Tuesday, October 12, 2010

Wanita Pertama? di mana mereka?

Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menamakan dirinya sebagai 'wanita pertama' Malaysia tentu bangga dengan kehadiran "Wanita Pertama" dunia ke persidangan yang dianjurkannya di Putrajaya selama tiga hari bermula kelmarin. 

Datin Seri Rosmah Mansor sudah tentu 'lega' yang persidangan atau sidang kemuncak itu dihadiri oleh isteri ketua-ketua kerajaan atau ketua-ketua negara yang majoritinya dari benua Afrika. Pendek kata, hanya 14 'wanita pertama' daripada sejumlah 192 negara di dunia hadir.

Walaupun demikian, kita rakam ucapan tahniah kepada beliau kerana berjaya menganjurkannya di Malaysia.

Siapa sebenarnya "Wanita Pertama"?  iaitu sama ada isteri ketua negara atau isteri ketua kerajaan. Ada beza yang ketara antara keduanya, umpamanya di Malaysia ketua negara adalah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong manakala ketua kerajaan adalah Perdana Menteri.  Oleh itu, gelaran "Wanita Pertama" bagi Malaysia adalah Raja Permaisuri Agong, bukan isteri Perdana Menteri.

Di negara yang mengamalkan sistem pentadbiran presiden eksekutif seperti Amerika Syarikat dimana Presiden adalah ketua negara dan juga ketua kerajaan, maka tidak timbul tentang siapa yang bergelar "Wanita Pertama". Manakala di negara republik lain seperti Singapura, ketua negara adalah Presiden manakala ketua kerajaan adalah Perdana Menteri, maka gelaran "Wanita Pertama" harus dirujuk kepada isteri Presiden.

Kita pendekkan perdebatan mengenai siapa "Wanita Pertama" dan berbalik kepada persidangan anjuran Datin Seri Rosmah.

Kita ingin tahu sama ada ia layak digelar sedemikian sedangkan mereka yang hadir semuanya dari negara-negara sedang membangun atau membangun dan tiada seorangpun dari negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, Jerman, Itali dan yang lain dari Kesatuan Eropah atau dari gergasi ekonomi Asia seperti China, India, Jepun, Korea Selatan dan Taiwan, dari Australia dan New Zealand, dari negara-negara Islam yang unggul seperti Iran, Pakistan, Turki dan dari negara-negara ASEAN.

Hanya dua negara Asia yang hadir iaitu Laos, satu-satunya negara ASEAN, dan Sri Lanka. Kenapa "Wanita Pertama" dari Indonesia, Singapura, Brunei, Thailand, Kemboja, Vietnam dan Myanmar tidak hadir? 

Dari benua Eropah, hanya Albania, sebuah negara Islam yang dikatakan yang paling mundur di Eropah, hadir manakala dari Amerika Latin termasuk Caribbean hanya Paraguay dan Jamaica. Selebihnya dari Afrika iaitu Congo, Nigeria, Gambia, Ghana, Mali, Mauritius, Mozambique, Sierra Leone dan Seychelles (Lautan Hindi).

Ketakhadiran isteri Presiden Amerika Syarikat dan para isteri ketua-ketua negara/kerajaan Eropah, Asia dan Oceania serta negara-negara Islam menjadi tanda tanya sama ada persidangan yang dianjurkan ini benar-benar berjaya atau sekadar pertemuan para isteri pemimpin negara-negara ketiga, itupun bukan semua. 

Gembar-gembur oleh media  mengenai persidangan "Wanita Pertama Dunia" di Putrajaya tidak lebih daripada indah khabar daripada rupa, hebat cerita daripada kenyataan.

5 comments:

zulkifli said...

Berapa juta RM habis untuk persidangan indah khabar dari rupa, dan syok sendiri ini?
Mungkinkah matlamat utama perjumpaan ini untuk mengagihkan kontrak kepada mereka yang diingini oleh "wanita pertama"?

sri hartamas

mr edz said...

alah.. bincang pasal tempat shopping jer

Anonymous said...

nak tanya pak cik yg beruban tuan empunya blog.

PENTING ke nama gelaran wanita pertama? :)

akan dibawa ke akhirat ke?

Perlu ke semua wanita pertama datang ke persidangan ini?

Orang dah buat setakat mana yg mampu bukan?

Anonymous said...

Pak Tuan,

Persidanagn ni lebih nak menonjol dan menaikkan imej Rosmah Mansur. Budget Kementerian Pembangunan Wanita dan Kemajuan Masyrakat (KPWKM)habis kat Persidangan yang tak berguna ni. Nasib Kementerian KPWKM dapat menteri yang kaki bodek isteri boss. Inilah masalahnya bila menteri yang kalah pilihanraya menjadi menteri secara lantikan, tak pernah belajar dari iktibar pasal apa kalah. Buat malu orang Gelugur je.

Saya cadangankan pada PRU13 nanti Rosmah Mansur bertanding jadi ahli parlimen, kalau menang bolehlah dilantik Menteri Kanan ataupun Najib lantik dia jadi boss Khazanah
ganti Amok. Macam kat Singapore, isteri PM jadi boss besar Temasek Holding. Agaknya Rosmah nak jadi macam tu agaknya.

Lepas tu habis PRU13 bolehlah bungkus semua sekali.

Najib masih dok bermimpi ke atau makan pisang!

Rakyat bagi Amanah kat Najib bukan kat isteri, keluarga dan anak - anak dia.

Pikul amanah ni. Rosmah janganlah terlalu menonjol, macam semua pegawai kerajaan tak layak beliau saja yang hebat.

MA

Unknown said...

Media Cyber,

Soal penting atau tidak bukan persoalannya. Jika nak guna sesuatu gelaran, biarlah kena dan betul. Di negara-negara lain gelaran itu dikhaskan kepada ketua negara, bukan ketua kerajaan bagi negara yang ada ketua negara.

Siapa yang gah menamakan dirinya wanita pertama termasuk memasang papan iklan berbayar di Amerika Syarikat?

Soal akhirat bukan kerja manusia seperti anda dan saya.

Kalau Rosmah dah kata wanita pertama dunia, maka mereka yang bergelar isteri pemimpin-pemimpin yang dianggap penting dan berpengaruh seharusnya hadir. Bukan dari dunia ketiga.

Sama ada mampu atau tidak pihak penganjur dapat dilihat dari sudut kehadiran mereka yang digelar wanita pertama. Jiran-jiran terdekatpun tak hadir.