Friday, June 12, 2009

UMNO dan PAS mesti utamakan ukhuwwah Islamiah



Kekuatan sesuatu bangsa mahupun negara bergantung kepada perpaduan. Ini adalah hakikat yang tidak boleh diketepikan dalam usaha menyatu-padukan ummah dalam satu ikatan persaudaraan seperti yang dituntut oleh Islam.

Dalam hubungan ini, kesediaan pemimpin politik untuk membincang soal perpaduan, tidak kira dalam apa bentuk sekalipun, seharusnya disambut baik dan disokong.

Pemimpin politik Melayu, khasnya, perlu bertemu dan bermusyawarah untuk mencapai kata sepakat ke arah perpaduan memandangkan sudah terlalu lama berpecah-belah sehingga menjejas kekuatan politik.

Sejak PAS keluar daripada gagasan Barisan Nasional, tiada pertemuan secara rasmi diadakan berhubung perpaduan orang Melayu, terutama antara UMNO dan PAS. Kita sedar beberapa pelawaan musyawarah pernah dicadangkan untuk membincang persoalan seperti hukum hudud, fatwa kafir dan mengkafir serta undi PAS masuk syurga, namun ianya tidak diadakan.

Pada tahun 1986, Perdana Menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad mengadakan pertemuan dengan Timbalan Presiden PAS ketika itu, Allahyarham Fadzil Noor di Sri Perdana bertujuan membincang perpaduan Melayu. Malangnya, pertemuan itu tidak membuahkan hasil seperti yang diharapkan oleh bangsa Melayu.

Apabila Allahyarham Fadzil menerajui PAS, pertemuan yang tidak dijadualkan diadakan di Kedah sempena satu majlis berbuka puasa dan bergerak dari situ, muncul cadangan agar UMNO dan PAS mengadakan pertemuan untuk membincang soal perpaduan.

Kedua-dua parti menubuhkan Jawatankuasa Teknikal bertujuan membuat persediaan untuk membincang urusan logistik. Dua pertemuan telah diadakan. Walau bagaimanapun, usaha tersebut turut gagal berikutan tindakan PAS menangguh pertemuan dan mengemukakan syarat baru.

Ketika mengumumkan penangguhan itu, Allahyarham Fadzil antara lain berkata ia dibuat kerana tidak ada "suasana yang kondusif" dan menegaskan bahawa PAS boleh mengadakan pertemuan apabila wujud suasana yang lebih kondusif, iaitu apabila semua syarat yang dikenakannya dipenuhi oleh UMNO dan Kerajaan Pusat terlebih dahulu.

Kesudahannya adalah kedua-dua pihak gagal mencapai kata sepakat dan pertemuan itu tidak dapat diteruskan.

Apakah ura-ura pertemuan ke arah perpaduan yang dibangkitkan semula kali ini akan berhasil atau sebaliknya pun menjadi tanda tanya. Di kalangan pemimpin UMNO dan PAS terdapat perbezaan pendapat dan pendirian, ada yang setuju, ada yang menentang dan ada yang sangsi dan ragu-ragu.

Kepada pemimpin kedua-dua pertubuhan politik itu, kita ingin ingatkan bahawa perpecahan bangsa yang berlaku disebabkan oleh fahaman politik yang sempit dan rapuh hanya akan membawa padah kepada negara dan anak cucu akan datang. Belajarlah daripada sejarah.

Bangsa Melayu tidak mampu untuk berpecah belah. Perpaduan adalah tuntutan utama bagi keutuhan negara dan dituntut oleh Islam (Al Quran, ayat 103-105 Surah Ali Imran).

Kepentingan ukhuwwah Islamiah atau perpaduan Islam sebagai tunggak sesebuah negara tergambar daripada langkah Rasulullah S.A.W. sendiri ketika pembentukan negara Islam yang pertama di Madinah.

Perpaduan Islam yang dimaksudkan itu amat mementingkan hubungan persaudaraan yang berlandaskan ikatan keagamaan.

Kita harus sedar bahawa menghubungkan silatulrahim terhadap orang yang memutuskannya, memberi kepada orang yang menghalang dan memaafkan orang yang menzalimi adalah antara ciri akhlak yang mulia. Sesiapa yang mempunyai ciri tersebut adalah mencerminkan keteguhan dalam beragama.

Islam secara nyata mengajak manusia supaya menjaga ikatan silatulrahim dan persaudaraan, menyuruh kita menjauhkan diri daripada melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan ikatan persaudaraan dan kejiranan.

Dalam Islam, tidak ada bezanya antara seseorang itu dengan yang lain melainkan ketakwaan mereka kepada Allah SWT. Oleh itu, Islam melarang wujudnya perpecahan, apatah lagi sesama umatnya. Perpecahan hanya akan melemahkan umat Islam dan apabila lemah, sudah tentu akan berlaku kerosakan dan kehancuran.

"Orang-orang yang merosak janji Allah setelah diikrarkan dengan teguh dan memutuskan apa-apa yang Allah perintahkan supaya dihubungkan (silatulrahim) dan mengadakan kerosakan di bumi, orang-orang itulah yang memperoleh kutukan dan bagi mereka tempat kediaman yang buruk (neraka)" (Surah Ra'd: Ayat 25)

Semoga barisan kepimpinan UMNO dan PAS mengutamakan ukhuwwah Islamiah dan bukan kepentingan politik kepartian demi mewujudkan perpaduan ummah. Kita tidak perlu mengingatkan mereka bahawa umat Islam itu adalah bersaudara.

7 comments:

luah fikiran said...

Mengapa awal-awal lagi sudah menentang ura-ura untuk merapatkan perpaduan sesama umat Islam? Mengapa tidak bersikap terbuka dan bincang dahulu, kemudian baru buat keputusan samada bersetuju atau tidak? Tak sedarkah dengan keadaan perpecahan umat Islam dan orang Melayu yang sedang berlaku sekarang ini? Sehinggakan kaum lain dan penganut agama lain berani memperlekehkan kita dan membuat desakan yang bukan-bukan yang tidak pernah berlaku sebelum ini! Mengapa, dengan kaum lain, dengan penganut agama lain, kita mudah bekerjasama dan sanggup bertolak ansur? Malang sekali,kalau fahaman dan kepentingan politik yang menjadi punca perbalahan ini. Ingatlah, agama kita menyuruh kita bersatupadu dan saling menyayangi sesama umatnya. Kita belum lagi terlewat untuk mengukuhkan lagi kembali perpaduan sesama kita

Anonymous said...

Pak Tuan Syed,

Memang betul kata Pak Tuan..

Dah sempat baca artikel Tun Dr. M tajuk "Sekolah"? I think it is another great article!

Salam Pak Tuan.

Anonymous said...

Luah fikiran,
Mengapa awal-awal lagi sudah menentang ura-ura untuk merapatkan perpaduan sesama umat Islam?
Jawab:
Jika benar demi utk perpaduan umat Islam, jangan kira kaum.Sejarah PAS di tekan Oleh UMNO di kelantan amat memedihkan.PAS Melayu Islam. Umno Melayu Islam. Tetapi, Orang Islam dalam PAs Tak akan lupa apa yang telah kerajaan BN buat kepada mereka di Kelantan.

Tak sedarkah dengan keadaan perpecahan umat Islam dan orang Melayu yang sedang berlaku sekarang ini?
Perpecahan telah lama berlaku , sejak Rasul wafat lagi.Lihatlah sejarah.

Yang berlaku kepada orang melayu sekatang, Tidak berpecah.Hanya berpindah Kem.

Yang diperlekehkan ialah sikap orang Islam yang tidak mengikut cara Islam. Adakah tokoh islam ada yang diperlekehkan? Adakah peribadi seperti TGNA diperlekehkan?
yg diperlekehkan ialah sikap orang islam. Bukan Islam itu sendiri.
Lihatlah dalam rumah kita, dari dapor hingga ke bilik tidor, berapa banyakkan barangan buatan orang Islam?
-makangaji

askar melayu said...

Syed
Kita perlu bertanya kepada ulamak besar PAS, Nik Aziz, adakah orang UMNO itu masih "kafir" sehingga nak bercakap pun tak boleh. Noted that Hj Hadi mungkin terlalu besar darjatnya hingga tidak boleh mengIslamkan kembali orang UMNO yang dikafirkan nya dahulu tapi setidak-tidaknya mahu memulakan perhubungan.

Adakah DAP lebih mudah untuk dibawa berbincang soal Islam dari UMNO?

Nik Aziz berkata PAS tidak mahu menjadi boneka UMNO tetapi bagaimana boleh pula menjadi boneka DAP? (read: Perak).

Anonymous said...

Tuan Syed,

Tuan Guru Nik Aziz ada berkata, "Kita jangan di patuk ular kali kedua dalam lubang yang sama".

Saya ingin mengajukan soalan, apakah UMNO akan berunding dengan PAS sebelum pilihanraya Mac 2008?

Ini hanyalah strategi untuk menjatuhkan pakatan rakyat bukan untuk bermuafakat. Selepas PR tumbang, PAS akan diketepikan seperti dulu.

Saya kira golongan PAS di Kelantan lebih tajam pikirannya.

Tatkala ini, PAS sudah menawan 2 negeri dengan majoriti yang besar. Memang betul kata Tuan guru, kerajaan perpaduan adalah kerja yang bodoh.

Sallam

From Jay Bee.

mail lambong said...

salah faham terhadap hudud

Salah faham yang pertama ialah apabila ada menganggap bahawa persoalan Hudud merupakan persoalan yang hanya dikaitkan secara ekslusif dengan golongan ekstrimis Islam. Padahal Hudud merupakan perkara asas dalam persoalan keimanan dan tauhid kepada Allah SWT. Hukum Hudud telah dinyatakan secara jelas di dalam Quran dan Sunnah. Setiap muslim wajib menerima kewajiban Hudud untuk dilaksanakan di kalangan masyarakat Islam.

Hujjah yang mengatakan bahawa Hudud tidak lagi sesuai dengan perkembangan zaman moden adalah hujjah yang dangkal. Sekiranya Hudud ketinggalan zaman, maka begitu jugalah halnya dengan semua hukum syariat yang lain seperti hukum solat, puasa, haji, nikah kahwin, dan jual beli. Kesemua hukum-hukum ini juga dinyatakan secara jelas oleh Al-Quran dan Sunnah.

Contohnya, lelaki yang adil bukan hanya perlu sebagai saksi-saksi dalam pengendalian kes-kes jenayah Hudud, tetapi juga sebagai wali nikah dan imam solat. Maka itu, andaian yang mengatakan bahawa amat sukar untuk mendapatkan saksi yang adil untuk menjadi saksi kes Hudud sebenarnya juga seolah-olah mengandaikan bahawa hukum nikah kahwin dan solat berjemaah tidak lagi perlu dipraktikkan oleh umat Islam sekarang. Tentunya ini merupakan andaian yang liar dan tidak benar.

Sekiranya Hudud mahu dilabelkan sebagai agenda golongan ekstrimis Islam, maka apakah semua orang yang bernikah kahwin mengikut syariat dan bersolat jamaah juga perlu dilabelkan sebagai ekstrimis Islam? Maka, siapa lagi sebenarnya di kalangan umat Islam yang bukan ekstrimis melainkan kesemua muslim yang baik akan digelar ekstrimis Islam belaka.

mail lambong said...

Salah faham seterusnya ialah apabila kita melihat hukum Hudud dalam bentuknya yang juz'i (stand alone) yang terpisah dari sistem jenayah syariah Islam secara keseluruhan. Islam adalah sistem yang lengkap dan saling melengkapi (kamil wa mutakamil). Setiap elemen dari ajaran Islam tidak boleh diceraikan dari keseluruhan batang tubuh Islam itu sendiri, dan begitu jugalah halnya dengan hukum Hudud. Hukum Hudud dalam bentuknya yang juz'i (stand alone) tidak akan mampu melahirkan keadilan, dan keadaan ini telah dipergunakan sepenuhnya oleh golongan penentang Hudud untuk menggambarkan bahawa Hudud adalah zalim. Mereka menilai Hudud dalam bentuknya yang terpisah dari keseluruhan sistem kehakiman dan perundangan Islam, dan sememangnya Hudud yang diambil secara juz'i ini boleh disifatkan sebagai tidak adil atau zalim.

Contoh yang selalu dikemukakan adalah persoalan rogol. Dalam hukum Hudud, jenayah rogol adalah disamakan dengan jenayah zina. Tahap kesaksian dan hukumannya juga sama. Dalam Hudud juga, menuduh seseorang yang dikenali sebagai orang baik melakukan zina tanpa mendatangkan saksi yang berwibawa merupakan suatu kesalahan Qazaf yang boleh membawa hukuman sebanyak 80 rotan. Lalu diambil peruntukan-peruntukan hudud ini secara terpisah oleh penentang Hudud untuk menggambar betapa mangsa rogol akan dizalimi.Mereka mengandaikan bahawa seorang mangsa rogol perlu mendatang 4 orang saksi lelaki yang adil untuk membuat pengaduan atau menghadapi risiko kesalahan Qazaf. Ini, menurut andaian mereka, adalah menzalimi mangsa rogol dan melindungi perogol. Padahal, undang-undang yang melibatkan kes rogol perlu dirujuk kepada keseluruhan peruntukan undang-undang jenayah syariah secara lengkap (Hudud, Qisas, Takzir, Undang-undang keterangan, siasah syari'ah) dan tidak boleh dinilai dari perspektif hukum Hudud secara terhad dan terpisah.