Monday, October 11, 2010

Ku Li calon BN di Galas?

Mantan Menteri Kewangan dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li), dilaporkan menerima tawaran untuk menjadi calon BN pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kelantan kawasan Galas yang ditetapkan pada 4 November depan.

Jika laporan itu benar dan kita yakin ia adalah benar, maka pilihan raya kecil itu bukan sahaja akan menguji kekuatan atau sokongan rakyat kepada Umno tetapi yang lebih jelas kepada Ku Li.

Kepimpinan Umno sedar bahawa keputusan pilihan raya kecil itu akan memberi kesan besar kepada parti itu jika calon mereka menang dan orang yang diyakini mampu membawa kemenangan tidak lain daripada Ku Li.

Harapan besar Umno kepada putera raja yang berpengaruh itu begitu nyata apabila Ku Li dilantik pengarah pilihan raya kecil Galas dan dicadangkan sebagai calon BN oleh Timbalan Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Cadangan Muhyiddin mendapat sokongan meluas daripada ahli-ahli Umno semua peringikat terutama di Kelantan.

Yang jelas ialah pilihan raya kecil Galas tiba-tiba 'memulihkan' kepercayaan kepimpinan Umno peringkat tertinggi terhadap Ku Li yang mereka lihat sebagai 'duri dalam daging' terutama membabitkan isu tuntutan royalti minyak oleh Kerajaan Negeri Kelantan.

Jika sebelum ini kepulangan Ku Li dari luar negeri tidak mendapat sambutan mahupun liputan media tetapi apabila tokoh veteran Umno itu pulang dari Eropah tiga hari lepas, beliau disambut oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapha Mohamad dan Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan serta penyokong masing-masing. 

Jarang sekali seorang Anggota Kabinet pergi ke lapangan terbang untuk menyambut kepulangan seorang  ketua bahagian parti yang tiada jawatan apapun dalam pentadbiran. Dalam politik apa saja boleh berlaku.
 
Begitulah hebatnya Ku Li dan begitu tingginya harapan Umno kepadanya untuk memenangi semula kerusi DUN Galas yang dimenangi PAS pada pilihan raya umum lalu.

5 comments:

d'enricher said...

Tuan Syed,

Selepas Tan Sri Isa memenangkan UMNO/BN, sampai lah giliran TRH pula memenangkan BN di DUN galas.

Terfikir saya, satu hari nanti, TRH yang telah berumur 73 akan berundur atau diundurkan. Siapa yang tinggal nak wakili Gua Musang.

Tak kan tak ada orang lain yang berkaliber ???

Individu atau parti, nanti PRU13, kena juga cari calun. Bukan nya lama sangat.

A.Alshukor

Unknown said...

A-Alshukor,

Benar tu, bukan saja di Gua Musang bahkan di majoriti kerusi Parlimen mereka (BN) kena cari muka baru.

Anonymous said...

Tuan Syed,

trend akan datang..kalau ada ADUN mati di kedah, besar kemungkinan Sanusi junid di calunkan mewakili UMNO, di Pahang sabarudin cik, di perak rafidah aziz. Itu lah modal mereka yang pandai main pschology kampung.

Ben khalid

Unknown said...

Ben Khalid,

dan ada banyak lagi calon 'kitar semula' di kalangan parti yang dikatakan mempunyai lebih 3 juta ahli. Ini bermakna ahli yang ada itu tiada mutu atau kualiti untuk dipilih sebagai calon pilihan raya.

ben hasan said...

bro syed,
saya tak fikir ku li akan memilih dirinya sendiri sebagai calon prk galas walaupun beliau diberikan kuasa mutlak oleh pucuk pimpinan untuk memilih calon. khabarnya bakal calon kali ini ialah seorang anak tempatan dari dun galas dan mempunyai jawatan dalam umno bahagian. oleh yang demikian, orang yang mempunyai kriteria tersebut bolehlah tempah bush jacket.
hanya satu sahaja masalahnya di galas ini, nak cari tempat tidur bukannya main susah lagi. rumah-rumah sewa telahpun habis ditempah. kalau adapun, sewanya melonjak seperti pasaran saham walaupun untuk tinggal satu hingga dua minggu.
dengan khabarnya prk kali ini agak berbeza sedikit dengan lain-lain tempat. ketua-ketua peti undi diberi kuasa penuh oleh ku li untuk menentukan sebarang program semasa berkempen. command centre seperti prk hulu selangor tempoh hari juga tidak dibenarkan oleh ku li. begitu juga dengan program besar seperti ceramah umum jua tidak dibenarkan. susah juga nak brkira dengan anak raja ini. mungkin bekas boss saudara lebih mudah berurusan dengan ku li kerana dia pernah jadi timbalan ku li semasa sebatical leave dulu.untuk maklumat lanjut, sila layari malaysiaaktif.com.