Monday, April 29, 2013

Liputan pilihan raya yang terlampau berat sebelah

Selepas hari penamaan calon pada 20 April, saya membuat keputusan untuk tidak menulis mengenai kempen parti-parti politik untuk mendapat sokongan para pengundi. Saya memilih untuk membaca laporan media tradisional dan media baru atau media sosial.

Saya tahu yang banyak pihak akan membuat ulasan, ramalan dan andaian mengenai hala tuju ke 5 Mei, iaitu tarikh pengundian di seluruh negara. Semuanya berpaksikan sokongan masing-masing, yang memihak kepada Barisan Nasional (BN) akan memberi ulasan yang positif walaupun kebenarannya belum tentu begitu, sama juga dengan mereka yang sokong Pakatan Rakyat (PR).

Tetapi, sebagai seorang pengamal media walaupun kini dalam wadah media alternatif, saya tertanya-tanya ke mana perginya etika kewartawan, di mana letaknya keadilan dan kesaksamaan dan kenapa tiada imbangan dalam laporan, terutama oleh media tradisional seperti surat khabar dan radio serta televisyen.

Setiap hari  pembaca dihidang dengan laporan yang amat berat sebelah, iaitu yang memihak kepada BN seolah-olah kita membaca lidah rasmi parti politik, bukan sebuah akhbar 'nasional' yang sepatutnya memberi laporan yang seimbang, adil dan benar. Kita tahu yang hampir semua akhbar di kuasai atau dibawah kawalan parti-parti politik, tetapi dalam membuat laporan, etika kewartawanan tidak boleh diketepikan, dinodai atau dalam bahasa yang tidak berapa sedap didengar, dilacuri.  Ini yang berlaku.

Begitu jua dengan media elektronik, iaitu radio dan tv. Semua saluran tv, khususnya, seolah-olah 'bekerja' untuk BN. Jika adapun laporan mengenai parti lawan, ia lebih merupakan sesuatu yang negatif. 

Saya dapati hanya sebuah akhbar yang boleh diterima sebagai menghidangkan laporan yang agak seimbang mengenai pilihaan raya umum ke-13 ini, iaitu SINAR HARIAN. Yang lain terlampau berat sebelah.

Seperti ramai orang, saya mencari sumber lain untuk mengikuti laporan pilihan raya di Malaysia, iaitu media asing dan sumber Internet.  Benar, bukan semua laporan dalam media Internet boleh dipercayai tetapi pandai-pandailah memilih yang mana satu nak diikuti. Seboleh-bolehnya usah ikuti wadah atau laman sesawang politik, yang pro-BN mahupun PR.

Kepada pelanggan Unifi yang menawarkan HyppTV, anda boleh ikuti laporan pilihan raya "Malaysia Decides" setiap malam yang disalurkan oleh Channel News Asia (CNA) Singapura. Saya dapati laporan oleh media Singapura ini seimbang, saksama dan profesional. Banyak perkara yang diabaikan oleh media tempatan, sama ada secara sengaja atau tidak, lazimnya disiarkan oleh CNA.

Dalam laporannya yang benar-benar profesional, CNN memberi ruang kepada kedua-dua pihak bersuara dan isu-isu yang dibangkitkan adalah isu seharian dan semasa yang menghantui rakyat. Laporan sedemikian tidak dibuat oleh mana-mana stesen tv Malaysia.

Satu perkara lagi yang menarik perhatian ramai pada pilihan raya kali ini ialah betapa 'murah hatinya' kerajaan kepada rakyat. Berbilion ringgit  diluluskan dalam bermacam bentuk bantuan dan sumbangan. Perkara sedemikian tidak pernah berlaku dalam 12 pilihan raya sebelum ini.

Siapa tidak mahu duit? Semua orang mahukan duit tetapi adakah ia dapat menjamin sokongan kepada yang memberinya? Belum tentu! 

Sikap pemurah hati ini tidak ubah seperti apa yang berlaku pada musim perayaan agama Kristian. Menjelang sambutan Hari Natal atau Krismas, kanak-kanak akan ternanti-nanti kedatangan "Father Christmas" atau "Santa Claus" untuk mendapat hadiah. Kegembiraan jelas terbayang diwajah mereka yang menerima hadiah itu walaupun ia tidak seberapa sangat.

Tetatpi, ramai lupa yang kegembiraan itu hanyalah sementara dan Santa terus dilupai sehinggalah musim perayaan akan datang.

Kepada para pengundi, jangan lupa untuk keluar mengundi. Ingat, jangan buang undi, tetapi mengundi. Undi anda amat berharga dan tidak seharusnya dibuang. Tidak tahu pula saya kenapa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyeru kita membuang undi, tidak mengundi?




6 comments:

Anonymous said...

Salam Tuan..

Sebelum ni, ada jugak saya membaca akbar Kosmo dan Metro. Anggapan saya mungkin akbar tersebut lebih menfokuskan tentang peristiwa dan kejadian yang berlaku disekeliling kita dan ianya kurang menceritakan bab politik. Tapi anggapan saya kurang tepat. Mereka lebih banyak menceritakan kisah politik yang amat berat sebelah. Saya terus menjadi 'meluat' dan terus hentikan langganan akbar tersebut..

Anonymous said...

Tuan, dan saudara pengamal media ,
Mengapa tak mau baca Star ?
Sebelum PRU 13,20.4.13, dan semenjak 2008, STAR dan ketua pengarang tak berat sebelah,dia selalu sindir semacam dan memberi berat sebelah kapada DAP.
Star imbangi dan amat memihak citerasa kaum yang mengahlikan DAP.
Dari media letronik, ruang berita TV8,dan juga siaran berita mandarin NTV memberi liputan kapada DAP.DUkacita dan amat sedih dan menyesal akan ramai di antara 16 juta penduduk Malaysia yang fasih Bahasa Melayu tidak mampu mengikuti liputan STAR dan Siaran berita TV8 dan Siaran berita mandarin NTV.

arjuna waspada
changkat lobak.

Anonymous said...

Saudara Syed,

Semasa saya menuntut di universiti tempatan, ada jurusan mass communication yang diambil oleh sesetengah penuntut.

Walaupun saya tidak mengambil mass-comm, saya yakin, etika kewartawanan menjadi sebahagian silibus yang penting.

Persoalannya, jika dibandingkan dengan negara luar, agensi berita dan TV di negara kita dikawal oleh pihak pemerintah dan tidak bebas.

Ini yang menjadi masaalah.

Media massa kita tidak bebas seperti-mana yang ada di negara maju. Oleh itu berita yang disampaikan tidak ada kredibiliti.

Malah berita yang disampaikan dicampurkan dengan unsur negatif, hasutan dan lucah yang boleh merosakkan minda masyarakat.

Pada ketika ini, pertarungan dalam pilihanraya adalah paling sengit dalam sejarah tanahair. Oleh itu, etika kewartawanan ditolak tepi dan kepentingan tertentu diutamakan.

Saya setuju dengan saudara, siaran CNA adalah amat professional dalam menyampaikan siaran berita.

Orang Johor

Unknown said...

arjuna waspada,

Saya baca The Star. Laporan sebelum dan selepas hari penamaan calon ada perbezaan yang agak jelas. Saya percaya saudara pun tahu siapa pemilik The Star. Namun begitu, saya setuju yang laporan The Star jauh lebih 'adil' jika dibandingkan dengan NST.

Saya tidak tahu dan tidak faham bahasa Mandarin, oleh itu tidak dapat mengulas mengenai isi kandungan akhbar dan media elektronik dalam bahasa itu.

Anonymous said...

Assalamualaikum Tuan Syed,

Komen tuan hari mengingatkan saya kepada kisah sirah junjungan besar Nabi Muhammad SAW dalam peristtiwa perjanjian hudaibiyah dan pembukaan Kota Mekah.

Pada masa Itu, pihak Islam sedang mengumpul kekuatan dan pihak Quraish berada pada tahap yg sangat lemah. Tetapi Rasulullah SAW telah mengambil pendekatan untuk memberi kelebihan kepada puak Quraish dalam perjanjian tersebut sehingga memeranjatkan para Sahabat. Akhirnya kebijaksanaan Rasulullah yang dipandu oleh Allah SAW telah terbukti berjaya melebutkan segala penentangan sehingga membawa kepada pembukaan Kota Mekah.

Apakah pihak kerajaan /BN pada hari telah menjadi terlalu lemah hinggakan mereka menjadi terlalu 'insecure' akan kekuatan mereka sendiri hinggakan lupa kepada prinsip pertandingan yang adil dan saksama? Sama seperti yang pernah dilakulkan oleh puak kafir Quraish kepada Nabi Muhammad SAW?

Tetapi yang lebih penting ada kelupaan manusia kepada sejarah itu sendiri. Dan saya selalu mengingatkan diri sendiri yang ' history tends to repeat itself'. Dan tidak ada pengajaran yang lebih baik dari apa yang diajarkan oleh Baginda Rasullullah SAW sendiri.

Unknown said...

Wa'alaikumsalam, ulasan saudara mempunyai pengertian yang amat dalam. Terima kasih kerana sudi berkongsi pendapat.