Friday, July 16, 2010

Pasir oh pasir!

Piihan raya umum semakin mendekati kita dan seperti lazimnya, banyak cerita dan laporan berkaitan rasuah, salahguna kuasa, penyelewengan dan ketikdakcekapan pentadbiran yang mengisi dada-dada akhbar, sama ada yang pro-BN atau yang pro-parti bukan BN. Saya tak sebut pembangkang sebab istilah itu tidak tepat dalam keadaan-keadaan tertentu.

Media pro-BN termasuk media penyiaran sering merujuk kepada kerajaan-kerajaan negeri Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan sebagai pembangkang sedangkan yang menjadi pembangkang di negeri-negeri berkenaan adalah BN. Ini adalah fakta tetapi media pro-BN termasuk media kerajaan seolah-olah tidak mahu menerima hakikat.

Jika merujuk kepada pentadbiran Persekutuan atau Kerajaan Pusat, maka parti bukan BN adalah pembangkang. Begitu juga di Johor, Melaka, Sabah, Sarawak, Pahang, Terengganu, Perlis, Negeri Sembilan dan Perak (walaupun di Perak ia bukan pilihan rakyat dalam ertikata sebenar).

Yang memerintah atau mentadbir di Selangor, Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang adalah Pakatan Rakyat, sebuah pakatan antara PAS, DAP dan PKR dan yang menjadi pembangkang adalah BN. Oleh itu, media-pro BN tidak boleh merujuk kepada kerajaan-kerajaan negeri berkenaan sebagai kerajaan pembangkang, jika pembangkang mana boleh jadi kerajaan?

Berbalik kepada isu semasa yang sedang panas dilaporkan oleh media, sama ada pro atau anti BN, ialah soal melombong pasir di Selangor dan kini merebak ke Batu Kawan di Pulau Pinang.

Saya memang tidak setuju dengan apa saja bentuk pembangunan yang menjejas atau merosakkan alam semula jadi seperti mengadakan projek pembangunan atas bukit, melombong pasir tanpa kawalan atau mendirikan kilang di tepi sungai yang mengakibatkan pencemaran air.

Pembuangan sisa kilang bertoksik dan sisa ladang ternakan babi ke dalam sungai menjadi salah satu masalah di beberapa buah negeri termasuk Selangor. Masalah alam sekitar dan pencemaran yang bukan sahaja mengotorkan sumber air tetapi menjijikkan, masih belum ditangani sepenuhnya.

Belumpun selesai masalah tersebut, kini timbul pula perbuatan melombong pasir yang mengancam taman hidupan air yang juga warisan negara di Paya Indah. Walaupun kegiatan tersebut dikatakan sah dan diberi lesen oleh pentadbiran negeri Selangor, tetapi ia mungkin tidak diselia dan diawasi sehingga mengakibatkan kerosakan teruk ke atas bumi.

Kerajaan Negeri Selangor pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim seharusnya bertanggungjawab atas apa yang sedang berlaku walaupun sebahagian besar pasir yang dilombong itu dikatakan diguna untuk pembangunan terminal lapangan terbang kos rendah (LCCT), dekat Subang.

Pentadbiran Pakatan Rakyat tidak boleh lepas tangan dan menuding jari kepada pihak lain atas kegagalannya mengawal, menyelia dan memastikan kerja-kerja melombong bersebelahan Paya Indah yang jelas mengancam keunikan alam semula jadi itu.

Hentikan segera semua kerja melombong pasir. Inilah tindakan yang semestinya diambil oleh Tan Sri Khalid. Bukan menuding jari kepada kerajaan Persekutuan.

Isu melombong pasir bukan perkara baru. Dulu ia melibatkan beberapa orang tokoh dan pemimpin Umno terutama di negeri Johor. Kita masih ingat akan perbuatan melombong dan menghantar (menyeludup lebih tepat) pasir ke Singapura.

Yang membezakan isu pasir ketika itu dengan isu yang sedang dihadapi di Selangor adalah ke mana paasir itu pergi.

Dulu pasir dihantar untuk kerja-kerja pembangunan dan tambak laut di Singapura. Sekarang pasir yang dilombong di Selangor diguna untuk pembangunan LCCT baru. Sekurang-kurangnya pasir dari bumi Malaysia digunakan untuk faedah dan kepentingan Malaysia, bukan seperti dulu.

Walau apa pun, apa yang sedang berlaku di Selangor agak keterlaluan dari sudut kerosakan ke atas alam semula jadi dan mesti dihentikan segera. Pentadbiran Pakatan Rakyat di Shah Alam harus sedar akan bahaya dan malapetaka yang boleh berlaku apabila kita merosak atau cuba mengubah kedudukan asal alam ciptaan Tuhan.

Apakah tokoh berpendidikan tinggi Islam yang berada dalam PAS tidak mengingatkan Tan Sri Khalid akan bahaya tersebut? Atau mereka sengaja berdiam diri atas kepentingan politik dan kebendaan semata-mata?


1 comment:

Anonymous said...

Assalamualaikum Pak Tuan. Bahang pilihan raya dah dekat pak tuan. Tu yang banyak sangat keburukan masing2 mula didedah. Tapi bagus jgk. Bg saya, masing2 parti tak boleh nak nafi saja kesalahan masing2. Tapi guna peluang ini utk memperbaiki kelemahan parti. Bukan saja untuk kepentingan parti, tapi untuk kebaikan rakyat jgk. Barulah negara maju, rakyat terjamin. Sekian.