Thursday, May 31, 2007

Apa nak jadi dengan bahasa Melayu

Kebelakangan ini terlalu banyak kesilapan yang dilakukan oleh Pak-Pak Menteri, ketua-ketua jabatan, ketua polis dan para wartawan, terutama wartawan penyiaran, mengenai penggunaan istilah dan gantinama dalam bahasa Melayu. Mereka nampaknya mudah terikut-ikut tanpa memperdulikan sama ada perkataan yang diguna atau disebut itu betul atau sebaliknya.

Satu perkataan yang sering membuatkan para ahli bahasa 'pedih telinga' ialah mereka-mereka. Ia selalu disebut oleh Pak-Pak Menteri (bukan semua), ketua-ketua jabatan atau pegawai tinggi kerajaan, ketua polis dan tidak ketinggalan wartawan penyiar atau juruhebah (sekarang disebut DJ).

Mereka adalah gantinama diri ketiga untuk bilangan yang banyak, jadi perkataan mereka-mereka tidak betul sama sekali. Yang betul ialah mereka (sudahpun menunjukkan bilangan yang banyak). Kita sering mendengar orang melakukan kesilapan bahasa apabila berkata ... "kepada mereka-mereka yang berkenaan,...atau... mereka-mereka yang terlibat....

Satu lagi perkataan yang tidak betul ialah pasar raya besar untuk merujuk kepada hypermarket.
Perkataan besar ditambah kepada perkataan pasar raya kerana perkataan pasar raya atau pasaraya digunakan untuk supermarket dan perkataan pasar mini merujuk kepada minimarket. Untuk ambil mudah, sebut saja pasar raya besar untuk hypermarket, tak kiralah sama ada ianya betul atau sebaliknya.

Kepada mereka yang faham bahasa Melayu, perkataan pasar raya besar bermaksud pasar besar besar kerana perkataan raya bermaksud besar. Dalam bahasa Melayu, perkataan raya merujuk kepada sesuatu yang besar, umpamanya bandar besar disebut bandar raya, jalan besar disebut jalan raya atau lebuh raya, gendang besar disebut gendang raya, hari besar disebut hari raya dan hantu besar (mengikut fahaman orang Melayu) disebut hantu raya. Jadi pasar raya besar bermakna pasar besar besar! Malangnya, pihak media berbahasa Melayu terikut-ikut menggunakan istilah itu untuk hypermarket, kenapa tidak sebut saja pasar hiper?

Baru-baru ini, kerajaan menggunakan istilah Konsultasi Bajet, yang diterjemah secara langsung daripada perkataan Inggeris Budget Consultation. Kenapa sampai begitu, wahai Menteri Kewangan merangkap Perdana Menteri?

Kita sedia maklum bahawa perkataan Inggeris itu bermaksud berunding atau rundingan atau satu pertemuan untuk meminta nasihat atau pandangan daripada seseorang atau sekumpulan orang yang ahli dalam sesuatu bidang. Perkataan dalam bahasa Melayu ada (rundingan), jadi apa perlunya kita membuat terjemahan terus dari bahasa Inggeris sehingga berbelit lidah untuk menyebutnya?

Kita begitu mudah meminjam dari bahasa Inggeris dengan hanya menambah 'si' dibelakang sesuatu perkataan pinjaman seperti konsultasi, informasi, dedikasi, deklamasi dan sebagainya. Di mana letaknya kata-kata semangat bahasa jiwa bangsa?

Kementerian Penerangan, yang kini dipimpin oleh seorang mantan wartawan akhbar berbahasa Melayu, juga bersikap tidak betul apabila menggunakan perkataan info (dari perkataan Inggeris information) untuk menggantikan perkataan maklumat. Sikap Kementerian Penerangan, khususnya Jabatan Penyiaran, amat dikesali kerana ia sepatutnya mendaulatkan penggunaan bahasa Melayu bukan menggantikan perkataan yang ada dengan perkataan yang dipinjam. Jika begitu ghairah nak gunakan perkataan informasi kenapa tak ubah nama Kementerian Penerangan kepada Kementerian Informasi?

Satu lagi ungkapan yang selalu disalahgunakan ialah "selamat hari jadi". Ungkapan itu tidak betul. yang betul ialah "selamat hari lahir". Kita merayakan hari kita dilahirkan ke dunia ini. Iaitu hari kita keluar dari rahim ibu kita. Kita tidak menyambut hari kita dijadikan oleh Tuhan! Siapa yang tahu saat bila kita dijadikan oleh Tuhan dalam rahim ibu kita? Jadi bagaimana kita tahu sekian hari itu adalah hari jadi kita? Yang kita tahu ialah hari kita dilahirkan.

Kesilapan-kesilapan yang saya ambil sebagai contoh ini merupakan sejumlah kecil daripada begitu banyak kesilapan yang dilakukan oleh kita, termasuk Pak-Pak Menteri, pegawai-pegawai kerajaan dan swasta, orang politik, tokoh perniagaan, penulis dan wartawan. Kesilapan itu berlaku kerana sikap kita yang tidak mementingkan penggunaan perkataan dan istilah yang betul. Kita sering jadi pak turut dan mengambil mudah dalam penggunaan bahasa Melayu.

6 comments:

Anonymous said...

pak sheikh,
bernama la ni guna khidmat gerald raja, former nst reporter sebagai editorial consultant untuk meja berita am.

terfikir juga dibenak, apa perlunya bernama melantik consultant sedemikian.

tiba-tiba terlintas difikiran, adalah ini gara-gara taklimat yang dihadiri SIL sebelum ini di bernama yang menyebabkan consultant dari nst diambil.

memang power sungguh SIL PM kita nih.

sebagai orang lama bernama, apa komen pak sheikh???

Zukri Valenteno said...

Pak Tuan Yang DiHormati,

Banyak lagi kepincangan-kepincangan yang samada tidak disedari atau tidak diketahui oleh si ampunya pembuatnya. Dan kepincangan-kepincangan ini diulangi sentiasa sehinggakan para pembaca akan terpengaruh bahawa ianya bukan kesilapan akan tetapi diterima sebagai kelaziman.

Terdapat banyak contoh yang menjolok mata. Dan ianya dilakukan saban hari.

Sebagai contoh, media sentiasa merujuk perdanabumi (landmark) yang paling terkenal di ibu kota sebagai Menara Berkembar Petronas sedangkan ianya takrifan yang salah. Sebenarnya ia adalah Menara Kembar Petronas kerana nama Inggerisnya ialah Petronas Twin Towers, BUKANnya Petronas Twinning Towers. Perdanabumi ini tidak bolah disebut sebagai "Menara Berkembar" kerana istilah itu mengambarkan bahawa ada satu lagi mercu tanda yang serupa dan sama di sebuah tempat lain, laksana universiti berkembar atau twinning university. Begitu juga dengan bandar berkembar atau twinning city seperti yang selalu kita dengar. Justeru, ianya adalah Menara Kembar Petronas dan seperkara lagi ialah nama khasnya BUKANlah KLCC lantaran KLCC mengambarkan keseluruhan kawasan di tapak bekas Kelab Lumba Kuda Selangor.

Istilah "Salah Tanggapan" sentiasa digunakan untuk mengambarkan situasi negatif sedangkan istilah itu sudahpun negatif kerana yang positifnya ialah anggapan, maka negatifnya ialah tanggapan. Apabila kita mnyebutnya sebagai salah tanggapan, maka kita sekali lagi mengandakan istilah itu daripada segi negatifnya, samalah seperti "para-para hadirin" atau "mereka-mereka" seperti yang selalu digunakan oleh pembesar negara dalam ucapan mereka.

Namun contoh yang paling mendukacitakan saya ialah apabila Umat Islam kita disebut sebagai "Penganut Islam" atau devotee dalam Inggeris. Ini adalah kesalahan sintaks dan semantik 100 peratus. Disamping kesilapan yang amat durjana ianya juga kesalahan tatabahasa.
Saya ingin bertanya sejak bila pula Umat Islam disebut sebagai penganut?
Kita Umat Islam ini penganut? Menganut apa?

Seperti yang sentiasa saya fahami ialah istilah penganut digunakan untuk fahaman-fahaman dan kepercayaan-kepercayaan tertentu sahaja kerana Islam adalah antara 3 agama samawi yang diturunkan dari langit. Lantaran itu kita Umat Islam hendaklah disebut sebagai Umat Islam sahaja, noktah. Penganut hanyalah sesuai untuk para pengikut fahaman Buddha, Hindu dan sebagainya. Umat Islam TIDAK boleh dirujuk sebagai penganut agama Islam atau penganut ajaran Islam sama sekali kerana ianya tidak hanya tidak tepat malahan bercanggah dengan takrifan. Islam bukan anutan dan Umat Islam adalah Umat Islam, noktah.
Namun, sedihnya, masih ada yang dangkal akal dan mindanya yang menyebut sedemikian.

Disebabkan liberalisasi, kita semua menerimapakai bahawa kesemuanya adalah agama sedangkan ALLAH swbt hanya berfirman bahawa hanya ada 3 agama di dunia yang berpandukan Al-Kitab, maka wujudlah Ahlul Kitab. Hari ini para cerdik pandai menyebut 3 agama itu sebagai Islam, Nasrani dan Yahudi. Yang lain hanyalah kepercayaan dan fahaman kerana tidak berpandukan kepada kitab dan semata-mata bahan kepercayaan yang terbit daripada akal manusia.

Disebabkan kedangkalan media kita, maka untuk fahaman dan kepercayaan lain pun digunakan istilah sembahyang sebagai merujuk kepada aktiviti fahaman dan kepercayaan mereka. Sebenarnya sembahyang adalah singkatan kepada perkataan-perkataan Menyembah Yang Maha Berkuasa dan Yang Maha Berkuasa Hanyalah Satu iaitu ALLAH SWBT, lantaran ianya menjadi Sembahyang dan perkataan Arabnya ialah Solat. Namun disebabkan kedangkalan media dan para pembaca sendiri, maka istilah sembahyang turut sama digunakan untuk kepercayaan dan fahaman lain yang selain daripada Islam. Ini cukup menghina Islam.

Kesilapan-kesilapan kecil dalam Bahasa Melayu saya enggan menyentuh kerana lazimnya kita semua sudah arif akan kesilapannya namun ianya sentiasa diulangi dari semasa ke semasa.

Yang paling menyedihkan masih ada lagi media yang menggunakan istilah "drama kejar mengejar" untuk mengambarkan kejadian jenayah antara polis dan penjenayah walaupun ianya sudah diterangkan akan kesilapan istilah itu sejak zaman berzaman. Semasa saya melaporkan diri di Meja Jenayah Bernama di Ibu Pejabat BERNAMA di Bangunan MCOBA pada 1983 saya sudah diberikan sebuah buku nota TataCara Penulisan Berita Bernama yang menyebut dengan jelas kesilapan semantik istilah itu. Namun selepas berpuluh tahun ianya masih digunakan lagi! Hari ini Bernama pun tidak ketinggalan menggunakan istilah yang sudah ketinggalan zaman dan tidak tepat itu.

Seperkara yang paling menjolok mata ialah istilah "Membuang Undi". Ianya masih dan kerap digunakan untuk mengambarkan situasi pengundian pada pilihanraya umum atau pilihanraya kecil dan yang paling mutakhir ialah di pilihanraya kecil Ijok. Buletin berita sebuah stesyen televisyen swasta masih menggunakan istilah "membuang undi" yang pada saya ialah "membuang undi ke dalam tong sampah!". Istilah yang tepat ialah "Mengundi" kerana istilah "Membuang Undi" adalah terjemahan secara harafiah daripada istilah Inggeris yang berbunyi "Casting Of Vote". Ini adalah salah dan tidak tepat sama sekali! Apabila kita sudah membuang undi, maka undi itu tidaklah boleh digunakan lagi atau tidaklah boleh diambilkira, tidakkah begitu??

Pak Tuan Yang DiHormati, banyak lagi kesilapan sintak dan semantik dalam Bahasa Melayu dan ianya diulangi secara tidak disedari pada setiap hari.

Namun, saya cukup menyanjung YB Dato' Seri S.Samy Vellu, Menteri Kerjaya Raya dan Presiden MIC yang dalam ucapan awamnya sentiasa menggunakan istilah "Tanah Air" untuk mengambarkan bumi yang dipijaknya. Beliau tidak menyebut negeri kita atau negeri kami seperti yang selalu digunakan oleh para pembesar lain.

Saya tabik Dato' Seri Samy (yang dirujuk sebagai Haji Samy di Sungai Siput, Perak) yang sentiasa menggunakan istilah "Tanah Air" sedangkan para pembesar Melayu kita tidak pernahpun menyebut istilah itu. Tidak seorang pun yang berbuat demikian kecuali Pak Tun Dr Mahathir Mohamad seketika dahulu.

Agaknya Samy memahmi makna, semangat dan falsafah "Perjuangan Agama, Bangsa dan Tanah Air" yang berasal daripada makna, semangat dan falsafah Alif Ba dan Ta?? Iaitu Alif untuk Agama, Ba untuk Bangsa dan Ta untuk Tanah Air? Mungkinkah beliau lebih arif daripada sesetengah pembesar Melayu? Mungkin...

Wassallam,

Zukri Valenteno
Anakbukit, Alor Setar, Kedah

Anonymous said...

Sekarang, bahasa Melayu dah jadi Bahasa Malaysia untuk perpaduan rakyat.

Selepas ini, mungkin Bahasa Tamil dan Bahasa Mandarin pun akan ditukar kepada Tamilsia dan Mandarinsia untuk menggambarkan pepaduan rakyat.

Saya juga ingin merakamkan terima kasih untuk artikel ini yang banyak menyedarkan saya tentang penggunaan sebenar Bahasa Melayu. Eh, Bahasa Malaysia.

Saya berjanji, jika saya menjadi penjawat awam, saya akan menggunakan Bahasa Malaysia dengan sebaik mungkin.

Unknown said...

Nampaknya semua yang berkaitan perkataan Melayu terhapus, satu demi satu, di bumi bertuah yang pernah disebut sebagai Semenanjung Tanah Melayu.

Orang politik, terutama dalam UMNO, sering bersandiwara semasa perhimpunan agung parti mereka dengan melaung-laungkan kata-kata semangat ...takkan Melayu hilang di dunia... yang nyata, kita dah pun melihat satu demi satu "Melayu" dihilangkan oleh para pemimpin UMNO itu sendiri.

Saya khuatir satu hari nanti Rejimen Askar Melayu Diraja akan dikuburkan dan diganti dengan Rejimen Askar Malaysia Diraja... ini bukan sesuatu yang mustahil dengan alasan demi kepentingan nasional dan perpaduan.

Apa dah jadi dengan cogan kata Hidup Melayu yang menjadi semangat juang UMNO zaman Almarhum Datuk Onn Jaafar dan Almarhum Tunku Abdul Rahman?

Bagi saya, ramai pemimpin UMNO sekarang lebih mengutamakan kekayaan, kemewahan hidup, kedudukan sosial dan pangkat! Mereka akan terus hidup mewah sedangkan rakyat marhaen terus melukut ditepi gantang!

Unknown said...

Jika benar Bernama melantik seorang wartawan akhbar sebagai 'perunding' di Jabatan Pengarang, tak kiralah di perkhidmatan apa sekalipun, maka ia amat mendukacitakan.

Pengalaman mengajar saya bahawa cara dan kaedah wartawan agensi berita bekerja tak sama dengan di akhbar. Jadi apa hebatnya seorang wartawan akhbar sehingga ia dilantik untuk menasihati dan memberi tunjuk ajar kepada Bernama?

Jika benar Bernama nak minta nasihat atau tunjuk ajar untuk wartawannya, ramai mantan wartawan kanan Bernama yang jauh lebih mampu dan jauh lebih layak daripada orang yang diambil itu.

Kepimpinan Jabatan Pengarang Bernama kelah tahu yang mana satu jauhari dan yang mana satu bukan jauhari.

Anonymous said...

pak syed,
saya kenal benar siapa sebenarnya gerald raja. saya setuju dengan pak syed bahawa lebih ramai lagi yang lebih layak daripada gerald raja sebagai editorial consultant bernama.

pengalamannya lebih banyak di meja jenayah berbanding meja am. politik apatah lagi. nol.

semasa di nst dulu, dia lebih banyak ponteng dan kebanyakan maklumat untuk berita yang ditulisnya hasil pertolongan rakan-rakan media meja jenayah yang lain. takkanlah orang macam ini nak diambil sebagai editorial consultant.