JKKK atau Rukun Tetangga, pegawai dan kakitangan awam serta orang ramai yang tahu akan kewujudan umat Islam yang seharusnya dibantu oleh Lembaga Zakat pun perlu berperanan untuk memaklumkan perkara tersebut kepada Lembaga Zakat.

Jika semua pihak berbuat demikian, kita yakin masalah yang dihadapi terutama isu murtad dapat ditangani.

    



7 comments:

Anonymous said...

kr.
selangor agih zakat rm100 juta.
negari2 lain, apa macam?
nak tau juga.
takut nanti, ada pula minta zakat kat gereja.

Unknown said...

Saya ulas kes Selangor sebab dibangkitkan dalam khutbah Jumaat di Masjid Darul Ehsan, Taman TAR, Ampang. Mengenai negeri-negeri lain, jika ada kesempatan saya akan dapatkan perangkaannya.

Sebagai seorang Muslim, kita seharusnya tahu bahawa soal zakat adalah soal rukun atau perintah Allah kepada umat Islam. Oleh itu amat tidak kena untuk dikaitkan dengan gereja.

Yang kita kaitkan adalah akibat desakan hidup ada umat Islam yang beralih ke gereja untuk mendapat bantuan, tetapi ia tidak boleh sama sekali disamakan dengan ibadah zakat.

Anonymous said...

Tuan Syed,

Dalam zaman sains dan teknology ini, sebenarnya pusat zakat boleh terbitkan senarai mereka yang menerima zakat memandangkan masih kelihatan ramai yang ditonjolkan di media awam orang yang miskin dhaif.

Kebetulan pula dalam kes murtad ini, dikaitkan kemiskinan dengan gereja.

Berapa ramaikah fakir dan miskin yang menerima zakat ini? adakah ramai bilangannya atau berapa orang sahaja? Ini yang kita ingin tahu.

Bab imam khutbah jumaat yang mengatakan 2.5 juta orang tidak menerima zakat, mungkin ada yang membayat zakat terus kepada penerima tanpa melalui pusat zakat.

Sememangnya penerima zakat adalah terdiri daripada 7 asnaf, namun sekiranya ada orang miskin dhaif di depan mata, sayugia diberikan sahaja terus tanpa melalui pusat zakat.

Leman Lawak said...

Salam Tuan Syed,

Baguih la Pusat Zakat Selangor laksanakan tugas depa dengan baik dan berkesan..wajar dijadikan contoh oleh Pusat Zakat negeri-negeri lain. Saya setuju dengan kenyataan Anon 1:41PM..dengan teknologi yang ada sepatutnya tok-tok khatib kita buleh akses kepada fact and figure yang tepat sebelum keluarkan apa-apa kenyataan..ini bagi menghindar apa-apa salah tafsir oleh pendengar. Tok-tok khatib kita la ni pun boleh dikatakan takdak lagi yang lepasan pondok..ramai yang ada ijazah..jadi takdak masaelah kalu buat sedikit homework..cuma nak tanya Tuan Syed..la ni teks khutbah tu adakah masih disediakan oleh Pejabat Agama? Kalu ya..Tok Khatib kita cuma baca saja la..tak gitu?

Unknown said...

Leman Lawak,

Cara dia menyampaikan khutbah jelas tanpa teks.

Anonymous said...

Tuan Syed,

Saya ingin buat pembetulan kesilapan komen saya dahulu, penerima zakat ada 8 asnaf bukan 7.

Takut dikata menyebar ajaran songsang.

Sallam dan

Selamat Hari Raya Aidilfirti, Maaf Zahir Batin.

Anonymous said...

LZS kini makin agresif nampaknya turun padang cari orang susah. Utusan hari ini (28 Okt) laporkan mereka buat Skuad Jejak Kemiskinan yang melibatkan ribuan rumah flat PPR di Lembah Kelang. Banyak penemuan kes baru.