Friday, October 22, 2010

PUTRAJAYA - ketentuan di tangan rakyat

Saya tertarik mengikuti ucapan berapi-api presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak semasa merasmikan Perhimpunan Agung UMNO. Bagi saya nada ucapan sedemikian tidak boleh dipisahkan dengan perhimpunan parti itu. Semasa Pak Lah berkuasapun wujud ucapan bersemangat walaupun beliau dilihat sebagai seorang yang lemah lembut dan 'gentleman'.

Ucapan membakar semangat juang di kalangan ahli parti adalah perkara biasa setiap kali perhimpunan agung diadakan. Kata-kata yang menyentuh sanubari orang Melayu, khususnya dan bumiputera lain amnya, sudah menjadi darah daging pemimpin UMNO. Datuk Najib tidak terkecuali bahkan dia berjaya membakar semangat ahli parti.

Banyak perkara dibangkitkannya tetapi yang agak mendapat sambutan hangat ialah apabila dia berkata bahawa UMNO akan mempertahankan Putrajaya, iaitu mengekalkan kuasa pentadbiran kerajaan persekutuan. Kata-katanya mendapat sorakan dan tepukan para perwakilan.

Kata-kata tersebut yang boleh dikaitkan dengan ucapan belanjawan yang dibuatnya sebelum itu, memberi gambaran atau isyarat bahawa pilihan raya akan diadakan tahun depan. Belanjawan 2011 yang dikatakan mesra rakyat sebenarnya belanjawan umpan pilihan raya.

Jika UMNO dan BN benar-benar serius nak pertahankan Putrajaya, maka mereka kena berubah, bukan sedikit perubahan tetapi banyak. Sikap pemimpin-pemimpin parti mesti diubah, rebut-merebut kontrak, kekayaan, jawatan dan kedudukan bukan sesuatu yang 'mesra rakyat'. Sikap sombong diri atas kedudukan, kekayaan dan jawatan yang disandang juga tidak 'mesra rakyat' sama seperti tabiat bermain dengan isu perkauman.

UMNO mesti sedar akan hakikat bahawa mereka memerlukan sokongan semua kaum untuk memerintah. Oleh itu mereka tidak boleh bermain isu perkauman jika nak menang pada pilihan raya akan datang. Saya sedar bahawa UMNO, sama seperti MCA dan MIC adalah parti perkauman dan isu itu tidak dapat dipisahkan tetapi apabila menghadapi rakyat, mereka mesti berdiri atas semangat BN yang mewakili semua kaum.

Untuk mempertahankan Putrajaya, UMNO dan BN mesti terlebih dahulu menawan hati rakyat yang layak mengundi. Hanya dengan sokongan rakyat sajalah UMNO dan BN boleh mempertahankan Putrajaya, bukan dengan cara lain.

UMNO dan BN juga harus sedar bahawa pihak lawan, iaitu Pakatan Rakyat (PR) juga mampu menawan Putrajaya jika rakyat menyokong mereka. UMNO dan BN tidak boleh menyekat rakyat daripada menyokong PR jika itulah kehendak majoriti.

Oleh itu, laungan bersemangat Datuk Najib untuk mempertahan Putrajaya tidak bermakna sekiranya rakyat tidak memberi sokongan dan kepimpinan UMNO, terutamanya, harus bertindak mulai sekarang untuk menawan semula hati rakyat, bukan bersikap 'tidak mesra rakyat' dengan kelakuan dan tindakan yang membangkitkan kebencian di kalangan rakyat.

UMNO juga harus bekerja kuat untuk mendapat sokongan golongan muda dan mereka yang disebut sebagai berada di atas pagar kerana golongan inilah yang lazimnya akan membuat penentuan mengenai siapa atau parti mana yang akan menduduki Putrajaya.

Semangat dan kata-kata yang berapi-api sahaja tidak cukup untuk terus kekal di Putrajaya.






5 comments:

Hari hari nasi ayam said...

berginilah, if UMNO willing to put SPRM under parliament, then I will probably vote for BN.

Syed Imran said...

Hari hari nasi ayam,

I can assure you that they will not do so. It is suicidal if they do so.

By the way, please do expand your appetite of nasi ayam, try other local dishes for a change.

Politically speaking, we do need a change for the better and if not, for the worst.

Anonymous said...

UMNO letak SPRM di bawah parlimen mungkin boleh dilakukan untuk memancing undi. Tapi mereka kan lantik orang yang mengikut telunjuk PM. Dua kali lima saja macam sekarang.
Yang saya tak berkenan ialah laungan (jeghekah) Najib bahawa UMNO akan mempertahankan Putrajaya dengan apa cara sekalipun, termasuk dengan mengorbankan nyawa. Ini pada saya satu ucapan ynag patut disiasat di bawah akta hasutan. Apa macam, cukupkah kejantanan Menteri Dalam Negeri untuk menyiasat sepupunya sendiri? Jawapnnya mudah saja...ini umpama menunggu ayam jantan berteloq atau kegha jantan beghanak.

sri hartamas

adila said...

Salam Pak Syed,

Berapi lagu mana PM berucap skalipun..tapi bila kita tengok gelagat orang-orang UMNO kat PWTC..cek dah tau dah..silap-silap kompem bungkuih punya. Ucapan sekoq-sekoq sumua menjurus kepada puji-pujian..tembak-tembak orang..tunjuk jadi hero..sama je macam perhimpunan-perhimpunan yang lepaih. Rimas lah cek!

Syed Imran said...

Adila,

Itulah budaya berpolitik setiap kali diadakan perhimpunan agung parti. Semuanya akan lupa tak berapa lama selepas itu. Mereka akan kembali kepada tabiat asal.