Kebelakangan ini terlalu banyak kesilapan yang dilakukan oleh Pak-Pak Menteri, ketua-ketua jabatan, ketua polis dan para wartawan, terutama wartawan penyiaran, mengenai penggunaan istilah dan gantinama dalam bahasa Melayu. Mereka nampaknya mudah terikut-ikut tanpa memperdulikan sama ada perkataan yang diguna atau disebut itu betul atau sebaliknya.
Satu perkataan yang sering membuatkan para ahli bahasa 'pedih telinga' ialah mereka-mereka. Ia selalu disebut oleh Pak-Pak Menteri (bukan semua), ketua-ketua jabatan atau pegawai tinggi kerajaan, ketua polis dan tidak ketinggalan wartawan penyiar atau juruhebah (sekarang disebut DJ).
Mereka adalah gantinama diri ketiga untuk bilangan yang banyak, jadi perkataan mereka-mereka tidak betul sama sekali. Yang betul ialah mereka (sudahpun menunjukkan bilangan yang banyak). Kita sering mendengar orang melakukan kesilapan bahasa apabila berkata ... "kepada mereka-mereka yang berkenaan,...atau... mereka-mereka yang terlibat....
Satu lagi perkataan yang tidak betul ialah pasar raya besar untuk merujuk kepada hypermarket.
Perkataan besar ditambah kepada perkataan pasar raya kerana perkataan pasar raya atau pasaraya digunakan untuk supermarket dan perkataan pasar mini merujuk kepada minimarket. Untuk ambil mudah, sebut saja pasar raya besar untuk hypermarket, tak kiralah sama ada ianya betul atau sebaliknya.Kepada mereka yang faham bahasa Melayu, perkataan pasar raya besar bermaksud pasar besar besar kerana perkataan raya bermaksud besar. Dalam bahasa Melayu, perkataan raya merujuk kepada sesuatu yang besar, umpamanya bandar besar disebut bandar raya, jalan besar disebut jalan raya atau lebuh raya, gendang besar disebut gendang raya, hari besar disebut hari raya dan hantu besar (mengikut fahaman orang Melayu) disebut hantu raya. Jadi pasar raya besar bermakna pasar besar besar! Malangnya, pihak media berbahasa Melayu terikut-ikut menggunakan istilah itu untuk hypermarket, kenapa tidak sebut saja pasar hiper?
Baru-baru ini, kerajaan menggunakan istilah Konsultasi Bajet, yang diterjemah secara langsung daripada perkataan Inggeris Budget Consultation. Kenapa sampai begitu, wahai Menteri Kewangan merangkap Perdana Menteri?
Kita sedia maklum bahawa perkataan Inggeris itu bermaksud berunding atau rundingan atau satu pertemuan untuk meminta nasihat atau pandangan daripada seseorang atau sekumpulan orang yang ahli dalam sesuatu bidang. Perkataan dalam bahasa Melayu ada (rundingan), jadi apa perlunya kita membuat terjemahan terus dari bahasa Inggeris sehingga berbelit lidah untuk menyebutnya?
Kita begitu mudah meminjam dari bahasa Inggeris dengan hanya menambah 'si' dibelakang sesuatu perkataan pinjaman seperti konsultasi, informasi, dedikasi, deklamasi dan sebagainya. Di mana letaknya kata-kata semangat bahasa jiwa bangsa?
Kementerian Penerangan, yang kini dipimpin oleh seorang mantan wartawan akhbar berbahasa Melayu, juga bersikap tidak betul apabila menggunakan perkataan info (dari perkataan Inggeris information) untuk menggantikan perkataan maklumat. Sikap Kementerian Penerangan, khususnya Jabatan Penyiaran, amat dikesali kerana ia sepatutnya mendaulatkan penggunaan bahasa Melayu bukan menggantikan perkataan yang ada dengan perkataan yang dipinjam. Jika begitu ghairah nak gunakan perkataan informasi kenapa tak ubah nama Kementerian Penerangan kepada Kementerian Informasi?
Satu lagi ungkapan yang selalu disalahgunakan ialah "selamat hari jadi". Ungkapan itu tidak betul. yang betul ialah "selamat hari lahir". Kita merayakan hari kita dilahirkan ke dunia ini. Iaitu hari kita keluar dari rahim ibu kita. Kita tidak menyambut hari kita dijadikan oleh Tuhan! Siapa yang tahu saat bila kita dijadikan oleh Tuhan dalam rahim ibu kita? Jadi bagaimana kita tahu sekian hari itu adalah hari jadi kita? Yang kita tahu ialah hari kita dilahirkan.
Kesilapan-kesilapan yang saya ambil sebagai contoh ini merupakan sejumlah kecil daripada begitu banyak kesilapan yang dilakukan oleh kita, termasuk Pak-Pak Menteri, pegawai-pegawai kerajaan dan swasta, orang politik, tokoh perniagaan, penulis dan wartawan. Kesilapan itu berlaku kerana sikap kita yang tidak mementingkan penggunaan perkataan dan istilah yang betul. Kita sering jadi pak turut dan mengambil mudah dalam penggunaan bahasa Melayu.