Tuesday, July 06, 2010

Antara Anwar Ibrahim, Zionis, Zionisme dan Yahudi




Mantan timbalan perdana menteri yang kini Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melakukan kesilapan besar apabila dia memohon maaf kepada puak Yahudi di Washington, Amerika Syarikat, semata-mata atas kenyataannya berkaitan Yahudi, Zionis dan Zionisme.

Tindakan Anwar bukan sahaja mengecewakan tetapi mengaibkan dan ia tidak melambangkan kekuatan dan jati diri seseorang yang dikatakan pemimpin.

Walaupun permohonan maaf diterima dan alasan yang diberikan oleh Anwar kepada kepimpinan berpengaruh Yahudi di Amerika Syarikat, khususnya B'nai B'rith International, telah melegakan penasihat Parti KeAdilan Rakyat (PKR) itu, namun kesannya terhadap masa depan politik Anwar di Malaysia sedikit sebanyak terjejas.

Kepada orang Melayu khasnya dan rakyat Malaysia, terutama yang rata-rata menentang kekejaman Yahudi di bumi Palestin, perbuatan Anwar sukar dimaafi.

Kenapa Anwar sanggup meminta maaf hanya atas kata-katanya yang tidak mengakibatkan kecederaan apatah pula kematian ke atas orang Yahudi sedangkan rejim pengganas Zionis di Tel Aviv yang diketuai Benjamin Netanyahu enggan meminta maaf atas perbuatan zalim menyerang dan membunuh sukarelawan misi bantuan kemanusiaan ke Gaza?

Apakah kata-kata yang diluahkan terhadap kezaliman Zionis dan Zionisme itu lebih parah dan lebih dahsyat daripada membunuh manusia yang berniat baik dan tidak bersenjata?

Jika Anwar menganggap apa yang dilakukannya (permohonan maaf) itu betul, ia boleh dilihat sebagai mengakui pembunuhan yang dilakukan oleh pengganas Yahudi itu juga betul dan oleh itu, mereka (Yahudi) tidak perlu meminta maaf.

Kita sedar bahawa nama Anwar di Washington jauh lebih menyerlah daripada mana-mana pemimpin politik Malaysia termasuk PM Datuk Seri Najib Tun Razak. Ini diakui oleh mantan duta besar Amerika Syarikat di Malaysia (1995-1998), John R Mallot.

Anwar mempunyai talian persahabatan yang kukuh di sana selain rapat dengan kepimpinan B'nai B'rith, pertubuhan Yahudi tertua dan paling berpengaruh yang mengawasi dan memantau kepentingan Yahudi di seluruh dunia. Sebab itulah Anwar sanggup tunduk dan memohon maaf kepada mereka.

Antara kawan rapat Anwar termasuk Al Gore, mantan naib presiden dan beberapa orang mantan setiausaha negara, setiausaha pertahanan, anggota "Congress" dan Dewan Perwakilan selain kontak profesional termasuk mereka yang dilihat sebagai "opinion leaders". Anwar tidak mahu kehilangan sokongan mereka dan dia sanggup lakukan apa saja untuk mengekalkan kedudukan tersebut.

Sungguhpun demikian, Anwar perlu ingat dan insaf bahawa sokongan politiknya bukan di Amerika Syarikat tetapi di Malaysia. Jatuh bangunnya dalam arena politik terletak di tangan pengundi di Malaysia, bukan di Washington ataupun Tel Aviv.

1 comment:

Anonymous said...

Assalamualaikum Pak Tuan. Saya mmg heran dgn anwar ni. Tindak tanduknya amat kita sangsi. Apa tak cukupkah sokongan yang beliau peroleh di Malaysia ni sampai terpaksa menuntut sokongan musuh Islam itu sendiri. Dari apa yang saya perhati, walau apa pn tomahan dan tuduhan yang dibuat oleh kerajaan terhadap dirinya, sokongan yang diberikan kepada beliau tetap tak pudar. Malah setiap tomahan yang dibuat menguluhkan lagi sokongan terhadap beliau. Tapi beliau tetap mencari sokongan yahudi laknatullah. Tindakan beliau sendiri ini yang menyebabkan sokongan terhadap beliau semakin malap. Wallahua'lam...