Wednesday, July 14, 2010

UMNO Jelutong dah bosan dengan kepimpinan?

Saya mengikuti pergolakan dalam Umno Bahagian Jelutong, Pulau Pinang yang pernah saya anggotai dalam tahun 1970-an kerana ia mungkin mengakibatkan ramai ahlinya berpaling tadah ke Pakatan Rakyat.

Kemungkinan itu disokong oleh rakan lama saya yang duduk semeja dalam Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Jelutong kira-kira 30 tahun lampau, Datuk Abdul Rashid Ismail, yang juga mantan Ketua Umno Bahagian Jelutong dan mantan Ahli Dewan Negara.

Saya tertarik dengan kenyataan Abdul Rashid yang membayangkan bahawa Umno tidak mungkin dapat terus berkuasa jika ia gagal menangani masalah-masalah parti itu. Saya percaya Abdul Rashid bukan sahaja merujuk kepada masalah dalam Umno Bahagian Jelutong tetapi dalam Umno keseluruhannya.

Abdul Rashid, yang mempunyai talian keluarga dengan Ahli Parlimen Bayan Baru yang keluar PKR untuk jadi ahli bebas, Zahrain Mohamad Hashim, secara tidak langsung menyokong cakap-cakap bahawa sebahagian daripada ahli Umno dalam bahagian itu akan keluar parti dan memihak kepada Pakatan Rakyat, sama ada PAS atau PKR.

Masalah dalam Umno Bahagian Jelutong berpunca daripada tindakan kepimpinan parti peringkat negeri menututp 17 buah cawangan dengan jumlah keahlian kurang-lebih 4,000 orang.

Hujung minggu lalu, peneraju 17 cawangan berkenaan mendesak pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri yang dipinjam dari negeri Perak, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menyelesaikan segera krisis dalaman bahagian itu yang berputik tiga tahun lalu.

Wakil kumpulan 17, Abdul Wahab Abdullah berkata mereka masih sayangkan Umno dan meminta Zahid, yang juga salah seorang naib presiden parti, berjumpa dengan semua ketua dan jawatankuasa 17 cawangan berkenaan untuk menyelesaikan kemelut yang dihadapi sebelum parti menghadapi pilihan raya umum ke-13 kelak.

Semua 17 cawangan berkenaan dilabelkan sebagai "tidak sah" oleh kepimpinan bahagian dan perhubungan Negeri dengan alasan wujudnya "ahli hantu". Bagaimanapun, Abdul Wahab berkata mereka tidak menerima sebarang surat mengenai kedudukan cawangan masing-masing sama ada digantung atau tidak sah, dan sebab itulah mereka mengadakan mesyuarat agung.

Kumpulan 17 itu juga melahirkan rasa kecewa atas ketidak hadiran Ahmad Zahid yang dijadual merasmikan mesyuarat agung tahunan bahagian (membabitkan 17 cawangan berkenaan).

Akibat kekecewaan tersebut, mereka memberi tempoh sehingga hujung tahun ini kepada Majlis Tertinggi parti untuk memberi keputusan mengenai kedudukan 17 cawangan berkenaan dan Umno Bahagian Jelutong itu sendiri. Jika MT gagal berbuat demikian, mereka tidak teragak-agak untuk membubarkan cawangan masing-masing dan keluar parti secara beramai-ramai.

Sementara itu, Abdul Rashid yang hadir pada mesyuarat agung 17 cawangan berkenaan, menasihati mereka supaya terus memperjuangkan hak mereka.

Beliau juga berkata mereka mempunyai pilihan lain jika hak mereka dinafikan oleh kepimpinan parti, mereka boleh menyertai parti lain seperti PKR atau PAS dan ia boleh diterima kerana mereka bukan melompat ke agama lain.

Dalam pada itu, Bernama mengutip ketua Umno Bahagian Jelutong yang diiktiraf parti, Abdul Razak Abdul Rahman sebagai berkata beliau telah mengirim surat kepada ahli-ahli dalam 17 cawangan berkenaan supaya mengangggotai cawangan lain dalam bahagian itu kerana badan perhubungan Umno negeri telah membuat keputusan untuk menutup cawangan terbabit.

Nampaknya, PAS dan PKR berpeluang menambah bilangan cawngan atau ranting masing-masing dalam kawasan Jelutong.

2 comments:

The Eugenist said...

Salam..

Pak Syed, perkara ini pernah saya tuliskan di dalam blog saya - hesmel.blogspot.com mengenai pemilihan Datuk Seri Zahid sebagai ketua UMNO Pulau Pinang.

Beliau tidak tahu politik sosial Pulau Pinang. Yang menjadi lebih teruk ialah politik orang tanjung amat berbeza dengan politik orang tanah besar (Bagan, BM dan sebagainya.

Akar umbi politik UMNO di P.Pinang terletak di tanjung (pulau). Jika pulau tidak dijaga, alamatnya pulau akan terus hanyut dan akhirnya tenggelam ditelan arus.

Anonymous said...

SALAM SEJAHTERA DIUCAPKAN.SEMALAM SAYA BERJUMPA DENGAN SALAH SEORANG PENDUDUK KAWASAN JELUTONG YANG MEMINTA SEDEKAH UNTUK MEMBIAYAI KOS RAWATAN ANAKNYA YANG SAKIT BUAH PINGGANG.DISINI SAYA AMAT PRIHATIN,SEDIH DAN AMAT MALU DENGAN SIKAP PEMIMPIN UMNO JELUTONG DAN UMNO PULAU PINANG YANG MANA MEREKA TIDAK DAPAT MENOLONG SEADANYA MALAH DICACI SEPERTI HAIWAN.DIMANA SIKAP PROFESIONAL EN.RASHID SELAKU PEMIMPIN UMNO KAWASAN JELUTONG.TIMBALAN KETUA MENTERI YANG LAMA JUGA TIDAK DAPAT MEMBANTU SERTA BEKAS KETUA MENTERI PULAU PINANG KOH SU KUN YANG PERKAUMAN.
PERKARA INI BERLAKU SUDAH 6 TAHUN.
MASYAALLAH.....WAHAI BANGSAKU...