Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kelantan bagi kerusi Galas akan diadakan pada 4 November, jika ada pertandingan kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
UMNO/BN dahpun melantik YBM Tengku Razaleigh Hamzah selaku Pengarah Pilihan Raya atas sifatnya sebagai pemimpin terunggul di Gua Musang dan wakil rakyatnya yang sekian lama. UMNO percaya pengaruh kuat Ku Li boleh memberi kemenangan kepada BN.
Yang pasti, UMNO yang bersungguh-sungguh ingin menang di Galas walaupun ia tidak akan memberi kesan kepada pentadbiran kerajaan negeri pimpinan YAB Tuan Guru Nik Aziz. Jika PAS ditakdirkan menang maka akan kekal status quo, kata orang Inggeris.
Tetapi keputusan di Galas kelak dapat memberi sedikit gambaran mengenai sokongan orang Melayu, sekurang-kurangnya di Kelantan, dan memperlihatkan sejauh mana pengaruh Ku Li.
Apakah Ku Li akan mempertaruhkan pendiriannya mengenai royalti minyak yang dituntut oleh kerajaan negeri Kelantan sekiranya perkara itu dijadikan salah satu bahan kempen? Kita tahu bahawa pendirian Ku Li adalah sehaluan dengan kerajaan negeri Kelantan dan sudah tentu berlawanan dengan Kerajaan Persekutuan.
Kedudukan Ku Li semestinya sukar digalas kerana bak kata orang, telan mati emak, ludah mati bapa. Strategi yang diguna oleh UMNO kerana ia mengikat erat tangan Ku Li. Kita masih menunggu tindak balas Ku Li yang dijadual pulang ke tanah air lewat hari ini.
Walau apa pun, ada orang yang pasti menjadi tukang galas pada pilihan raya kecil DUN Galas, Parlimen Gua Musang, Kelantan.
Dalam pada itu, kita masih menunggu bila media arus perdana termasuk media penyiaran nak siar berita orang PAS keluar beramai-ramai untuk menyokong UMNO. Cerita begini cukup popular setiap kali berlaku pilihan raya kecil. Ataupun, mungkin kali ini berita basi seperti itu sudah benar-benar basi kerana rakyat tidak menerimanya sebagai sesuatu yang betul dan benar.
1 comment:
mungkin ada berita keluar parti tapi tak semeriah dulu
Post a Comment