Sunday, June 21, 2009

Silatulrahim menjadi tuntutan perpaduan


Persoalan kerajaan perpaduan atau perpaduan antara UMNO dan PAS masih menjadi tajuk perbincangan dan luahan rasa di mana-mana terutama oleh orang UMNO dan PAS serta orang parti politik lain yang sama ada bimbang, resah dan gelisah atau khuatir dengan kemungkinan UMNO dan PAS akan berpadu tenaga. Isu itu juga turut diikuti oleh orang Melayu/Islam pada keseluruhannya.

Kebimbangan dan kegelisahan itu turut dirasai oleh orang UMNO dan PAS atas beberapa sebab yang hanya mereka ketahui sedangkan ia menjadi tuntutan agama. Pegangan politik yang agak tegar menjadi batu penghalang utama ke arah perpaduan.

Baru-baru ini, sempena sambutan ulang tahun ke-20 Surau Al Muhajirin, Taman Sri Ukay/Hill View, Ampang, pihak penganjur telah menerbitkan satu risalah yang menyentuh mengenai soal perpaduan, iaitu silatulrahim.

Risalah itu memuatkan terjemahan ceramah oleh Al'Allamah Sayyid 'Alawi Ibn Abbas Al Maliki, mantan tenaga pengajar Masjid al Haram dan Madrasah al Falah, Makkah al Mukarramah, yang disampaikan pada hari Jumaat 2/5/1378 H melalui radio Arab Saudi.

Oleh kerana isi kandungan ceramah itu ada kaitan dengan apa yang sedang diperkatakan sekarang, maka saya perturunkannya untuk renungan dan, moga-moga memberi manfaat untuk kita, ummah di Malaysia.

Terdapat dua jenis silatulrahim (hubungan persaudaraan). Silatulrahim yang khusus dan umum.

Silatulrahim yang umum ialah hubungan antara seluruh individu Muslim di serata pelusuk dunia yang diikat dengan pertalian agama Islam. Hubungan keagamaan ini merupakan nikmat terbesar yang dikurniakan oleh Allah ke atas orang Islam sehingga mereka menjadi saudara, sebagaimana firman Allah SWT, yang bermaksud:

"Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara." (Hujuraat:10)

Allah SWT juga berfirman yang bermaksud: "Maka jadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara." (Ali Imran:103)

Hubungan persaudaraan jenis ini (antara seluruh umat Islam), wajib dihubungkan dan dipupuk dengan kasih sayang, saling menasihati, melakukan keadilan, memberikan peringatan, melaksanakan hak-hak yang wajib ditunaikan dan kemaslahatan, serta mempertahankannya atau melindunginya tidak kira di belakang atau di depannya semampu yang mungkin.

Silatulrahim yang khusus pula ialah hubungan kerabat yang mengikat hubungan antara individu dalam keluarga, seperti ibu bapa, bapa-bapa saudara dan ibu-ibu saudara sama ada sebelah ibu mahupun bapa.

Hubungan ini wajib dihubungkan dengan perkara-perkara yang mengikat hubungan persaudaraan yang umum seperti yang telah disebutkan, di samping kewajipan memberikan nafkah kepada kaum kerabat dan menampung segala kekurangan mereka.

Kesimpulannya, kedua-dua hubungan ini wajib dieratkan dengan menghulurkan kebaikan dan menghindari mereka daripada kejahatan dan keburukan semampu yang mungkin. Firman Allah SWT yang bermaksud:

"(Kalau kamu tidak mematuhi perintah), maka tidakkah kamu harus dibimbang dan dikhuatirkan - jika kamu dapat memegang kuasa - kamu akan melakukan kerosakan di muka bumi, dan memutuskan hubungan silatulrahim dengan kaum kerabat? (Orang-orang yang melakukan perkara tersebut) merekalah yang dilaknat oleh Allah serta ditulikan pendengaran mereka, dan dibutakan penglihatannya. (Setelah diterangkan yang demikian), maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi al Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran al Quran)?" (Muhammad: 22-24)

Diriwayatkan di dalam Sohihain, daripada Jabir berkata: Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud: "Tidak masuk syurga orang yang memutuskan silatulrahim."

Maksudnya, orang yang memutuskan silatulrahim tidak masuk syurga bersama orang-orang yang terawal memasuki syurga. Bahkan, dia akan memasukinya lewat mengikut tempoh pembalasannya kerana meninggalkan yang wajib dan melakukan perkara yang diharamkan akibat memutuskan apa yang diperintahkan oleh Allah agar menyambungnya.

Diriwayatkan juga di dalam Sohihain, daripada Abi Hurairah berkata: Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang suka agar dilapangkan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah dia menyambung silatulrahim."

Maksud 'panjang umur' dalam hadith di atas ialah Allah memberkati umur dan rezekinya. Maka Allah mentaufiqkannya untuk melakukan amal soleh yang tidak mampu dilakukan melainkan orang yang dipanjangkan umurnya dan diluaskan rezekinya.

Diriwayatkan oleh al Bazzae dengan sanad yang jayyid (baik) daripada Nabi S.A.W., bersabda yang maksudnya: "Sesiapa yang suka Allah memanjangkan umurnya, meluaskan rezekinya dan menjauhkannya daripada Su'al Khatimah, maka hendaklah dia bertaqwa kepada Allah dan menyambung silatulrahim."

Daripada al Tabrani dengan sanad Hasan daripada Nabi S.A.W. bersabda: Allah berfirman yang maksudnya: "Aku adalah Allah dan Aku adalah Tuhan Yang Maha Pengasih. Aku telah menjadikan rahim (kasih sayang), Aku menerbitkan namanya dari namaKu. Sesiapa yang menyambungnya, maka dia telah menyambungkan dirinya dengan (kasih sayang)Ku dan sesiapa yang memutuskannya maka dia telah memutuskan (dirinya dengan kasih sayang)Ku."

Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah memakmurkan negara bagi suatu kaum dan menambah untuk mereka harta, dan Allah tidak memandang kepadanya (harta benda dunia) semenjak Dia menjadikannya kerana benci terhadapnya." Rasulullah S.A.W. ditanya, "Bagaimanakah itu, wahai Rasulullah?" Sabda Baginda S.A.W, "Dengan silatulrahim yang mereka lakukan."

Diriwayatkan oleh al Bukhari daripada Nabi S.A.W. bersabda: "Bukanlah orang yang menyambung silatulrahim itu dengan membalas persaudaraan yang dihubungkan oleh saudaranya. Tetapi orang yang menghubungkan silatulrahim itu apabila diputuskan hubungan dengannya maka dia menyambungnya."

Apabila seseorang itu menyambung silatulrahim dengannya, lalu dia pun menyambung silatulrahim dengan orang tersebut, maka dia adalah orang yang membalas silatulrahim yang dihubungkan dengannya. Ini bukanlah orang yang menyambung silatulrahim yang sempurna kerana orang yang menyambung silatulrahim yang sempurna ialah orang yang menghubungkan silatulrahim apabila seseoang itu memutuskan hubungan dengannya.

Diriwayatkan oleh Muslim di dalam Sohihnya, bahawa seorang lelaki berkata: "Wahai Rasulullah! Aku mempunyai kaum kerabat yang aku sentiasa menghubungkan silatulrahim dengan mereka tetapi mereka memutuskannya. Aku juga melakukan kebaikan terhadap mereka tetapi mereka melakukan kejahatan terhadapku. Aku juga berlembut dengan mereka tetapi mereka mengasariku." Rasulullah S.A.W. bersabda, "Sekiranya kamu sepertimana yang kamu katakan, maka kamu seolah-olah memasukkan kepada mereka debu yang panas." (Maksudnya, kebaikan yang dibalas dengan kejahatan seolah-olah menjadi abu panas yang membakar jasad. Maka orang yang memabalas kebaikan secara sedemikian, seolah-olah mengundang bala ke atas dirinya sendiri). Rasulullah S.A.W. bersabda kepadanya, "Sentiasalah pertolongan daripada Allah menyertai kamu selama kamu berterusan berada dalam keadan sedemikian."

Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dengan sanad daripada perawi-perawi yang thiqah (dipercayai), daripada Nabi S.A.W. bersabda: "Sesungguhnya segala amal anak-anak Adam dibentangkan pada hari Khamis dan malam Jumaat; maka tidak diterima amalan orang yang memutuskan silatulrahim."

Diriwayatkan oleh al Tabrani daripada Ibni Mas'ud bahawa Baginda S.A.W. duduk dalam satu kumpulan selepas subuh, lalu bersabda: "Aku menyeru dengan nama Allah orang yang memutuskan silatulrahim supaya bangun dari kumpulan kami ini kerana kami mahu berdoa kepada Tuhan kami. Sesungguhnya pintu-pintu langit tertutup bagi orang yang memutuskan silatulrahim."


Marilah sama-sama kita memohon kepada Allah agar mentaufiqkan kita untuk melakukan apa yang disukai dan diredhaiNya.

Semoga Allah melimpahkan rahmat ke atas penghulu kita Muhammad S.A.W. dan keluarganya serta para sahabatnya.



10 comments:

sm_alkaff said...

salam Ami,

teringat masa Rasulullah membuat perjanjian hudaibiyah dgn masyarakat mekah ...banyak syarat yg diletakkan oleh pihak kafir quraisy ketika itu...sehingga nama Rasulullah hanya boleh ditulis sebagai Muhammad..sedangkan Baginda hanya mengikut apa saja kehendak mereka....atas sebab itu (kebijaksanaan Baginda) orang islam ketika itu dapat menakluki keseluruhan kota mekah & seterusnya 1/3 pelusuk dunia...tapi bagaimana pula hari ini....Parti yg konon nya menegakkan Islam membuat pelbagai syarat untuk rundingan & akhirnya semua cadangan terkubur begitu saja...adakah kita terlalu bijak untuk mengetahui apa yang berlaku pada masa depan??...kita mementingkan siltaurrahim...tanpa mengira ideologi politik

wassalam

Unknown said...

Habib M,

Malangnya, di Malaysia politik, secara umumnya, menjadi penghalang bukan pencetus perpaduan. Sesuatu yang amat menyedihkan.

Di kalangan orang Melayu/Islam, perpecahan bukan sahaja dalam arena politik, tetapi hampir menyeluruh. Ramai yang nak jadi pemimpin, itulah antara puncanya.

Lihat saja ke dalam sektor ekonomi, dahulu hanya ada sebuah dewan perniagaan yang menyatukan peniaga/pedagang/pengusaha Melayu, sekarang ada tiga. Kenapa? - nak jadi pemimpin kerana tidak sehaluan dengan kepimpinan orang lain.

Lihat pula ke dunia seni dan hiburan, walaupun industri ini kecil tetapi wujud beberapa persatuan/badan yang mewakili mereka. Kenapa? - nak jadi pemimpin/tak sehaluan dengan kepimpinan orang lain.

Begitu juga dengan pertubuhan belia - ada 4B, ada GKBM dan ada GPMS - yang dipimpin oleh bapa pelajar, bukan pelajar - semuanya kerana nak jadi pemimpin.

Cuba kita alihkan pandangan kepada masyarakat Cina. Tidak pula berlaku sedemikian. Dalam masyarakat Cina wujud persatuan atau kongsi suku kaum/dialek masing-masing tetapi mereka bersatu dalam sebuah gabungan besar di peringkat pusat. Begitu juga dengan dewan perniagaan, hanya wujud sebuah gabungan bukan tiga seperti orang Melayu/Islam. Begitu juga dengan pertubuhan belia dan kebudayaan. Mereka bersatu walaupun berlainan fahaman dan anutan parti politik.

Mampukah kita berbuat demikian sedangkan dalam soal agamapun kita masih berpecah termasuk sesama keturunan Hadhrami.

Semoga Allah memberi taufiq, hidayah dan petunjuk kepada mereka yang bergelar pemimpin untuk menuju ke arah perpaduan dan jauhkan daripada kepompong politik kepartian yang sempit - tak kira sama ada UMNO, PAS, PKR, PRM, PBB dan parti-parti serpihan lain.

Mampukah mereka mengetepikan kepentingan peribadi/parti untuk berbuat demikian? Boleh, jika benar-benar jujur dan ikhlas serta berpegang teguh kepada ajaran Islam.

Anonymous said...

Salam Pak tuan,

Apa yg pak tuan tuliskan ada kebenaran. Mereka2 ini semuanya gila kuasa dan RM. Sanggup menjual maruah dan bangsa.

sekian.

tajudin said...

terimakasih atas artikel yang penuh dengan nasihat ini.

Anonymous said...

Salam Tuan Syed,

Saya berpandangan bahawa maksud perpaduan yang dianjurkan oleh agama adalah perpaduan tidak kira latar belakang dan politik.

Dalam konteks artikel/topik ini, boleh disimpulkan bahwa kita harus ketepikan politik dan harus bersatu kerana kita semua adalah muslim.

Namun, dalam pemerintahan di Malaysia, terdapat parti politik. Parti politik ini ditubuhkan memberikan kita sebagai rakyat hak memilih pemerintah yang boleh "Manage" atau perintah negara kita.

Saya fikir tuntutan dalam agama untuk perpaduan adalah untuk umat Islam. Tidak ada tuntutan dalam Islam untuk Parti Politik bergabung.

Adalah amat tidak bermakna kalau Parti politik bergabung kerana rakyat akan kehilangan hak mereka untuk memilih yang terbaik untuk mereka. Monopoli dalam pemerintahan tidak memanfaatkan rakyat.

Di Indonesia, sebuah negara Islam yang terbesar sedang menjalani proses pilihan raya. Terdapat 3 Parti besar ketika ini dan nampaknya terdapat kematangan dan perubahan positif dalam sistem pemilihan pemerintah.
Saya kira ramai rakyat Indonesia yang akan kecewa jika 3 parti ini bergabung jadi satu.

Satu hal yang kita harus telusi ialah waktu atau "timing" di mana hal perpaduan antara PAS dan UMNO ini ditimbulkan. Adakan perpaduan ini ikhlas atau sandiwara?.

Kita juga harus merujuk kepada sejarah. PAS dan UMNO pernah bergabung tetapi ada sejarah yang tidak baik antara mereka. Oleh itu amatlah wajar bagi sebahagian besar ahli PAS menolak cadangan ini.

Pendekata, merujuk balik kepada artikel ini, pada pandangan saya, tidak ada tuntutan ugama yang mewajibkan Parti Politik untuk bergabung.

Islam tidak melarang umatnya untuk memilih pemerintah. Namun, setelah pemilihan selesai, kita harus mentaati pemimpin dan bersatu dalam perpaduan.

Jay Bee_Ba.Alawi

Unknown said...

Habib Ba'Alawi,

Benar, saya merujuk kepada perpaduan ummah. Apabila sudah bersatu-padu, mungkin boleh difikirkan soal siasah dan soal-soal duniawi yang lain. Terima kasih atas pandangan saudara.

Sdr Tajudin,

Terima kasih. Apa yang saya ketengahkan adalah apa yang pernah diperkatakan oleh Al'Allamah Sayyid 'Alawi Al Maliki.

ruyom said...

The name Melayu is an Indian word to denote hills or mountain range. There is a place in South India called Melayur.

Indigenous people who marry Muslim Indians from Melayur identified themselves as Melayur.

Over time, as the Malay kingdom spead through insular SEA, the word Melayur became simply as Melayu.

If one were to do genetic test on the modern Malay in Peninsula Malaysia, they would invariably carry genetics from Indian to explain the darker complexion and kinky hair of most Malays as opposed to the Mongolid look of some Malays of original Malayo Polynesian, Dusun or Dayak stocks.

The real natives or indigenous people of the Peninsula Malaysia can be found in the Northern parts of Peninusla Malaysia apart from the aborigines.

askar melayu said...

Syed
Siapa yang tak inginkan perpaduan ummah? Lebih-lebih lagi Tok Guru. Tapi bagaimana umat Islam nak bersatu-padu bila ulamak yang dikatakan besar dah mengkafirkan sesama Islam? Tuhan dikatakan mencarut? Tak sama ragam politik, disamakan dengan kominis, Chin Peng dan AyahPin, bukankah mereka itu semua kafir atau tidak percayakan ugama.

Ini menunjukkan Tok Guru masih lagi mengkafirkan umat Islam yang lain. Tok Guru kah ini? Ulamak kah ini? Ya, saya jahil dan pelajaran ugama tidaklah setinggi Tok Guru, tapi sejahil-jahil saya saya sedar kerja mengkafir ini kerja tuhan.

Saya ingatkan amanat terdahulu telah dilupai, tetapi nampaknya disegarkan kembali oleh Tok Guru. To be fair, spin Tok Guru, ini semua adalah kiasan.

Yeah, right!

Unknown said...

Askar Melayu,

Sayapun tak tau nak kata apa.

Mereka yang bergelar Tok Guru atau alim ulama yang berpendidikan tinggi dalam jurusan agama Islam sama ada di Madinah atau Kaherah, tentu lebih mengetahui daripada kita yang bukan berpendidikan tinggi dalam jurusan agama. Tetapi, sejahil-jahil kita, kita tahu bahawa soal sama ada seseorang itu kafir atau bakal menjadi ahli syurga ataupun neraka, bukan kerja manusia.

Saya ulangi... entahlah, tak tau nak kata apa.

mail lambong said...

salam semua,
silatulrahim menjadi tuntutan perpaduan.begitu cantik sekali tetapi sayang sekiranya perpaduan tersebut akan membiarkan negara kita seperti sekarang.
1.sedih sangat tengok keruntuhan moral muda-mudi
2.sedih sangat tengok pusat-pusat judi tersergam indah
3.sedih sangat tengok pusat-pusat hiburan terlampau dihuni oleh orang-orang yang mengaku dirinya islam
4.sedih sangat tengok masjid-masjid kosong walaupun cantik dan dibina dengan harga yang mahal.
5.sedih sangat tengok pemimpin-pemimpin melayu islam hanyut disebabkan zina dan rasuah
6.sedih sangat tengok para -para arif lgi bijaksana mengenai agama tidak berani menegur pemimpin yang melakukan maksiat.
7.sedih sangat tengok hiburan tv yang melampau yang terang-terang dikatakan haram ditonton semua umat islam dimalaysia.
8.sedih sangat tengok apabila umat islam berfikir bahawa cukup sara diri,ada kesenangan,hidup terjamin sudah memadai untuk diri masing-masing padahal kita akan di soal.
kita akan disoal kenapa kita biarkan negara kita rosak sedangkan kita boleh mencegahnya mengikut landasan islam yang sebenar.