Saturday, October 23, 2010

UMNO dan calon berdaya menang, sejauh mana kemampuan untuk dilaksanakan?

Satu perkara yang agak jelas diperkatakan oleh perwakilan ke Perhimpunan Agung UMNO yang baru selesai ialah soal pemilihan calon pilihan raya yang selama ini disandarkan kepada kepimpinan peringkat bahagian. Ia merujuk kepada calon yang disebut sebagai 'winable' atau dalam bahasa yang senang difahami calon yang berdaya menang.

Ia dibangkitkan oleh presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak dan disokong oleh beberapa orang pembahas peringkat akar umbi.

Yang jelas, ahli-ahli UMNO sendiri sedar betapa pentingnya pemilihan seseorang calon untuk mewakili parti dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya. Mereka tidak mahu lagi melihat pemilihan calon berkisar di kalangan ketua bahagian, timbalan ketua bahagian, naib ketua bahagian, setiausaha bahagian, ketua wanita bahagian, ketua pemuda bahagian dan ketua puteri bahagian.

Mereka mahu calon yang benar-benar boleh membawa kemenangan atau yang berdaya menang dipilih bertanding asalkan dia adalah ahli UMNO, tak kira  sama ada dari bahagian berkenaan atau dari tempat lain. Yang penting ialah calon berkenaan mampu membawa kemenangan.

Jika ini dapat dilaksanakan, maka ia adalah satu perubahan yang sewajarnya dilakukan oleh kepimpinan tertinggi UMNO tetapi saya ragu-ragu akan sokongan kepimpinan di bahagian-bahagian tertentu yang menyimpan cita-cita besar untuk menjadi wakil rakyat. Mereka bersusah payah dan mengeluarkan belanja besar untuk menjadi ketua bahagian dan sudah tentu salah satu sebab ialah untuk bergelar Yang Berhormat.

Hala tuju politik di Malaysia khususnya dalam UMNO lebih menjurus kepada memilih calon di kalangan kepimpinan peringkat bahagian dan sebarang perubahan, walaupun mendapat sokongan oleh Perhimpunan Agung, pasti akan cuba dihalang dan digagalkan oleh pemimpin-pemimpin bahagian yang mengidam untuk menajdi wakil rakyat. Ia bukan satu perubahan yang senang dan mudah dilaksanakan apabila kita sedar akan budaya berpolitik di kalangan pemimpin UMNO.

Tetapi, jika UMNO benar-benar nak berubah dan nak pasti kemenangan, ia mesti dilakukan bermula pada pilihan raya umum akan datang. Datuk Seri Najib mesti tegas dan berani melakukan perubahan tersebut . Ia juga dapat mengurangkan perebutan  untuk menjadi ketua bahagian kerana ia bukan satu jaminan untuk menjadi wakil rakyat.

Sebenarnya, pemilihan secara demikian telah dilakukan di negara jiran Singapura sejak zaman pemerintahan Lee Kuan Yew. PAP yang memerintah membentuk sebuah jawatankuasa pemilihan dan penapisan bakal-bakal calon untuk bertanding dalam pilihan raya.

Semasa Kuan Yew menjadi Perdana Menteri, timbalannya Goh Chok Tong mengetuai jawatankuasa itu dan mereka memilih dan menapis bakal calon termasuk dari sektor perniagaan, perbankan dan perkhidmatan awam. Bakal calon ditemu duga dan sekiranya dipilih dan bersetuju untuk menjadi calon, maka dia akan diperkenalkan kepada ranting PAP di kawasan yang dia bakal bertanding. Apabila diperkenalkan, pemimpin peringkat akar umbi tidak membantah dan bekerja kuat untuk memastikan kemenangan calon berkenaan. Inilah semangat kesetiaan kepada parti yang terdapat di kalangan ahli PAP peringkat akar umbi dan ia juga merupakan antara sebab kenapa tidak berlaku perebutan jawatan dalam parti itu.

Apakah pemimpin-pemimpin UMNO di semua peringkat sanggup berbuat demikian demi untuk memastikan kemenangan calon mereka pada pilihan raya akan datang? Adakah tidak akan berlaku perbuatan mengkhianati parti apabila tidak dipilih sebagai calon? Apakah tidak akan berlaku perbuatan mensabotaj parti kerana kesetiaan yang rapuh di kalangan ahli parti sendiri?

Datuk Seri Najib menghadapi ujian besar apabila tiba masanya untuk beliau memilih calon yang bakal membawa lambang parti pada pilihan raya umum ke-13 yang bakal diadakan 'dalam tempoh beberapa bulan akan datang'.



3 comments:

d'enricher said...

Tuan,

Saya rasa wakil rakyat, perlu faham apa tanggungjawab mereka, mewakili rakyat. Isu rakyat, masaalah rakyat, perlu jadi isu pokok.

MP di Parlimen dan ADUN di Dewan Undangan Negeri. Kita perlu wakil yang baik, di legislatif, dan Eksekutif yang mahir mentadbir dengan berkesan. Apabila disokong oleh Penjawat Awam yang berkaliber, semua akan lancar.

Mahkamah yang ADIL akan memastikan apa juga ketidakpuasan hati diperbetulkan mengikut lunas undang undang yang tidak berat sebelah.

Jadi Kerajaan yang memerintah dengan Rakyat didahulukan, barulah mendapat sokongan rakyat.

Sekiranya rakyat tidak yakin, jangan marah la, tetapi sebaliknya buktikan.

Ada satu cerita cina bersiri sedang ditayangkan di TV2 (6-7pm) sekarang iaitu "Justice Pao", kejujuran, ketelusan serta keadilannya susah nak percaya. Tapi yang jahat dan bersalah pasti akan menerima balasan. Siapkena pancung serta merta.

Kes sekarang tentang seorang Datuk Bandar yang mencuri harta negara (melombong emas), setakat ini dia berjaya mendiamkan orang yang tahu rahsianya dengan membunuh mereka, tapi Justice Pao ni masih mencari bukti mensabitkan nya

Rasanya cereka aje, tapi isu keadilannya sangat baik.

Rakyat yakin, kita kat sini belum lagi kot.

A.Alshukor

Syed Imran said...

A Alshukor,

Saya setuju. Itulah peranan dan tugas wakil rakyat. Kita tidak menafikan wujud wakil rakyat sedemikian di negara ini tetapi jumlahnya terlalu kecil.

Di Malaysia, wakil rakyat menjadi tempat rujukan, tempat mengadu dan tempat meminta pertolongan, terutama sekali di kawasan luar bandar. Oleh yang demikian, beban yang dipikul oleh wakil-wakil rakyat luar bandar yang merangkumi kampung-kampung tradisional, adalah lebih mencabar daripada wakil rakyat kawasan bandar.

Walaupun wakil rakyat boleh merujuk masalah rakyat kepada jabatan atau agensi yang ditubuhkan untuk membantu rakyat, seringkali rakyat dihampakan. Salah satu sebab ialah karenah pentadbiran, soal pilih kasih, pilih pendirian politik dan tidak terlepas juga soal perkauman.

Wakil rakyat itu sendiri perlu atau mesti berkhidmat secara jujur dan ikhlas kepada rakyat, tanpa mengira fahaman politik atau bangsa dan agama. Ini juga menjadi satu masalah apabila faktor-faktor berkenaan diketepikan.

Kita juga tahu yang ramai wakil rakyat terpaksa mengejar itu dan ini untuk menampung perbelanjaan dan mengisi tabung politik masing-masing. Kita sedar bahawa elaun wakil rakyat tidak seberapa berbanding dengan beban yang dipikulnya. Tetapi, ia boleh dikurangkan jika agihan peruntukan dan bantuan yang disalurkan oleh kerajaan dilaksana dengan betul, jujur, saksama dan beramanah.

Hariz Hussein said...

salam Tuan..

penulisan yang sangat2 menarik
harap dpt diberi tunjuk ajar...
saya telah memasukkn blog Tuan dlm blog pilihan saya..
harapan juga agar saudara membantu saya mempromosikn blog sesat jalan bertanya

hariz hussein
blogger sesat jalan bertanya
http://mencandat.blogspot.com/